Followers- Jalinan Ukhuwah

Showing posts with label Haji. Show all posts
Showing posts with label Haji. Show all posts

Saturday, July 21, 2018

Nak Juga Pergi Haji....


Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu akbar, sebagai hamba tentunya kita merasa sangat kerdil. Allah masih memberi kita peluang untuk berkorban, berbakti dan beramal. Di saat kita berangkat ke Barzakh nanti, tiada lagi peluang untuk berbakti, berkorban dan beramal. Tiada lagi ibadah khusus, tiada lagi Sadaqah yang kita sangat berkira-kira.

Tahun 2016, saya dan isteri menerima jemputan menunaikan Haji Kali ke-2. Ketika itu, saya teringat buku Haji Muda yang sudah berusia 10 tahun. Meloncat hati bila menerima tawaran Haji No 1 yang telah dipahatkan dalam karya motivasi haji muda. 

Saya termenung ketika itu. Peluang yang sangat berharga yang lebih Satu juta rakyat Malaysia sedang menanti. Urusan dunia dan keperluan untuk membesarkan anak-anak menjadi prioriti saya ketika itu. Ianya bukan halangan, tetapi menuntut kebijaksanaan hidup. 

Orang bertanya, kenapa tak nak pergi haji kedua itu? 

Ringkasnya, ia melibatkan Lima faktor.

1.   Haji kedua tidak wajib. Berikanlah peluang kepada orang lain. Moga ALLAH menerima niat saya ini sebagai amal soleh

2.  Haji ke 2 tiada subsidi. Kos haji kedua mencecah RM20 ribu seorang.  Jika suami isteri, sudah tentu saya perlu sediakan RM40 ribu untuk dibayar ke pakej Muasasah Tabung Haji. 

3.  Jika berpeluang, saya mahu Haji ke 2 dalam keadaan saya mahu berkhidmat kepada TH atau agensi pengurusan Haji. Jadi konselor, pembimbing dan bagi kuliah pun dah kira okay disamping berdamping dengan warga emas. Belajar berkhidmat adalah satu perkara yang mulia. 

4.  Komitmen pejabat yang telah dibuat. Haji perlu perancangan apatah lagi ianya haji ke 2. Perlu juga minta cuti tanpa gaji 40-48 hari. 

5.  Saya berhasrat untuk membeli tanah sawah dan membesarkan sekolah yang saya dan ust H. Yopi Nurdiansyah AL-Hafiz usahakan. Miftahulkhoir Quranic Boarding School (MQBS) sentiasa di hati saya dan isteri. Berdamping dengan anak-anak huffaz santri/santriah sentiasa menghiburkan. Sentiasa rindu suasana dingin dan nyaman sulaman sawah menghijau... lokasi di mana zikir dan AL-Qur'an menjadi ulam kehidupan. 

Baru baru ini sahabat saya, Hj Rosazmi CEO Haramain Global, menawarkan visa Haji Furada. Allahu Akbar terharu saya. Bisikan hati yang didengari Allah. Terima kasih Hj Rosazmi dan Ust Fazli. 

Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak bersedia untuk ke Tanah Suci tahun 2018 untuk tempoh panjang. Saya sudah buat banyak komitmen khususnya untuk program pembangunan ilmu Multimedia Universiti, pembangunan ummah seperti iWaqf Tabung Wakaf Negara, Bank Wakaf International (BWI), Bandar Wakaf Islam Munawwarah, membantu JAWHAR dan MAINS untuk waqf professional dan jemputan ceramah korporat untuk program Islamic Leadership/Islamic Finance.  

Kelab Haji Muda juga memerlukan sentuhan dan Buku Motivasi Islami No 4 pun masih belum diterbitkan... Buku Motivasi No 5 sedang mula menari di sisi keyboard PC. 
Lemahnya hidup insan, banyak kerja nak buat...


Apapun, saya memberi komitmen kepada Tn Hj Rosazmi, InsyaALLAH saya akan hadir membantu jamaah haji pada 28hb Julai nanti. Jemput hadir- Gratis!

