Followers- Jalinan Ukhuwah

Showing posts with label PhD/DBA. Show all posts
Showing posts with label PhD/DBA. Show all posts

Monday, July 16, 2012

Saturday, January 10, 2009

Intifada, Boikot dan Airmata #1

Disaat ini seluruh dunia mengutuk Israel kerana kekejamannya. Di ketika ini juga, masyarakat kita berdemonstrasi mengutuk Amerika dan Israel. Kutukan dan kecaman kepada Israel bukan perkara baru. Setiap kali Palestin dibom, kita akan kecam Yahudi namun tiada impak kepada bangsa yang pernah mempermainkan dan menyembelih nabi-nabi dikalangan mereka.

Kempen memboikot barangan Israel dan Amerika juga bukanlah asing buat kita. Bermula dengan intifada pertama, usaha memboikot barangan bangsa laknatullah ini cuma menjadi mainan bibir orang-orang kita. Bila Palestin dibom, maka risalah boikot ini diedarkan melalui email dan di masjid-masjid tanahair. Bila gencatan senjata dipersetujui, kita berdikit-dikit terlupa usaha ini. Barangan milik billionaire Yahudi (termasuk penyokong mereka) seperti produk CocaCola,Johnson & Johnson, Starbuck, AmbiPur dan McDonald tetap mampu menembusi pendirian kita (Sila rujuk laman web PPIM). Kita sama-sama memberi pelbagai alasan untuk mengiyakan nafsu kita seperti susah untuk hidup sebab sudah biasa dengan brand tersebut (Nota: Senarai produk/brand di atas telah lama dipaparkan di laman web Persatuan Pengguna Islam Msia-PPIM). Lebih mendukacitakan, brand-brand di atas telah berjaya menembus pintu sempadan Tanah Haram dan kini beroperasi di depan Masjidil Haram dan sekitar Masjid Nabawi.

Ketika pertengahan Intifada kedua, saya sedang membuat kajian bagaimana brand Starbucks berjaya menjadi salah satu “World Best Brand” (Nota: brand adalah salah satu elemen kajian Kedoktoran saya). Saya kagum dengan kejayaan Howard Schultz, pengasas dan pengerusi Starbuck, membina empayar kopi jenama Starbucks sehingga mampu menembusi hampir seluruh pelusuk dunia (ketika kajian dibuat, mereka berhadapan dengan masalah menembusi negara China). Hasrat kajian saya ialah agar saya mampu menjadi tenaga pakar muslim dalam bidang ini (bukan sekadar teori tetapi membantu organisasi korporat saya dalam membina brand tersendiri melalui applied business research). Saya turut menghantar email ke Howard Schultz menyatakan bahawa saya kagum dengan pencapaian beliau dan berhasrat untuk menemui beliau satu ketika nanti. Email saya dibalas mesra. (nota: Muhamad s a w, para sahabat, Salahuddin Al-Ayubi dan Muhamad Al-Fateh tetap terpahat di hati saya untuk dijadikan model kehidupan).

Saya mula tertarik untuk mengunjungi Starbucks, tidak selalu tetapi ia benar-benar menarik hati saya dengan cara mereka menyusun strategi perniagaan. Saya banyak belajar di sini melalui pemerhatian dan kajian. Semasa kemuncak intifada kedua diistiharkan oleh pimpinan Palestin (Hamas) sekitar pertengahan tahun 2006, internet melaporkan bahawa Starbucks “mewakafkan” lebih kurang 20% hasil keuntungan syarikat untuk membantu negara Israel laknatullah. Saya kurang percaya dengan laporan ini, lantas menghantar satu lagi email kepada Schultz bertanya apakah sebaran internet ini benar. Saya tidak menerima jawapan waktu itu namun lebih kurang seminggu kemudian, Starbucks telah membuat kenyataan akhbar menafikan berita tersebut (sila rujuk www.starbucks.com topic “rumor response” (berita sekitar September 2006).

Press release tersebut amat meragukan. Pertama, Schultz sendiri pernah membuat perakuan sedemikian di sebuah laman web pro-israel (saya tidak ingat nama laman web tersebut). Kedua, Starbucks ketika itu sedang menyusun global strategy untuk menembusi pasaran di negara Timur Tengah dan China. Bagi kepentingan perniagaan global, Starbucks perlu segera membuat penafian.

Namun saya sedikit insaf, apakah saya melakukan kesilapan dengan “menyokong” entiti perniagaan pro-israel? Saya beristighfar dan saya memohon keampunan Allah kerana kelalaian saya.

