Followers- Jalinan Ukhuwah

Friday, September 11, 2009

Umrah Ramadan 2009 #3 Hujan di Mekah

Mungkin anda sudah mengetahui cerita ini melalui akhbar atau blog-blog lain.

Pada petang terakhir Syaaban, tiba-tiba hujan dan ribut pasir melanda Mekah. Penduduk tempatan melonjak gembira, manusia seolah-olah berpesta di bawah Pancur Emas, sebahagian pula menadah tangan untuk berdoa. Petugas Masjidil Haram -Bin Laden Corp pula bertungkus lumus menggulung karpet, membersihkan kawasan dsbnya. Orang tempatan menyatakan sudah lebih satu tahun hujan tidak turun di Mekah.

Photo diambil di atas bukit penginapan kami. Masjidil Haram agak kurang jelas. Hujan dan ribut pasir menghalang pemandangan.

Ini adalah kali ke 2 saya melalui Pengalaman berhujan di bumi Mekah. Kali terakhir tahun 2002 ketika menunaikan Haji. Inilah barakah. Hujan turun di penghujung Syaaban seolah-olah bersama-sama kami meraikan kehadiran Ramadan.

Satu perkara yang saya lihat, ribut pasir yang kencang sebenarnya menakutkan. Itu adalah perasaan saya. Jamaah mencari tempat perlindungan bukan kerana hujan tetapi bimbang dengan pukulan ribut pasir. Begitulah agaknya suasana padang mahsyar di mana manusia tidak ketentuan mencari tempat perlindungan.....

Dalam suasana yang kelam kabut, saya sempat berdoa moga Allah menjemput saya hadir di Tanah Suci sebagai tetamu khasnya setiap tahun dan mengizinkan pengunjung blog ini untuk menikmati indahnya beribadah di Masjidil Haram. Amin! (Nota:Amin kan juga doa saya ini).

Thursday, September 10, 2009

Umrah Ramadan 2009 #2 : Iftar di Masjidil Haram

Berbuka puasa di Masjidil Haram adalah satu pengalaman baru buat saya. Pada hari pertama Ramadan, saya memberi taklimat kepada rakan-rakan dan berbincang beberapa perkara ibadah termasuk adakah perlu kita perbanyakkan umrah di bulan Ramadan dan beberapa tips lain.


Kami melangkah ke Masjid sekitar jam 5 petang. Masjid sudahpun penuh. Alhamdulilah ada sedikit ruang sempit untuk kami. Kami mengambil peluang dengan membaca Al-Quran sehingga petugas menyediakan keperluan berbuka puasa seperti buah tamar, sedikit roti dan air panas kopi/teh Arab.

Photo: Persediaan iftar di Masjidil Haram

Suasana berbuka di sini jauh bezanya. Mereka berbuka dengan beberapa biji kurma dan minum banyak air zam-zam. Semangat ukhuwah begitu terasa kerana masing-masing berkongsi apa yang ada biarpun hanya sedikit bekalan. Tidak nampak gaya-gaya mewah dan riak. Di satu sudut saya perhatikan seorang CEO syarikat besar dari Kuwait amat sibuk mengarahkan pegawai/pekerja mereka menyediakan kurma dan air untuk jamaah dalam masjid. Mereka berebut-rebut memberi makan kepada insan-insan yang berpuasa.


Photo: Jamaah disediakan beberapa tray tamar dan air zam-zam untuk berbuka.

Satu perkara yang kita biasanya lupa dan tidak ambil pusing telah Allah tunjukkan kepada saya. Saya masih ingat arwah ayah saya berpesan dan guru-guru kita berpesan supaya banyakkan doa di bulan Ramadan. Budaya ini begitu jelas di Masjidil Haram. Kira-kira Sepuluh minit sebelum azan maghrib, hampir setiap individu di masjidil haram menadah tangan berdoa secara sendirian bagi mengambil barakah Ramadan. Melihat budaya positif ini, saya turut sama berdoa. Harapan saya agar saya mampu melakukan doa ini di setiap kali sebelum berbuka puasa (bukan doa makan aje ..).