Haji dan umrah adalah dua ibadah yang berbeza walaupun kelihatan sama. Hanya ALLAH tempat kita menyembah dan memohon pertolongan. Rezeki urusan ALLAH, bukan urusan manusia. 

Nota: Masih menunggu Publisher untuk menerbitkan buku no 4. 

Thursday, October 2, 2014

Arafah





Alhamdulilah, beberapa jam lagi, umat Islam para dhuyufur Rahman akan berangkat ke Arafah. Perjalanannya tidaklah jauh tetapi amat mencabar khususnya ketika cuaca masih panas. Dan di saat ini, para jamaah haji sudah bersedia untuk bertalbiah mengagung dan mengesakan ALLAH.

Arafah adalah tempat yang istimewa dan khusus.

Wahai Tetamu ALLAH,
Pandanglah kalian ke langit Arafah. Renungilah bahwa pada hari yang mulia ini Allah s.w.t. akan  memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah, dan membangga-banggakan anda semua yang sedang wukuf di Arafah di hadapan para malaikatnya.

Disebutkan dalam hadits qudsi bahwa Allah berfirman:

“ Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang kesini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku”

Di saat ini,
Imbas kembali kisah silam
Bukalah buku catatan amal sebelum sang Malaikat berbicara tentang amalmu,
bentangkan dosa-dosamu di padang Arafah ini,
ingatlah kembali satu persatu dosa-dosa yang pernah engkau lakukan,
Semak kembali  saat waktumu yang selama ini habis di sia-sia
Atau mindamu yang sangat sibuk memperindah kehidupan dunia.

Buatlah Pengakuan yang jujur dan ikhlas,
di hadapan Allah, dipuncak Haji di Padang Arafah ini...

Hari Arafah,
adalah hari Allah dekat sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang sedang berwukuf
mendengar rintihan hambaNya dan menanti doa sang hamba

Rasululah saw bersabda :
“ . . . Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang di Arafah. Dengan bangga Ia bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu ? “

Friday, February 28, 2014

SINOPSIS KULIAH MAGHRIB- TARBIAH & MANASIK HAJI UMRAH 27 FEB 2014 MASJID ASSHARIF MERU

Alhamdulilah dengan izin ALLAH kuliah inspirasi bulanan “Tarbiah & Manasik Haji UMrah” Siri ke 10 telah saya sampaikan (setiap Khamis terakhir bulan di Masjid Asy Sharif, Pekan Meru Klang),  pada malam semalam. NOTA: Kuliah mengupas buku Rindu Baitullah ini telah bermula pada bulan Mac 2013, sudah hampir setahun. 



Kupasan buku Rindu Baitullah ini menyentuh Bab 12- Membina Kasih di Tanah Suci. Izinkan saya berkongsi ringkasan kuliah.

Perkara pertama yang disentuh adalah berkait dengan muhasabah diri bahawa kita semua adalah insan yang lemah, sentiasa lalai dan melakukan kesilapan. Lantas, kita perlu menerima hakikat bahawa hubungan kita dengan ALLAH tidaklah semantap mana. Dalam kerapuhan komunikasi dengan ALLAH, ALLAH memberi kita peluang untuk focus membina kasih dengan menjadi tetamuNYA. 

Kedua, kita perlu berusaha membina cinta kepada ALLAH. Ada empat cara untuk kita meraih Cinta ALLAH mengikut pandangan Dr Aidh Al-Qarni:-
1. Membaca Al-Qur’an
2. Melepaskan dunia dan zuhud terhadapnya
3. Qiyamulail
4. Merenung tanda-tanda kebesaran ALLAH

Haji dan Umrah adalah peluang sang hamba meraih cinta ALLAH. Biarpun empat perkara di atas boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja, berada di Tanah Suci mengukuhkan cinta hamba kepada ALLAH. 

Ketiga, Haji dan Umrah juga menjemput dan memperkukuhkan cinta kita kepada Rasululah s.a.w. Bukan sekadar berselawat, tetapi kita hadir menziarahi Baginda di Tanah Suci dan meneliti sirah yang ditinggalkan.

