Followers- Jalinan Ukhuwah

Tuesday, December 29, 2009

Buku:- Bila Pintu Hati Terbuka

Sejak dua-tiga minggu lepas, fikiran dan tumpuan saya fokuskan bagi memantapkan buku Bila Pintu Hati Terbuka. Dengan masa hanya 2-3 jam sehari di sebelah malam, tidak banyak dapat saya lakukan. (Nota Ridz: Maaf kepada pengunjung blog kerana blog ini tidak diupdate sebagaimana biasa).

Buku ini sekarang berada di peringkat akhir sebelum masuk ke bahagian percetakkan. InsyaAllah, proses ini akan selesai penghujung tahun 2009. Sasaran awal untuk berada di pasaran menjelang 1 muharram 1431H lalu, namun tidak kesampaian.

Menulis buku Bila Pintu Hati Terbuka mempunyai kompleksiti tersendiri. Cabaran menyiapkan dan mengedit buku ini lebih hebat dari melengkapkan buku Haji Muda. Dengan harapan mengajak manusia berubah, mencintai Allah, mecintai Rasul, menyayangi ayah-ibu dan mencintai ilmu, saya berharap misi dan matlamat buku ini ditulis akan tercapai.

InsyaAllah buku ini akan berada di pasaran penghujung Januari 2010.

InsyaAllah bila cover buku sudah siap, saya akan paparkan dalam blog ini. Saya akan maklumkan status kelahiran buku ini dari masa ke semasa.

Moga Allah mengizinkan yang terbaik buat sumbangan kecil saya kepada pembinaan ummah.

Thursday, December 24, 2009

Tahniah Afif Afnan

Alhamdulilah anak lelaki saya Afif Afnan telah berjaya mendapat 8A di dalam peperiksaan PMR yang diumumkan sebentar tadi. Tahniah dari ayah, ummi, atok, nenek, kakak dan semua adik-adik. Moga penghasilan yang sedikit ini mampu membawa penghasilan yang lebih besar selepas ini.

Menunggu slip keputusan peperiksaan sememangnya mendebarkan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada ayah-ibu pelajar. Oleh kerana kami sedang bercuti di Pulau Langkawi, suasana percutian dan releks ini sedikit mengurangkan debaran. Panggilan telefon dari cikgu Azira jam 11 pagi sememangnya dinanti. Malam tadi ketika kami berkomunikasi dengan cikgu Azira, beliau menaruh keyakinan anak lelaki saya akan memperolehi straight As.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru Sekolah Berasarama Penuh Integrasi Temerloh khususnya kepada mantan pengetua/guru cemerlang Hjh Bonda Sharifah Asma’, Cikgu Zamri, Cikgu Rizal, Cikgu Azira dan semua guru-guru SBPIT yang bekerja keras untuk mencapai sasaran. Tanpa pengorbanan dan jasa cemerlang anda, anak-anak murid anda khususnya Afif Afnan tidak akan mampu memperolehi kejayaan cemerlang pembuka jalan hidup ini.

Usaha mantan Pengetua Hjh Bonda untuk membina kekuatan ruhiah dan memantapkan akhlaq pelajar adalah usaha terbaik bagi melahirkan pelajar-pelajar SBPI yang cemerlang dan seimbang dalam semua aspek. Kejayaan akademik bukanlah faktor penting kejayaan di mata Allah, namun ianya adalah pemangkin dan pengukur kepada kejayaan untuk meneruskan kehidupan sementara ini.

Kepada pengunjung blog khususnya adik Faqeh, Bojat dan Fatin Haq; TAHNIAH kerana telah berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR 2009. Uncle tumpang gembira dengan kejayaan kalian semua. Form Four bukan honeymoon year okay...

Kepada semua pelajar-pelajar, ayah-ibu, abang-kakak dan semua guru, Tahniah dengan penghasilan yang sedikit ini yang sebenarnya mempunyai impak yang besar.

Kita sama-sama bertanggungjawab membina bakal pemimpin yang bukan sekadar cemerlang akademik malah melangkah melepasi kecemerlangan akidah, spiritual dan emosi.

Wednesday, December 23, 2009

Azam Tahun Baru

Tahun baru Hijrah sudah hampir seminggu berlalu, dan tahun baru masihi 2010 akan menjelma sedikkit masa lagi. Setiap kali tahun baru menjelma maka hampir setiap insan akan memperbaharui azam.

