Followers- Jalinan Ukhuwah

Sunday, July 11, 2010

World Cup

Foto: Bahasa badan atau arahan coach Brazil di luar gelanggang

Anda minat bermain atau menonton bolasepak? Bagi lelaki, saya yakin jawapannya ”Ya!”

Bila sebut bolasepak, banyak yang tergambar di fikiran kita. Maradona sentiasa memegang “bij tasbih ???” di kerusi pegawai pasukan. Sotong bernama Paul pula membuat ramalan-ramalan yang tepat. Akhbar hari ini menyebut Paul meramalkan pasukan Sepanyol akan menjadi Juara Piala Dunia 2010.

Ada juga yang mengaitkan bolasepak dengan peristiwa karbala’ dimana kepala Hassan dan Husin dipenggal dan kemudian disepak macam bola. Ada yang berkata bolasepak adalah mainan Yahudi untuk melekakan umat manusia. Di negara Barat pula mereka bermegah dengan menyatakan Bolasepak Piala Dunia adalah Perhimpunan terbesar manusia kerana ratusan atau ribuan juta manusia memberi fokus kepada Piala Dunia. Ianya mengalahkan pertemuan tahunan jamaah Haji di Arafah.

Apapun perkara yang dilihat atau ditonton, bolasepak memberi kita ilmu tersendiri jika kita memerhati dan memperhalusi seni bolasepak.

1. Komunikasi di padang bola
Anda pernah ke Stadium untuk menonton live perlawanan bolasepak? Jika belum pernah, cubalah hadir untuk merasai dan melihat bagaimana komunikasi berlaku antara orang di luar dan di dalam padang. Komunikasi amat penting di dalam perlawanan bolasepak. Kita akan lihat bagaimana suasana agak kecoh di bangku Coach bila mana arahan-arahan dan bahasa badan dipamerkan supaya pemain mengambil tindakan. Kapten dan pemain pula berkomunikasi di dalam padang.

2. Menghargai Talent
Sebelum beraksi, Coach akan Lihat ‘talent’ dan kepakaran pemainnya. Beliau akan Letakkan pemain di tempat yang sesuai. Tidak boleh main pukul rata aje. Contohnya, Tidak semua boleh mengambil sepakan penalti. Ia memerlukan kepakaran. Ada kalanya, penjaga gol akan naik ke atas mengambil sepakan penalti. Emosi juga perlu kuat dan keyakinan pula perlu tinggi. Contohnya, Skuad France kecundang awal kerana tidak menghargai talent yang ada.

3. Teamwork (Bermain secara berpasukan). Lihat bagaimana Brazil dan Argentina kecundang di peringkat Suku Akhir. Peminat tidak berminat dengan permainan agresif. Penonton mahu lihat permainan berkualiti tinggi seperti di tunjukkan oleh tim-tim dari Eropah. Lihat bagaimana seni bolasepak yang ditunjukkan oleh tim Sepanyol, mereka tidak bergantung kepada ’star’ mereka. Kita lihat pula bagaimana tim yang memfokus kepada atau bergantung kepada seorang dua ’star’ akan mengalami ’defect sustaining power’.

4. Perancangan strategik. Menilai diri sendiri dan kemampuan dan kelemahan pasukan lawan boleh membantu strategi tektikal bila berada di padang. Contohnya,, ‘Counter attack’ German berjaya membenam dan memalukan Argentina. Gol-gol German juga cantik dan berbaloi untuk ditonton. Ianya adalah hasil dari perancangan yang baik.

5. Perasaan - Berbagai perasaan dicurahkan. Kita lihat pemain bergaduh, menipu di tengah padang, berpelukan tanda gembira, menyerang penonton, mengawal emosi, bersabar, saling mencabar dan melahirkan sikap professional.

Ringkasnya, bolasepak mengajar kita sekurang-kurangnya 5 perkara penting kehidupan iaitu seni berkomunikasi, menghargai talent, bekerjsama dalam satu pasukan, merancang dan meluahkan himpunan perasaan.

Justeru, apa sahaja usaha kita samada menguruskan pegawai bawahan, menguruskan persatuan, mentadbir masjid dll, 5 perkara di atas perlu juga dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi.

