Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, August 4, 2010

Kita Memang Begitu....

Nota: Kita sedang dalam perjalanan menuju destinasi abadi. Kita mudah tergelincir, kerana kita memang begitu....

Syaaban bakal melabuhkan tirai. Ianya tidak akan hadir lagi melainkan ALLAH yang maha penyayang dan pemurah mengizinkan kita bernafas lagi. Kita juga mungkin alpa untuk berdoa supaya ALLAH melanjutkan usia dan mengizinkan diri untuk bertemu Ramadan tahun ini serta Rejab/Syaaban tahun hadapan.

Bila saya bertanya kepada beberapa insan mengenai doa (random sampling), 85% menumpukan doa untuk menjadi kaya dunia dan mengakhiri doa dengan permohonan kejayaan dunia dan akhirat. Hakikatnya, kita akan masih begitu jika doa kita berterusan tanpa ada doa khusus. Rupa-rupanya terlalu banyak yang kita mahu minta dari Rabbul Jalil. Malu rasanya untuk memohon terlalu banyak perkara duniawi di dalam keadaan amalan kita pula tidaklah sehebat mana.

Yang nyata, Kita adalah golongan yang tidak tahu malu. Kita menumpang di bumi Tuhan tetapi mahu mendapat layanan bertaraf istana. Kita melanggar undang-undang Tuhan dan kadang-kadang menafikan perintah Tuhan namun masih menyimpan hasrat bertimbun dengan dorongan nafsu duniawi.

Kita tergapai-gapai mencari ALLAH ketika susah, dan sedikit lupa bila kita sedikit senang. Itulah ciri kita sebagai manusia. Kita tersangat sibuk dengan hal ehwal duniawi dan lalai menghitung masa yang mengengsot pergi. Kita tidak merintih kerana hati dan jiwa kita membatu.

Di saat Ramadan bakal tiba, Jualan Mega Aidil Fitri sudah mula dicanang. Kita akan masih begitu…, bakal kecundang dengan shopping Raya. Hutang duniawi pula akan mula bertambah kerana nafsu perhiasan Raya dan hutang dengan ALLAH juga mungkin bertambah kerana kita tidak mampu memaksimumkan peluang Ramadan.

Syaaban bakal melangkah pergi dan meninggalkan kita. Maka perbanyakkan istighfar akan mendamaikan jiwa. Istighfar juga menjemput rezeki memasuki laman hati dan dompet kita.
Di dalam satu kisah diceritakan bahawa Rasululah s.a.w pernah menjemput para sahabat menghampiri beliau, lantas Baginda bersabda bermaksud: "Hampiri mimbar!" Lalu kami semua menurutinya. Ketika Baginda melangkah ke tangga pertama, Baginda mengatakan, “Amin.” Apabila melangkah tangga kedua, Baginda mengatakan, “Amin.” Begitulah apabila melangkah tangga ketiga. Lalu kami bertanyakan maksud perbuatannya itu, Baginda menjawab: “Aku didatangi Jibrail mengatakan kepadaku: “Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan.” Aku pun menyahut dengan berkata, “Amin.” Di tangga kedua Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu,” aku pun menyahut, “Amin.” Di tangga ketiga Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang uzur atau seorang daripada mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga.” Aku pun mengatakan, “Amin.”

Di penghujung Syaaban ini (hujung minggu ini), blog ini menyarankan akan kita sama-sama menziarahi kedua orang tua (jika masih ada) atau menziarahi perkuburan mereka sebagai tanda ingatan dan sayang kita kepada mereka. Sedekahkan Al-Fatihah, bacakan Qur’an dan buatlah tahlil (atau join program tahlil di Masjid/surau) dan sedekahkan amal kebaikan untuk mereka.

Ya, kita masih begitu kerana kita mudah lalai dan alpa...

Thursday, July 29, 2010

Mahram Tumpang


Kelmarin, ALLAH mengizinkan saya menyemak entri-entri terdahulu untuk saya mengemaskini ilmu/pengalaman/nota berkaitan Haji & Umrah. Maka saya menerima email di bawah bertanyakan soalan yang amat relevan kepada muslimah.