Keempat, Haji dan umrah juga mampu membina cinta antara suami/isteri, mertua/menantu, yang baru kahwin atau yang baru nak revisit perkahwinan. Di tanahair, kita sering alpa untuk solat bersama suami/isteri dan anak-anak. Bila kita jarang solat bersama ahli keluarga, bagaimana pula kita hendak berdoa sama-sama dengan mereka?  Kesibukan hidup dan mencari rezeki akan menjadikan kita terlupa peranan untuk bersama quality time bersama suami/isteri dan anak-anak.

Adakah kita perasan bahawa kita mungkin:-
1. Berdoa sendirian biarpun tidur sekatil dan hidup sebumbung?
2. Memberi perhatian lebih kepada entri  facebook dari entri dengan Tuhan dan suami/isteri/anak2?
3. Memfokus kepada banyak likes facebook dari di likes oleh ALLAH dan suami/isteri?

Lantas haji dan Umrah adalah hadiah ALLAH untuk kita meraih cinta suami/isteri mahupun cinta antara mertua/menantu. 

Di Tanah Suci, kita akan berdoa sama-sama dengan suami/isteri kita dilokasi strategik seperti di Multazam, Hijir Ismail pancur emas, Maqam Ibrahim dll. Bukankah itu cara terbaik membina cinta di Tanah Suci?

Diakhir kuliah, beberapa tips penting Haji & Umrah dikongsi berserta beberapa kisah sahabat Rasululah s.a.w yang berkait dengan Cinta kepada ALLAH, Rasululah s.a.w dan Islam.  Wallah’alam.

Tuesday, August 27, 2013

TIPS HAJI #1/2013: AURAT


 Foto: Banyak tips Haji/Umrah dikongsikan di buku ini

Ramadan telah berlalu meninggalkan kita.  Suasana keceriaan Ramadan, kejernihan hati dan kesibukan jasad kian menyepi.  Shawal yang ada juga hampir meninggalkan kita.

Bagi mereka yang sudah menyiapkan Pusat Enam, Tahniah diucapkan. Bagi mereka yang masih terkial-kial mencari waktu, masa masih ada. Bagi jamaah haji yang terpilih, Tahniah!  Anda sangat istimewa kerana menjadi Tetamu Khas ALLAH.

Ramadan mengajar kita berakhlaq dan beradab. Antara adab terpenting ialah menjaga solat dan aurat.

Wahai saudara/iku,

Saat anda  mendirikan shalat menghadap Allah swt tentu anda berpakaian lebar dan panjang. Anda tentu tidak berani berpakaian ketat dan pendek. Anda tentu tidak berani menampakkan sebagian atau seluruh bagian auratmu, atau menampakkan bentuk lekuk-lekuk tubuhmu.

Solat membentuk akhlaq diluar solat. Justeru, sama jugalah  halnya di dalam kehidupan sehari-hari di luar (selain waktu solat). Tentu sekali kita disyariatkan untuk tidak  menentang Allah dan Rasul-Nya. Kita semua tahu dan faham yakni ajaran Islam adalah termasuk cara berbusana yang bukan sekadar ketika mengadap ALLAH ketika solat , bahkan perlu  diamalkan dalam semua aktiviti kehidupan.

Bagi jamaah haji, kursus-kursus haji mengingatkan kita supaya menjaga aurat samada lelaki mahupun wanita.  Pakaian ketika di luar waktu solat di Mekah dan Madinah sehendaknya sama dengan ketika jamaah bersolat.

Solat juga perlu dipelihara khususnya solat dalam pesawat, ketika bermusafir Mekah-Madinah dan sentiasa perlu berjamaah di dalam Masjidil Haram/ Nabawi.  Peluang anda mengaut laba yang dijanjikan, sudah tentu menjadikan  insan  yang tidak dijemput ALLAH ke tanah suci merasa cemburu.


Friday, November 4, 2011

Ruginya Kita...


Pernahkah anda berhadapan dengan kerugian?

