Followers- Jalinan Ukhuwah

Showing posts with label Haji Muda. Show all posts
Showing posts with label Haji Muda. Show all posts

Friday, February 28, 2014

SINOPSIS KULIAH MAGHRIB- TARBIAH & MANASIK HAJI UMRAH 27 FEB 2014 MASJID ASSHARIF MERU

Alhamdulilah dengan izin ALLAH kuliah inspirasi bulanan “Tarbiah & Manasik Haji UMrah” Siri ke 10 telah saya sampaikan (setiap Khamis terakhir bulan di Masjid Asy Sharif, Pekan Meru Klang),  pada malam semalam. NOTA: Kuliah mengupas buku Rindu Baitullah ini telah bermula pada bulan Mac 2013, sudah hampir setahun. 



Kupasan buku Rindu Baitullah ini menyentuh Bab 12- Membina Kasih di Tanah Suci. Izinkan saya berkongsi ringkasan kuliah.

Perkara pertama yang disentuh adalah berkait dengan muhasabah diri bahawa kita semua adalah insan yang lemah, sentiasa lalai dan melakukan kesilapan. Lantas, kita perlu menerima hakikat bahawa hubungan kita dengan ALLAH tidaklah semantap mana. Dalam kerapuhan komunikasi dengan ALLAH, ALLAH memberi kita peluang untuk focus membina kasih dengan menjadi tetamuNYA. 

Kedua, kita perlu berusaha membina cinta kepada ALLAH. Ada empat cara untuk kita meraih Cinta ALLAH mengikut pandangan Dr Aidh Al-Qarni:-
1. Membaca Al-Qur’an
2. Melepaskan dunia dan zuhud terhadapnya
3. Qiyamulail
4. Merenung tanda-tanda kebesaran ALLAH

Haji dan Umrah adalah peluang sang hamba meraih cinta ALLAH. Biarpun empat perkara di atas boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja, berada di Tanah Suci mengukuhkan cinta hamba kepada ALLAH. 

Ketiga, Haji dan Umrah juga menjemput dan memperkukuhkan cinta kita kepada Rasululah s.a.w. Bukan sekadar berselawat, tetapi kita hadir menziarahi Baginda di Tanah Suci dan meneliti sirah yang ditinggalkan.

Keempat, Haji dan umrah juga mampu membina cinta antara suami/isteri, mertua/menantu, yang baru kahwin atau yang baru nak revisit perkahwinan. Di tanahair, kita sering alpa untuk solat bersama suami/isteri dan anak-anak. Bila kita jarang solat bersama ahli keluarga, bagaimana pula kita hendak berdoa sama-sama dengan mereka?  Kesibukan hidup dan mencari rezeki akan menjadikan kita terlupa peranan untuk bersama quality time bersama suami/isteri dan anak-anak.

Adakah kita perasan bahawa kita mungkin:-
1. Berdoa sendirian biarpun tidur sekatil dan hidup sebumbung?
2. Memberi perhatian lebih kepada entri  facebook dari entri dengan Tuhan dan suami/isteri/anak2?
3. Memfokus kepada banyak likes facebook dari di likes oleh ALLAH dan suami/isteri?

Lantas haji dan Umrah adalah hadiah ALLAH untuk kita meraih cinta suami/isteri mahupun cinta antara mertua/menantu. 

Di Tanah Suci, kita akan berdoa sama-sama dengan suami/isteri kita dilokasi strategik seperti di Multazam, Hijir Ismail pancur emas, Maqam Ibrahim dll. Bukankah itu cara terbaik membina cinta di Tanah Suci?

Diakhir kuliah, beberapa tips penting Haji & Umrah dikongsi berserta beberapa kisah sahabat Rasululah s.a.w yang berkait dengan Cinta kepada ALLAH, Rasululah s.a.w dan Islam.  Wallah’alam.