Jika anda bakal menonton final bolasepak pagi ini jam 2.30 pagi, lakukanlah solat tahajud terlebih dahulu. Firman ALLAH
“Sesungguhnya bangun di tengah malam itu adalah lebih tepat untuk khusyuk dan bacaan ketika itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada waktu siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).”
Rujuk Surah Al-Muzammil

Selamat Menyambut Bulan Syaaban.

Tuesday, July 6, 2010

Harapan

Kita banyak meletakkan angan-angan dan harapan di dalam hidup. Kita mengharapkan menjadi jutawan, karyawan, dermawan, sasterawan, angkasawan, jelitawan, negarawan dan berbagai istilah wan-wan lain. Ada yang sanggup melakukan dosa untuk mengecapi harapan ini. Satu hari nanti (jika panjang umur), kita akan menjadi Tok Wan. Ianya bukanlah harapan tetapi suatu keadaan hakikat yang tidak melawan fitrah. Ianya tidak perlu direbut, kerana ALLAH akan memberi kita peluang ini.

Bagaimana hebat harapan kita, ianya tiada nilai di sisi Tuhan. Di sisi ALLAH, harapan yang diminta dari kita ialah harapan kepada amal soleh semasa kita masih bernyawa ini. ALLAH meminta kita melakukannya untuk bekalan kehidupan kita di alam abadi.

ALLAH berfirman

“Dan berikanlah perumpamaan kepada mereka (manusia), bahawa kehidupan dunia adalah seperti air hujan yang KAMI turunkan dari langit; maka menjadi subur dengannya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dia adalah ALLAH yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi sandaran harapan.” Al-Kahfi: 45-46

Ambillah Peluang untuk beramal biar sekecil manapun. Bulan Rejab dan Syaaban adalah bulan latihan buat kita merebut peluang pahala di bulan amal- Ramadan.

Thursday, July 1, 2010

Jom Qiyamulail

Nota: Kita perlu berusaha menyiram hati dengan renjisan kedamaian melalui amalan malam. Insan yang cemerlang akan sentiasa membuat persediaan menemui Tuhannya.

Musabaqah Al-Qur’an yang sedang berlangsung mengingatkan kita betapa Ramadan kian hampir. Sejak dua-tiga hari ini, setiap malam kita diperdengarkan dengan kemerduan Al-Qur’an yang diperdengarkan oleh peserta musabaqah. Sudah tentu hati ini tersentuh biarpun kemerduan suara peserta tidak mampu menandingi kehebatan solat menghadap Kaabah dengan tangisan Imam As-Sudais Masjidil Haram.

Mendengar dan membaca Qur’an sahaja tidak cukup. Kita perlu menghayati dan cuba memahami setiap butir ayat Qur’an kerana Qur’an adalah hadiah ALLAH kepada kita.

Pagi tadi saya terbaca di akhbar bagaimana umat Melayu Islam bertumbuk/bergaduh kerana berebut borang bazar Ramadan di sebuah Majlis Bandaraya. Bayangkan 2,000 orang berpusu untuk berebut borang! dan sanggup ketepikan akhlak dengan bergaduh untuk berjaya habuan duniawi. Tiada pula di dalam 'Hari Ini Dalam Sejarah' umat Melayu Islam berebut saf atau berpusu-pusu untuk menghidupkan amalan malam -Qiyamulail.

Menyedari kelemahan diri dan merasakan perlunya pengisian untuk membina masyarakat, maka minggu lepas saya berbincang dan mencadangkan kepada Saudara Isa, rakan AJK Masjid, supaya Masjid menyediakan pengisian pembinaan ruhiah melalui program tersusun Qiyamulail. Perbincangan amat positif dan satu resolusi dibuat agar program ‘Jom Qiyamulail’ dibuat setiap hujung minggu bermula malam esok (setiap Jumaat malam Sabtu) hingga berakhirnya Ramadan tahun ini. Jika anda berkelapangan (khususnya ahli kariah) jemputlah ke program:-

JOM QIYAMULAIL

Tempat : Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27, Shah Alam
Waktu: Setiap Hari Sabtu pagi (Jumaat malam Sabtu)
Masa : 3.30 pagi
Pembimbing: Ustaz-Ustaz terpilih
Tempoh: Mula 3hb Julai 2010 hingga akhir 29 Ramadan

Alhamdulilah, moga usaha kecil ini mampu memberi impak besar bagi membina diri-diri kita yang lalai ini.

