Followers- Jalinan Ukhuwah

Sunday, November 30, 2008

Miskin Akhlaq

Pengunjung blog yang saya kasihi,

Kelmarin saya menghadiri satu majlis khas yang boleh dikatakan 100% di hadiri oleh Melayu Islam. Seringkali bila jemputan sebegini saya terima, saya akan merasa kurang selesa khususnya hendak berhadapan dengan kerenah ’orang kita’.

Sebagaimana biasa, saya akan tiba awal, seawal mungkin sebelum majlis bermula. Saya mencari tempat letak kereta yang mudah untuk saya keluar kemudian. Alhamdulilah, saya diizinkan Allah meletakkan kereta di tempat yang baik dan sememangnya mudah untuk saya keluar. Di dalam hati berbicara kemungkinan adalah ’orang kita’ yang akan datang lewat dan blok kereta saya. Saya sudah banyak kali diperlakukan sebegini oleh ’orang kita’.

Selepas majlis selesai kira-kira jam 12 tgh, saya terus bergerak meninggalkan dewan utama dan sebagaimana yang saya jangka ’orang kita’ akan blok kereta saya. MasyaAllah, hati siapa yang tidak terguris dengan sikap buruk ’orang kita’ ini! Saya terpaksa menunggu lebih 10 minit, namun kelibat tuan punya kenderaan mewah MPV ini tidak kelihatan. Kenapalah sikap buruk ini dijadikan amalan hidup? (1) menghalang kereta orang lain, (2) Tidak berusaha keluar awal supaya halangan tersebut tidak menganggu dan (3) Tidak rasa bersalah ke jika datang lewat dan blok kereta orang lain? Akhirnya, dengan bantuan orang Melayu Islam lain, saya terpaksa berusaha juga mengeluarkan kereta. Amat sukar melakukannya.

Dr Abdullah Al-Qarni menyebut, terlalu ramai muslim yang MISKIN AKHLAQ. Mereka tidak memikirkan bahawa perbuatan baik laksana minyak wangi yang bukan sahaja mengharumkan si pemakai tetapi turut mendatangkan manfaat kepada insan lain dan persekitarannya.

Kepada pengunjung setia blog ini,
InsyaAllah sama-samalah kita tunjukkan kekayaan akhlaq yang telah diwariskan oleh Rasul s a w dan para sahabat. Dengan kemurnian akhlaq, Islam berkembang dan dengan keluhuran akhlaq, ramai bukan Islam mencintai Islam. Jika perkara remeh parking keretapun ’orang kita’ tidak mampu fikir secara kemurniaan akhlaq, bagaimana mungkin kita mengembalikan khilafah?

Jika satu hari nanti anda bakal menjadi pemimpin masyarakat, ahli politik yang berpengaruh, atau seorang CEO atau seorang Pengarah jabatan kerajaan, nasihatkan petugas/pemandu anda supaya tidak menyakiti hati pemandu-pemandu lain. Atau anda sendiri berusaha datang awal supaya ada ruang untuk meletak kenderaan.

Muhasabah untuk diri saya, Hormatilah insan lain sebagaimana kita mahu diri kita dihormati.

Thursday, November 27, 2008

Selamat Berangkat

Salam,
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan "Selamat Menunaikan Haji, moga perolehi Haji mabrur" kepada rakan-rakan dan pengunjung blog ini khususnya kepada Tuan Syed Ibrahim, Abg Asnyat. Puan CEO Noraini, Inamohamed, Saiful, Shamsul, Hisyam, Siti Zaleha dll yang bakal berangkat dengan KT-KT terakhir.

InsyaAllah penerbangan haji sudah hampir tiba ke penghujung. Penerbangan akhir ini akan membawa jamaah terus ke Mekah. Jamaah lelaki akan mengenakan dua helai kain ihram dan jamaah wanita dengan pakaian putih mereka.

Menurut rakan-rakan saya yang kini sudah berada di Mekah, jamaah sudahpun sesak. Wukuf lebih kurang seminggu dari sekarang. Kepada yang pertama kali pergi ke Mekah, buatlah persediaan mental bagi berhadapan dengan jutaan insan yang sedang memburu redha Allah.

InsyaAllah, Allah akan memberi anda ilmu yang terbaik ketika di sana. Ilmu dan pengalaman anda adalah unik buat anda meniti perjalanan hidup seterusnya.

Wednesday, November 26, 2008

Hebahan Umum Slot Diskusi Radio Ikim 27 Nov 2008

Assalamualaikum,
InsyaAllah dengan kasih sayang Allah, slot diskusi ini akan ke udara esok Khamis jam 9-10 malam.

ridz

Monday, November 24, 2008

Tips Haji #12 Jom Rebut Saf

Perkara yang ingin saya kongsikan adalah perkara yang amat mudah untuk dilaksanakan. Cuma kadang-kadang kita agak alpa untuk menguasainya.

Hujung minggu lepas saya membawa dua anak perempuan kecil saya, Wardah Syaurah dan Wardah Sofiya sholat Isya’ di Masjid Negeri Shah Alam. Kedua-duanya melompat kegembiraan bila sebut jom sholat di Masjid Negeri. Tidak tahu pula saya apa yang seronoknya sholat di Masjid Negeri bagi kanak-kanak. Mungkin mereka memerlukan persekitaran baru, luas dan beraircond.

Sofiya yang baru darjah satu itu bertanya ”Ayah, kenapa ada orang perempuan sembahyang tidak penuhkan saf depan?” ”Ada makcik tu pula sembahyang jauh di belakang berkumpul bersama anak-anaknya, boleh ke ayah?” Saya tersenyum dan mula berbisik di hati ”Elok juga bawa anak-anak kecil ke Masjid glamour ini, mereka boleh belajar dari persekitaran dan proses ini.”