Monday, October 1, 2012

IPG Kuala Lipis

 Foto: Menerima cenderahati dari Pensyarah Kanan, IPG Kuala Lipis

Alhamdulilah, jemputan dari Institut Penguruan (IPG) Kuala Lipis telah disempurnakan pada 27hb Sept 2012 lalu. Ceramah Bertajuk 'Transformasi Diri Perspektif Haji Muda'  telah berjalan dengan baik yang telah dihadiri oleh lebih kurang 200 bakal guru di IPG ini. Ceramah yang tamat jam 12.15 tengah malam ini memberi ransangan baru buat saya kerana melihat anak-anak muda ini bersemangat sungguhpun sudah jauh malam. Kepada pimpinan pelajar khusus kepada adik Fauzan, terima kasih kerana berusaha menghubungi dan  menjemput saya. Moga perkongsian bermanfaat. 

Foto: Desa Kuala Medang. Menginap di homestay milik teman KHM

Saya telah dirai dengan baik oleh teman KHM/umrah  abg Seri Bani dan Abg Baha sepanjang berada di desa ini. Moga ALLAH turut memberi ganjaran pahala atas usaha abang-abang ini membawa saya dengan  kereta mereka dari Kuala Medang ke  IPG Kuala Lipis dan menemani saya hingga jam 2 pagi. InsyaALLAH kita/KHM  akan set program pemuda desa ini sedikit masa lagi. 

Sunday, January 2, 2011

Nota Terakhir

Tahun 2010 banyak meninggalkan kenangan. Ada yang manis, ada juga yang pahit. Bagi membina jatidiri yang positif, kita tinggalkan sahaja kenangan pahit dalam diari 2010 disamping mengambil tindakan pembaikan. Yang manis dan success story, kita tulis besar-besar di dinding, di atas meja dsbnya supaya ianya meningkatkan self-esteem dalam diri.


Dipenghujung tahun 2010, saya menerima satu nota penutup diari 2010. Nukilan seorang muslimah ini lahir dari hati beliau yang perlu saya kongsi di dalam blog ini. (Nota: Dengan kebenaran Puan N, berikut saya copy paste email beliau kepada saya.


************************************************************


Assalamualaikum Dr


After more than 1 year, baru sekarang sampai hajat saya utk email Dr , I just want to say thanks a lot for writing buku Haji Muda. I posted something on my blog and it was actually your book that opened my heart. I really wanna thank you for that.


Saya bersyukur Tuhan buka hati saya utk beli buku Dr. All my life I’ve never bought Islamic book. Tak pernah. Especially buku bahasa melayu. Tapi entah kenapa saya terpanggil untuk beli buku Haji Muda, yang saya baca in one sitting. And lepas tu, terus hati saya macam di tarik- tarik untuk menunaikan haji.


Alhamdulillah saya & suami dah Selamat kembali. Saya rasa sangat bertuah ~ peak of my life. Dan semuanya kerana Tuhan buka hati saya untuk beli buku Dr dan Tuhan buka hati saya lepas baca buku tu, of which I keep reading it again and again dan saya seperti rasa di lahirkan semula.


Again, Dr thanks for inspiring me. Pls keep writing. Hanya Allah yang tahu betapa besar jasa Dr.


Wassalam.

Wednesday, December 15, 2010

Terlalu Banyak Ingin Dikongsi

Foto: Stadium yang digunakan semasa Sukan Asia 2010


Ketika menyusuri Pearl Orient menaiki cruise disepanjang sungai Guangzhou, hati saya berkata-kata betapa HEBATNYA Pemilik alam ini. Saya sujud syukur kerana ALLAH memberi saya peluang ke Tanah Besar China. Nikmat perjalanan malam dengan cruise selama 1 jam 20 minit ini mengundang hati agar menghampiri Tuhan kerana cuaca dingin malam 18 darjah celcius amat mendamaikan.

Ya, Terlalu Banyak Ingin Saya Kongsi….

Saya juga cuba menghayati bagaimana pemuda bernama Saad Ibn Waqas sanggup berhijrah begitu jauh semata-mata untuk membawa risalah Islam ke Tanah Besar China. Cinta akan Madinah mampu dilupakan demi nur Islam yang istimewa itu.

Saya juga muhasabah diri sendiri. Mengapa saya memerlukan masa yang agak lama untuk menyiapkan buku Haji Muda #2 disebalik berbagai kemudahan yang ALLAH beri. Inilah antara cabaran berkongsi tulisan islami yang mungkin faktor lemahnya diri menjejaskan perjalanan manuskrip. Lagipun tidak ada siapa yang suruh saya siapkan buku ini atau sudi-sudi bertanya progress, so no pressure!

