Followers- Jalinan Ukhuwah

Saturday, December 31, 2011

Tazkirah #1 2012- JALAN KEBAIKAN MASIH TERBUKA…


ALLAh memberi kita banyak ruang untuk melakukan kebaikan. Kebaikan ini perlu kita himpunkan untuk menjadi asset bekalan menuju perkampungan abadi. Bila asset amalan kita bernilai tinggi, sudah tentu janji ALLAH akan syurga dan mahligai hebat bakal menemani kita.

Saya teringat detik beriktikaf di hadapan Kaabah. Di kalangan manusia yang ramai, kelihatan seorang tua sedang berusaha memberi minum air zam-zam kepada para jamaah. Beliau begitu komited dan istiqamah melakukan satu bentuk perbuatan mulia yang tidak diminta. Bila selesai memberi minum, beliau melangkah pula kepada orang lain. Cuaca panas di bumi Mekah tidak menjejaskan keazaman beliau untuk terus melakukan satu perbuatan mulia. Orang tua ini tidak give up untuk mengumpul pahala.

Kebaikannya begitu mudah… memberi minum air zam-zam kepada jamaah tanpa diminta.

Begitulah kehidupan kita. Buatlah sesuatu kebaikan walaupun tidak diminta. Jika anda masih ingat, blog ini menyarankan pada Maa’ Hijrah lalu supaya kita berazam untuk selalu bersedekah.

Selamat Tahun Baru 2012 dengan harapan semua pengunjung blog ini sentiasa ceria, sihat agar dapat mengumpul pahala, dimurah rezeki agar tercapai hasrat ke Mekah dan membantu orang susah serta diberi ilmu untuk memimpin hidup yang sementara ini.

Kepada anda yang telah email atau sms saya mengenai usaha membina masjid di Bandung, InsyaALLAh saya akan war-warkan no Akaun khas Bank Islam.

Kepada yang sudah mendaftar untuk Umrah Mac 2012 bersama saya, InsyaALLAH, buatlah persediaan kerana kita perlu berusaha kuat untuk mencari cinta ALLAH. Penyertaan UMrah Mac 2012 masih dibuka.

“Ya ALLAH, rahmatilah kami semua di tahun baru 2012 ini agar kami lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Berikanlah kami ilmu, kesungguhan beramal, kukuh akidah, tabah menentang kemungkaran, pemeliharaan ke atas anak-anak dan harta kami, ikhlas berjuang untuk mencari kemuliaan bukan atas factor duniawi dan kukuhkanlah kasih sayang masyarakat kami agar bersatu atas kalimah syahadah tanpa mengira fahaman politik dan sikap berpuak yang pastinya merugikan ummah.”



Monday, December 26, 2011

Aku Tidak Kalah Dengan Kehidupan...





Alhamdulilah sudah sebulan kita memasuki tahun Hijrah 1433. Dalam beberapa hari lagi, kita akan melangkah pula ke tahun baru 2012. Begitu pantas masa berlalu. Cuba kita sama-sama menilai kembali pencapaian kita sebulan lepas.

Apa yang ingin saya kongsikan dalam entri ini- 1 Safar 1433H bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Setiap amalan kita adalah antara kita dengan ALLAH tidak perlu dimaklumkan kepada umum. Jika ianya memberi manfaat dan tidak menjadikan saya ujub dan sombong, maka ianya perlu dikongsi. Jika tulisan ini memandu saya kearah kesombongan maka ALLAH tetap selayaknya saya memohon ampun dan taubat.

Ketika saya meniti hening pagi Subuh pada 1 Muharram 1433H, saya menilai pencapaian diri sebagai seorang muslim. Dengan menapak melebihi 1km dari tempat penginapan ke Masjid Raya/Agung Kota Bandung, saya berkira-kira dengan amalan yang bakal di bawa bertemu ALLAH. Di kiri kanan sepanjang perjalanan, kelihatan ramai juga penarik beca sedang tidur di beca masing-masing. Bagaimana mereka bisa tidur dalam suasana sejuk di luar?

