Followers- Jalinan Ukhuwah

Saturday, August 28, 2010

Berehat Sebentar


InsyaALLAH saya akan ke luar Negara dari 28 Ogos hingga 9hb Sept 2010. Justeru, blog ini mungkin tidak dapat dikemaskini. Pun begitu, jika ada peluang, saya akan berkongsi beberapa perkara sebelum menjelang Shawal.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut kehadiran Lailatul Qadr dengan harapan ALLAH mengizinkan kita menemuinya, beramal di malamnya, diampuni dosa dan kesilapan kita, diberi rahmat dan dihindari dari api neraka serta bahangnya. Doa saya moga kita memperolehi Ramadan yang terbaik dan keluar dari Ramadan dengan fitrah untuk terus maju dan cemerlang atas setiap yang kita usahakan. Amin.

Prestasi Ramadan Week 3

Alhamdulilah kini kita telah melangkah ke Hari ke 18 Ramadan. Sungguh pantas masa berlalu.

Dalam kepantasan itu, hati kita masih leka dan kita masih lalai memburu kehidupan yang seolah-olah tiada penghujungnya. Syurga yang ALLAH janjikan buat kita tidak dapat benar-benar kita rasai kecuali insan yang mahu berfikir akan keHEBATan ALLAH.

Adakah anda perasan, di setiap pertengahan dan akhir 10 Ramadan suasana malam agak berlainan? Cuba anda bangun sebelum sahur dan luangkan masa menjengok di luar tingkap rumah. Anginnya dingin, bertiup tenang dan kedamaian hati kian terasa. Mungkin itulah sebutir dari butiran-butiran manik Syurga untuk kita rasai di mukabumi ini. Tentu Syurga ALLAH lebih-lebih tenang, damai dan dingin. Ketenangan ini lebih dirasai oleh insan-insan yang bangun bertahajud, memohon keampunan ALLAH dan menangis memikirkan kelalaian diri.

Di dalam beberapa jemputan tazkirah Ramadan di MAsjid dan institusi, saya menekankan akan kepentingan kita segera berlumba-lumba memohon maghfirah ALLAH. Entri terdahulu saya petik satu ayat Qur’an mengenai diri kita yang perlu SEGERA mencari maghfirah ALLAH. Ianya perlu dilakukan SEGERA kerana sikap bertangguh hanya merugikan diri. Ayat tersebut juga menekankan supaya kita bersegera mencari Syurga ALLAH yang seluas langit dan bumi itu, keluasan yang tidak mampu akal manusia fikirkan. Dan Ramadan menjanjikan maghfirah dan Jannah iaitu keampunan, rahmat dan syurga.

Bila keampunan telah kita mohon, maka rahmat dan kasih sayang ALLAH semakin bertambah buat hambaNYA dan sudah tentu syurga ALLAH mampu kita miliki.

Saya menasihati diri saya supaya segera mencari keampunan dan syurga ALLAH ini.Lantaran, Fasa seterusnya (10 akhir Ramadan), tip berikut boleh dilakukan:-
1. Kita perlu tidur awal supaya dapat bangun jam 3.30pagi atau 4 pagi.
2. Jika bekerja, ambil cuti akhir 10 Ramadan. Atau jika bos okay, bincang dengan bos untuk masuk pejabat lewat sikit contohnya jam 10 pagi dan ganti kembali masa yang telah diambil.
3. Ambil sedikit waktu siang untuk tidur sebentar.
4. Kurangkan aktiviti malam dan menonton tv.
5. Usahakan solat Tarawikh 20 rakaat.
6. Bersama menghadiri program qiyamulail di masjid-masjid.
7. Banyakkan sujud syukur.


Wallah’alam.

Tuesday, August 24, 2010

Prestasi Ramadan Week 2

Alhamdulilah, ALLAH telah mengizinkan kita untuk terus menikmati kehebatan Ramadan. Ianya lebih dirasai oleh insan-insan yang benar-benar mencari kasih sayang ALLAH. Mereka terus istiqamah dengan tarawikh dan qiam.