Yang nyata, terlalu banyak yang ingin saya kongsi di dalam blog. Perkongsian Guangzhou sahaja ada 8 siri. Ini tidak termasuk tulisan-tulisan berbentuk motivasi. Sementara penulisan Haji Muda #2 juga memerlukan kajian rapi yang memerlukan masa dan rujukan. Setakat ini ada 80 Bab yang sudah disusun. Secara logik, agak sukar untuk disiapkan menjelang 29 Muharram 1432H. Saya perlu kerja lebih kuat dari biasa.

“Ya ALLAH KAU berilah kekuatan, kesihatan dan semangat untuk hambaMu ini menyiapkan sebuah lagi buku Tips Haji & Umrah untuk manfaat ummah.” Amin!


Monday, November 8, 2010

Kita Masih Jauh #3....2034


Tarikh 2034 bukanlah tarikh kiamat. Bukan juga tarikh keramat. Ianya adalah manifestasi dari gelombang Haji.

Baru-baru ini saya menziarahi pejabat Tabung Haji. Bila saya bertanya tarikh Haji di sistem TH, pegawai bertugas menyebut “Jika tuan mendaftar sekarang, system kami akan memberi tahun 2034 sebagai tahun menunaikan Haji”. Subhanallah! Jauh lagi tu, 24 tahun menunggu.

Media arus perdana menyebut bagi menjamin peluang Haji kepada rakyat Malaysia, maka jamaah haji tidak dibenarkan mendaftar haji dalam tempoh 9 tahun selepas menunaikan haji pertama. Juga difahamkan anak-anak di bawah Umur 15 tahun ke bawah tidak boleh mendaftar Haji. Langkah-langkah ini diambil kerana mengikut laporan media, hampir 500,000 umat Islam Malaysia sudah mendaftar Haji . Alhamdulilah! satu gelombang kebangkitan yang baik di dalam usaha mengislahkan masyarakat.

Pun begitu masih ada yang berkata “Aku ada kabel politik, boleh potong queue”. Atau “Aku boleh bayar harga pakej”. Namun masih ada yang menyebut untuk tunggu sampai seru.

Kita akan sentiasa jauh jika tidak berusaha. Walaupun Tetamu ALLAH itu adalah pilihan ALLAH, kita masih dikehendakki berusaha meringankan kaki dan jari untuk mendaftar Haji. Itu adalah langkah awal kita, sungguhpun ianya masih jauh lagi.

Thursday, May 13, 2010

Bila Lagi Nak Buat Umrah..?

Nota: Ruginya kita tidak dapat melakukan Tawaf sepanjang masa. Tawaf malam lebih tinggi nikmatnya.

Malam tadi saya tersentak dari tidur. Tiba-tiba rindu akan Kaabah menghampiri diri yang kerdil ini. Sudah sebulan lebih saya meninggalkan bumi Mekah tetapi kerinduan tiba-tiba merenjis hati kecil ini. Sukar untuk memperolehi renjisan kedamaian dan lapangnya fikiran seperti di Tanah Suci.

Ramai juga bertanya saya, bila lagi saya nak buat Umrah? kami nak ikut sama. Ya lah... kalau ikut hati sudah tentu mahu ke sana lagi dalam tempoh terdekat. Jawapan saya, kumpullah duit. Jika saya nak pergi, saya akan maklumkan saudara-mara, rakan-rakan dan blog saya. Kita pergi ramai-ramai sebagai satu pasukan, barulah seronok.

Minggu lepas selepas memberi ceramah di sebuah program, ada insan bertanya saya, “Bolehkah kita pergi Umrah pakai pinjaman koperasi?” Saya tersenyum kerana soalan ini adalah ranking pertama soalan-soalan yang pernah dikemukakan kepada saya. Wajah insan yang bertanya pula benar-benar excited seolah-olah esok hari juga hendak ke pejabat Koperasi untuk memohon pinjaman.