Dari kajian kecil (lisan) yang saya lakukan, hampir 100% rakan-rakan/saudara-mara/responden akan membuat azam baru. Ada yang mempunyai satu azam, ada yang mempunyai lebih dari satu malah ada yang sampai lapan azam untuk di capai. Yang menariknya, hampir tiada responden yang menyatakan mereka berazam untuk meningkatkan iman dan komitmen kepada Ad-deen. Kebanyakkan meletakkan matlamat duniawi dan materialistik.

Apa sahaja azam kita, saya dan anda perlu melakukan perkara ini

1. Menilai kembali Azam 2009/1430H
Nilai kembali apa yang ingin kita capai pada tahun 2009. Adakah matlamat dan sasaran sudah disempurnakan? Jika Ya, Alhamdulilah. Jika belum buatlah muhasabah diri mengapa matlamat ini tidak kesampaian, apa faktor penghalang dan adakah sumber mencukupi?

Contohnya, jika anda meletakkan matlamat untuk membeli sofa baru untuk isteri bagi mengantikan sofa usang berusia lebih 10 tahun, sudahkah anda laksanakannya? Jika belum tanya diri sendiri, mengapa belum membelinya? Jika jawapannya tidak perlu, mengapa letakkannya sebagai azam dan matlamat?


2. Diskus dengan ahli keluarga (jika sudah kahwin) mengenai matlamat 1431H/2010.

Bagi mendapat azam dan matlamat terbaik, saya anjurkan kita berdiskusi secara santai dengan ahli keluarga mengenai matlamat dan sasaran 2010. Letakkan matlamat dalam 3 bentuk:-
i) Matlamat memperkukuhkan hubungan dengan Allah (habluminallah)
ii) Matlamat hubungan sesama insan (habluminnanas)
iii) Matlamat hubungan dengan alam


3. Nyatakan tarikh sasaran
Nyatakan secara bertulis bila tarikh sasaran siap. Contohnya, jika salah satu sasaran adalah membeli sofa baru, maka nyatakan dengan jelas bila hendak beli, mungkin bulan Ogos 2010 sebelum Eid-Fitr.

4. Lakarkan draf perancangan menggunakan planner month/year.
Dengan setiap matlamat di atas, nyatakan bila jangkaan tarikh siap dan himpunkan semua matlamat dalam year-planner supaya mudah untuk keep-track kemajuan setiap matlamat.


Walau apa sekalipun matlamat kita, hubungan dengan Allah adalah lebih bermakna. Mungkin ada antara kita sudah mencapai matlamat untuk memiliki kereta mewah atau rumah besar, namun matlamat ini mungkin kurang ertinya di sisi Allah jika kita masih lalai.

Lalai dalam konteks solat sudah dinyatakan dalam AL-Qur’an. Kita lalai menjaga waktu solat, lalai ketika solat dan lalai mengambil tarbiah solat buat bekalan kehidupan selepas solat.

Justeru kita seharusnya berusaha membaiki kelalaian kita supaya hubungan kita dengan Allah melalui solat akan sentiasa cemerlang.

Moga Tahun Hijrah 1431 dan Tahun 2010 memberi kita kekuatan untuk mencapai setiap matlamat dan sasaran yang telah kita lakarkan di dalam year-planner kita. Amin.

Thursday, December 17, 2009

Salam Hijrah


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Hijrah kepada semua rakan-rakan dan pengunjung blog ini.

Hijrah adalah satu proses tarbiah di mana Allah mahu menunjukkan bahawa di dalam setiap urusan, kita perlu melakukan dua perkara:-

1. Mengharap perlindungan Allah
2. Berikhtiar, berusaha mencari solusi ke atas setiap persoalan hidup.

Empat perkara yang ditunjukkan oleh Rasululah s.a.w di dalam konteks Hijrah buat bekalan kita:-

1. Merancang setiap apa yang ingin kita usahakan
2. Sentiasa mengemaskini maklumat/ilmu
3. Menyimpan rahsia jika melibatkan isu-isu strategi perjuangan dan hanya berkongsi kepada insan-insan yang boleh kita percaya
4. Tidak menjadi kesalahan jika kita mohon bantuan non-muslim yang boleh dipercayai dalam urusan seharian.


Salam Hijrah moga kita menjadi insan yang lebih baik dari semalam.