Bila sebut bab Saf sholat, maka saya terbayang nikmatnya sholat depan kaabah. Saya ada berkongsi bagaimana hendak susun strategi tektikal sholat depan kaabah di dalam buku Haji Muda.

Secara ringkasnya, amalan dan sikap kita sholat di Malaysia akan mempengaruhi cara kita bertindak untuk sholat ketika di Mekah dan Madinah nanti. Empat sikap yang kita sedia maklum sudah sebati dalam diri kita:
i. Tiada ’sense of urgency’ untuk ke Masjid/surau.
ii. Tidak mahu berebut saf pertama sholat
iii. Tidak merapat diri bagi menyusun saf sholat
iv. Bersahaja ketika bilal melakukan iqamah.

Di kesempatan ini, saya ingin berbicara mengenai 2 dari 4 perkara di atas.

1. Pertanyaan Sofiya memberi gambaran tabiat orang perempuan Malaysia juga rupa-rupanya sama dengan orang lelaki. Kita kurang berusaha untuk berebut saf di hadapan sekali. Banyak kali saya perhatikan jika ada satu ruang kosong, jamaah lelaki kita lebih suka menyuruh orang lain ke hadapan memenuhkan saf. Kadang-kadang berlaku ‘ tolak-menolak’ kerana sama-sama tidak mahu mengambil peluang pahala saf pertama ini. Sikap merendah diri yang diamalkan ketika peluang ini muncul perlu di tolak tepi. Kita tidak seharusnya berasa berpuas hati berada di saf kedua atau di saf belakang (muhasabah ini untuk diri penulis juga).

Haji Muda membawa misi agar kita memperbaiki sikap dan amalan kita (termasuk diri penulis). Jika kita sudah melakukan perubahan ini, Alhamdulilah. Jika belum, ayuh berazam dengan penuh kesungguhan untuk sembahyang di saf hadapan setiap kali sholat. Ayuh Jom segera berebut ke hadapan kerana suasana ini bakal anda tempuhi bila di Tanah Suci nanti. Semangat Jom segera ke hadapan akan juga mampu membawa refleksi positif untuk ke hadapan dalam setiap apa yang bakal kita usahakan. Sholat perlu diterjemahkan ke dalam kehidupan harian kita.

2. Mengapa perlu sholat di bahagian belakang terpisah dengan saf utama? Mengapa tidak rapatkan saf?

Setiap kali sholat jumaat, anak-anak muda kita akan bersholat di belakang. Bila soalan ini ditanya, alasannya ialah untuk mudah keluar, mengantuk dsbnya. Juga, tidak perlulah kita berkumpul satu keluarga bila melakukan sholat. Sebaiknya, kita penuhkan barisan hadapan dan cuba rapatkan saf. Juga kita hendaklah berlapang dada bila menerima teguran dan bersedia menerima nasihat untuk kebaikan. Bila kita mampu membaiki diri dan amalan kita, nescaya kita akan mendapat sholat yang terbaik di Tanah Suci nanti.

Kepada bakal tetamu Allah, ambillah kesempatan untuk ‘berebut saf’ hadapan bila berada di Tanah Suci nanti.

Mutiara Bicara:
Kita seharusnya membantu diri kita untuk merebut peluang di saf pertama setiap kali sholat jamaah di masjid. Seterusnya, kita bersama-sama berganding bahu dengan jamaah lain untuk merapatkan saf. Dengan latihan berterusan begini, insyaAllah kita akan mampu berhadapan dengan suasana sholat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Sunday, November 23, 2008

Hebahan Umum Prof Kamil

Kepada tuan/puan yang menetap di sekitar Shah Alam,

InsyaAllah Prof Kamil (Travelog Haji/Dakwah) akan memberi ceramah spt berikut:

Tarikh : 23 Nov 2008 AHAD
Masa : Selepas sholat Maghrib
Tempat : Surau An-najahiyah Jalan Batas 19/6 Seksyen 19 Shah Alam

Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan terima kasih dengan ulasan Prof Kamil ke atas usaha misi 'Haji Muda' di Radio IKIM tempohari.

ridz

Saturday, November 22, 2008

Kisah Dakwah #1

Pengunjung setia blog meniti renjisan kedamaian,

Menyampaikan risalah Islam adalah tangungjawab kita sebagai seorang muslim. Di mana sahaja kita berada, tanggungjawab besar ini tidak boleh dipisahkan kerana kita telah membuat komitmen ini di hadapan Rabul Jalil dengan penyaksian cuma Allah adalah ‘Rabb’ diikuti dengan pegangan shahadah.

Satu ketika, saya berbicara dengan teman lama saya Tn Hj IN. Semasa sembang-sembang kualiti itu, beliau berkongsi kisah Pendakwah yang ramai sering merasa kurang selesa. Pendakwah-pendakwah ini sering mengunjungi rumah ke rumah ketika penghuni rumah baru pulang kerja atau baru ingin berehat selepas pulang dari pejabat atau membuat lawatan sebelah malam yang menganggu tuan rumah. Rakan saya ini bercerita bahawa biasanya beliau tidak akan melayan mereka.

Anda tahu apa yang berlaku?

Allah ingin mendidik kita supaya menjadi insan yang konsisten melakukan perubahan ke arah kebaikan. Setiap perjalanan kita, ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan kepada kita.