Tiba di Masjid jam 3.30 pagi, suasana luarbiasa menghinggap mata. Ianya tidak sama dengan suasana jam 3.30pagi di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Kelihatan ramai peniaga-peniaga kecil tidur di kaki lima masjid. Bukan setakat lelaki malah ramai juga muslimah dengan anak kecil.

Hati ini tersentuh….

“Saya ngak ada rumah Pak. Kami Cuma menumpang ihsan di Masjid Agung ini. Kira pemimpin Masjid ini menghalau kami, kami ngak tahu ke mana mahu berteduh.” Itulah luahan hati di pagi 1 Muharram 1433H… sangat-sangat menyentuh hati saya yang keras ini…

Ada juga antara mereka bangun jam 4 pagi untuk bertahajud dan berdoa. Di satu sudut Masjid, danau mata hitam ini menitis mengenangkan bahawa di kala kita mampu ke KFC dan McDonald, ramai lagi hamba Tuhan yang Ikhlas hidup merempat namun tidak kalah dengan kehidupan. Airmata ini tidak mampu lagi bertahan sebagaimana kenikmatan airmata taubat dan keinsafan di Raudah dan di Makam Ibrahim.

Maka saya teringat kejadian di daerah Cipanas. Ketika saya memberi sedikit wang kepada seorang muslimah kerana membantu isteri saya, beliau menangis. Tangisannya agak lama. Bila reda beliau berbicara,

“Setiap malam saya bangun Tahajud. Saya berdoa supaya rezeki datang ke pintu rumah. Sudah 3 bulan wang persekolahan anak-anak saya tidak dapat saya sempurnakan. Anak kecil yang sakit pula hanya perlu ketemu dukun. Tidak mampu ke hospital. Saya tidak kalah dengan kehidupan kerana saya yakin doa saya didengari Tuhan. Dan hari ini, bapak memohon bantuan kecil saya, dan hari ini doa saya dimakbulkan Tuhan.”

“Bapak dan Ibu. Wang yang bapak dan ibu beri ini lebih dari mencukupi untuk kami sekeluarga. Terlalu banyak jika dibanding dengan bantuan kecil saya. Saya dan suami tidak mampu membalasnya Cuma doa kami moga kita ketemu di Syurga ALLAH dan saya mahu menyaksikan bapak, Ibu dan seisi keluarga meniti Titian Sirat dengan selamat.”
ALLAHU AKBAR!


Di satu sudut Masjid Agung Bandung ini, bisikan madah ini amat menyentuh hati saya….. Airmata tidak mampu saya kawal lagi. Terlalu berat untuk emosi diri ini mengendungnya. Kerana mata, hati dan perasaan saya bersama mereka. Processor fikiran ini terhenti bila beduk dipukul dan Azan berkumandang. Subuh Awal Muharram yang menginsafkan….. Saya sujud syukur kerana ALLAH mengizinkan saya menjadi tetamuNYA dan tetamu rakan-rakan yang menjemput saya.


Kita semua manusia yang hina di sisi Rabbul jalil.

Kita amat kerdil di sisi Tuhan

Ramai lagi insan yang hidup sukar

Mereka tidak kalah dengan kemiskinan

Cuma kita sahaja yang kecundang

Dengan kenikmatan…



Saturday, December 17, 2011

Bandung- Mengisi Sebuah Impian..



Foto: Tapak Masjid. Sudah 4 tahun terbiar



Nikmat iman, Islam, ihsan, takwa, taubat, membuat kebaikan dan jihad adalah antara nikmat besar yang ALLAH anugerahkan kepada kita. Dengan iman dan Al-Qu’ran menjadikan kita damai jiwa dan bersih hati. Ianya mengatasi nikmat harta simpanan yang bakal menyusut.

Sudah dua minggu saya agak gelisah. Setiap hari wajah insan miskin berlegar dikelopak mata. Mereka hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Seolah-olah dunia ini menzalimi mereka…

Di akhir tahun Hijrah 1432, saya ditanya oleh Pak Henry

“Sambutan Hijrah di sini kurang lumayan. Lantaran Pak Dr, ke mana lagi Bapak mahu pergi. Saya bisa teman dan supir saya boleh bawa Bapak Dr ke mana sahaja.”