Thursday, December 10, 2009

Peluk

Amalan cium dan peluk mungkin janggal buat kita. Kita Cuma peluk dan cium pada majlis khas seperi cium mak, ayah, suami/isteri dan anak2 di hari Ulangtahun kelahiran, hari ibu, hari Raya Eid- Fitri, Hari konvokesyen atau memeluk jamaah Haji.

Semasa saya sekolah menengah, saya memasuki pasukan kadet sekolah. Hari Pertama saya dan rakan-rakan sudah dihukum kerana buat kesilapan kecil semasa berkawat. Kesilapan berkawat berlarutan hampir sebulan. Akibatnya, saya dan rakan-rakan diminta oleh Cikgu Alias Kongo untuk berlari ke tengah padang dan memeluk serta mencium pokok. Ketika arahan diberi, hujan mula turun renyai-renyai. Hampir semua rakan-rakan segera melaksanakan arahan kecuali saya.

Saya dimarahi cikgu kerana melanggar arahan. Saya berhujah ketika itu,
”Mengapa cikgu memaksa saya memeluk dan mencium pokok yang tidak ada nilai buat saya? Jika cikgu suruh saya berlari ke rumah dan memeluk emak dan menciumnya, saya akan segera berlari pulang untuk melaksanakannya.” Akibat berhujah, saya dihukum lagi. Pada minggu ke empat, saya meletakkan jawatan dalam kadet sekolah. Pengaruh saya dan ’politik sekolah’ memberi saya keyakinan yang saya tidak akan dihukum oleh Pengetua. Pengetua yang garang pula, tidak mengatakan saya betul dan tidak pula kata saya salah. Kes dengan sendirinya berhenti di situ.

Tidak ramai antara kita yang mampu menzahirkan kasih sayang dengan peluk cium. Ketika saya bertugas di luar negara, saya melihat bagaimana intim pasangan warga emas Barat yang begitu akrab memeluk suami/isteri masing-masing. Mereka kelihatan bahagia dan menjadikan sentuhan sebagai pendamai jiwa. Bila ditanya usia mereka, mereka bangga menyebut ”I am ++ 70 years old”. Dalam usia sebegini mereka masih menghargai pasangan masing-masing. Mereka bergandingan tangan di car boot sales, di taman atau di pusat bandar. Itu adalah budaya yang mereka cipta dan laksanakan.

Berlainan pula dengan jamaah haji warga emas orang kita. Mereka kelihatan bagai kurang mesra dan tidak mampu melahirkan kasih sayang. Isteri ditinggalkan suami kerana suami tidak mahu melayan kerenah isteri. (Nota Ridz:- Maaf tidak semua begitu).

Ketika saya melanjutkan pengajian Masters di UK 10 tahun lalu, anak sulung berusia 5 tahun saya hantar ke Nursery berhampiran rumah. Satu perkara yang saya belajar, guru yang bernama Anne dan Christine akan memeluk dan mencium anak perempuan saya setiap kali datang dan setiap kali pulang.

Pengalaman ini telah membuka minda saya. Jika mereka boleh memeluk dan mencium anak saya, mengapa saya tidak melakukan perkara yang sama? Maka saya mahu berubah. Dan sejak 10 tahun lalu, setiap hari saya akan memeluk ahli keluarga sebelum saya ke tempat kerja. Saya mendisiplinkan diri saya dan ahli keluarga untuk solat berjamaah maghrib bersama dan akan memeluk ahli keluarga setiap kali selepas berdoa solat Maghrib.

Dari kajian rambang yang saya lakukan, Cuma 30% sahaja orang-orang kita yang menjadikan budaya memeluk ahli keluarga sebagai budaya hidup. Saya mengucapkan tahniah jika anda sudah melakukannya. Jika belum, tips berikut bermanfaat:-

1. Mulakannya sekarang
2. Peluk dan cium ahli keluarga dengan ikhlas
3. Doakan dan beri kata-kata perangsang kepada mereka.
4. Ajar anak-anak kecil ‘adab/protokol Melayu’. Mulakan dari anak-anak memeluk umminya, ayah, abang/kakak yang tua hingga yang akhir.
5. Suami jangan lupa memeluk isteri depan anak-anak selepas solat supaya menjadi contoh positif kepada anak-anak.
6. Jika suami tidak melakukannya atau terlupa, ingatkannya
6. Jika anda seorang anak, peluklah ayah/ibu lepas solat atau setiap kali menziarahi beliau.

