Followers- Jalinan Ukhuwah

Tuesday, March 29, 2011

Kita akan Menangis...


Beberapa bulan/minggu ke belakangan ini saya sering menerima email dan sms mengucapkan terima kasih dengan menjadikan bacaan ayat Qur’an sebagai latar belakang blog Haji Muda. Mereka merasakan hati damai dengan bacaan yang indah dari suara insan yang ikhlas ini.

Yang nyata, bacaan Qur’an ini saya khususkan untuk diri saya yang lemah dan kadang-kadang lupa dengan ALLAH. Dengan bacaan Quran yang merdu kemudian disusuli dengan penghayatan intipati bacaan, hati akan meruntun laksana padi menyembah bumi.

Arwah abah saya sering berpesan biar tinggi mana pangkat, besar mana harta dan ilmu yang bertimbun, maka bawalah hati serendah bumi. Hati yang menongkat langit akan melahirkan jiwa yang sombong dan ego yang memakan diri. Kekayaan pula akan menjadikan kita lupa dan kemewahan melampau akan mengelapkan hati.

Hati kita akan bercahaya bila kita baca Qur’an atau mendengar ayat-ayat ALLAH.

Berapa ramai kita yang mampu menangis bila mendengar ayat-ayat ALLAH?

Berapa ramai antara kita yang sudi merendahkan diri berhadapan dengan ALLAH?

Berapa ramai mampu menjadikan solat sebagai medan daifnya kita di sisi Tuhan? Atau solat sekadar rutin harian yang perlu dilaksanakan?

Kita mungkin tidak mampu menangis kerana ALLAH akibat banyak ketawa,

Kita mungkin tidak mampu menangis kerana ALLAH, bila perut sentiasa penuh

Dan kita tidak mampu menangis bila tidak sentiasa menjadikan ayat-ayat ALLAH sebagai teman perjalanan hidup….

Dan kita pasti akan menangis bila Malaikat maut mengetuk pintu mengajak kita pulang….

“Ya ALLAH, terimalah semua amalan kami dan ampunilah segala dosa hambaMU ini..”

Monday, March 21, 2011

Dubai

Dubai- bandar mewah moden. Kenangan berada di Dubai akhir bulan Feb 2011 lalu.

Dubai: Burj Arabia dari jauh

Dubai Akuarium & Underwater

Dubai Akuarium & Underwater


Dubai: Palm Jumeira & Atlantis

Dubai: Dubai Mall/Burj Khalefa


Dubai: Burj Arabia

Sunday, March 20, 2011

Cuti Sekolah- Masuk Hutan


Alhamdulilah, cuti sekolah yang singkat ini saya membawa anak-anak masuk hutan untuk mereka belajar menghargai ciptaan Tuhan dan indahnya alam.

Tiga hari berada di persekitaran gunung amat menenangkan fikiran. Cuaca sebelah malam dan pagi pula agak dingin dan segar. Tiada deruman kenderaan dan hiruk-pikuk bandar yang menjemukan. Masyarakat sekitar juga agak friendly dan makanan juga mudah didapati. Cuma program untuk mendaki gunung di sekitar kawasan ini terpaksa ditangguhkan kerana hujan disamping tidak sesuai untuk anak-anak kecil.

Komunikasi melalui internet juga agak sukar. Tapi ALhamdulilah, ALLAH memberi peluang untuk 'break' sekejap. Peluang ini dapat mencambah /mencari idea-idea baru meniti kehidupan.

InsyaALLAH saya akan hadir lagi ke sini untuk merasai nikmatnya ciptaan Tuhan.

Saturday, March 19, 2011

Aktiviti Mac 2011




Alhamdulilah beberapa aktiviti telah berjalan dengan baik dalam tempoh beberapa minggu ini.
  • Menerima surat dan Kad Tauliah dari MAIS/JAIS untuk memberi ceramah di Negeri Selangor bagi tempoh Dis 2009- Dis 2014.

  • Di jemput untuk memberi ceramah di sebuah IPTA bagi berkongsi:-
i. Strategi untuk berjaya pada tahap PhD/DBA kepada pelajar-pelajar PhD/DBA.

ii. Kemudian, diberi peluang untuk bertemu dengan pelajar-pelajar EMBA/MBA IPTA ini dan seterusnya berkongsi dengan pelajar-pelajar ini mengapa mereka perlu meningkatkan ilmu hingga ke tahap kedoktoran.



Di akhir ceramah, saya berkongsi bagaimana saya menyakini bahawa Haji & Umrah mampu mencorakkan pemikiran dan akhlak pemimpin Islam di sektor korporat dan awam.

Saturday, March 12, 2011

Umrah- KLIA Sesak

Foto: Jamaah sesak di KLIA

Alhamdulilah semalam saya sempat menghantar jamaah umrah grup saya seramai 13 orang di KLIA. Hasrat menunaikan umrah musim sejuk tahun lepas tidak kesampaian kerana visa umrah dibekukan oleh Kerajaan Saudi.

Ketika tiba di KLIA saya agak terkejut kerana kawasan parkir bertingkat penuh. Hanya tinggal parkir di Lot C. Kenderaan berbaris panjang untuk memasuki ruang parkir. Pengalaman saya ke KLIA, inilah pertama kali kenderaan terpaksa bersusun panjang di luar kawasan untuk memasuki ruang parkir.

Di ruang check-in, jamaah dan ahli keluarga sudahpun penuh sesak. Suasana ini laksana menghantar jamaah Haji di TH Kelana Jaya. Cuma emosi Haji sedikit kurang jika dibandingkan dengan suasana di KLIA ini.