  • Ada antara kita merasa rugi kerana lambat menjadi ahli MLM
  • Ada juga merasa rugi lambat beli rumah
  • Ada pula fikir rugi tidak belajar sungguh-sungguh
  • Mungkin ada juga terfikir rugi jika tak ambil rasuah
  • Segelintir pula rugi menolak tuah.

Kita boleh senaraikan banyak factor kerugian duniawi…mungkin berjela-jela senarai boleh dikemukakan.

Adakah kita terfikir betapa ruginya kita tidak menjadi Tetamu ALLAH untuk Haji?

Ya… kita sebenarnya rugi dan berterusan hidup dalam kerugian jika tiada bekalan iman dan takwa. Dan kita juga rugi tidak menjadi Tetamu ALLAH.

Beberapa jam lagi, InsyaALLAH jamaah Haji Malaysia akan berangkat ke Mina. Mereka amat beruntung menjadi insan terpilih. Duduk beribadah dan berdoa di Padang Arafah, suatu nikmat yang tidak kita rasai di Malaysia.

  • Kita juga akan merasa rugi jika Lambat daftar Haji
  • Kita juga rugi kerana terlupa untuk melakukan ibadah korban…


Jadi apa yang tinggal untuk kita?

Rasululah s.a.w berpesan, jika kita tidak melakukan ibadah haji, kita masih belum rugi jika:-

  • Kita berpuasa pada Hari Arafah
  • Kita melakukan ibadah korban
  • Kita berTakbir Eid-Adha hingga hujung hari Tashrik
  • Kita sungguh-sungguh berazam untuk ke Tanah Suci lagi samada untuk Haji atau UMrah

Kita tidak akan rugi jika beramal dengan surah AL-Asr.

Saturday, October 15, 2011

Last-Call


Hari ini sudah hampir separuh jamaah haji sudah berangkat. Ramai juga rakan dan saudara mara saya telah dipilih ALLAH di bawah kategori ‘last-call’ selepas berikhtiar membuat rayuan di TH. Mereka akan berangkat di penghujung bulan Zulkaedah nanti. Alhamdulilah.



Maka saya nukilkan,

“Orang kaya dan miskin

Berharta dan tiada harta

Berstatus dan insan biasa

Bos dan kuli

Pengarah dan kena arah

Berakhlaq dan miskin akhlaq

Pemilik Mercedes mahupun kancil

Empunya banglo atau rumah usang

Warga Bandar mahupun desa terpencil

Warga emas mahupun beliawan/wanis

Mereka beramai-ramai menyambut seruan Labaikallah….”


Itulah dia KEHEBATAN HAJI, seruan labaikallah yang amat meruntun hati....


Berdasarkan kajian peribadi, mereka yang terpilih dalam ketegori ‘last-call’ ini akan merasakan tidak puas. Mengapa?


1. Persediaan awal tidak lengkap.

2. Banyak perkara penting yang perlu diselesaikan dalam tempoh singkat (sebelum berangkat)

3. Keletihan mental bila tiba di Tanah Suci

4. Terus masuk Mekah di kala jamaah Haji sudah mula berkumpul menanti wukuf.



Itu adalah kisah jamaah haji, Beruntung sungguh mereka biarpun berada dalam kategori ‘Last-Call’.

kita yang tinggal ini bagaimana pula?

Sudahkah kita bersedia untuk berangkat?

Bagaimana jika kita dijemput ILAHI tanpa ada fasa ‘Last-Call’?


Sejarah membuktikan bahawa ALLAH tidak menerima taubat ‘last-call’. (Penegasan: bukan maksud saya jamaah haji dalam kategori ‘last-call’ amalan Haji mereka tertolak. Jamaah Haji ‘last-call’ adalah insan terpilih yang sangat istimewa kerana nama dan doa mereka diangkat oleh ALLAH untuk menghadirkan hati dan diri di RumahNya).