“Ya Allah, Jika RM20 setiap kali aku belanjakan di Starbucks menyebabkan seorang anak kecil Palestin dibunuh dengan kejam, maka ampunilah aku, maafkan aku duhai Palestin…”

Berbalik kepada boikot barangan Yahudi. Selektif boikot sudah lama dianjurkan namun kita tidak mampu berjihad dengan nafsu kita. Secara umum, kita gagal melayan nafsu dengan mengikut stail kehidupan dengan mengunjungi outlet brand-brand berkenaan. Kita (termasuk saya) kadang-kadang terpaksa melayan kerenah anak-anak kecil kita untuk mengunjungi outlet tersebut. Ada sesuatu yang kita cari di outlet brand-brand ini (saya akan bicarakan di waktu lain). Saya juga terfikir, bahasa Melayu pun kita hampir gagal pertahankan, bagaimana hendak pertahankan Palestin dan mengembalikan Al-Aqsa? Dengan lain perkataan, kita juga kian hampir gagal berjihad mempertahankan bahasa Melayu, bahasa nenek moyang kita (Ya Allah, selamatkanlah bahasa Melayu di Tanah Melayu tercinta ini).

Jadi apa yang boleh kita lakukan dalam konteks boikot barangan Yahudi ini?
Saya tiada jawapan istimewa untuk soalan ini. Jika berpandukan fatwa Sheikh Dr Yusuf AL-Qardawi, Kita wajib membantu Palestin dalam apa bentuk sekalipun.Cuma sekadar pendapat, tips selektif boikot berikut boleh diusahakan:

1. Kita perlu sama-sama berjihad mengawal nafsu kita dan berkira-kira berbelanja di outlet-outlet ini (kepada Para Haji/Hajjah- lontarkan nafsu ini sebagaimana kita gembira lontarkan dan tinggalkan batu-batu lontaran ketika di tiga Jamrah).

2. Terangkan kepada anak-anak kecil kita, mengapa kita dan mereka perlu melakukannya.

3. Istiqamah dengan pegangan dan pendirian kita (usaha berterusan walaupun gencatan senjata mungkin akan berlaku sedikit masa lagi).

4. Sering ingat-mengingati antara sesama kenalan akan wajibnya memboikot (janganlah hangat-hangat taik ayam. Jika tuan/puan terjumpa saya di outlet-outlet ini, sila tegur saya).

5. Bekerja keras untuk berdakwah supaya bukan Islam dapat menerima Islam, bershahadah dan mengamalkan ajaran Islam.

6. Meneruskan usaha mendidik masyarakat khususnya generasi muda untuk menghayati dan memahami kepentingan Palestin .

Moga tulisan dan muhasabah ini bermanfaat.

InsyaAllah bersambung siri #2…….

Friday, January 9, 2009

Pelajar Arab

Assalamualaikum Pengunjung yang budiman,

Kelmarin saya melangkah ke Institut Pengajian Siswazah untuk menghantar tesis kedoktoran akhir yang telah dibuat ’hardbound’ dan 2 CD. Ini adalah proses akhir untuk program kedoktoran. Walaupun pembetulan tesis boleh disiapkan dalam tempoh kurang dari satu minggu, saya mengambil sedikit masa untuk membetulkan perkara-perkara kecil, perlu lebih berhati-hati. Kemudian perlu bertemu semula dengan profesor/penyelia dan menghantar kepada internal examiner untuk pengesahan bahawa tesis sudah disiapkan dan boleh dibuat final binding. Seronok rasanya bila tesis telah dibukukan dengan warna meron itu.

Ketika berada di Graduate Business School, tiga pelajar berbangsa Arab sedang mengisi borang untuk mengulang semester belajar (masters). Bila ditanya, mereka menjawab ”I failed few subjects”. Bila lihat wajah mereka, saya rasa kasihan. Mereka adalah bangsa yang diberikan kemuliaan dengan lahirnya rasul ulung Muhamad s a w di kalangan bangsa Arab. Bila ditanya dalam bahasa Arab, jawapan mereka membuat saya kagum dengan kehebatan bahasa mereka. Namun sayang sekali, dikala Palestin dihujani peluru dan bom, tiga pemuda Arab ini masih boleh tidur dan gagal beberapa mata pelajaran.

Beberapa minggu lepas, akhbar tempatan ada melaporkan seorang pelajar Saudi ditahan kerana mengedar dadah. Ianya amat memalukan. Di kisah lain, sepupu saya yang bekerja di sebuah hotel di ibukota memaklumkan bahawa adalah perkara biasa pemuda arab ini meminum arak. Wallah’alam.

Saya berdoa agar Allah menyelamatkan pemuda muslim Melayu, Arab dan lain-lain dari leka akan peri pentingnya berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran/kezaliman. Jika kita mampu membetulkan acuan hidup dan dengan berbekalkan shahadah serta semangat Haji, saya yakin muslim mampu membebaskan al-aqsa dari cengkaman zionist.

”Ya Allah selamatkanlah Palestin dan pemuda-pemuda muslim waris risalah Islam.”

Sunday, December 14, 2008

Penghasilan Yang Sedikit

Makhluq yang bernama manusia sering mengeluh mengenai penghasilan yang sedikit. Jika boleh, kita mahu apa yang kita lakukan memberi pulangan lumayan dengan tenaga minimum. Tidak semua insan akan memperoleh hasil lumayan dengan tenaga yang sedikit ini. Strategi ini cuma diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja mungkin faktor politik atau kabel besar mereka.

Semalam seorang rakan saya menelefon mengeluh dengan penghasilan yang sedikit. Apa tips yang perlu dilakukan supaya tesis kedoktoran beliau dapat bergerak pantas?