Dalam tempoh 10 minit sahaja, petugas akan bertungkus lumus membersihkan kawasan solat. Mereka benar-benar professional dan pantas bertindak. Solat Maghrib segera dilaksanakan. Saya berpendapat (melalui pengalaman ini), solat maghrib selepas makan beberapa biji kurma dan beberapa teguk air zam-zam dapat meningkatkan tahap konsentrasi solat daripada makan berat, wallah’alam. Selepas solat maghrib, jamaah biasanya akan keluar dari masjid untuk pulang ke hotel atau mencari makanan kegemaran di kedai-kedai sekitar Masjidil Haram.

Mutiara Bicara:-
Allah memberi saya ilmu-ilmu dan pengalaman berikut:-
1. Lakukan doa 10 minit sebelum azan/ waktu berbuka.
2. Berkongsi makanan/minuman/rezeki dengan orang lain biarpun sedikit.
3. Berbuka dengan makanan ringan/kurma akan lebih memberi konsentrasi ibadah
4. Jika anda berpuasa di Mekah, datanglah awal ke Masjid kerana jika lewat Masjid akan penuh sesak.

Tuesday, September 8, 2009

Perjalanan Umrah Ramadan 2009 #1

Assalamualaikum semua pengunjung,

Catatan perjalanan umrah Ramadan agak lewat saya nukilkan akibat kesibukan tugas rasmi, tugas tidak rasmi dan pengisian Ramadan (nota: hanya alasan ini dapat saya beri..).

Perjalanan umrah kali ini mempunyai banyak kelainan. Pertama, kali ini saya mengambil pesawat Singapore Airlines. Setiap kali perjalanan umrah, saya akan mengambil pesawat yang berbeza supaya dapat meneliti perkhidmatan penerbangan berlainan, menambah pengalaman dan berpeluang ziarah ke negara orang secara percuma. Perkhidmatan Singapore Airlines sememangnya amat memuaskan. Bukan sahaja makanannya halal tetapi menyediakan ruang untuk penumpang menunaikan solat.

Kedua, inilah pertama kali saya menunaikan umrah berseorangan, tidak bawa isteri. Ianya mengundang emosi yang unik kerana setiap kali tawaf atau Saie isteri saya akan bersama saya, namun kali ini ianya tidak berlaku begitu. Ketiga, program umrah kali ini diuruskan sendiri dengan sokongan logistik minimum. Hanya menumpang di rumah keluarga Melayu-Arab ketika di Mekah. Ianya adalah suatu yang mencabar, namun pengalaman-pengalaman lalu sedikit sebanyak membantu.

Hari Pertama, tiba di Madinah sekitar jam 2 pagi. Saya tidak berlengah lagi. Terus bersiap untuk menemui tempat istimewa yang amat saya rindui – Raudah. Ketika rakan lain beristirehat/tidur, saya memanjangkan langkah ke Masjid Nabawi kerana bergerak secara sendirian di Raudah boleh mencairkan hati. Pak Majid (warga emas dari Baling, pertama kali ke Tanah Suci) terus melompat dari katil dan bertanya saya ”Anak nak pi masjid kah?” Saya menjawab ”Ya pakcik.” ”Pakcik nak ikut.” Tanpa saya pelawa, beliau segera bersiap.

Pagi hening itu, saya mampu membawa pakcik Majid solat sunat dan solat Subuh di Raudah. Ketenangan raudah tidak dapat diungkapkan dengan perkataan. Berada di sini lebih dari satu jam adalah hadiah khas dari Allah. Sempat juga saya muhasabah diri dan melihat kembali agenda hidup dan perjuangan. Sukarnya airmata untuk gugur, mungkin kerana kerasnya hati. Cuma bacaan imam solat Subuh mampu sedikit membantu diri yang doif ini.