Nota: Jika pengunjung blog ini mempunyai soalan, sila email terus ke tigeridz@gmail.com kerana jika soalan di tinggalkan di entri-entri lepas, saya khuatir saya akan terlepas pandang.

**********************
Anonymous said...
salam Dr, saya baru sahaja menamatkan bacaan buku prof Haji Muda, Alhamdulillah dapat byak info berkenaan suasana di musim haji. Saya dapat calon stndby utk haji tahun ni. Saya akan pergi sendirian. Mahram akan diuruskan oleh TH.Mahram saya adalah org yg tidak saya kenal langsung. Persoalan saya, mampukah saya survive di sana dlm keadaan seorang diri tanpa orang yang saya kenal rapat. Saya pernah mengerjakan umrah tahun 2006. Dan saya dapat rasakan agak sukar juga jika tiada yang betul2 kenal (waktu itu pergi bersama keluarga-jadi tiada masalah)terutama utk ke tanaim dan berjemaah solat subuh di masjid. Bolehkah kami (bersama-sama mahram yang baru kenal) bersepakat utk ke tanaim berniat miqat dan bolehkah sama2 bersepakat untuk ke masjid bersama melakukan qiamullail. Saya berumur awal 40-an..memikirkan tengah ada peluang (jika terpilih) saya tidak mahu tangguh2 lagi.terima kasih
*************************

Terima kasih kepada insan yang bertanya.

Salah satu factor penting Haji/Umrah ialah aman perjalanan dan ditemani mahram (bagi muslimah). Walaupun ada pendapat yang berbeza mengenai keperluan mahram, namun adalah penting untuk kita mengikut tuntutan ini dan merujuk kepada ahli agama.

Soalan ini agak biasa di tanya kepada saya. Kira-kira 3 bulan lepas ada seorang makcik berusia lewat 50an dari Kajang menelefon saya bertanya soalan yang sama. Saya mencadangkan supaya soalan ini dirujuk kepada guru-guru agama. Pun begitu, nasihat yang saya berikan kepada makcik ini adalah konsisten berdasarkan pengalaman dan sedikit ilmu. Cadangan di bawah boleh diambil oleh anonymous atau pembaca blog ini.

Berikut adalah saranan saya.

1. Cuba usahakan cari sendiri ‘mahram tumpang’. Walaupun pihak TH boleh membantu, adalah lebih baik jika kita sendiri mencari.

2. Jika buntu, barulah mohon bantuan pihak TH.

3. Jika sudah dikenalpasti, terus jumpa ‘mahram tumpang’ tersebut. Ajak ayah-ibu/abang untuk berbincang dengan ‘mahram tumpang’. Pastikan sesi diskusi disertai oleh isteri ‘mahram tumpang’ supaya masing-masing mengenali antara satu dengan lain. Perkara ini kelihatan mudah tetapi bila sudah berada di Tanah Suci, mungkin akan timbul perasaan cemburu di pihak isteri ‘mahram tumpang’.

4. Rancang dengan ‘mahram tumpang’ dan sama-sama berjumpa pegawai TH supaya tidak berlaku masalah perbezaan tarikh berangkat (No KT).

5. Berdoalah agar perjalanan Haji/umrah cik puan berjalan dengan baik dan ukhuwah bersama ‘mahram tumpang serta ahli keluarga beliau’ sentiasa terpelihara.

6. Bagi saya, tiada masalah untuk ke Tanaim atau bermiqat bersama ‘mahram tumpang dan ahli keluarga beliau’ dan sebaik-baiknya pergilah secara berkumpulan. Kos satu van Cuma SR50 sahaja.

7. Buat keputusan secara berjamaah dan hormati ‘mahram tumpang’ anda.

8. Bersabar atas cabaran Haji/Umrah.


Moga sedikit panduan ini memberi faedah perjalanan haji/umrah mabrurah.

Tuesday, July 20, 2010

Bila Hati Tidak Mampu Berbicara

Perjalanan kita menuju Al-Jannah adalah kembara spiritual yang dinanti-nantikan oleh insan-insan bertaqwa dan beriman. Tiada lagi yang indah melainkan kembali menemui Pencipta kita. Pencipta kita tidak akan mengecewakan kita kerana kita menyakini sifat AR-Rahman dan Ar-RahimNya.