Saya tiada autoriti untuk membenarkannya. Namun bila berkesempatan untuk membincangkan perkara ini di ceramah-ceramah, maka saya akan mengupas dengan lebih panjang dengan membuka minda pendengar untuk melihat beberapa pilihan yang ada. Pada hemat saya, perkara pinjaman koperasi ini agak fleksi bergantung kepada kemampuan (mampu semasa dan selepas pulang Umrah) dan jaminan diri diperlindungkan.

Contoh 1 : Jika gaji Puan A ialah RM2,000 dan gaji bersih ialah RM1,000 dan ansuran bulanan koperasi ialah RM400, maka saya berpendapat ianya tidak seharusnya dilakukan. Sukar untuk hidup dengan gaji bersih RM600 khususnya di bandar-bandar.

Contoh 2 : Jika gaji Puan A ialah RM2,000 dan gaji bersih ialah RM1,600 dan ansuran bulanan koperasi ialah RM400, maka saya berpendapat pinjaman ini seharusnya dibolehkan kerana gaji bersih selepas tolak pinjaman koperasi =RM1,200 (tanpa ada tanggungan lain). Pun begitu, panduan seperti perkongsian saya dalam buku Haji Muda semestinya dilaksanakan iaitu pinjaman ini dilindungi oleh Takaful dan tempoh pinjaman yang singkat (seminima mungkin).

Dari perspektif lain, jika kita terlalu jumud/rigid, kemungkinan Puan A akan membuat pinjaman koperasi untuk ke Gold Coast atau ke Bali. Justeru, dari membenarkan beliau ke Gold Coast atau Bali, maka kita perlu mengambil pendekatan maslahah fleksi dengan mengharuskan pinjaman koperasi untuk menunaikan Umrah. Wallah’alam (Astaghfirullahal azim, Ya ALLAH ampunkan kami jika pada pengetahuan MU, pendapat ini tidak benar).

Apa pun hujah, saya berpendapat berilah peluang semua insan untuk merasai nikmatnya beribadah di Tanah Suci. Jika mereka pergi ke Tanah Suci dengan hati yang tulus ikhlas kerana ALLAH, ALLAH akan melapangkan rezeki dan akan mempercepatkan penyelesaian hutang koperasi tersebut.

Rugi melewat-lewatkan usia untuk ke Tanah Suci. Kita sama-sama perlu berusaha memudahkan urusan insan yang ingin tunaikan Haji/Umrah, insan yang mahu berkahwin dan insan yang mahu menuntut ilmu. Bila kita memudahkan dan membantu insan lain merealisasikan impian, ALLAH juga akan memudahkan urusan impian kita menuju SyurgaNYA.

Sunday, November 8, 2009

Diskusi Wartawan- Seru Haji

Sebagaimana yang dijanjikan, wartawan Mingguan Wanita menziarahi saya pada hari ke 3 bermalam di hospital. Temujanji jam 3 petang selepas saya membuat pemeriksaan di klinik Dr Pakar KPJ Specialist. Saya tidak boleh menolak kerja-kerja dakwah walaupun menerima rawatan di hospital. Bukankah rehat kita Cuma di alam barzah?

Puan Netty kelihatan simple, namun serius dengan tugas. Awal-awal lagi beliau menyebut, ”Penatlah Dr menjalankan tugas. Rasanya tiada rehat.” Dalam hati saya menyebut, ”Emm.. agaknya semua manusia mengeluh kepenatan kerja, merasai tekanan dan mengeluh dengan tugas yang tidak kunjung tamatnya.”

Perbincangan kami berkisar aspek Haji khususnya mengapa kita perlu mengalakkan orang muda segera menunaikan haji dan bagaimana berhadapan dengan cabaran pasca Haji. Ia bukan kerja mudah.

Perbincangan di Cafe hospital berjalan rancak. Diskusi yang dirancang 20 minit berakhir hampir satu jam. Di akhir sesi diskusi, beliau menyebut ”Saya belum sampai serulah Dr.”

Saya katakan, ”Ya, ramai berkata begitu.”