Firaun mengakui Tuhan selepas menerima azab Tuhan di Laut Merah sungguhpun beberapa peringatan Tuhan diberikan kepada si Firaun ini. Oleh itu, ungkapan astagfirullahhalazim perlu diungkapkan oleh kita disetiap detik tanpa perlu menunggu kategori ‘last-call’. Usah dinanti usia pencen atau beruban untuk menginsafi diri.


‘Biar panjang manapun usia dunia, usia kita amat singkat

Biar megahnya diri kita dengan dunia, ia akan hapus

Biar panjangnya malam, pasti fajar terbit

Biar panjangnya umur, kubur tetap menanti…’

Yang kekal Cuma ILAHI.


ALLAH memberi penegasan dalam Al-Qur’an surah AL-Qiyamah 26-28

“Sekali-kali jangan. Apabila nafas telah mendesak sampai ke kerongkong dan dikatakan (kepada mereka), ‘Siapakah yang dapat menyembuhkanmu’ dan dia yakin sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia).”


Usahlah menanti ‘last-call’ untuk membuat persediaan bermusafir ke alam seterusnya. Sama-samalah kita berdoa moga hati dan jiwa kita sentiasa mahu berdamping dengan Baitullah yang dijanjikan keamanan dan keselamatan oleh ALLAH.


Maha SuciMU Ya ALLAH, ampunilah setiap butir kesalahan kami dan berikanlah kami hati yang bersih untuk sentiasa mengingatiMU dan juga bersih hati sesama hamba-hambaMU. Amin!



Friday, October 7, 2011

Budget 2012 & Haji 2040?


Di dalam perjalanan ke KLIA petang tadi, saya sempat mendengar pembentangan Budget 2012. Secara umum, budget 2012 adalah lebih baik dari budget tiga tahun kebelakangan ini (saya belum sempat mengkaji secara terperinci butiran dokumen budget 2012). Namun saya tertarik untuk kupas isu di bawah.

Di akhir pembentangan, Dato Seri Najib menyebut:-

"Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji sebagai Rukun Islam kelima sentiasa saja berkumandang kepada hamba-hamba-Nya untuk menuju Baitullah dari mana saja penjuru dunia. Dalam hal ini, Kerajaan menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai tabungan minimum sebanyak RM1,300.

Justeru, bagi membolehkan bakal jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, Kerajaan dengan ini membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui penghadangan atau ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak RM1,300. Melalui kaedah ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu masih kekal dalam KWSP tetapi pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji."


Ketika menunggu pesawat saya menerima sms dari seorang hamba ALLAH mengucapkan terima kasih kepada buku Rindu Baitullah dan Haji Muda. Impaknya, hamba ALLAH ini telah mendaftar untuk haji dan diberi tahun 2040!! Alhamdulilah, bersyukur saya dengan keazaman insan ini. Moga ALLAH izinkan beliau menjadi TetamuNYA pada tahun yg lebih awal dari 2040.

2040.... lamanya.. Alhamdulilah itulah realiti!

Bila Dato Seri Najib bentang budget dengan membenarkan ahli KWSP mengeluarkan caruman utk daftar haji, maka saya rasa ada yang tidak kenanya. Mengapa?

1. Sepanjang pengetahuan saya, pegawai sektor awam tidak mencarum di KWSP. Jadi cuma pekerja sektor bukan kerajaan akan mendapat faedah dari dasar ini. Kebanyakkan (lebih satu juta) pegawai kerajaan adalah muslim. Justeru, bagi pegawai kerajaan, apa solusinya?

2. Saya tidak yakin (nota: bukan kajian ilmiah), bahawa umat Islam tidak mampu mendeposit RM1300 untuk daftar haji. Pada hemat saya, masyarakat tidak mampu untuk mengumpul dana secukupnya bagi memenuhi kos haji RM9,900 itu kerana desakan hidup dan kos yang meningkat (sungguhpun kerajaan melalui Tabung Haji memberi subsidi lebih kurang RM4,500 untuk setiap jamaah haji). (Nota: ada antara kita tidak mampu mendisiplin diri dari mengeluarkan wang dalam akaun TH kerana tekanan kos hidup. Ini dapat dilihat jelas pada bulan Disember dan Januari bagi memenuhi keperluan kos sekolah anak-anak).