Disaat kita ’menyakiti peraturannya’ akibat nafsu duniawi, Dia masih memberi kita rezeki untuk meneruskan hidup. Kita masih mampu ketawa dan enjoy dengan kehidupan ini. Kita masih boleh nonton Astro dan TV dan mengagahkan kaki ke tempat-tempat yang melalaikan. Kita masih terus gagah menekan orang lain, mengambil hak orang lain, mencerca dan mengumpat serta melihat diri kita lebih hebat. Dengan sedikit power yang ada, kita memaksa orang lain supaya muhasabah diri sedangkan kita masih mengeras hati. Kita menganiaya orang lain tanpa kita sedari secara berterusan.

Satu ketika nanti, hati kita tidak mampu lagi berbicara....

Al-Qur’an mengingatkan kita, Rasululah s.a.w berpesan kepada kita, Tok-tok guru dan Ustaz-ustaz kita sering berbicara akan satu ketika nanti hati tidak lagi mampu berbicara. Bila ruh meninggalkan kita, maka setiap anggota tubuh khususnya kaki dan tangan akan merasai saat perpisahan. Anggota tubuh kita akan mengucapkan salam perpisahan antara satu dengan lain sehingga proses ruh keluar selesai, satu bentuk kesedihan yang tidak mampu manusia menyedari. Firman ALLAH,

”Pada hari ini (Hari Mahsyar), kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi saksilah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” Yaasin: 65

Di dalam satu hadis disebutkan bahawa salah satu golongan yang tidak akan menerima maghfirah ALLAH di bulan Ramadan nanti ialah mereka yang suka berbohong. YA, di dunia kita suka berbohong atau tidak sengaja berbohong. Tetapi di akhirat mulut kita akan dikunci. Itu janji ALLAH.

Sudah tentu kaki dan tangan merasa amat berat memikul amanah untuk menjadi saksi di Mahkamah ALLAH nanti. Beratnya tanggungjawab kaki dan tangan untuk membuat pengakuan di hadapan ALLAH sedangkan mulut, kaki dan tangan bekerjasama melakukan apa yang dihajatkan oleh hati semasa menikmati sedikit nikmat duniawi.

Sungguh berat tanggungjawab yang sedang kita pikul sebagai hamba Ilahi. Tiada apa lagi yang penting di saat ini melainkan mengagungkan kalimah Syahadah, pengakuan mutlak kita bahawa Tiada lain Tuhan melainkan ALLAH dan Muhamad itu adalah utusan ALLAH. Tiada ungkapan yang lebih berharga sebelum menutup tirai malam ini melainkan ”Astaghfirullahal azim..”

Monday, July 19, 2010

Doa


BismillahirRahmannirRahim,


"Ya ALLAH
Usahlah dibiarkan kilauan dunia ini
Menghalangi kami untuk memasuki SyurgaMu
Usahlah dibiarkan keperitan dunia ini
Menghentikan langkahan kami menuju FirdausMu
Teguhkanlah hati kami
Kukuhkanlah komitmen kami
Cukuplah hanya Engkau tempat kami bergantung.


Martabatkanlah hati kami yang fakir ini
Menuju jalan abadi
Redholah kami
Rahmatilah kami
dan ampunkanlah kami."

Amin!

Wednesday, July 14, 2010

Serahan Dana Amal BPHT


Dengan perasaan tawaduk dan memohon keampunan ILAHI, sukacita saya maklumkan kepada pengunjung blog dan pembeli buku BPHT bahawa dana tabung amal BPHT yang diujudkan 3 bulan lepas telah diserahkan sebagaimana yang telah saya janjikan.

Untuk makluman (sila rujuk entri berkaitan Tabung Amal BPHT terdahulu), jumlah dana terkumpul sehingga 13hb Julai 2010 ialah sebanyak RM678. Sasaran saya ialah RM800.

Dengan ini saya war-warkan bahawa sebanyak RM800 telah diserahkan kepada Ketua Helwa BAKIT (Badan Kebajikan Islam TM) di dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri oleh pegawai kanan dan TYDP serta AJK Pusat pada jam 12.30tgh 14 Julai 2010. InsyaALLAH dana ini akan diserahkan kepada Pusat Anak Yatim & Tahfiz seperti di gambar dibawah.