Kunci kepada ”Belum sampai seru” ialah lakukan langkah pertama. Cuba kita ambil contoh Prof Hj Muhd Kamil, bagaimana perubahan boleh dilakukan hanya dengan langkah awal membersihkan diri dan menilai jauh wawasan hidup.

Tidak semua insan akan mendapat peluang menjadi tetamu Allah. Haji adalah jemputan istimewa dari Allah.

Saya ambil satu lagi contoh bagaimana merealisasikan SERU. Dua Minggu lepas seorang insan yang saya kenali tiba-tiba menerima panggilan telefon dipilih menunaikan Fardu Haji tajaan sebuah Bank yang berpusat Di Arab Saudi. Beliau Cuma membuka akaun di Bank tersebut dan dipilih untuk ke Tanah Suci. Nampak mudah bukan , itulah kuasa Tuhan.

Langkah breakthrough beliau ialah membuka akaun Bank berkenaan dengan harapan dipilih menunaikan Haji/Umrah tajaan Bank ini. Mungkin beliau mengambil satu lagi langkah iaitu berdoa sungguh-sungguh agar dipilih oleh pihak Bank. Mungkin Allah memilih beliau kerana kebaikan yang pernah beliau lakukan. Mungkin juga dengan doa emak dan isteri beliau secara istiqamah.

InsyaAllah, saya akan masuk pejabat hari Rabu (masih MC) dan insyaAllah akan membuat temujanji dengan tetamu Allah yang istimewa ini.

Pendek cerita, SERU juga mungkin liat hadir jika kita juga liat berdoa dan berusaha.

Thursday, November 5, 2009

Hospital

Sejak sebulan-dua ini saya agak kurang sihat. Tekanan kerja pejabat, kesesakkan jalanraya dan karenah anak-anak buah di pejabat banyak menyumbangkan kepada faktor kesihatan ini. Minggu lepas MC, Isnin pun MC. Selasa di masukkan ke hospital dan Hari ini saya masih di hospital (Sudah 2 hari bermalam di hospital pakar KPJ Specialist).

Malam tadi cuaca sedikit dingin. Teringat pengalaman dingin sejuk Madinah ketika menunaikan Haji dahulu. Seorang rakan yang kini berada di Madinah sms saya mengatakan Madinah sekarang sejuk macam berada di puncak Genting. Seronok menerima khabar berita Madinah. Rindu akan Madinah sentiasa membara.

Suasana sejuk dan dingin memberi sedikit kekuatan untuk menhasilkan sesuatu untuk sumbangan kepada ummah. Suasana tenang mengizinkan saya menulis bab ke enam buku ke 3 saya (nota: insyaAllah buku ke 2 akan berada di pasaran sedikit masa lagi. InsyaAllah saya akan beri sinopsis buku ke 2 selepas disahkan penerbit dan sudah memasuki makmal percetakkan). Petang semalam pula, ada wartawan menelefon saya berkaitan apa yang saya tulis dalam Berita Harian untuk dipanjangkan tulisan saya. Saya nyatakan alhamdulilah dan insyaAllah jika untuk kerja-kerja membina ummah saya tiada halangan, jemputlah ziarah saya.

Berada di hospital, Dr pakar suruh berehat. Peluang bermalam di hospital dapat banyak meringankan tekanan kerja dan tekanan di jalanraya. Saya rasa hidup amat merugikan terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik sekurang-kurangnya 2 jam sehari. Pahala solat berjamaah Maghrib dan Isya pun kadang-kadang terlepas akibat trafik jam. Bila di hospital, ‘Release’ sedikit dan kepala agak ringan dari biasa. Cuma email rasmi pejabat bertalu-talu menghujani blackberry. Biasalah makan gaji kata orang. Ianya sedikit menganggu peluang berehat.

InsyaAllah ketemu lagi....

(Nota: blog di update di cafe hospital).

Friday, October 16, 2009

Tempahan Haji Muda

Alhamdulilah, dengan izin Allah saya menerima beberapa tempahan buku HM untuk beberapa organisasi sempena program meraikan bakal jamaah Haji masing-masing. Harapan saya moga buku HM dapat memberi sumbangan ilmu dan pengalaman bagi bakal tetamu Allah.