Apabila sikap rakan saya ini yang memandang sepi usaha insan lain melakukan dakwah, maka ditakdirkan satu hari ada seorang sami hindu menekan loceng rumah ’untuk berdakwah’ kepada teman saya ini. Tn Hj IN berkongsi bahawa berlaku kejutan dalam diri beliau pada petang itu. Tidak menyangka bahawa jika kita tidak berusaha untuk berdakwah atau menyokong usaha orang lain untuk program dakwah, maka ada pula orang lain yang akan ’berdakwah’ dengan kita. Saya teringat ustaz saya (kini seorang professor Laghatul-qur’an) pernah menyebut 18 tahun dahulu mengenai kerja dakwah ini. Beliau menekankan, ”kita hendaklah melakukan apa sahaja kerja dakwah mengikut kemampuan kita. Jika kita hanya mampu buat kerja kecil menampal setem, maka bersungguh-sungguhlah menampal setem. Sebab itu sahaja yang kita mampu. Usahlah kita memperlekehkan usaha teman-teman pendakwah yang lain.”

Mutiara Bicara:
Allah memberi kita berbagai medan untuk melaksanakan aktiviti mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran. Jika kita tidak melakukannya, orang lain pula akan ’berdakwah’ kepada kita. Pensyarah dan guru mempunyai medan unik dengan pelajar-pelajarnya, Pengurus dengan medan korporatnya, ahli politik dengan medan politiknya dan pegawai kerajaan dengan skop tersendiri. Lakukanlah aktiviti ini kerana ianya adalah tanggungjawab kita dan akan di tanya di medan sebenar Hari Mahsyar.

ridz

Thursday, November 20, 2008

Diskusi di Radio IKIM

Assalamualaikum,
Saya dimaklumkan pada malam tadi bahawa diskusi dan perkongsian yang telah saya emailkan petang semalam (seperti di bawah), akan ke udara pada Khamis minggu depan 27 Nov jam 9 malam di dalam rancangan Duniaku Buku.

Saya mohon maaf kepada rakan-rakan, saudara-mara tidak lupa kepada cikgu Zainab.

InsyaAllah saya akan update blog ini mengenai slot tersebut pada minggu depan.

ridz 21 nov 9am

*******************************************
Email terdahulu 20 Nov 6.45ptg

Pengunjung blog yang saya kasihi,

Alhamdulilah tengahari tadi saya di jemput untuk mengisi slot diskusi ilmiah Duniaku Buku Radio IKIM. Perbincangan ilmiah secara santai ini yang diuruskan oleh Ustaz Zamri amat bermakna kerana perbincangan berkisar bab Haji yang memfokuskan kepada generasi muda.

Mengikut ustaz Zamri, beliau akan usahakan untuk menyiarkan diskusi ini pada malam ini jam 9 malam (moga usaha dan pengorbanan ustaz Zamri diizinkan Allah). Nota: Saya tidak berani untuk memberi jaminan slot ini akan ke udara malam ini, namun saya yakin Ustaz Zamri akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk perkongsian ini. Maafkan saya jika rancangan ini tidak dapat ke udara atas faktor-faktor di luar kawalan saya.

Akhir sekali, terima kasih kepada ustaz Zamri & Radio IKIM kerana mengundang saya untuk satu perkongsian. Juga Selamat Berangkat ke Tanah Suci kepada ustaz Zamri moga memperolehi Haji mabrur.

"Ya Allah ampunilah dosa hambamu yang lemah ini.."

ridz

Wednesday, November 19, 2008

Airmata keinsafan bukanlah sebuah lakonan.....

Pengunjung meniti renjisan kedamaian yang dimuliakan,

Saya ingin melahirkan rasa syukur jika buku Haji Muda mampu memberi serta memperkukuhkan “seru haji” kepada pembaca untuk segera mengerjakan Haji. Setakat ini tidak kurang dari 7 orang memberi maklumbalas ini kepada saya. Hati tersentuh bila ada yang berkongsi “Selepas membaca buku Haji muda dalam tempoh seminggu, kami terus pergi ke pejabat Tabung Haji untuk mendaftar Haji”.

“Ya Allah, aku sujud dengan kebesaran dan kehebatan asmaul husnaMu yang mengizinkan hati-hati diketuk untuk membuka titian kejernihan haji dalam jiwa rakan-rakanku”.

Di bawah ini saya coretkan dua perkongsian yang dihantar melalui email kepada saya (maaf tidak dapat saya catatkan semua komen. Kedua-dua nukilan di bawah telah saya pohon keizinan penulis email tersebut. Kepada penghantar email lain, insyaAllah saya akan masukkan dalam blog ini dari masa ke semasa).

*****************************************
Coretan Pertama:

En. Ridzwan

Membaca buku Haji Muda seolah-olah membaca suara hati saya. Apa yg diutarakan terutamanya bab satu seolah menghuraikan perasaan saya. Memang tidak dinafikan air mata mengiringi di setiap sudut tulisan yang mempersoalkan kita sebagai hambaNYA.

Alhamdulliah saya berkesempatan menunaikan haji pada tahun 2003 sebelum mencapai umur 40 tahun. Setiap gambaran/peristiwa yg disampaikan baik dlm Haji Muda dan Travelog haji jelas terbayang difikiran saya. Seandainya saya telah membaca buku En. Ridzwan dan Prof sudah tentu haji saya lebih bermakna lagi. Saya bermohon agar saya dipilih menjadi tetamuNya lagi. Amin....

Saya mengucapkan sekalung Tahniah di atas keluaran buku sulung ini. Semoga Allah memberkati dan melimpahkan kesihatan, masa dan idea untuk menulis dan mengeluarkan lebih banyak lagi buku-buku yang boleh memberi kesedaran kepada pembacanya.

Terima kasih.

