ALHAMDULILLAH, Segala puji hanya milik Allah yang Maha
Menguasai langit dan bumi. Selawat dan salam ke atas junjungan & kekasih Allah, Muhammad s.a.w.
Di saat jemari ini menari, kita berada di penghujung bulan
Zulkaedah. Beberapa hari lagi saya akan menyambut tarikh kelahiran saya dalam
bulan Hijrah ie. 26 Zulkaedah. Bila diukur usia dalam kalender Hijrah, ternyata
saya makin lanjut usia walaupun masih kelihatan muda jika diukur kelender
masihi.
Saudara dan sahabat KHM, sesungguhnya amat beruntung orang yang kaya raya. Apatah lagi jika Kaya harta disertai kaya hati budi. Kadang-kadang kita melihat ukuran kejayaan dari sudut duniawi yakni karena banyaknya harta, mewahnya rumah dan canggihnya kereta. Kita “envy” dengan kemewahan kawan-kawan yang memiliki rumah banglow, kereta BMW, setiap tahun melancong ke luar negara dan kelihatan serba-serbinya senang dan kaya.
Dalam satu program motivasi, saya pernah bertanya kepada
peserta,
”Adakah anda mahu kaya?”. Boleh dikatakan 100% kata “Ya!”.
Bila isu ini diperbahaskan, maka timbul lagi satu ayat “Saya
tidak mahu kaya, tetapi saya mahu hidup senang!”
Dari sisi pandang yang lain, pernahkah kita menilai orang
yang miskin sebagai kaya? Tentu pelik soalan ini....
Hakikatnya, kita terkadang lupa definisi kaya yang hakiki
iaitu kekayaan individu yang tidak sepatutnya diukur dari sisi hartanya,
melainkan dari segi makna disebalik kehadiran hartanya. Hartanya mungkin hadir berkat kaya usahanya, kaya ilmunya,
kaya jasadnya, kaya ketrampilannya, kaya penampilannya, kaya amanahnya, kaya
sebab imannya mahupun kaya kerana kesabarannya.
Secara umum ada empat ukuran kekayaan.
Pertama
kaya llmu. Ilmu adalah kekayaan yang
nilainya lebih tinggi dari kemewahan material, bahkan Allah meninggikan orang
yang berilmu beberapa derajat ketinggian (rujuk ayat Al-Qur’an di atas). Sesungguhnya, orang
yang berilmu akan dihargai daripada orang yang tidak berilmu. Itupun jika ilmunya
dikongsi dan dimanfaatkan. Jadi, kayakanlah diri dengan ilmu. Kelab Haji Muda
(KHM) sangat menekankan ilmu dan sentiasa istiqamah dengan majlis ilmu. Jemputlah
hadir ke Program Kuliah mingguan KHM (Sila rujuk facebook/kelab Haji Muda ATAU facebook/drridzwan untuk maklumat terkini program).
Kedua, seseorang yang kaya dari sudut lahirnya anak soleh dan solehah.
Anak yang soleh dan solehah merupakan aset terbesar bagi kedua orangtua. Dalam satu
hadis diriwayatkan bahwa jika anak Adam meninggal, maka putuslah semua amalnya kecuali
tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat, dan doa anak yang saleh.
Tetapi, anak soleh dan solehah perlu dibentuk dan dibina. Ianya sangat mencabar
di alam yang tanpa sempadan ini.
Ketiga, kaya dengan memiliki hati ikhlas dan berjiwa bebas. Kekayaan boleh juga datang dengan perasaan jiwa yang bebas, disaluti elemen ikhlas. Ianya sangat nikmat untuk dirasai. Bilal Bin Rabah r.a. menjadi kaya bilamana menjadikan sandaran Ahad! Ahad! Ahad! Dan kalimah shahadah sebagai pembentuk jiwa bebas dan ikhlas. Dalam satu kisah diceritakan bagaimana penghuni langit tidak mendengar panggilan azan di satu Subuh dek kerana muazin melaungkan azan dalam keadaan sombong dan tidak ikhlas. Sang Malaikat berbicara apakah umat Madinah tidak solat berjamaah Subuh di hari itu? Ianya bukan sebab umat Madinah tidak solat Subuh berjamaah di masjid Nabawi, tetapi bukanlah Bilal bin Rabah yang mengazankan panggilan solah dan al-falah. Laungan azan digemakan oleh seorang sahabat yang memperlekehkan suara kurang merdu Bilal. Suara merdu dan sedap bukanlah ukuran kejayaan dan kekayaan di sisi ALLAH dan petugas langit. Hati ikhlas dan jiwa bebaslah yang memenangkan keazaman untuk kaya di mata ALLAH.
Keempat, kaya dengan Sedekah. Setiap harta yang digunakan di jalan Allah, tidaklah akan berkurang, bahkan terus bertambah.....annuiti (KHM Dana Annuiti Akhirat). Dengan infak itulah rezeki kita akan menambah berat pahala di hari perhitungan nanti. Juga sedekah dapat membebaskan stress, membersihkan hati dan menjemput rezeki. Mungkin tidak KAYA tetapi sentiasa SENANG!
Saudara dan sahabat sekelian, ayuh usahakan untuk memasuki
kelab orang kaya atau orang “miskin” tetapi SENANG! Kayakanlah diri dengan ILMU, anak
soleh/solehah, hati dan jiwa bebas dan kaya bersedekah. Biar "miskin" di mata manusia tetapi Kaya di mata ALLAH!
Allahu Akbar!