Justeru saya masih berpegang kepada pendapat saya sebagaimana yang telah saya kongsikan di dalam tulisan saya di akhbar Berita Harian dan Utusan lebih kurang tiga tahun lalu dan juga cadangan saya yang turut saya kongsikan di dalam buku Rindu Baitullah dan Haji Muda. Mungkin berat untuk KWSP melaksanakan cadangan saya yang telah dibukukan itu. Namun saya menyakini bahawa dana KWSP tidak akan susut kerana berkat Haji dan Baitullah akan melimpah ke dalam uncang dana KWSP dan menyinari hati2 manusia untuk berubah dan melakukan kebaikan untuk ummah dan negara.

Kepandaian manusia tidak akan mampu menyaingi keHEBATAN ALLAH dengan asma' Ar-Rahman Ar Rahim itu.

Saya masih yakin ada cara yang lebih baik untuk membantu rakyat Malaysia menunaikan Haji. Pun begitu, terima kasih kepada PM kerana mengusulkan kebenaran pengeluaran RM1,300 wang KWSP pencarum bagi tujuan daftar haji.

Wallah'alam.


Tuesday, October 4, 2011

Haji DiRindui Hati



Haji dan Umrah adalah ibadah yang amat dirindui oleh hati. Hati dan fikiran kita perlu diajak berkelana keluar dari kepompong hidup yang sempit itu. Sungguhpun dunia ini kelihatan luas; langit, bumi dan lautan, namun jiwa kita terasa sempit dengan tekanan dan kehidupan yang amat menekankan kemewahan duniawi.

Kita sedang sama-sama lalai berebut dunia dan pangkat dengan menzalimi orang lain.

Dalam buku Rindu Baitullah saya ada menekankan satu bab penting iaitu ayuhlah jemput masuk ke Zon Spa Hati. Mengapa ianya perlu?

Jika kita masih tidak peka dengan kehidupan maka sesungguhnya kita sedang menoreh keharuan. Kemewahan dunia yang sedang kita himpunkan tiada ertinya di sisi ALLAH tanpa bekalan taqwa. Hakikatnya, Haji adalah ibadah lanjutan bagi memantapkan taqwa selepas kita Berjaya dengan tarbiah Ramadan.

Zon Spa Hati amat penting buat kita. Kita perlu menjaga hati kita supaya sentiasa bercahaya dan dapat memanfaatkan orang lain. Maka Haji & Umrah menyediakan zon pembersihan hati. Hati akan lebih mantap, bercahaya dan baik.

Kelmarin saya bertemu seorang hamba ALLAH yang merasa menyesal kerana lewat daftar Haji. Sungguh baik hamba ALLAH ini. Menyesal kerana lewat Haji adalah petanda baiknya insan ini. Sudah tentu penyesalan ini akan digantikan dengan perjalanan yang baik nanti.

Saya sering tekankan kepada anak-anak muda, SEGERALAH Daftar Haji. Dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH, akan menyuntik booster kuat bagi merealisasikan hasrat Haji. The Power of Niat ini telah saya kupas dengan ringkas di dalam slot jemputan Radio IKIM kelmarin.

“Ya ALLAH

Berikanlah kami kesempatan dan kemampuan untuk ke Baitullah

Ya ALLAH,

Hati kami merindui RasulMU dan damainya Madinah

Maka janganlah KAU hempaskan keinginan ini

Kabulkanlah harapan kami…” AMin!


Wednesday, September 21, 2011

Ceramah Haji




Alhamdulilah dengan izin ALLAH saya dapat meluangkan masa untuk mengisi slot ceramah Persediaan Haji bagi bakal Tetamu ALLAH warga TM di Menara TM Pantai Baru pada 19 Sept 2011 lalu. Seramai lebih dari 100 orang bakal Tetamu ALLAH telah menghadiri program ini.