Salam ESQ 165

Norhayati Ishak
Cyberjaya

*******************************************************
Coretan Kedua

Assalaamualaikum Hj Ridzwan,
Alhamdulillah saya baru habis baca buku Haji Muda karangan Tn Hj.

Syabas dan tahniah diucapkan kerana buku tersebut benar2 menyentuh perasaan saya dan memberi kesan yang mendalam dalam jiwa dan tingkah laku saya. Catitan pengalaman & tip2 Hj begitu praktikal dan terkadang air mata tiba2 mengalir membaca ketika coretan Tn Hj semasa mula sampai di Mekah dan mula2 memandang Kaadah. Sungguh menyentuh perasaan saya. Teori RIDZ juga praktikal.

Saya belum diizinkan oleh Allah utk ke sana lagi. Dah daftar dan kalau ikut TH, tahun 2021, Lama lagi. Skrg, umur dah 39, tunggu 12 tahun lagi perlu tunggu, umur 51 tahun baru ke sana. Itu dah kira berusia, bukan Haji Muda lagi namanya. Tapi saya berdoa moga dipermudahkan, dipercepatkan dan diberi kesihatan & umur yg diberkati utk laksanakan Rukun Islam ke 5 tersebut.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi…tak sabar nak tunggu karangan Hj untuk buku inspirasi dan motivasi diri berbentuk islam seterusnya.

AA
Shah Alam
(nama dirahsiakan atas permintaan penulis email)
*****************************************************************


Moga buku Haji Muda dapat terus memberi manfaat kepada semua pembaca tanpa mengira usia. Kepada ibu-ibu dan ayah-ayah, hadiahkanlah buku ini kepada anak-anak muda anda dengan harapan agar falsafah haji mampu membina generasi gemilang.

Airmata keinsafan bukanlah sebuah lakonan.....

ridz

Monday, November 17, 2008

Hebahan Umum



Alhamdulilah, Yusuf Estes akan berada di Malaysia.
Sila war-warkan kepada kawan-kawan mengenai program ini.

Sila jemput rakan-rakan bukan Islam untuk mendengar syarahan beliau.

Biasiswa Post-Grad

Pembaca budiman,
Alhamdulilah kelmarin saya dijemput untuk menjadi ahli panel temuduga untuk calon PHD dan Sarjana bagi sebuah Yayasan milik GLC. Kegembiraan tersemat di hati dengan jemputan dan pengiktirafan sebegini. Inilah satu lagi ruang untuk saya membantu membina generasi muda.

Rata-rata calon yang hadir memiliki CGPA yang cemerlang. Yayasan ini juga menetapkan CGPA minimum 3.6 untuk pengajian Masters dengan pengalaman kerja 5 tahun. Persaingan untuk merebut 3 tempat untuk tajaan universiti ternama di luar negara ini agak sengit jika diukur dari sudut akademik. Cuma 3 calon sahaja yang akan dipilih dari senarai seramai 18 orang yang telah menetapi kriteria.

Penilaian untuk mendapat biasiswa ini bukan berdasarkan kepada academic excellence semata-mata. Kebanyakkan calon silap perhitungan. Bagi saya, sudah tentu panel akan melihat dari sudut kepimpinan, emosi dan spiritual. Ada calon yang memberi isyarat badan seolah-olah mereka kecewa kerana gagal menjawab soalan teknikal dan ketidak mampuan mengolah kedudukan ekonomi dunia dan ekonomi Malaysia. Ada juga calon yang suka sangat ketawa di sepanjang sessi temuduga, ada juga yang ’kaki goreng’, ada juga yang cuba mengajar penemuduga dan ada juga yang tidak pandai mengambil hati penemuduga. Bagi calon PHD pula kebanyakkannya tidak bersedia bahkan gagal memahami apa itu ’research methodology’.

Sekiranya anda atau anak-anak anda bakal melalui proses permohonan biasiswa, tips berikut boleh membantu.

1. Ucapkan assalamualaikum dan hulurkan tangan untuk bersalam dengan ahli panel.
2. Senyum
3. Perkenalkan diri, latar belakang keluarga dan tahap akademik
4. ’Market’ diri sebaik mungkin dengan berhati-hati.
5. Jujur dan berterus terang. Bila di tanya soalan ’research methodology’, tidak perlulah goreng penemuduga seolah-olah penemuduga tidak tahu. Jika tidak pasti, katakan ”saya belum menguasai ilmu ini tuan”.

6. Buat homework dan tunjukkan minat dan kesungguhan kenapa saya layak mendapat biasiswa ini. Ada calon masters yang datang tidak bersedia, contohnya bila penemuduga bertanya ”Apakah pilihan universiti anda?” atau ”Berapa skor IELTS, GMAT / TOEFL yang anda sudah perolehi?” . Elakkan bertanya kembali kepada penemuduga seperti ”Oh... kena cari universiti dulu ke?” atau ”Kena ambil TOELF ke?” Atau ”apa itu IELTS/GMAT?”

7. Bagi calon PHD, hadirlah dengan persiapan ’research proposal’ anda. Tidak perlulah penemuduga tercari-cari apa sebenarnya yang anda ingin lakukan. Juga tunjukkan keseriusan anda dengan menerangkan ’literature review’ yang anda telah menelaahnya.

8. Elakkan meletakkan kepentingan diri dari kepentingan masyarakat atau organisasi/majikan. Jangan jadikan biasiswa sebagai batu loncatan untuk kepentingan diri. Contohnya: “Selepas tamat PHD, saya hendak jadi pensyarah di Universiti”. Penemuduga tidak berminat dengan jawapan sebegini. Mungkin untuk jawatan pensyarah universiti, jawapan sebegini sesuai. Penemuduga bagi maksud Yayasan GLC ini mengharapkan bakal Dr ini akan menjadi bakal pemimpin, bakal CEO atau memimpin team konsultansi. Ini adalah biasiswa Top 20 University dunia bagi membina barisan pelapis untuk menerajui korporat Malaysia.