Wednesday, June 23, 2010

Istighfar

Rasanya belum terlewat untuk saya merakamkan ‘Selamat Menyambut Bulan Ibadah -Bulan Rejab’. Bila saya tanya rakan saya bagaimana amalan Rejab beliau?, maka ada yang bertanya saya balik, "Dah masuk bulan Rejab ke...?" Ya, kita semua manusia yang terlupa. Justeru ingat mengingati adalah penting di dalam menjalani kehidupan.

Bulan Rejab telah disebutkan secara khusus di dalam Al-Qur’an maka sudah tentulah bulan ini mempunyai keistimewaan sendiri. Antara tip penting amalan di Bulan Rejab ialah perbanyakkan istighfar. Ianya mudah sahaja dilakukan, tidak perlu melabur RM untuk mendapat ganjaran istighfar. Ia juga tidak perlu biji-biji 'tasbih' .

Definisi istighfar adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran hanya untuk Allah Subhanahu Wata'ala agar permohonan ampun atas segala dosa dan kesilapan diterimaNya. Allah Subhanahu Wata'ala turut menegaskan kepada hamba-hamba-Nya supaya beristighfar sebagaimana firman-Nya;
"Dan pohonlah ampun bagi dosamu serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang". Surah Al-Mu’minun 55

Insan mulia bernama Muhammad s.a.w juga beristighfar, biarpun ALLAH telah memberi jaminan makam tertinggi di sisi Nya. Justeru, adalah menjadi kewajipan untuk kita beristighfar sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi di samping untuk merebut fadilat istighfar. Antara kelebihan istighfar ialah hati menjadi tenang selepas melakukannya.

Dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, ALLAH memberi beberapa lagi kelebihan istighfar antaranya Allah Subhanahu Wata'ala akan memberi nikmat dengan kurnian-Nya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup, sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya;
"Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)


Moga Rejab yang hampir separuh ini akan menjadikan kita insan yang lebih tawaduk dan sentiasa menginsafi diri. Wallah’alam.

Thursday, June 17, 2010

Bolehkah Pemimpin sarapan di gerai..?

Manusia berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Ada yang sanggup melabur jutaan RM, fitnah memfitnah, menjatuhkan orang lain dan menipu demi mencapai cita-cita menjadi pemimpin. Parti politik bersepah, NGO juga terlalu banyak dan persatuan-persatuan juga tidak terkira. MAsing-masing mempunyai matlamat tersendiri.

Bila sebut pemimpin, maka kita terbayang rumah banglo, kereta mewah, jet peribadi, pakaian mahal, makan di hotel 5 star dan dikelilingi wanita jelita.

Bila difikir kembali, apa sebenarnya yang mereka kejar? Kita juga kena tanya diri kita, apa yang sebenarnya yang kita kejar. Mengikut falsafah kuno, Raja (atau pemimpin) adalah hamba kepada rakyat, justeru adalah wajib untuk rakyat mematuhi arahan ‘pemimpin kepada hamba rakyat’.

Berikut saya kongsikan coretan seorang teman (email ini telah beliau hantar bulan April 2010 lalu yang masih saya simpan).
“Sewaktu kami sekeluarga berkunjung ke Kota Bharu Kelantan pada cuti sekolah bulan lepas, kami sekeluarga sarapan pagi di gerai berhampiran hotel penginapan.. Kami sekeluarga terkejut dan rasa terharu bila kami dapati MB Kelantan tengah sarapan pagi di gerai tersebut berseorangan tanpa pengawal peribadi dan pegawai kerajaan Kelantan..
Malah beliau terlebih dahulu menegur dan menberi salam kepada kami sekeluarga serta mengajak kami sekeluarga makan bersama-sama dimeja beliau sambil berborak menayakan dari mana, bagaimana perasaan kami bila berada di Kelantan dan banyak lagi.. Ketika berborak, beliau tiada sedikit pun menyentuh soal politik atau cerita perkembangan terkini di Negeri kami.. Malah beliau berterima kasih kepada kami kerana sudi datang dan lihat sendiri keadaan di Kelantan daripada membaca di akhbar atau melihat di TV.. Malah kami sekeluarga rasa lebih terharu bila beliau bayar kami sekeluarga makan pada pagi itu..”