Maka saya berkata “engak usah susah-susah Pak. Saya mensyukuri layanan baik bapak sekeluarga.”

“Gak Pak. Kamu dan isteri adalah tamu istimewa kami. Kami sangat besar hati menerima kamu di sisi kami. Moga kamu dipilih dikalangan orang-orang yang ikhlas.”

Saya lantas terus bersuara spontan, “Ok. Bawa saya ke desa yang sangat-sangat memerlukan Masjid.”

“Ayuh kita terus ke sana,” Pak Henri tanpa berlengah mengajak saya.

Melalui jalan-jalan kecil dikelilingi sawah bendang, perjalanan ini sangat menakjubkan. Sawah indah menghijau namun dihiasi teratak uzur si petani. Kami tiba di kaki desa jam 3.30 petang.

Tiba di sebuah desa yang indah itu, pemimpin masyarakat dan warga desa sudah menanti kehadiran saya. Subhanallah!

“Pak, terima kasih kerana mengunjungi kami rakyat miskin di sini. Kami sangat membutuhkan sebuah masjid. Kami orang miskin menagih simpati dari orang kaya, namun sudah empat tahun tiada siapa yang hadir membantu. Kami solat jumaat di kampong orang. Anak-anak kami tidak dididik agama dengan sempurna kerana tiadanya Masjid. “

Subhanallah… hati saya tersentuh. Saya bukan orang kaya yang dapat menyelesaikan kehendak terdirinya sebuah masjid di desa ini. Tapi saya berazam untuk membinakan masjid untuk mereka.

Ianya benar-benar menyerang emosi saya…. Ya…! Hingga ke saat dan detik jemari ini menyentuh setiap bullet keypad notebook ini.

“Ya ALLAH, ampunilah dosa ku dan kami semua yang tidak mampu menghulurkan 100% bantuan ini…”

Oleh kerana saya mempunyai temujanji untuk memberi ceramah di Hotel Holiday Inn Bandung jam 5 petang, pertemuan saya dengan masyarakat desa ini hanya lawatan singkat. Singkat dan tidak dirancang namun mempunyai impak dalam diri saya…

Penghujung hijrah dan peng awal hijrah yang bakal menguatkan semangat saya untuk terus melangkah, InsyaALLAH.


Monday, December 12, 2011

Bandung Pasentran Tahfiz Anak Yatim




Program saya seterusnya ialah menuju ke satu pasentren Tahfiz anak-anak yatim di pinggiran desa Kota Bandung. Ianya adalah permintaan saya untuk menyerahkan wang zakat dan sebahagian wang royalty buku Rindu Baitullah.

Menyerahkan wang zakat amanah kakak saya dan juga sebahagian royalty buku Rindu Baitullah bernilai melebihi Rp3 Juta. Juga terima kasih kepada puan Siti dan rakan-rakan yang turut memberi sumbangan ke pasentran Tahfiz Anak-anak Yatim di sebuah desa pinggiran Bandung. Juga terima kasih kepada semua pembeli pos buku Rindu Baitullah (belian terus dengan saya) yang telah ikhlas membayar lebih dari harga buku. Lebihan yang tuan-puan bayar telah saya sadaqahkan ke Pasentran Tahfiz anak-anak yatim ini. Mereka lebih memerlukan bantuan kita.

Pengurusan Tahfiz ini juga memberi saya peluang untuk menyampaikan tazkirah ringkas kepada adik-adik anak yatim yang sedang bekerja keras menghafaz Qur’an.

“Adik-adik pewaris ummah yang saya sayangi, hidup tanpa bapak dan ibu bukan bererti dunia ini sudah tiada nilai. Maka Jadilah Tahfiz professional yang bakal mewarnai dunia korporat dan pemerintah Negara. Belajarlah sejarah bahawa Malaysia, Indonesia, Brunei, Temasek, Selatan Thailand dan sebahagian Filipina adalah rumpun Melayu Nusantara. Kerajaan Melayu Nusantara dahulu menjadikan AL-Qur’an sebagai pedoman pengurusan dan pimpinan. Rapatkan semangat cinta-mencintai sesama muslim. Usah terpedaya dengan sentimen anti Malaysia yang mengotori perjalanan ummah nusantara. Usah gusar dengan pekerjaan, lantaran rezeki adalah urusan ALLAH.”