Perlu saya tekankan bahawa dana amal BPHT terkumpul sebanyak RM678 adalah wang tuan/puan yang tidak mengambil diskaun RM2 yang telah saya beri bagi setiap buku dan bersetuju untuk dimasukkan ke Dana Amal BPHT “Bila Pintu Hati Terbuka (BPHT)”. Pembelian ini dibuat secara terus melalui blog/email saya tigeridz@gmail.com .

"Ya ALLAH, ampunilah kami jika terdetik dihati kami unsur-unsur riak terhadap usaha murni ini. Hambamu telah berusaha melakukan sebaik mungkin untuk menyediakan platform amal untuk pencinta kebenaran. Izinkanlah usaha amal ini diteruskan dimasa-masa akan datang. Berikanlah kami usaha amalan terbaik di bulan Syaaban dan Ramadan ini. Anugerahilah keampunan, jauhkanlah kami dari bahang nerakaMu dan himpunkanlah penyumbang dana ini didalam golongan yang mendapat rahmat dan kasih sayangMu di medan Mahsyar nanti. " AMIN!

Tuesday, July 13, 2010

Pasar Dunia Melalaikan Hati

Dunia adalah pasar yang sangat besar di kotak minda kita. Pasar dunia akan terus hiruk pikuk dengan hawa nafsu manusia. Ketika pasar Piala Dunia berakhir, pasar dunia akan terus melekakan kita dengan berbagai inovasi dan transaksi yang jika kita tidak berhati-hati akan melencongkan diri.

Kini Syaaban menjengok kembali. Pasar dunia ini hanya dapat diselamatkan oleh golongan mukminin. Rejab sudah berlalu, Syaaban mengukir senyum dan Ramadan sedang mengesut buat kita. Tiga bulan istimewa ini adalah bulan maghfirah dan bulan untuk mengekang nafsu pasar dunia yang berbagai. Hati dan Piala Akhirat kini dibuka untuk kita mencari Rahmat dan cinta ALLAH.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang teman yang kurang bahagia. Maka saya menasihati diri saya sendiri disamping mengesyorkan agar sahabat saya ini menyerahkan kembali hati ini kepada Pemiliknya. Menyalahkan ALLAH kerana diri tidak bahagia adalah tidak mulia. ALLAH memberi kita kekuatan yang tidak kita manfaatkan, jadi mengapa salahkan Tuhan? Bawalah hati hampir dengan ALLAH untuk menaikkan kembali nilai diri.

Dalam entri “World Cup” saya ada menyentuh ringkas mengenai ‘talent’. Kita semua mempunyai ’talent’ tersendiri namun kita samada tidak memanfaatkan talent kita atau kita terlalu leka dengan talent yang ada dan melalaikan prasarana hati. Jiwa dan wajah kita akan lesu bila hati tidak dibersihkan.

Kini ALLAH telah membentangkan karpet Syaaban dan kita akan menanti karpet indah Ramadan. Lantaran perkara pertama yang perlu dilakukan di bulan Syaaban (lanjutan Rejab) ialah:-

1. Memohon keampunan dari ALLAH dari setiap kelalaian kita.
Ambillah peluang dimalam hari dengan bersendirian. Muhasabahlah diri samada di dalam Masjid atau di atas sejadah. Luahkan hati yang gersang ini dengan menyatakan ”YA ALLAH, aku mengharapkan cintaMu, aku mengharapkan redhomu maka ampunilah aku.” Ungkapkan "Astaghfirullah halazim....." berulangkali hingga anda mencapai renjisan titian kedamaian dalam diri.

Nota: Masjid Munawwarah Shah ALAm akan meneruskan tarbiah hati ”Jom Qiyamualail” setiap pagi Sabtu jam 3.30 pagi. Sabtu minggu ini 17hb adalah program ke-3 dan akan diteruskan sehingga akhir Ramadan.

Sunday, July 11, 2010

World Cup

Foto: Bahasa badan atau arahan coach Brazil di luar gelanggang

Anda minat bermain atau menonton bolasepak? Bagi lelaki, saya yakin jawapannya ”Ya!”