Kesedaran dan kesungguhan rakyat Malaysia untuk ke Tanah Suci perlulah dipuji. Suasana dan keinginan ini tidaklah mendesak 8 atau 10 tahun yang lalu. Dengan kesedaran, mereka sanggup berjalan jauh dari Utara dan Selatan Tanahair untuk ke KLIA. Mereka juga menaiki pelbagai pesawat seperi MAS, Saudi, Jordan, Pakistan, Biman, SriLanka yang berlepas pada waktu yang hampir sama. Justeru tidak mustahillah jika KLIA sesak.

Ada juga beberapa warga emas bertongkat, berkerusi roda dan ada yang perlu dipimpin oleh ahli keluarga untuk sama-sama menghidupkan cahaya iman di Tanah Suci.

Saya mendoakan semua ahli jamaah dan para Tetamu ALLAH warga Malaysia moga kembali dengan pencapaian tertinggi dalam hidup, mendapat umrah mabrurah dan sama-sama berganding bahu untuk membina diri dan membangunkan masyarakat. AMin!

Saturday, March 5, 2011

Iran#4: Kewangan Islam Di Ragui?

Foto: Bersama Pengarah Urusan sebuah korporat di Mashad

Foto: Bersama Ahli Lembaga Pengarah Oil & Gas diTeheran


Pada hari terakhir saya di bumi Iran, saya dikunjungi oleh dua Professor dari Universiti ternama di Iran. Mereka menjemput saya untuk makan tengahari dan bertukar fikiran mengenai Kewangan Islam dan implementasinya dalam konteks membina ummah.

Sebelum saya bertemu mereka, di sebelah pagi saya bertanya peserta program mengenai pandangan mereka mengenai Kewangan Islam di Iran. Adakah institusi kewangan Islam Iran banyak menghulurkan bantuan untuk memajukan ahli-ahli perniagaan dan korporat Iran?

Ringkasnya, beberapa persoalan lain diungkai melalui diskusi intelektual ini. Secara umum hampir 100% tidak bersetuju cara pelaksanaan kewangan Islam di Iran dan institusi kewangan mereka pula tidak banyak membantu persekitaran bisnes di sana. Kami berdiskusi panjang khususnya dalam konteks bagaimana Negara-negara Islam di bawah OIC seharusnya memainkan peranan. Wallah’alam.

Persoalan yang ingin saya kongsi ialah masyarakat Syiah juga mempertikaikan sistem kewangan Islam yang sedang digunapakai. Justeru, apa alternatif yang ada? JIka ada, bolehkah pilihan ini dilaksanakan di dalam keadaan kita mengamalkan dasar kapitalis, dikelilingi manusia-manusia yang hipokrit, mementingkan perut sendiri, berfikiran materialistik dan korup? Masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

Di akhir diskusi, saya dimaklumkan ada satu kelompok masyarakat yang benar-benar mengamalkan dasar sistem kewangan Islam. ALLAHU AKBAR! Cetek betul ilmu saya. Wujud rupanya kumpulan ini di atas mukabumi (Nota: Masih Ingat cerita saya dalam blog ini entri Mencari Insan Ikhlas di Jabal Nur?) Siapakah kumpulan ini? Saya tiada jawapan tetapi saya berazam akan mencari mereka dengan izin ALLAH. InsyaALLAH.

Sebelum berpisah saya nyatakan kepada dua orang Profesor ini ie. Biarpun anda berdua berfahaman Syiah dan saya pula berpegang teguh kepada AHlul sunnah wal-jamaah, ianya bukanlah tembok untuk kita bekerja keras merealisasikan kewangan Islam. Walaupun sukar dan siapalah kita, jalan penyatuan di bawah kalimah syahadah perlulah dijadikan asas pertemuan demi ALLAH, Rasul s.a.w dan Islam.

Permusuhan syiah dan sunni yang menjangkau ribuan tahun tidak seharusnya dibiarkan walau atas apa hujah. Ianya hanya merugikan dan mengeringkan energi kita untuk terus maju.


Wednesday, March 2, 2011

Jemputan

Assalamualaikum semua,

Saya berbesar hati mempelawa tuan/puan/saudara/i untuk menghantar dan berkongsi sajak atau nukilan hati untuk dimasukkan ke dalam buku saya yang terbaru berkaitan dengan Haji & Umrah.

Manuskrip buku ini sedang melalui proses editing dan insyaALLAH akan siap sepenuhnya pada akhir bulan Mac 2011.

1. Sajak atau nukilan hendaklah berkait dengan tema buku berkaitan Haji atau UMrah.
2. Panjang tidak lebih satu mukasurat .
3. Keputusan untuk memilih sajak/nukilan adalah di bawah budi bicara Ketua Editor.
4. Ganjaran:- Tiada ganjaran duniawi diberikan. Namun saya akan usahakan nama tuan/puan/sdr/i tertera di akhir sajak/nukilan. Ianya akan menjadi copyright Penerbit. Ganjaran mutlak adalah milik ALLAH dan itu yang seharusnya kita kejar.


Matlamat Buku:
1. Berdakwah mengajak masyarakat segerakan Haji/UMrah
2. Memberi banyak tips Haji/Umrah berpandukan rujukan dan pengalaman sebenar hands-on Haji/umrah.

Sila majukan sajak/nukilan ke email saya tigeridz@gmail.com selewatnya Sabtu 5 Mac 2011.

Terima kasih dengan sokongan. Projek ini adalah projek kita bersama sebagai bekalan menemui Tuhan Semesta Alam.