Kelihatan ramai jamaah berpusu-pusu di Raudah

Selepas solat Subuh, saya membawa Pak Majid menziarahi makam Rasul s.a.w dan para sahabat.

Rindu akan Madinah dan Rasul s.a.w terubat juga akhirnya....

Monday, September 7, 2009

Menjunjung Kasih Tuanku

Alhamdulilah majlis lawatan dan berbuka puasa bersama DYMM Sultan Selangor telah berjaya dijalankan semalam 6hb Sept 2009/16 Ramadan 1430H. Majlis berlangsung dengan baik, di hadiri oleh pembesar negeri dan rakyat jelata dari berbagai keturunan (termasuk bukan Islam) dan tanpa mengira fahaman politik.

Sebelum berbuka puasa dan solat tarawikh, baginda Sultan mencemar duli menerima cenderahati buku Haji Muda sumbangan peribadi saya dan pengurusan Masjid Munawwarah.




Kelihatan baginda bertanya beberapa soalan mengenai buku Haji Muda, sempat juga saya memberi sinopsis ringkas. Kemudian secara tiba-tiba baginda menghulurkan tangan mengucapkan tahniah.

Saya berpendapat, usaha pengurusan masjid untuk mengimarahkan masjid tanpa mengira fahaman politik akan berjaya jika masing-masing mahu kembali kepada Al-Qur’an. Masyarakat muslim yang berpecah belah tidak akan menguntungkan siapa-siapa pun.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi menjunjung kasih kepada DYMM Sultan. Juga terima kasih kepada MB Selangor, Exco Agama S’gor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Di Raja , YB-YB dan semua yang hadir. Kepada AJK Masjid, Tahniah! Kerana anda telah melakukan sesuatu yang terbaik buat DYMM Sultan, ummah dan masyarakat faqir miskin dan ibu-ibu tunggal.

Thursday, September 3, 2009

Haji Muda akan ke Istana

Selepas kembali ke tanahair, banyak perkara urusan rasmi pejabat perlu diuruskan disamping aktiviti-aktiviti masyarakat yang perlu diteruskan. Blogpun tidak sempat hendak dikemaskini. Berikut adalah aktiviti terkini:-

***1. Haji Muda ke Istana ***

Saya menerima maklumat lewat malam semalam dari Setiausaha Masjid berkaitan buku Haji Muda akan ke istana. Saya terkejut menerima berita ini kerana ianya tidak pernah saya rancang atau saya fikirkan. Ungkapan ringkas saya, ”Alhamdulilah.” InsyaAllah unit protokol istana, pengurus projek lawatan DYMM Sultan Selangor ke Masjid Munawarah dan pengurusan masjid telah bersetuju buku Haji Muda diserahkan kepada DYMM Sultan sebagai cenderahati atas kesudian DYMM Sultan mencemar duli untuk bersama-sama rakyat di majlis iftar Masjid Munawwarah. Saya diminta menyerahkan 5 naskah buku Haji Muda kepada setiausaha masjid dan unit protokol istana. Jika perkara ini benar, ianya adalah satu penghormatan kepada penulis dan bakal memberi dorongan besar kepada saya untuk terus aktif bersama membangunkan masyarakat dengan acuan Islam.


***2. Tazkirah Ramadan***

Alhamdulilah, majlis tazkirah ramadan telah saya sampaikan di sebuah surau di Shah Alam malam semalam 2 Sept 2009. Undangan telah dibuat sebelum Ramadan lagi, yang mana saya merasakan perlunya saya berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu.

Secara ringkas, saya membicarakan akan pentingnya ummah memahami budaya jahiliah yang menyerang kita di setiap sudut. Dengan berpegang kepada kalimah syahadah, kita dituntut untuk menyusun masyarakat. Dalam konteks Ramadan, pemegang mohor shahadah diberi tiga bentuk kemuliaan iaitu rahmah, maghfirah dan keselamatan dari api neraka. Saya berkongsi tips bagaimana untuk kita memperolehi tiga bentuk kemuliaan ini. Di penghujung tazkirah motivasi ramadan, saya cuba kaitkan shahadah, kemuliaan dan perlunya kariah setempat sensitif kepada isu-isu masyarakat dan sama-sama membina generasi gemilang.