“Hari ini ALLAH izinkan saya hidup untuk bertemu kalian semua. Tidak banyak yang mampu saya lakukan dari sisi pembangunan fizikal. Hidup saya yang sementara ini perlu saya kuasai agar memberi manfaat kepada ummah. Anda semua adalah pewaris kepada satu wawasan besar hidup manusia. Ayuh sama-sama berganding bahu merapatkan saf kasih sayang rakyat Indonesia-Malaysia. InsyaALLAH, tahun hadapan jika usia saya dipanjangkan, saya pasti hadir lagi ke sini.”

“…Sesungguhnya rahmat ALLAH sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” Surah Al-A’raf: 56


Saturday, December 10, 2011

Umrah Cuti Sekolah Mac 2012


InsyaALLAH, program Umrah Cuti Sekolah Mac 2012 masih dibuka. Tempat agak terhad. Sila call, sms atau email saya untuk keterangan lanjut.

Boleh juga terus email nama penuh dan no paspot antarabangsa untuk tempahan seat dan tinggalkan no hanfon untuk saya hubungi.


Friday, December 9, 2011

Leadership Seminar- YES2011 PWTC 8 Dis 2011


Foto: Perkongsian ini lebih bernilai jika memberi impak.


Foto: Pemimpin-pemimpin muda memberi tumpuan


Foto: Kenangan bersama En Yahaya, Pengarah Projek YES 2011 dan silent
reader blog Haji Muda, pegawai muda dari Petronas Leadership Center. Terima kasih.



Alhamdulilah dengan kebesaran ALLAH, jemputan untuk menyampaikan leadership talk telah saya sempurnakan semalam Khamis 8hb Disember 2011. Dewan utama di PWTC kelihatan penuh, satu bentuk sokongan yang amat saya hargai.

Peserta adalah insan yang hebat terdiri dari pemimpin-pemimpin muda sektor korporat, kerajaan dan ahli perniagaan muda.

Walaupun saya menyentuh beberapa aspek Islamic Leadership, peserta-peserta bukan muslim memberi reaksi positif akan indahnya Islam menyusun hidup manusia.

Terima kasih kepada semua yang hadir khususnya CEO, Pengurusan Kanan Irsyad, Pengarah projek dan semua pegawai yang membantu saya dari awal hingga akhir ceramah. Tidak lupa kepada peserta program, cik puan Husnah pegawai Tabung Haji KJ yang telah menghadiahkan kurma nabi kepada saya. Tidak sangka boleh dapat kurma yang saya suka ini di PWTC. Juga terima kasih kepada semua yang mengenali saya terutamanya silent reader blog ini yang turut hadir mendengar perkongsian saya. Jazakallahu khair.

Moga ALLAh memberi kita ilham untuk membina pemimpin-pemimpin muda yang amanah, terhindar dari korupsi, bersih hati, tiada hasad dengki dan sentiasa mendampingi ALLAH. Amin!



Sunday, December 4, 2011

Bandung- Hidup kelihatan Susah, namun hati Senang Banget




Apakah institusi Zakat mampu mengubah dan membela nasib ummah?


Mereka bahagia dengan hidup dikelilingi bumi menghijau.

Biarpun sekadar menumpang dibelakang jeep/pick up, mereka bahgia benget… Hidup tanpa hutang biarpun mendesak.

Hidup mereka mungkin kais pagi makan pagi dan begitulah disebelah petang.


Namun bila bertemu mereka, tidak kelihatan yang mereka mengeluh mendambakan nikmat duniawi. Mereka redho dengan apa yang ada. Satu perkara yang saya belajar , mereka sangat-sangat kuat berdoa. Dan mereka yakin dengan doa yang dipanjatkan kepada Ar-Rahman Ar-Rahim.


Kita tidak bahagia sebab menghimpun hutang untuk hidup….

Kita akan terus tidak bahagia jika ada sedikit bingkisan hasad dengki dalam hati…

Kita akan selamanya tidak bahagia bila tidak meletakkan ALLAH dan Rasul dalam resipi hidup ….