9. Berdoa dan mohon kepada Allah. Kepandaian kita bukanlah faktor utama untuk kita memiliki biasiswa atau sesuatu perkara, kerana pemilikan abadi dan mutlak adalah kepunyaan Allah.

Kesimpulannya, terlalu banyak kelemahan yang dilakukan oleh anak-anak muda kita walaupun CGPA mereka melebihi 3.6. Jika mereka tidak menunjukkan kesungguhan dan minat, bagaimana mungkin penemuduga berminat dengan mereka? Ini adalah sessi sembang biasiswa top 20 universiti dunia, bukan sembang kopitiam.

ridz

Saturday, November 15, 2008

Tips Haji #11 Istighfar

Pengunjung blog yang saya kasihi,
Istighfar adalah sesuatu yang dituntut. Rasululah s a w menjadikan istighfar sebagai amalan setiap lepas sholat. Ibn Taimiyah pula menyebut,
"Jika aku didalam kebuntuan untuk menyelesaikan masalah, maka aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1,000 kali, nescaya Allah akan membukakan jalan".

Salah satu kunci kedamaian ialah dengan beristighfar kepada Allah. Dengan beristighfar, sesuatu yang berbentuk mudarat akan menjadi kebaikan dengan izin Allah.

Kepada tetamu Allah dan pemgunjung blog,
Perbanyakkanlah istighfar mohon keampunan Allah. Jika anda kehilangan barang seperti hilang kasut, wang atau diuji di Tanah Suci nanti, istighfar adalah jalan terbaik. Tidak perlulah anda memarahi dan memaki orang lain atas ujian ini. Allah akan tunjukkan jalan penyelesaiannya demi sifat dan nama kebaikan Ar-rahman dan Ar-rahimNya.

Terima Kasih MHI TV3

Alhamdulilah saya ingin merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada penerbit MHI kerana memberi ruang kepada saya untuk berbakti kepada masyarakat. Slot jemputan MHI telah saya penuhi pada pagi Jumaat 14 Nov 2008.

Kepada pengacara MHI khususnya sdr Fethri, Elly dan Abby, krew-krew TV3, pegawai keselamatan TV3, unit dandanan, ustaz Imran dan isteri saya yang menemani saya - terima kasih dengan sokongan dan semangat berpasukan yang anda tunjukkan.

Moga Allah memberi saya kekuatan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat dan diberi lagi peluang untuk berbicara di media.

Misi haji muda adalah misi kita bersama.

ridz

Tuesday, November 11, 2008

Bersama Saya di MHI TV3 Jumaat 14 Nov 2008

Alhamdulilah jemputan TV3 akan saya penuhi. Saya difahamkan slot membicarakan misi Haji Muda akan ke udara di antara jam 7.20 pagi - 8.00pagi di rancangan MHI TV3.

Moga Allah memberikan sesuatu yang terbaik bagi menjayakan program pentarbiyahan di pagi Jumaat 14 Nov nanti.

Kasihanilah dan ampunilah hambamu ini Ya Allah!

Tips Haji #10 Perjalanan Emosi

Assalamualaikum pengunjung setia,

Haji adalah Perjalanan Emosi.

Alhamdulilah, rakan saya Sdr Faris dan isteri akan berangkat ke Tanah Suci minggu ketiga Zulkaedah. Melangkah pada usia 33 tahun menuntut pengorbanan emosi.

Kelmarin sdr Faris menyebut
”Terima kasih tuan kerana berkongsi cabaran Haji di dalam buku Haji Muda. Hampir setiap hari saya menyemak balik buku Haji Muda kerana semakin hampir tarikh penerbangan, semakin berdebar hati saya. Seketika saya merasakan bahawa saya sudah bersedia, dan diketika lain saya merasakan bahawa banyak lagi perkara yang saya belum bersedia.”

Perkongsian Faris mengundang saya untuk melakarkan sesuatu di blog ini. Ya saya mengakui cabaran emosi yang bakal ditempoh oleh bakal tetamu Allah. Cabaran emosi bukanlah sesuatu yang buruk. Ianya sebuah perasaan yang berputik dari sifat kasih sayang. Meninggalkan anak-anak kecil untuk perjalanan Haji sememangnya menjemput mainan emosi. Perjalanan Haji bukanlah perjalanan pelancongan. Perjalanan Haji bagi jamaah Malaysia adalah perjalanan yang panjang (maksimum 44 hari).

Blog ini ingin mengusulkan tips berikut:
1. Hargailah masa dengan insan tersayang di saat ini sebelum anda melangkah ke Tanah Suci.
2. Amanahkan keluarga terdekat untuk menjaga anak-anak anda (InsyaAllah ramai ahli keluarga dan rakan-rakan akan membantu).
3. Tinggalkan wang secukupnya untuk anak-anak anda
4. Doakan keselamatan anda dan anak-anak yang anda tinggalkan.
5. Amanahkan anak sulung (jika ada beberapa anak) untuk menjaga adik-adiknya.
6. Usah runsing dengan mereka. Mereka sebenarnya gembira anda di dalam perjalanan meniti Haji mabrur. Kerunsingan ini akan sedikit sebanyak menganggu fokus ibadah di tanah suci.