Monday, September 7, 2009

Menjunjung Kasih Tuanku

Alhamdulilah majlis lawatan dan berbuka puasa bersama DYMM Sultan Selangor telah berjaya dijalankan semalam 6hb Sept 2009/16 Ramadan 1430H. Majlis berlangsung dengan baik, di hadiri oleh pembesar negeri dan rakyat jelata dari berbagai keturunan (termasuk bukan Islam) dan tanpa mengira fahaman politik.

Sebelum berbuka puasa dan solat tarawikh, baginda Sultan mencemar duli menerima cenderahati buku Haji Muda sumbangan peribadi saya dan pengurusan Masjid Munawwarah.




Kelihatan baginda bertanya beberapa soalan mengenai buku Haji Muda, sempat juga saya memberi sinopsis ringkas. Kemudian secara tiba-tiba baginda menghulurkan tangan mengucapkan tahniah.

Saya berpendapat, usaha pengurusan masjid untuk mengimarahkan masjid tanpa mengira fahaman politik akan berjaya jika masing-masing mahu kembali kepada Al-Qur’an. Masyarakat muslim yang berpecah belah tidak akan menguntungkan siapa-siapa pun.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi menjunjung kasih kepada DYMM Sultan. Juga terima kasih kepada MB Selangor, Exco Agama S’gor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Di Raja , YB-YB dan semua yang hadir. Kepada AJK Masjid, Tahniah! Kerana anda telah melakukan sesuatu yang terbaik buat DYMM Sultan, ummah dan masyarakat faqir miskin dan ibu-ibu tunggal.

Thursday, September 3, 2009

Haji Muda akan ke Istana

Selepas kembali ke tanahair, banyak perkara urusan rasmi pejabat perlu diuruskan disamping aktiviti-aktiviti masyarakat yang perlu diteruskan. Blogpun tidak sempat hendak dikemaskini. Berikut adalah aktiviti terkini:-

***1. Haji Muda ke Istana ***

Saya menerima maklumat lewat malam semalam dari Setiausaha Masjid berkaitan buku Haji Muda akan ke istana. Saya terkejut menerima berita ini kerana ianya tidak pernah saya rancang atau saya fikirkan. Ungkapan ringkas saya, ”Alhamdulilah.” InsyaAllah unit protokol istana, pengurus projek lawatan DYMM Sultan Selangor ke Masjid Munawarah dan pengurusan masjid telah bersetuju buku Haji Muda diserahkan kepada DYMM Sultan sebagai cenderahati atas kesudian DYMM Sultan mencemar duli untuk bersama-sama rakyat di majlis iftar Masjid Munawwarah. Saya diminta menyerahkan 5 naskah buku Haji Muda kepada setiausaha masjid dan unit protokol istana. Jika perkara ini benar, ianya adalah satu penghormatan kepada penulis dan bakal memberi dorongan besar kepada saya untuk terus aktif bersama membangunkan masyarakat dengan acuan Islam.


***2. Tazkirah Ramadan***

Alhamdulilah, majlis tazkirah ramadan telah saya sampaikan di sebuah surau di Shah Alam malam semalam 2 Sept 2009. Undangan telah dibuat sebelum Ramadan lagi, yang mana saya merasakan perlunya saya berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu.

Secara ringkas, saya membicarakan akan pentingnya ummah memahami budaya jahiliah yang menyerang kita di setiap sudut. Dengan berpegang kepada kalimah syahadah, kita dituntut untuk menyusun masyarakat. Dalam konteks Ramadan, pemegang mohor shahadah diberi tiga bentuk kemuliaan iaitu rahmah, maghfirah dan keselamatan dari api neraka. Saya berkongsi tips bagaimana untuk kita memperolehi tiga bentuk kemuliaan ini. Di penghujung tazkirah motivasi ramadan, saya cuba kaitkan shahadah, kemuliaan dan perlunya kariah setempat sensitif kepada isu-isu masyarakat dan sama-sama membina generasi gemilang.

Friday, August 14, 2009

Hadiah Royalti Ke Masjid


Alhamdulilah, baru sebentar tadi program solat hajat dan zikir perdana serta penyerahan royalti buku Haji Muda kepada Tabung Ramadan & Anak-anak Yatim telah selamat diserahkan kepada Nazir Masjid Munawwarah.