Saya menyakini satu perkara. Jika kita boleh mengujudkan budaya ini, maka kita mampu membawa budaya yang baik di Tanah Suci. InsyaAllah tidak akan timbul keadaan suami menengking isteri, suami-isteri membuat hal masing-masing atau suami tinggi ego di Tanah Suci.

Moga Allah memberi kita akhlaq terbaik sebagai model kepada masyarakat. Amin!

Sunday, December 6, 2009

Dunia ini Sebenarnya Luas...

Ketika saya diberi peluang memandu sendiri pesawat ringan di ketinggian 1,000- 2,000 kaki saya dapat melihat helicopter view bandar Segamat. Penerbangan di temani kapten Andreas- kapten bertauliah Akademi Penerbangan, saya dapat menghargai kebesaran Allah kerana dunia ini sebenarnya luas. Bandar Segamat kelihatan luas, mempunyai sungai, bandar, kawasan perumahan dan hutan menghijau. Sayup mata dan kagumnya saya melihat keindahan alam.

Bila menerima arahan untuk saya kembali ke air-base, saya memohon kepada menara kawalan, saya perlukan masa lagi untuk meneruskan penerbangan.

Allah mencipta alam ini begitu luas. Kita sebenarnya diberi kebebasan mengikut acuan Qur’an dan Sunnah Rasul Nya. Namun sebagai manusia, kita sering memfokuskan alam kecil yang telah lama kita cintai. Kita agak sukar keluar dari kelompok dan zon selesa ini. Bila perubahan dicanang, kita liat memberi kerjasama dan memberi pelbagai helah serta alasan.

Di jalanraya, kereta kita dihimpit atau diblok oleh kereta mereka yang miskin akhlaq. Semalam saya ke Jusco Klang. Selepas selesai urusan, berlaku kekecohan di tempat letak kereta. Seorang perempuan Cina sedang memegang besi skru pemutar tayar untuk memecahkan cermin kereta waja yang menyekat kereta beliau. Sememangnya kereta waja ini tidak diletakkan di tempat yang betul, lebih buruk akhlaq- menyekat orang lain yang sudah habis berurusan. Mengapa hendak menghimpit dan menyakiti pemandu kereta yang lain? Bukankah dunia ini luas....?

Suasana masyarakat dan di pejabat juga sama. Kita banyak bertelingkah perkara remeh dan tidak menghormati hak orang lain. Imam masjid tidak mahu berubah selepas di tegur oleh AJK Masjid. Kes-kes ponteng imam bukanlah kisah asing. Bila elaun dipotong, imam akan melenting dan marah-marah. Di pejabat, kita akan melihat keadaan staf marahkan bos yang mahu membimbing mereka supaya menjadi pegawai yang lebih baik dari semalam. Golongan ini akan cari salah bos, mengutuk dan menghukum bos. Bukankah dunia ini luas..., jadi mengapa disempitkan? Ada bos yang mahu mengajak kita naik ke angkasa tetapi kita masih mahu tinggal di alam sempit di bawah tempurung.

Bila menguruskan persatuan penduduk dan masjid, saya perhatikan lebih ramai tukang komen dari sama-sama membantu. Mereka mengkritik apa sahaja usaha pihak masjid dan ada juga yang suka melaporkan ke pihak berkuasa kerana isu remeh. Di sekolah, ada juga segelintir ibubapa yang kaki hentam pihak sekolah tetapi tidak pernah ingin bersama-sama dengan PIBG atau membantu pengurusan sekolah. Di pejabat, surat-surat dan email-email melayang-layang untuk memburukkan rakan pesaing dalam organisasi hanya semata-mata mahu mengejar pangkat dan jawatan.

Seorang sarjana barat ada menyebut ”Lakukanlah apa yang kamu lihat benar, dan palingkan dirimu dari kritikan yang tidak berguna dan negatif.”

Saya berpesan kepada diri saya, pengurusan masjid, persatuan penduduk dan pengunjung setia blog ini :-

1. Janganlah membalas cercaan mereka. Sesungguhnya, kesabaran atas cercaan ini akan dengan sendirinya menguburkan keaiban mereka.