7. Bawa handphone bergambar untuk komunikasi 3G di sana (kos agak tinggi).
8. Sholat berjamaah bersama-sama insan tersayang sebelum anda berangkat keluar dari rumah.
9. Tidak perlu membawa anak-anak kecil anda di TH Kelana Jaya/ Pusat Pendaftaran Haji.
10. Yakinkan diri bahawa Allah tempat saya berserah.
11. Buku Haji Muda mencadangkan anda menulis skrip doa arafah. Jika anda masih belum melakukannya, buatlah sekarang atau mungkin juga boleh berbincang dengan isteri di dalam pesawat nanti.

Kepada sdr Faris dan isteri serta bakal jamaah Haji yang lain, Selamat berangkat moga Allah permudahkan perjalanan anda di sana. Anda perlu melakukan satu pengorbanan yang besar untuk memperolehi misi Haji mabrur. Pengorbanan ikon Ibrahim a.s yang terpaksa meninggalkan insan tersayang atas perintah Allah. Kini anda pula melakukannya dari perspektif moden.

Salam.

Monday, November 10, 2008

Ceramah

Pengunjung blog yang saya hormati Assalamualaikum,

Medan dakwah dan perkongsian hadir dalam berbagai-bagai bentuk. Peluang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tidak akan saya lepaskan jika ianya hadir. Minggu sudah, satu jam saya berada di pentas SACC Mall untuk berkongsi misi Haji Muda kepada tetamu pusat membeli belah tersebut. Walaupun ramai pemerhati, saya yakin mereka berusaha memahami apa yang cuba saya kongsikan.

InsyaAllah malam ini, saya di jemput oleh sebuah Sekolah Berasrama Penuh di Kuala Lumpur untuk berceramah program Leadership pelajar-pelajar yang bijak-bijak ini. Saya gembira untuk menghadiri program ini walaupun kerongkong saya disahkan ’bengkak dan kemerahan’ oleh Dr Hazmi SMC Jumaat lepas. InsyaAllah saya akan berceramah ”Tarbiyah Haji dalam membina Remaja”. Harapan saya anak-anak muda ini akan mampu berfikir Haji dalam konteks pembinaan jati diri insan dan kepimpinan masa depan.

Ku pohon keampunan darimu Ya Allah!

Sunday, November 9, 2008

Selawat

Berselawat ke atas nabi sa w adalah sangat dituntut. Buku Haji Muda membincangkan akan betapa ruginya jamaah Haji yang alpa dengan tidak menziarahi Madinah dan masjid Nabawi semasa perjalanan haji mereka.

Cuba kita muhasabah diri kita, berapa kerap kita berselawat ke atas nabi? Kalau kita sentiasa mengamalkannya, alhamdulilah. Jika kita termasuk golongan orang yang alpa maka sudah tentu kita akan rasa kerugiannya.

Cerita berikut saya petik di dalam kitab Mukashafah Al-Qulub (Penenang Jiwa) yang di tulis oleh Imam Al-Ghazali.
***Seorang lelaki sering alpa berselawat ke atas nabi. Pada satu malam, dia bermimpi bertemu Rasululah s a w. Baginda langsung tidak menoleh ke arahnya. Kemudian lelaki itu bertanya “Wahai Rasululah, apakah engkau marah padaku?”. Rasululah menjawab “Tidak”. Lelaki itu bertanya lagi “Mengapa engkau tidak menoleh dan memandang kepadaku?” Jawab Rasululah “Kerana aku tidak mengenalimu”. Lalu lelaki itu menambah “Bagaimana engkau tidak mengenaliku, bukankah aku ini umatmu?” rasululah menjawab “Aku tidak mengenalimu kerana engkau tidak mahu mengingatiku dengan membaca selawat. Padahal aku kenal pada umatku itu bergantung kepada bacaan selawat mereka kepadaku”.
Kemudian lelaki itu terbangun dari mimpinya. Lalu dia mewajibkan dirinya dengan membaca selawat 100 kali sehari. Maka beberapa hari kemudian pemuda tadi bermimpi bertemu dengan Rasululah. Rasululah berkata, “Sekarang aku kenal engkau dan aku syafaati engkau”. ****

Mutiara Bicara
Kita amat memerlukan kasih sayang Rasululah s a w di hari pertemuan seluruh manusia di Padang Mahsyar nanti. Justeru sama-samalah kita perbanyakkan selawat ke atas baginda. Ungkapan ini juga dibuat oleh Khatib setiap kali di akhir khutbah jumaat.

***ridz

Thursday, November 6, 2008

Belajar Senyum untuk Majalah

Assalamualaikum pelawat blog meniti renjisan kedamaian,

Kita sering dengar perkataan "Senyum adalah sadaqah". Semua kita tahu perkara ini. Kalau seseorang tidak senyum, maka orang sekeliling akan membuat andaian bahawa kita ini sombong.

Kelmarin wartawan sebuah majalah Islam melawat saya untuk berkongsi misi haji muda. Peringkat awal saya agak keberatan. Bila lihat di sudut positif, mengapa tidak mengambil peluang wadah dakwah yang datang dengan mudah? Dakwah sepatutnya lebih fleksibal. Manfaatkan ruang professional ini untuk membuka minda masyarakat. Ya! kenapa perlu ditolak?

Saya diajar cara senyum dan melalui proses untuk senyum. Susah juga sebenarnya untuk mengukir senyuman. Sukar untuk dibuat-buat atau pura-pura buat. Di sektor korporat, kita dilatih proses "grooming" dan cara senyum. Rupa-rupanya senyum memerlukan teknik dan latihan.

Bagi saya, senyum yang baik adalah yang lahir dari hati yang ikhlas.