Program ringkas ini dimantapkan dengan solat hajat dan zikir munajat tuan guru Othman Ibrahim.

Kepada pengunjung blog ini dan para pembaca buku Haji Muda, terima kasih dengan sokongan anda semua. Moga tuan/puan akan turut menerima pahala ganjaran kebaikan. Moga sebahagian sumbangan royalti ini akan membolehkan para pembeli buku Haji Muda untuk turut sama-sama menikmati ganjaran dari sumbangan kecil royalti ini ke masjid-masjid.

Terima kasih semua.

Sunday, August 2, 2009

Perkongsian di Pesta Buku Selangor


Alhamdulilah Allah telah mengizinkan saya membuat perkongsian di pentas utama Kompleks PKNS Shah Alam sempena Pesta Buku Selangor, semalam 1hb Ogos.

Perkongsian kecil ini diharap dapat membantu misi Haji Muda dan membuka ruang untuk masyarakat berfikir dan membuat pilihan.

Terima kasih saya ucapkan kepada Perpustakaan Negeri Sgor, pengurusan PKNS dan PTS khususnya warga PTS Islamika, ustaz Imran, Faris, Firdaus dan Khairul yang menemani saya petang semalam. Kepada para pendengar sesi perkongsian semalam, terima kasih dengan kehadiran serta sokongan tuan/puan.

Doa saya moga Allah menerima sumbangan kecil ini sebagai satu amal soleh. Amin!

Thursday, May 28, 2009

Slot Haji Muda di Astro Oasis 106


Assalamualaikum,
Oleh kerana saya menerima beberapa panggilan telefon, sms dan email bertanyakan siaran ulangan Slot Haji Muda di Astro Oasis 106, berikut di senaraikan tarikh dan waktu siaran ulangan (berdasarkan maklumat dari Astro Oasis website):

Jumaat 29/5/09 1.30 pagi dan 10.30 pagi
Sabtu 30/5/09 8.00 pagi ; 1.30 tgh dan 10.30mlm
Ahad 31/5/09 5.00 pagi; 11.30 pagi dan 6.30 ptg.

Terima kasih

Tuesday, May 26, 2009

Terima Kasih Astro Oasis 106


Alhamdulilah saya merakamkan kesyukuran kerana slot Haji Muda telah berjaya disiarkan sebentar tadi di Astro Oasis. Moga perkongsian tersebut bermanfaat kepada penonton.

Kepada Penerbit rancangan Iktibar di Tanah Suci, Ustaz Hj Shukri, Layla, Nurul dan semua yang terlibat menjayakannya - Terima kasih. Kepada Prof Kamil, ustaz Samsudin, Ustaz Zakuan dan semua ahli keluarga dan rakan-rakan terima kasih dengan sokongan.

Saturday, April 25, 2009

Buku Haji Muda Habis Di Pesta Buku

Hari ini jam 5-6 petang, saya dijadualkan menghadiri slot ceramah dan promosi buku Haji Muda di PWTC sempena Pesta Buku.

Semalam saya menerima panggilan telefon dari Ustaz Imran, Editor PTS Islamika. ”Tuan, buku Haji Muda dah habis tengahari tadi; stor kamipun dah clear. Kami pun tak sangka. Akan segera ulang cetak.” Beliau bertanya saya ”Jadi bagaimana sessi ceramah dan promisi esok petang?” Saya menjawab ”Kalau sekadar berceramah, bila-bila masa boleh. Tetapi oleh kerana misi kita untuk promosi, tidak sesuailah membuat promosi pada perkara yang tidak wujud ketika itu.”

Kepada rakan-rakan yang akan ke Pesta Buku petang ni, saya minta maaf kerana slot ceramah dibatalkan. InsyaAllah pihak penerbit akan memberi saya slot di satu lagi pesta buku di Mines Resort cuti sekolah Jun 2009 nanti.

Moga Allah mempermudahkan urusan kita memandaikan ummah dan bangsa.