Alhamdulilah…. Terima kasih ALLAH!


Saturday, December 3, 2011

Bandung Bau Syurga di Puncak Darajat...

Foto: Memandang jauh misi hidup..... Cuaca dingin mampu 'refresh' perancangan jangka panjang.

Foto: Pemandangan gunung Papadjaran

Foto: Melihat kehijauan bumi Darajat. Indah ciptaan ALLAH...


Selepas tamat perasmian, saya dan keluarga dipelawa untuk ke pekan kecil Cipanas. Solat maghrib di Masjid Cipanas sungguh menyeronokkan kerana jamaah yang padat. Cuaca dingin memberi ketenangan solat. Selepas itu, saya mencari CIMB Niaga untuk pengeluaran wang di ATM. Rupa-rupanya tiada cawangan CIMB Niaga di pekan kecil ini. Maka saya kekeringan Rupiah...

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Puncak darajat lebih kurang satu jam dari pekan kecil Cipanas ini. Tiba di puncak Darajat lebih kurang jam 8.45 malam. Dengan ketinggian melebihi 2000 kaki dari paras laut dan dikelilingi oleh gunung-gunung, sudah tentu cuacanya nyaman dan sejuk. Air di bilik penginapan pula air panas asli dari kawah air panas di pergunungan ini.

Keletihan menyebabkan kami tidur awal.

Selepas solat subuh, saya membawa isteri dan anak bersiar-siar dipersekitaran tempat penginapan. Sememangnya indah pemandangan di sini yang dikelilingi banjaran gunung dan sawah bendang. Bumi hijau terbentang luas.

Subhanallah…! Mahasuci ALLAH! Hebat! Hebat! Ciptaan ALLAH.

Selepas minum di kedai berhampiran tempat penginapan, Saya mengambil kesempatan bersembang dengan petani-petani yang berdagang di Puncak Darajat ini. Mereka sudah bersedia menanti tetamu Rumah Mandi Water-boom air panas di Puncak ini. Seorang pedagang menjual kacang rebus berkongsi dengan saya bahawa pendapatan sehari bersih 30 ribu rupiah = sebulan 900 ribu rupiah bersamaan RM300. RM300 sebulan!

Si petani tua ini berbicara lagi dengan saya, “Saya fikir Bapak bukan orang Indonesia… bapak dari mana?”

Belum sempat saya menjawab, beliau berkata lagi, ”Saya fikir darjat bapak tinggi, tidak bisa bicara sama petani macam saya…” MasyaALLAH….

“Mengapa jadi gitu Pak..?” Saya bertanya.

Beliau berkata, “Kami petani miskin tidak bisa berbicara dengan orang besar dan tinggi darjatnya. Ini adalah perasaan kami orang miskin. Di pandang sangat rendah di sini...” keluhannya berterusan.

Saya katakan,” MasyaALLAH! Islam bukan mengajar begitu Pak. Rasululah s.a.w juga tidak mengajar kita begitu. Bila Rasululah s.a.w melakukan kesilapan mengutamakan golongan elit Quraisy, Al-Qur’an menegur Baginda. Begitu juga, bila Rasululah s.a.w tiada lagi, AL-Qur’an tetap mengajar kita supaya bergaul dengan semua golongan bukan golongan kaya elit sahaja.”

Petani tua ini menganggukkan kepala…… Lantas berkata, "Buanglah darjat kamu dan dampingilah orang miskin. Jika kamu anak muda mampu melaksanakan apa yang Rasululah sa.w nyatakan dan apa yang Qur'an sebutkan mengenai orang miskin, maka kamu dan sesiapa sahaja sudah bisa mencium bau syurga....." ALLAHu Akbar!

Sesungguhnya ALLAH memberi saya banyak pelajaran di setiap langkah mendampingi orang miskin di sini. Kata-kata rendah diri benar-benar menghentak minda dari tidur di siang hari.....

"Ya ALLAH, adakah kami yang sedang bersantai di blog ini layak menjadi Tetamu SyurgaMU sebagaimana kau izinkan kami menjadi Tetamu BaitullahMU?"