InsyaAllah jika Allah izinkan perkongsian misi haji muda akan menjadi tajuk utama majalah Islam ini keluaran bulan Disember 2008. Nanti saya maklumkan nama majalah setelah penerbit maklumkan saya. Kos majalah ini cuma RM5 senaskah dan akan berada di pasaran hujung bulan Nov 2008.

Salam.

Tips Haji #9 Sayangilah Suamimu

Assalamualaikum

Pengunjung setia & bakal tetamu Allah yang saya kasihi,

Tulisan kali ini saya ingin fokus kepada kaum muslimah bakal jamaah haji. Tentu sekali anda ingin menunaikan Haji dalam keadaan ceria dan mengembirakan. Pergi berpasangan suami-isteri adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. Kerinduan kepada Allah dan Rasul akan menjadikan anda kurang memberi perhatian kepada beberapa perkara yang orang lelaki fikirkan.

Blog ini ingin berpesan, sayangilah suamimu sebagaimana kamu ingin disayangi. Jagalah keperluan suamimu seperti mana kamu menjaga keperluannya ketika di Malaysia. Teruskan amalan-amalan baik di tanahair untuk dilaksanakan di sana. Ajaklah suami berbincang apa yang perlu anda lakukan di Tanah Suci khususnya kepada jamaah yang terpisah bilik suami-isteri. Walaupun ego lelaki tinggi, mereka sebenarnya lemah dari beberapa sudut. Kombinasi kekuatan suami-isteri akan membuahkan perjalanan Haji yang mengembirakan.

Blog ini mencadangkan:

1. Rancang hasrat bershopping.
Secara umum, kita suka bershopping tidak kira lelaki mahupun wanita. Perjalanan di Tanah Suci bukanlah perjalanan untuk bershopping. Buku Haji Muda menjelaskan bagaimana cara dan waktu yang sesuai untuk bershopping (sila rujuk buku Haji Muda).

2. Jangan boros
Belilah barang yang benar-benar perlu. Jika ada wang berlebihan, buatlah aqiqah atau wakafkan Al-Quran untuk arwah mak dan ayah atau mungkin juga anda boleh perbanyakkan sedaqah. (Tips wakaf al-qur'an dinukilkan dalam blog ini -rujuk arkib bulan Jun 2008). Tidak perlulah bawa pulang karpet turki yang tiada nilainya di dalam meniti Haji Mabrur!

3. Cuci pakaian
Teruskan amalan membasuh pakaian suami. Berasingan bilik bukan alasan untuk tidak meneruskan bakti untuk suami yang tersayang. Jika anda sakit atau kepenatan, hantarkan pakaian ke kedai dobi berhampiran hotel anda. Beri suami anda kerja memikul baju ke kedai dobi, aktiviti yang boleh mengelak suami dari tidur atau bersembang kosong.

4. Breakfast bersama
Jamaah muasasah tidak disediakan minum pagi dan minum petang. Justeru, rancang breakfast bersama-sama dengan suami. Anda boleh minum bersama di restoran atau minum di ruang makan di tempat penginapan.

5. Jangan mudah merajuk
Sikap merajuk akan membawa gelombang negatif yang dikuatiri akan menjejaskan komunikasi. Lantaran itu, kawallah sikap ini. Jika suami menolak untuk bershopping atau melakukan tawaf sunat, tidak perlulah tarik muka. Mintalah keizinan suami untuk melakukan sesuatu kebaikan. Sangka baik dengan suami.

Akhir madah, wanita banyak diberikan kemuliaan di Tanah Suci (sila rujuk arkib blog ini bab "wanita"). Maka anda akan lebih mulia jika anda mampu memuliakan suami anda. Cuba cari jalan bahawa
”kami ingin ceria meniti renjisan Haji Mabrur....”


Rehatku Cuma di alam barzakh....ridz

Monday, November 3, 2008

Perkembangan Madinah 5 Zulqaedah 1429H

LIVE FROM MADINAH 5 Zulqaedah 1429H 10am Madinah Time / 3pm Msia Time

Sekiranya diizinkan Allah, saya berusaha untuk membawa berita terkini perkembangan jamaah Haji dari Tanah Suci. Ini untuk memberi manfaat kepada pembaca blog ini khususnya kepada bakal jamaah yang akan berangkat ke Tanah Haram. Walau bagaimanapun ianya bergantung kepada komunikasi saya dengan teman-teman yang telah berangkat dengan KT1 5 hari lalu. InsyaAllah saya akan kemaskini berita terkini sehingga semua jamaah Malaysia berlepas (30 Nov 2008). Moga Allah permudahkan urusan ini.

****************************************************
Nota dari Madinah

Assalamualaikum,
Haji, maaf saya sibuk ckit masa haji hantar msj, tak dapat guna hp sepenuhnya lagi masa tu..Ini keadaan yang saya boleh kongsikan bersama Haji dan yang lain dan untuk talk yang bakal Haji buat nanti.

1. Cuaca semakin sejuk. Hujan dah mula turun kadang2 lebat, kadang renyai2 (Jemaah dinasihatkan berjaga2 dgn keadaan ini khususnya warga emas).

2. Ada jemaah yang sudah mula demam kerana perubahan cuaca.

3. Jemaah semakin bertambah dari masa ke semasa.

4. Untuk memudahkan jemaah perempuan dari Malaysia untuk memasuki Raudah adalah dicadangkan pergi pada pukul 9.30 pagi dan keatas (sehingga tamat tempoh) kerana pada waktu tersebut kesesakan sudah semakin berkurangan. Berdasarkan kepada percubaan dan praktikal dari saya sendiri..Alhamdulillah saya diberi peluang tersebut.