2. Kelembutan kita akan memberi kita penghormatan dan integriti. Dunia ini sebenarnya luas justeru mengapa di sempitkan?

3. Mendiamkan diri akan membuat pendengki dan pengkritik kalah,
4. Dan memaafkan mereka akan dibalas dengan pahala, keampunan dan kemuliaan.

Jangan membalas cercaan orang yang membenci kita kerana mereka membina sendiri tembok kehidupan sempit dan alam kesedihan. Jika anda kaki kritik, ayuh bangun membantu mereka yang anda kritik. Masjid, surau dan badan-badan amal menanti anda.


Dunia ini sebenarnya luas.... jadi mengapa mahu terus selesa hidup di bawah tempurung..?

Tuesday, December 1, 2009

Redho Dengan Ketetapan Tuhan

”Dr, bila saya buka blog tuan, saya hampir menangis kerana mendengar lagu Menanti di Alam Barzakh. Saya rasa hidup saya tidak lama kerana saya disahkan mendapat kanser.” Itulah ungkapan ringkas seorang wanita lewat usia 40an kepada saya baru-baru ini.

Mudah untuk kita berbicara ”Redholah dengan ketetapan Tuhan..” Kita tidak berhadapan dengan masalah mereka, tentu sekali kita tidak mengerti perasaan mereka. Mereka juga ingin hidup gembira sebagaimana insan lain. Bila mereka memikirkan kematian, sudah tentu mereka memikirkan suami dan anak-anak kesayangan.

Tiga bulan lepas seorang pengurus pembantu saya kehilangan sepupu akibat kanser. Usia awal 30an, beliau menemui Ilahi dengan meninggalkan dua anak kecil dan suami yang masih memerlukan kasih sayang isteri. Cerita-cerita begini sudah hampir biasa kita dengar.

Bila sentuh bab kanser, ramai yang takut. Kematian seolah-olah sudah hampir bagi pengidap kanser. Wanita lewat 40an ini telah menerima pampasan VSS. Namun beliau berbicara dengan nada yakin.

1. Saya lebih tenang dan bahagia selepas VSS

2. Beliau berpesan kepada saya, ”Tidak perlulah kita bekerja kuat siang malam untuk syarikat. Bila kita sakit, tiada siapa peduli hal kita. Saya menyokong tulisan Dr dalam Berita Harian bulan lalu bahawa bila kita sakit kita akan tanggung sendiri. Tiada siapa yang akan peduli kecuali keluarga kita sendiri.”

3. Saya kini lebih bersedia untuk bertemu Ilahi. Saya tahu saya tidak akan hidup lama. Saya kini lebih banyak masa untuk suami tercinta, anak-anak tersayang, lebih banyak waktu untuk ke Masjid dan surau dan mula membuat kerja-kerja amal serta bersedeqah.

Hati saya amat tersentuh dengan perkongsian muslimah ini. Saya dan seorang lagi rakan hampir-hampir menitis airmata mendengar luahan 'kehidupan senja' ini.

Diakhir perbualan saya nyatakan, jika wang masih banyak duduklah di Mekah berdoa moga Allah sembuhkan penyakit. Bukan itu sahaja, pahala yang selama ini tertinggal mungkin boleh dikumpul kembali dengan rahmat Tuhan. Juga mohon moga Allah ampunkan segala dosa-dosa. Kembalilah bersih menuju fitrah seperti kita kembali dengan fitrah di Eid-Fitr. Jika ada kuasa, pergilah Haji dan buat umrah tahun hadapan. Eid Adha menjemput hati kita mengagungkan kebesaran Allah.

Kematian adalah pasti, namun hidup juga adalah pasti. Kehidupan sudah berada di hadapan mata, namun kematian mungkin belum tiba masa. Fikirkan perjalanan hidup yang masih tinggal ini dan sediakanlah bekalan untuk hari esok. Ustaz saya berpesan ”Insan yang diberi sakit sebelum mati adalah insan yang beruntung. Mereka diberi signal oleh Allah bahawa perjalanan ini tidak lama. Rugilah mereka yang mati mengejut, kerana signal yang diberi tidak jelas dan persediaan pula mungkin ditahap zero.

Kepada muslimah ini, moga Allah memberkati segala usaha dan menerima amalan beliau. Buat kita yang sihat dan segar bugar ini, Eid Adha menuntut kita berkorban. Justeru berkorbanlah apa sahaja demi membawa misi Islam, buat bekalan lanskap teratak barzah yang menanti....