Sunday, April 12, 2009

Iktibar Dari Tanah Suci

Alhamdulilah, rancangan Iktibar Dari Tanah Suci Musim Kedua telah mula ditayangkan di Astro Oasis 106. Untuk makluman, setiap siri akan ditayangkan pada Hari Selasa jam 7.30 malam dan diulang tayang pada hari Sabtu 10.30 malam dan Ahad 9.30 malam.

Slot Haji Muda adalah siri ke-8 dan insyaAllah akan ke udara pada 26hb Mei 2009.

InsyaAllah saya akan kemaskini maklumat ini seminggu-dua sebelum siri ke 8 ditayangkan. Moga program ini membawa keberkatan dan bermanfaat kepada muslim.

Friday, December 26, 2008

Mangsa Hadiah


Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada insan-insan yang membeli buku Haji Muda semata-mata untuk dihadiahkan kepada sahabat-handai, teman sepejabat mahupun bos. Ketika bercuti, PA bos saya, SAS, menelefon untuk memesan buku Haji Muda. Bos saya Tn Hj Ahmad Ismail, Vice President CSM, memesan 10 naskah untuk diberikan hadiah. Alhamdulilah, saya ada sedikit lagi stok ketika itu untuk diambil terus PA beliau.

Baru-baru ini, ketika membawa keluarga beristirehat, saya tercari-cari dua insan untuk saya hadiahkan buku ini. Ketika menunggu no giliran untuk check-in di sebuah hotel, mata tercari-cari ’mangsa’. Rata-rata sukar untuk saya menghampiri orang-orang Melayu yang mahu tersenyum bila saya mengukir senyuman untuk mereka. Membuka rapport pertama ini bukanlah mudah, mungkin mereka merasa bahawa saya sedang mencari mangsa untuk menjual produk. Atau mungkin mereka pernah mengalami pengalaman pahit dihampiri oleh agen-agen jualan.

Saya beri sebuah buku kepada anak saya agar beliau belajar macamana hendak ’mencari mangsa’. Sememangnya sukar dengan telatah orang kita yang seolah-olah ’banyak masalah di kepala’ dan menunjukkan wajah yang kurang ceria walaupun ketika sedang bercuti. (Nota: Tidak adil untuk saya menghukum orang Melayu hanya dengan pengalaman ini. Maksud saya, tidak semua orang kita begitu). Usaha untuk bersembang dengan mereka juga tidaklah sefriendly yang saya harapkan. Mungkin Allah hendak memberi ilmu kepada saya dan anak melalui proses ini. Ada juga yang sedang marahkan isteri. Ada juga yang menengking anak. Hati saya bersuara apalah nak tension dan marah isteri dan anak-anak. Patutnya kita enjoy dengan percutian dan menambahkan kasih sayang isteri dan anak-anak. Stressful sangat ke hidup ini ?

Oleh kerana kesukaran mendapatkan ’mangsa’ yang sesuai maka anak saya mengusulkan ”Ayah, biarlah Allah yang mengaturkan siapa yang layak. Kita beri satu kepada pegawai kaunter yang memangil nombor kita dan satu lagi kepada petugas yang membawa troli barang kita ke bilik. Selalu ayah beri tips RM, tapi kali ni ayah berilah buku Haji Muda. Kita juga tidak kenal kedua-dua mereka”. ”Fantastik idea! Excellent Afnan!” Saya melonjakkan self-esteem anak lelaki saya ini. Buat apalah kita susah-susah mengukir senyum dan mengajak orang bersembang tapi diri kita pula tidak diendahkan.

Alhamdulilah, hasrat saya diizinkan Allah. Saya berharap mereka berdua (seorang lelaki dan seorang perempuan) yang telah dipilih Allah ini dapat mengambil manfaat dari buku Haji Muda.

InsyaAllah, setiap kali saya bercuti, saya berazam untuk menghadiahkan dua buah buku Haji Muda kepada insan-insan yang tidak saya kenali. Moga ukhuwah terus berpanjangan.

Wednesday, November 26, 2008

Hebahan Umum Slot Diskusi Radio Ikim 27 Nov 2008

Assalamualaikum,
InsyaAllah dengan kasih sayang Allah, slot diskusi ini akan ke udara esok Khamis jam 9-10 malam.

ridz