Bila sebut bolasepak, banyak yang tergambar di fikiran kita. Maradona sentiasa memegang “bij tasbih ???” di kerusi pegawai pasukan. Sotong bernama Paul pula membuat ramalan-ramalan yang tepat. Akhbar hari ini menyebut Paul meramalkan pasukan Sepanyol akan menjadi Juara Piala Dunia 2010.

Ada juga yang mengaitkan bolasepak dengan peristiwa karbala’ dimana kepala Hassan dan Husin dipenggal dan kemudian disepak macam bola. Ada yang berkata bolasepak adalah mainan Yahudi untuk melekakan umat manusia. Di negara Barat pula mereka bermegah dengan menyatakan Bolasepak Piala Dunia adalah Perhimpunan terbesar manusia kerana ratusan atau ribuan juta manusia memberi fokus kepada Piala Dunia. Ianya mengalahkan pertemuan tahunan jamaah Haji di Arafah.

Apapun perkara yang dilihat atau ditonton, bolasepak memberi kita ilmu tersendiri jika kita memerhati dan memperhalusi seni bolasepak.

1. Komunikasi di padang bola
Anda pernah ke Stadium untuk menonton live perlawanan bolasepak? Jika belum pernah, cubalah hadir untuk merasai dan melihat bagaimana komunikasi berlaku antara orang di luar dan di dalam padang. Komunikasi amat penting di dalam perlawanan bolasepak. Kita akan lihat bagaimana suasana agak kecoh di bangku Coach bila mana arahan-arahan dan bahasa badan dipamerkan supaya pemain mengambil tindakan. Kapten dan pemain pula berkomunikasi di dalam padang.

2. Menghargai Talent
Sebelum beraksi, Coach akan Lihat ‘talent’ dan kepakaran pemainnya. Beliau akan Letakkan pemain di tempat yang sesuai. Tidak boleh main pukul rata aje. Contohnya, Tidak semua boleh mengambil sepakan penalti. Ia memerlukan kepakaran. Ada kalanya, penjaga gol akan naik ke atas mengambil sepakan penalti. Emosi juga perlu kuat dan keyakinan pula perlu tinggi. Contohnya, Skuad France kecundang awal kerana tidak menghargai talent yang ada.

3. Teamwork (Bermain secara berpasukan). Lihat bagaimana Brazil dan Argentina kecundang di peringkat Suku Akhir. Peminat tidak berminat dengan permainan agresif. Penonton mahu lihat permainan berkualiti tinggi seperti di tunjukkan oleh tim-tim dari Eropah. Lihat bagaimana seni bolasepak yang ditunjukkan oleh tim Sepanyol, mereka tidak bergantung kepada ’star’ mereka. Kita lihat pula bagaimana tim yang memfokus kepada atau bergantung kepada seorang dua ’star’ akan mengalami ’defect sustaining power’.

4. Perancangan strategik. Menilai diri sendiri dan kemampuan dan kelemahan pasukan lawan boleh membantu strategi tektikal bila berada di padang. Contohnya,, ‘Counter attack’ German berjaya membenam dan memalukan Argentina. Gol-gol German juga cantik dan berbaloi untuk ditonton. Ianya adalah hasil dari perancangan yang baik.

5. Perasaan - Berbagai perasaan dicurahkan. Kita lihat pemain bergaduh, menipu di tengah padang, berpelukan tanda gembira, menyerang penonton, mengawal emosi, bersabar, saling mencabar dan melahirkan sikap professional.

Ringkasnya, bolasepak mengajar kita sekurang-kurangnya 5 perkara penting kehidupan iaitu seni berkomunikasi, menghargai talent, bekerjsama dalam satu pasukan, merancang dan meluahkan himpunan perasaan.

Justeru, apa sahaja usaha kita samada menguruskan pegawai bawahan, menguruskan persatuan, mentadbir masjid dll, 5 perkara di atas perlu juga dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi.

Jika anda bakal menonton final bolasepak pagi ini jam 2.30 pagi, lakukanlah solat tahajud terlebih dahulu. Firman ALLAH
“Sesungguhnya bangun di tengah malam itu adalah lebih tepat untuk khusyuk dan bacaan ketika itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada waktu siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).”
Rujuk Surah Al-Muzammil

Selamat Menyambut Bulan Syaaban.