Bagaimana pula dengan kita? Bagaimana prestasi Ramadan selepas 14 hari kita melaluinya? Rata-rata, ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan prestasi akibat kesibukan tugas dan usaha melawan nafsu. Ianya adalah satu penilaian yang jujur namun tidak cukup jika tiada pelan tindakan mencari kehebatan Ramadan yang hanya tinggal separuh sahaja lagi.

Kini, sudah ramai mula kecundang. Sebagaimana trend terdahulu, Fasa kedua Ramadan iaitu mendamba maghfirah ALLAH tidak diberi perhatian. Saf-saf tarawikh mula susut. Letupan mercun sudah mula kedengaran ketika sebahagian hamba-hamba ALLAH sedang sujud menunaikan Tarawikh. Kehadiran bazaar Ramadan pula sentiasa konsisten, tidak pula kelihatan susutnya. Kaum ibu pula mula sibuk mengajak suami shopping raya, membuat kueh raya dan pelbagai keperluan raya. Ianya adalah satu keperluan untuk menyambut lebaran. Lebih teruk, kita mungkin sedang menghitung dan menghimpun hutang kerana persediaan lebaran.

Inilah dia, hidup dan diri kita. Kita tidak mampu istiqamah dengan usaha mencari ilmu dan tarbiah Ramadan. Bagaimana kita mampu membebaskan Al-Aqsa jika kita berterusan saban tahun begini?

Blog ini menasihati diri penulis sendiri untuk segera memperkukuhkan hubungan dengan ALLAH dan memohon keampunanNYA atas setiap butir kesilapan hidup kerana sasaran kita adalah memasuki SYURGANYA yang luas itu. Firman ALLAH

“Bersegeralah kamu mencari keampunan ALLAH dan SYURGANYA yang luas antara langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”
Ali-Imran : 133

Moga ALLAH menerima proses Fasa kedua ini bagi bekalan kita seterusnya untuk melalui fasa ketiga Ramadan. Tips berikut boleh membantu:-

1. Rasululah s.a.w. berpesan supaya kita mengambil wuduk sebaik mungkin dan menunaikan solat taubat 2 rakaat. Kemudian muhasabah diri mengenangkan dosa dan kesilapan terdahulu.
2. Menghadiri majlis ilmu di surau/masjid
3. Menghadiri program Qiyamulail di Masjid-masjid.

Kita perlu sama-sama berusaha mencari maghfirah ALLAH kerana ianya tidak datang dengan percuma. Hendak BERJAYA perlu BERUSAHA.

Wallah'alam.

Sunday, August 15, 2010

Prestasi Ramadan Week 1

Bagaimana prestasi Ramadan Minggu 1 anda? Saya berdoa agar kita memperolehi maghfirah dan mampu melengkapkan diri kita di bulan Ramadan yang sangat mulia ini.

ALLAH mengasihi kita maka ALLAH menghadiahkan kita Ramadan untuk mendidik diri dan hati agar menghargai pemberiannya dan membuang sifat kedekut. Jika kita berjaya melalui Ramadan dengan iman, maka ALLAH menjanjikan keampunan dan syurgaNya. Namun, kita pula kedekut dalam banyak keadaan:-

1. Kedekut dengan ALLAH
Kita kedekut dengan ALLAH sedangkan bulan Ramadan ini ALLAH membuka pintu syurga, pintu rahmat dan pintu taubat untuk kita. ALLAH tidak pernah kedekut dengan kita! ALLAH hendak memberi kita BONUS HEBAT dengan memerintahkan kita melaksanakan amalan-amalan khusus Ramadan. Program qiyamulail yang dianjurkan oleh Masjid/Surau masih belum menampakkan sukses. Ya! Kita kedekut untuk berdamping dengan ALLAH walaupun wadah telah disediakan oleh pengurusan masjid/surau (siap sahur lagi..).