Adakah kita mempunyai ciri pemimpin sebegini?

Tuesday, June 8, 2010

Mendung di Musim Summer

Foto: Awan juga mengerti untuk menyusun dan memartabatkan nama ALLAH di angkasa.

Di Tanahair, cuaca kini tidak menentu. Sekejap hujan, sekejap panas. Di Saudi pula, cuaca diberitakan amat panas. Ramai rakan-rakan yang sedang melakukan umrah sekarang memaklumkan saya akan cuaca yang panas dan jamaah yang amat ramai. Saya yakin sekarang ini di Eropah pula, musim summer dinanti-nantikan untuk menikmati sinar mentari.

Pengalaman saya, agak sukar untuk bertemu keadaan mendung di musim summer. Jika adapun, ianya cuma sementara.

Bila Islam tertekan dan dihina ianya laksana mendung di musim summer. Namun ALLAH memberi jaminan mendung ini tidak akan lama. Mendung ini bukan mendung di musim tengkujuh yang mungkin akan membawa keperitan berpanjangan akibat banjir, tanah runtuh dan hancurnya bangunan-bangunan. Kita pula diminta berusaha, berdoa dan membantu sahabat-sahabat kita di Palestin dalam apa sahaja bentuk kemampuan.

Penderitaan Palestin adalah mendung di musim panas. Mereka perlu hadapi ’sengsara’ ini dan menyakini bantuan ALLAH dan tentera-tenteraNya. Bom dan peluru hidup adalah mainan bagi anak-anak Palestine, tidak seperti kita yang kadang-kadang melarikan diri dari peminta sedekah dan kurang komited membuat kerja amal (muhasabah untuk diri penulis sendiri). Anak-anak Palestin mempunyai jatidiri yang kuat. Mereka mampu hidup dengan berbagai kekurangan yang ada. Rintihan mereka juga adalah keluhan kita.

Begitu juga dengan kehidupan kita. Problem, masalah, cabaran, mehnah atau apa sahaja nama yang membelenggu kita adalah mendung di musim Summer. Ianya bersifat sementara. Setiap masalah matematik biar betapa susah ada jawapannya dan setiap persoalan kehidupan ada solusinya. Pokoknya, kehidupan ini adalah pelaburan yang dividennya akan kita nikmati di satu alam lain yang telah dijanjikan. ALLAH berfirman:-

”Dan sekiranya bukan kerana hendak menghindari manusia menjadi umat yang satu (dalam kekafiran), tentulah kami buatkan bagi orang-orang kafir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah loteng-loteng perak bagi rumah mereka dan tangga-tangga perak bagi rumah mereka dan juga tangga-tangga perak yang mereka naiki. Dan kami buatkan pula pintu-pintu perak bagi rumah mereka dan begitu juga dipan-dipan yang mereka bertelekan di atasnya. Dan Kami buatkan pula perhiasan-perhiasan dari emas untuk mereka. Dan semuanya itu tidak lain hanyalah kesenangan kehidupan dunia, dan kehidupan Akhirat itu di sisi Tuhanmu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Al-Zukhruf: 33-35

Tuesday, June 1, 2010

Hebatnya Negara Penjenayah

Israel Terrorist State telah berjaya merampas kapal aktivis kemanusiaan Free Gaza yang membawa keperluan asas untuk 1.5 juta rakyat Palestin yang kini terhimpit di penjara terbesar dunia (di negara Tanahair mereka sendiri). Tidak banyak yang mampu kita lakukan kecuali suara lantang Presiden Iran, Turki dan Pemimpin Kanan Hezbullah.
Sila layari web berikut untuk maklumat terkini:-
Dunia akan terus membisu
kerana ummah masih lesu
Kita tidak berpusu-pusu
Menuju Tuhan Yang Satu

Jiwa muslim dihinggap kelkatu
hingga mudah ditipu
Akibat tidak bersatu
Berangan-angan kehidupan yang palsu