Hebahan Umum

HEBAHAN UMUM

MAJLIS IFTAR BERSAMA DYMM SULTAN SELANGOR dan rakyat Selangor akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 6 September 2009/ 16 Ramadan 1430H
Tempat : Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27 Shah Alam
Masa : 5 petang – 10 malam

Agenda:
5.00 Petang Ketibaan rakyat
5.30 Petang Ketibaan YAB Dato Menteri Besar Selangor
5.45 Petang Keberangkatan tiba DYMM Sultan

Penyampaian sumbangan kepada anak-anak Yatim/Fakir/Miskin
Ceramah Khas Nuzul Qur’an

7.18 malam Majlis Berbuka Puasa dan solat maghrib
Jamuan makan

8.27 malam Solat Isya, solat tarawikh
10.00 malam Santapan/jamuan makan
Keberangkatan pulang DYMM Sultan

Nota: Sumber agenda melalui unit protokol istana dan Setiausaha Masjid.


Seluruh muslimin-muslimat di jemput hadir untuk memeriahkan majlis khususnya dengan kesudian DYMM Sultan mencemar duli untuk bersama-sama dengan rakyat di majlis yang mulia ini.

Friday, August 28, 2009

Doa Buat Anda

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulilah saya telah selamat menunaikan umrah Ramadan dan selamat pulang ke tanahair malam tadi.

Kepada semua follower blog ini, saya telah mendoakan khusus buat anda di Mekah dengan harapan agar Allah memberi rezeki, dilapangkan kesihatan dan kemampuan serta diberi kekuatan untuk menunaikan Haji/Umrah. Walaupun saya tidak mengenali nama penuh tuan/puan (seperti rezeki dan alustacia) dan tidak pernah bertemu dengan yang lain, ia bukanlah halangan untuk saya mendoakan anda. Kepada anda yang pernah ke sana saya juga doakan moga Allah menjemput anda hadir lagi dan kepada yang belum dipilih, saya memohon agar Allah mempercepatkan perjalanan anda ke Tanah Suci..Amin!

Kepada pengunjung dan pelawat blog, saya turut menghulurkan doa umum agar anda juga dipilih oleh Allah untuk hadir di dua bumi yang disebut oleh Al-Quran ini. Allah tidak akan menghampakan harapan dan hasrat hambaNya yang berusaha untuk mendekatkan diri di jalanNya. InsyaAllah Allah akan memberi rezeki dan melapangkan keinginan perjalanan tuan/puan. Amin.

Saya turut berdoa agar Malaysia di bebaskan dari wabak H1N1 dan doa ini juga dibaca oleh imam As-Sudais dan imam muda Al-Maheer agar seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada dipelihara dan bebas dari wabak H1N1 dan di aminkan oleh hampir satu juta jamaah yang kini membanjiri Masjidil Haram.
Gambar diambil selepas solat tarawikh. Kelihatan manusia bertali arus melakukan Tawaf.

Anda bayangkan betapa Masjidil Haram penuh sesak (sekitar 70% penuh dari anggaran jamaah Haji) ketika ini dan mereka berdoa dengan ungkapan amin yang memenuhi segenap ruang Mekah, dengan harapan dan tangisan mengharap kasih sayang Allah.

Walaupun kita Cuma sahabat di alam maya, blog ini telah berusaha untuk merapatkan hati-hati insan dengan ikatan Cinta Kaabah. Kerana Cinta akan Kaabah inilah maka blog ini terus bermaya di alam maya.

Terima kasih semua dengan kesudian menziarahi blog ini, memberi komen dan bersama-sama saya untuk misi Haji Muda dan usaha mencintai Kaabah/Baitullah, mendaulatkan Allah dan RasulNya dan menterjemahkan Haji/Umrah dalam konteks aplikasi kehidupan.