2. Kedekut masa
Tanpa disedari, kita juga kedekut masa. Masa 24 jam sehari tidak cukup buat kita. Kita masih kedekut masa untuk mengkaji ayat-ayat ALLAH tetapi tidak kedekut masa untuk shopping, menonton tv atau bersesak di bazar Ramadan. Masa kita dengan akhbar atau internet mungkin lebih dari masa kita berikan untuk menghayati ayat-ayat ALLAH.

3. Kedekut wang
Berapa persen dari wang gaji kita ketepikan untuk bersedekah di bulan Ramadan?

Penghujung Syaaban kelmarin, saya menemui beberapa rakan untuk mengajak mereka menaja berbuka puasa Masjid kos RM400 satu bahagian. Kebanyakkan mengeluh mengapa kos menaja berbuka puasa sampai RM400 satu bahagian. Sebenarnya, saya juga terkejut dengan kos yang tinggi ini. Hakikatnya, bila sebutharga diperolehi, ke semua penender memberi angka yang hampir sama. Dengan lain perkataan, kos RM800 sehari adalah berpatutan dengan peningkatan kos sara hidup/kenaikan harga barang di Bandar-bandar besar seperti di Shah Alam.

Saya nyatakan, Masjid estimate kos berbuka puasa sahaja (untuk 200 orang) sekitar RM800 sehari. Penerangan sebegini belum cukup membuka hati sesetengah orang kita untuk sponsor iftar. Alasanya- duit nak pakai untuk raya. Ya, saya faham.


Photo: Kenangan Iftar Ramadan di Masjidil haram 1430H/2009

Di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, masyarakat Arab berebut-rebut memberi makan kepada jamaah. Bukan itu sahaja, mereka juga berebut jamaah supaya duduk di tempat yang mereka telah sediakan. Siap lobi melobi. Mereka yakin dengan janji ALLAH bahawa BONUS akhirat menanti mereka. BONUS ini hanya akan dicapai oleh insan yang sanggup melakukan sedikit pengorbanan.

4. Kedekut ukhuwah
Budaya menghantar makanan ke rumah jiran hampir pupus khususnya di Bandar-bandar. Zaman saya kecil-kecil dahulu, arwah nenek dan mak akan mengarahkan saya menghantar makanan/masakan kepada jiran tetangga. Rasa seronok dan meriah. Ramadan membuka pintu ukhuwah. Ya, Ramadan is the month of feeling for one another. Namun hidup dipersekitaran elit, ianya tidak begitu. Masing-masing sangat sibuk.

Blog ini memuhasabah diri penulis sendiri dan menyarankan:-

1. Semak kembali prestasi Ramadan kita sejak 5 hari lepas. Masa masih ada untuk kita terus membaiki prestasi supaya BONUS Ramadan dapat kita kumpul untuk kita redeem di Akhirat nanti.

2. Qur’an untuk dibaca, dihayati dan di amal.

3. Semak balik dompet. Jika masih okay, salurkan ke program-program amal.

4. Jika anda tinggal di bandar, bina kembali suasana kampung dengan meraikan ‘the month of feeling for one another’.

InsyaALLAH bersambung...

Wednesday, August 11, 2010

Salam Ramadan Al-Mubarak

Assalamualaikum,
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menjalani Kehebatan Ramadan.

Moga kita lebih HEBAT dari sebelumnya,
bukan sekadar menahan lapar dan dahaga
bahkan mengisi hari dengan istighfar memohon keampunan ALLAH,
Bertasbih mengagungkan ALLAH,
Fokus menghayati ayat-ayat ALLAH,
Mencairkan poket untuk bersedekah,
Melemparkan kapet meniti jalan ke Rumah ALLAH,
Menangis ketika merendahkan diri semasa sujud mengagungkan Al-Malik.

Berazamlah:-
1. Solat Subuh berjamaah di Masjid
2. Solat Dhuha setiap hari sebelum memulakan tugas
3. Membaca butiran madah Qur'an yang indah untuk meruntun hati di setiap kesempatan
4. Qiyamulail setiap malam sebelum sahur.
5. Perbaiki Akhlaq agar Islam terus subur kerana Rasululah s.a.w dan Madinah telah merintis mendidik generasi Qur'an dengan kehebatan Akhlaq.