Saya berharap perkongsian selama 1 jam 30 minit itu dapat memberi manfaat kepada bakal Tetamu ALLAH tersebut. Moga anda semua diberi ganjaran HAji mabrur, InsyaALLAH.


Saturday, September 17, 2011

Umrah Ramadan 2011 #3 Poket Koyak


ANda pernah berhadapan dengan poket seluar koyak? Saya yakin anda pernah melaluinya. Tahun lepas saya membeli sehelai seluar jenama suave, beberapa bulan selepas itu poket seluar koyak. Saya pelik seluar berjenama dan agak mahal ini, tidak menepati kualiti yang saya mahu! Nasib baik Cuma duit syiling yang jatuh. Apa kata jika kunci rumah atau kunci kereta yang jatuh?

Poket seluar ‘koyak’ lebih dirasai oleh kita selepas Eid Fitr. Persiapan Eid Fitr sudah cukup boleh mengoyakkan poket (jika tidak dirancang perbelanjaan). Oleh itu, kita hendaklah berdoa ketika berbelanja,

“Ya ALLAH, Kau gantikanlah setiap perbelanjaan Eid Fitr untuk ahli keluargaku dan tetamuku dengan yang lebih baik dari yang aku miliki.”

“Ya ALLAH, kau lipatgandakanlah setiap RM duit raya yang aku beri ini agar aku dapat lebih bersedekah selepas ini.”

“Ya ALLAH, Kau lindungilah aku dari bahang nerakaMU dengan sedekah ini dan bebaskanlah aku dari beban hutang dan riba’.”

Poket seluar koyak bukan sahaja dialami oleh kaum Adam bahkan turut dialami oleh kaum Hawa.

Ketika bersahur, seorang muslimah bercerita bagaimana seluar dan poket seluar beliau koyak. Pelik tetapi itulah dia pengalaman. Secara teorinya, ianya agak mustahil tetapi pengalaman tidak akan menipu.

Ketika muslimah ini berusaha keras memasuki Raudah beliau terkejut dengan keadaan akhlaq yang buruk berlaku. Bukan sekadar tolak-menolak bahkan tendang terajang juga berlaku dikalangan muslimah kerana berebut tempat solat di Raudah. Walaupun rakyat Malaysia tidak begitu, pengalaman ini amat mendukacitakan. Selepas muslimah ini selesai di Raudah dan berjalan pulang, beliau menyedari seluar dan poket seluar koyak dengan potongan yang cantik gaya professional. Maksudnya, kerja-kerja mencuri wang jamaah wanita dengan mengoyakkan seluar berlaku di dalam Masjid Nabawi. MasyaALLAH! (Nota: Kerja-kerja keji ini telah saya kupas dalam buku Rindu Baitullah).

Ketika di Mekah, sementara menanti azan solat Jumaat, berlaku suara kuat dari seorang Arab lelaki. Tangisan dan lauhan hatinya mendapat perhatian jamaah. Dalam keadaan berihram beliau menunjukkan talipinggang pengikat ihram lelaki di potong cantik di bawah tempat menyimpan wang. Maka hilanglah semua wang yang ada. Sudah tentu ia mengundang kekecewaan. Logiknya, Bagaimana perbuatan terkutuk ini berlaku di dalam Masjidil Haram, dalam keadaan jamaah berpakaian ihram, di bulan Ramadan pulak tu?

Maka berkatalah seorang rakyat Malaysia kepada saya, “Mungkin mereka ini menipu atau sindeket penipuan.”

Jawapan saya, Tidak! (berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu).

Saya test orang Arab ini dengan menghulurkan SR20, tetapi beliau tidak mahu, terus duduk dan menangis. Maka dengan nama ALLAH, ramai jamaah mengumpul wang dan sedekahkan kepada beliau.

Itulah dia cabaran Umrah Ramadan. Segelintir manusia yang tamak dan menipu berada di Tanah Suci.

Mengapa ini berlaku…?

Wallah’alam.

Bagi bakal Jamaah Haji, berhati-hatilah dengan keadaan ini. Bergeraklah dalam satu kumpulan.