5. Sekarang laluan ke makam Rasulllah S.A.W telah ditutup untuk mengelak kesesakan yang sudah bertambah.


Salam Madinah Al-Munawarrah

Azahani Omar

Duta TM di Tanah Suci.

*******************************************************

Dengan perkembangan di atas, blog ini menasihatkan bakal jamaah untuk bersiap:
1. Menghadapi suasana sejuk (sediakan baju panas yang sesuai)
2. Mendapat rehat secukupnya
3. Tidak terdedah dengan cuaca panas di siang hari
4. Jamaah wanita sila rujuk pegawai TH & Ustazah TH yang sudahpun tiba di Madinah supaya renjisan kedamaian yang di cari-cari di dalam Raudah akan berhasil. Mesti ada strategi hendak masuk Raudah.
5. Banyakkan doa - "lapangkanlah Raudah untukku.."


rehatku cuma di alam barzakh - ridz

Sunday, November 2, 2008

Jangan bercita-cita menjadi terkenal

Pengunjung setia blog meniti renjisan kedamaian,

Dr Aidh Abdullah Al_Qarni menyebut:
Jangan bercita-cita menjadi terkenal kerana akibatnya adalah kesusahan, kesedihan dan kegelisahan.

Diantara perkara-perkara yang dapat mengotori jiwa, yang menggangu kedamaian dan keteguhan hati adalah bercita-cita agar dikenali dan mendapat simpati orang lain.

“….Kebahgiaan negeri akhirat itu kami berikan kepada orang-orang yang tidak menyombong diri dan tidak berbuat kerosakan (maksiat) di muka bumi …. “
Al-Qashash:83

Menjaga hati agar sentiasa jernih dan ikhlas, merupakan satu cabaran. Sukar untuk kita mengukur kejernihan hati dan keikhlasan amal. Allah sahaja yang mengetahui isi hati kita. Paska Haji seharusnya mampu membimbing kehendak ini.

Justeru kita dikehendakki berdoa supaya dilindungi dari strategi syaitan untuk meluputkan kejernihan jiwa dan keikhlasan amal.

Petikan La_Tahzan

Tips Haji #8 Pesawat Haji

Pembaca blog dan bakal tetamu Allah yang saya kasihi,

Penerbangan KL-Jeddah/Madinah mengambil masa lebih kurang 8 Jam. Ianya bukan sekadar menuntut persediaan fizikal tetapi turut menjemput pengurusan emosi dan fikiran. Bagi jamaah yang pertama kali ke Tanah Suci atau pertama kali menaiki kapal terbang, emosi di saat ini lebih mencabar. Blog ini mencadangkan agar bakal tetamu Allah mengatur minda dan program berikut:

A Pusat Pengurusan Jamaah Haji TH
1. Hadir dua jam lebih awal di Kelana Jaya/ Pusat Pengurusan Jamaah Haji di lokasi terpilih TH
2. Beratur dan berdisiplinlah di sini. Tidak perlu menunjukkan sikap tolak menolak dan memotong barisan orang lain.
3. Nasihatkan saudara-mara dan rakan-rakan supaya tidak menghantar anda ke Kelana Jaya/Pusat Pengurusan Jamaah Haji .
4. Ketika mendaftar masuk, semak paspot dan beberapa dokumen yang diberi oleh pegawai TH. Beri kerjasama kepada pegawai bertugas.
5. Bagi yang akan terus ke Mekah, Pakai kain ihram dalam Masjid TH Kelana Jaya atau selepas mengambil paspot di dalam kompleks TH. Elakkan memakai kain ihram dalam bilik air bagi menjaga kesucian dan kebersihan kain ihram.
6. Ikuti arahan pegawai TH yang bertugas .
7. Hormati warga emas dan OKU. Beri mereka keutamaan.

B) Apa perlu dilakukan dalam pesawat?

Perjalanan 8 jam adalah tempoh yang lama. Anda tiada pilihan lain melainkan perlu berada di dalam pesawat.

1. Berusahalah untuk set minda anda bahawa perjalanan ini adalah perjalanan yang mengembirakan.
2. Kenali jiran sebelah kerusi anda. Berbuallah dengan mereka.
3. Baca Quran atau berzikir – gunakan lampu kecil di atas kerusi anda untuk membaca Quran
4. Baca bahan ringan.

5. Lakukan Senaman setiap 1 jam. Lakukan pergerakkan kaki, lutut, leher dan bahu.
6. Kawal pernafasan – kuasai kawalan pernafasan dan cuba berada dalam keadaan ’releks’.
7. Minta atau tanya apa sahaja kepada krew pesawat .
8. Minum banyak air suam/ air buah
9. Jangan malu atau takut untuk ke bilik air dalam pesawat. Elakkan menahan keperluan naluri untuk ke bilik air.

10. Bantu warga emas atau OKU untuk pengurusan diri dalam pesawat.

11. Minta bahan asas penumpang pesawat seperti selimut, bantal kecil dsbnya.

12. Sholat – Ramai jamaah mengambil ringan solat dalam pesawat. Alasan yang biasa di dengar adalah tidak tahu bagaimana hendak solat dalam pesawat, bagaimana hendak ambil air sembahyang, di mana ruang solat, di mana kiblat? Bagi penulis, jamaah haji sepatutnya sudah diajar/dilatih dan juga sudah bersedia untuk solat di dalam pesawat samada solat sebagaimana biasa, secara duduk di kerusi dan sebagainya (Sila rujuk ustaz). Di sinilah antara bermulanya titian Haji Mabrur.

Moga tips ini bermanfaat.

rehatku cuma di alam barzakh.....ridz