InsyaALLAH, jika masa mengizinkan saya akan berkongsi tazkirah Ramadan di blog ini.

Wednesday, August 4, 2010

Kita Memang Begitu....

Nota: Kita sedang dalam perjalanan menuju destinasi abadi. Kita mudah tergelincir, kerana kita memang begitu....

Syaaban bakal melabuhkan tirai. Ianya tidak akan hadir lagi melainkan ALLAH yang maha penyayang dan pemurah mengizinkan kita bernafas lagi. Kita juga mungkin alpa untuk berdoa supaya ALLAH melanjutkan usia dan mengizinkan diri untuk bertemu Ramadan tahun ini serta Rejab/Syaaban tahun hadapan.

Bila saya bertanya kepada beberapa insan mengenai doa (random sampling), 85% menumpukan doa untuk menjadi kaya dunia dan mengakhiri doa dengan permohonan kejayaan dunia dan akhirat. Hakikatnya, kita akan masih begitu jika doa kita berterusan tanpa ada doa khusus. Rupa-rupanya terlalu banyak yang kita mahu minta dari Rabbul Jalil. Malu rasanya untuk memohon terlalu banyak perkara duniawi di dalam keadaan amalan kita pula tidaklah sehebat mana.

Yang nyata, Kita adalah golongan yang tidak tahu malu. Kita menumpang di bumi Tuhan tetapi mahu mendapat layanan bertaraf istana. Kita melanggar undang-undang Tuhan dan kadang-kadang menafikan perintah Tuhan namun masih menyimpan hasrat bertimbun dengan dorongan nafsu duniawi.

Kita tergapai-gapai mencari ALLAH ketika susah, dan sedikit lupa bila kita sedikit senang. Itulah ciri kita sebagai manusia. Kita tersangat sibuk dengan hal ehwal duniawi dan lalai menghitung masa yang mengengsot pergi. Kita tidak merintih kerana hati dan jiwa kita membatu.

Di saat Ramadan bakal tiba, Jualan Mega Aidil Fitri sudah mula dicanang. Kita akan masih begitu…, bakal kecundang dengan shopping Raya. Hutang duniawi pula akan mula bertambah kerana nafsu perhiasan Raya dan hutang dengan ALLAH juga mungkin bertambah kerana kita tidak mampu memaksimumkan peluang Ramadan.

Syaaban bakal melangkah pergi dan meninggalkan kita. Maka perbanyakkan istighfar akan mendamaikan jiwa. Istighfar juga menjemput rezeki memasuki laman hati dan dompet kita.
Di dalam satu kisah diceritakan bahawa Rasululah s.a.w pernah menjemput para sahabat menghampiri beliau, lantas Baginda bersabda bermaksud: "Hampiri mimbar!" Lalu kami semua menurutinya. Ketika Baginda melangkah ke tangga pertama, Baginda mengatakan, “Amin.” Apabila melangkah tangga kedua, Baginda mengatakan, “Amin.” Begitulah apabila melangkah tangga ketiga. Lalu kami bertanyakan maksud perbuatannya itu, Baginda menjawab: “Aku didatangi Jibrail mengatakan kepadaku: “Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan.” Aku pun menyahut dengan berkata, “Amin.” Di tangga kedua Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu,” aku pun menyahut, “Amin.” Di tangga ketiga Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang uzur atau seorang daripada mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga.” Aku pun mengatakan, “Amin.”

Di penghujung Syaaban ini (hujung minggu ini), blog ini menyarankan akan kita sama-sama menziarahi kedua orang tua (jika masih ada) atau menziarahi perkuburan mereka sebagai tanda ingatan dan sayang kita kepada mereka. Sedekahkan Al-Fatihah, bacakan Qur’an dan buatlah tahlil (atau join program tahlil di Masjid/surau) dan sedekahkan amal kebaikan untuk mereka.

Ya, kita masih begitu kerana kita mudah lalai dan alpa...