Saya berpendapat, apa sahaja yang kita usahakan ianya memerlukan perancangan dan keazaman. Tiada apa usaha yang boleh dilakukan dengan pantas; tiada short-cut! Buku Haji Muda ada menyebut, untuk mencium Hajar Aswad menuntut perancangan dan keazaman, niat sahaja tidak cukup. Begitu juga dengan proses kehidupan, niat sahaja tidak cukup. Saya bertanya rakan saya ini adakah beliau yakin dengan perancangan?” Jika benar-benar yakin, adakah ianya benar-benar dilakukan mengikut apa yang dirancang?

Sesuatu projek tidak kira projek tesis PhD, Masters, menyediakan dokumen strategic planning syarikat, menulis artikel, menulis buku, pembangunan projek fizikal atau apa sahaja usaha akan mengalami proses yang sama. Tiada jalan mudah.

Cuba kita lihat bagaimana rumah didirikan. Ianya bermula dengan penghasilan yang sedikit tetapi memerlukan perancangan yang hebat. Penghasilannya juga sedikit demi sedikit, dari asas tapak binaan, memesan bahan binaan, penghantaran bahan, menyusun cerucuk dan berbagai lagi sehingga rumah memperolehi Certificate of fitness. Ia bukan mudah. Jika proses memesan bahan binaanpun terkial-kial lepas itu ego dan syok sendiri, tidak mahu bertanya, silap-silap bahan yang dihantar tidak mengikut spesifikasi.

Ada dua perkara yang rakan saya boleh lakukan:
1. Rujuk kepada orang yang berilmu (dalam konteks masalah beliau, nasihat penyelia PhD adalah pilihan terbaik). Tunjukkan bahan-bahan binaan yang ada. Betulkah ”bahan-bahan binaan” ini sudah mengikut spesifikasi tahap kedoktoran?

2. Hargailah diri sendiri. Raikan setiap penghasilan yang sedikit itu. Raikan walau sekecil mana penghasilan itu. Mungkin ianya tidak membawa erti kepada orang lain, tetapi ianya amat berharga buat kita.

Dr Abdullah Al-Qarni menyebut:
”Dalam penghasilan yang sedikit dan kekurangan yang ada, sebenarnya terdapat kesejahteraan”.

Tuesday, December 2, 2008

Ijazah Kedoktoran Terima Kasih Ya Allah!


Alhamdulilah, dengan sifat Ar-rahman dan Ar-Rahim Rabbul Jalil, saya sujud syukur kerana Allah telah memudahkan perjalanan akhir ijazah kedoktoran saya pada pagi ini. Sesi VIVA berjalan dengan lancar walaupun saya mengakui saya merasa cemas apakah keputusan yang akan saya perolehi. Perjalanan ilmu selama 4 tahun secara part-time ini benar-benar mencabar dan kemanisannya baru saat ini saya merasainya.

Komen Berikut saya petik dari blog Prof Muhd Kamil http://muhdkamil.net/kehidupan/

*************************

Tahniah, Dr Ridzwan

December 2nd, 2008

Saya gembira dan teruja, apatah lagi Ridzwan yang kini bergelar Dr Ridzwan Bakar.

Kedua-dua pemeriksa berpuas hati dengan kerja-kerja yang telah dijalankan oleh Dr Ridzwan. Dengan sedikit pembetulan yang boleh disiapkan dalam masa 48 jam, Ridzwan pastinya berasa lega dengan kejayaan yang telah dicapai.

Allah sangat-sangat memudahkan pemeriksaan lisan tersebut. Ia jauh lebih mudah daripada apa yang telah saya lalui hampir 10 tahun yang lampau. Kisah PhD, saya bukukan selalui PhD kecil tapi Signifikan. Saya ingin syorkan kepada Ridzwan, tulislah kisah bagaimana beliau melalui pengalaman belajar di peringkat DBA. Banyak kisah-kisah menarik yang boleh dikongsi bersama.

Ia kisah kemanusiaan dan bukannya semata-mata kisah seorang insan yang mahu mencari gelaran. Ia kisah manusia menemui Penciptanya.
Tahniah. Tahniah. Tahniah.

Posted in
Teruja 10 Comments »

**************************************************************

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada 3 orang Penyelia Kedoktoran saya (1) Prof Madya Dr Norhana Salamudin (2) Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim dan (3) Prof Dr Faridah Hj Hassan. Tidak lupa kepada Koordinator Graduate Business School, Prof Madya Dr Zuriah ; serta semua warga akademik/Professor Faculty of Business Management UiTM.

Terima kasih kepada mak saya, Hajjah Som yang sentiasa mendoakan saya. Terima kasih kepada isteri, anak-anak, ahli keluarga, ustaz-ustaz, guru-guru dan semua rakan-rakan.

Arwah ayah saya pernah berpesan “Jadilah resam padi, makin berisi makin menyembah bumi”. InsyaAllah saya akan ingat perkataan ini dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk ummah.

Terima kasih semua. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Terima kasih Ya Allah dengan anugerah sempena bulan besar Zulhijjah ini.

Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah!