Followers- Jalinan Ukhuwah

Showing posts with label Tip Haji/Umrah. Show all posts
Showing posts with label Tip Haji/Umrah. Show all posts

Saturday, July 21, 2018

Nak Juga Pergi Haji....


Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu akbar, sebagai hamba tentunya kita merasa sangat kerdil. Allah masih memberi kita peluang untuk berkorban, berbakti dan beramal. Di saat kita berangkat ke Barzakh nanti, tiada lagi peluang untuk berbakti, berkorban dan beramal. Tiada lagi ibadah khusus, tiada lagi Sadaqah yang kita sangat berkira-kira.

Tahun 2016, saya dan isteri menerima jemputan menunaikan Haji Kali ke-2. Ketika itu, saya teringat buku Haji Muda yang sudah berusia 10 tahun. Meloncat hati bila menerima tawaran Haji No 1 yang telah dipahatkan dalam karya motivasi haji muda. 

Saya termenung ketika itu. Peluang yang sangat berharga yang lebih Satu juta rakyat Malaysia sedang menanti. Urusan dunia dan keperluan untuk membesarkan anak-anak menjadi prioriti saya ketika itu. Ianya bukan halangan, tetapi menuntut kebijaksanaan hidup. 

Orang bertanya, kenapa tak nak pergi haji kedua itu? 

Ringkasnya, ia melibatkan Lima faktor.

1.   Haji kedua tidak wajib. Berikanlah peluang kepada orang lain. Moga ALLAH menerima niat saya ini sebagai amal soleh

2.  Haji ke 2 tiada subsidi. Kos haji kedua mencecah RM20 ribu seorang.  Jika suami isteri, sudah tentu saya perlu sediakan RM40 ribu untuk dibayar ke pakej Muasasah Tabung Haji. 

3.  Jika berpeluang, saya mahu Haji ke 2 dalam keadaan saya mahu berkhidmat kepada TH atau agensi pengurusan Haji. Jadi konselor, pembimbing dan bagi kuliah pun dah kira okay disamping berdamping dengan warga emas. Belajar berkhidmat adalah satu perkara yang mulia. 

4.  Komitmen pejabat yang telah dibuat. Haji perlu perancangan apatah lagi ianya haji ke 2. Perlu juga minta cuti tanpa gaji 40-48 hari. 

5.  Saya berhasrat untuk membeli tanah sawah dan membesarkan sekolah yang saya dan ust H. Yopi Nurdiansyah AL-Hafiz usahakan. Miftahulkhoir Quranic Boarding School (MQBS) sentiasa di hati saya dan isteri. Berdamping dengan anak-anak huffaz santri/santriah sentiasa menghiburkan. Sentiasa rindu suasana dingin dan nyaman sulaman sawah menghijau... lokasi di mana zikir dan AL-Qur'an menjadi ulam kehidupan. 

Baru baru ini sahabat saya, Hj Rosazmi CEO Haramain Global, menawarkan visa Haji Furada. Allahu Akbar terharu saya. Bisikan hati yang didengari Allah. Terima kasih Hj Rosazmi dan Ust Fazli. 

Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak bersedia untuk ke Tanah Suci tahun 2018 untuk tempoh panjang. Saya sudah buat banyak komitmen khususnya untuk program pembangunan ilmu Multimedia Universiti, pembangunan ummah seperti iWaqf Tabung Wakaf Negara, Bank Wakaf International (BWI), Bandar Wakaf Islam Munawwarah, membantu JAWHAR dan MAINS untuk waqf professional dan jemputan ceramah korporat untuk program Islamic Leadership/Islamic Finance.  

Kelab Haji Muda juga memerlukan sentuhan dan Buku Motivasi Islami No 4 pun masih belum diterbitkan... Buku Motivasi No 5 sedang mula menari di sisi keyboard PC. 
Lemahnya hidup insan, banyak kerja nak buat...


Apapun, saya memberi komitmen kepada Tn Hj Rosazmi, InsyaALLAH saya akan hadir membantu jamaah haji pada 28hb Julai nanti. Jemput hadir- Gratis!

Haji dan umrah adalah dua ibadah yang berbeza walaupun kelihatan sama. Hanya ALLAH tempat kita menyembah dan memohon pertolongan. Rezeki urusan ALLAH, bukan urusan manusia. 

Nota: Masih menunggu Publisher untuk menerbitkan buku no 4. 

Monday, January 22, 2018

Umrah 2018 Tip #2: Istikharah



Solat istikharah adalah amalan mudah yang kita sering tinggalkan. Ulama-ulama silam akan beristikharah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pandangan atau sebelum memulakan penulisan/kajian. Sebab itu tulisan meraka dan pandangan mereka bercahaya hingga mampu membuat orang lain menangis. Kita pula di zaman siber ini, lebih banyak bercakap dan menulis di media sosial secara semberono dengan tulisan yang tidak berfaedah dan melukakan orang lain. 

Imam Nawawi menyatakan bahawa apabila seseorang mahu mengerjakan haji /umrah, hendaklah dia melaksanakan solat istikharah 2 rakaat.  Istikharah di sini bukan bermaksud syak atau ragu ragu mengenai ibadah haji, tetapi berkait dengan beberapa factor lain seperti masa. Ibadah haji adalah Rukun Islam, maka tiada sebab untuk kita beristikharah untuk tujuan menangguhkan ibadah haji/umrah. Bila sudah cukup syarat Haji/Umrah, maka tidak boleh ditangguhkan dengan sengaja.

DISKUSI APLIKASI

Istikharah adalah amalan mulia (sunat) agar keputusan yang bakal kita buat mendapat panduan/ilham dari ALLAH swt. Ini berkait rapat dengan beberapa factor yang mungkin menyebabkan hati berdolak dalik untuk menunaikan haji/umrah. Dari sudut aplikasi, saya ambil DUA  kes sebenar di bawah untuk dijadikan pedoman

FAKTA KES

KES 1  Bila Nak Pergi (Masa)?
Jamaah umrah perlu merancang perjalanan umrah dengan perlu mengambilkira keperluan pejabat, anak-anak, sumber kewangan dll. Masa yang sesuai perlu disokong oleh solat Istikharah agar damai hati untuk membuat keputusan. Lebih kurang 8 tahun lalu, saya pernah berhadapan dengan jamaah yang menangguhkan lebih 3 kali perjalanan umrah dengan memberi berbagai alasan duniawi. Akibatnya, hingga sekarang beliau gagal menyempurnakan ibadah umrah wajib. Wang hasil EPF juga sudah kering. Sudah tentu iblis dan nafsu menang di sini. Faktanya, beliau gagal menunaikan solat istikharah untuk mencari pedoman jalan berumrah.

Kes 2  Pakej Mana Yang Bagus
Saya banyak melalui situasi jamaah yang bertanya berbagai soalan mengenai pakej umrah. Antaranya mana satu pakej umrah yang terbaik.  Bila penerangan dibuat dengan panjang lebar dan bermingu minggu, akhir sekali, hamba hamba ALLAH ini (plural) menuduh agensi umrah menipu, janji manis, gimik iklan, promosi atas kertas dsbnya. 

Pada hemat saya, semua pakej umrah bagus. Dengan tidak menafikan ada agensi umrah yang tidak amanah dan menipu, majority agensi umrah di Malaysia mempunyai niat yang baik untuk sama sama  menyediakan perkhidmatan terbaik. 

Yang tidak bagusnya adalah orang yang bertanya. Menunaikan haji/umrah bukan seperti pakej melancong. Maka tidak perlulah membawa nada sombong dan ego bila bertanya atau memperlekehkan agensi umrah.  Menunaikan Umrah perlu bawa bersama sikap rendah diri, positif  dan sifat mahu belajar serta mahu memahami. Jika tahap ini pun sudah FAIL, bagaimana untuk mengharap Umrah maqbullah? 

Imam Nawawi menyarankan, istikharahlah. Jadi buat apa bakal jamaah kategori sombong ini mencari salah agensi umrah. Buat kajian, bertanya (Go Back to Tip Umrah No 1) dan istikharah. 

Tidak perlu menghukum agensi umrah. Cuba fahami mengapa sesuatu agensi umrah menawarkan pekej lebih mahal dari yang lain. Dan adakah pakej murah ada menyembunyikan harga yang sepatutnya all-in inclusive? Banyak factor penentu harga (seperti tempoh masa di Tanah Suci, jenis pesawat, jarak hotel, Add-on program, jenis hotel dll).

CADANGAN KEPADA JAMAAH
1. Buat spesifikasi sendiri 
2. Minta quotation dan bertanya
3. Bincang spesifikasi dengan ahli keluarga 
4. Kemudian istikharah lah untuk pilihan terbaik. 
5. Buat keputusan agensi mana atau pakej apa yang sesuai.

InsyaALLAH bersambung .....

Tuesday, January 9, 2018

UMRAH 2018 TIP 1- RUJUK ORANG BERILMU




Alhamdulilah, kehebatan teknologi menyebabkan banyak buku buku dan maklumat haji/umrah yang mudah diperolehi. Berbagai tip haji/umrah dikongsi termasuk juga cerita cerita menarik. Ibadah Haji dan Umrah kelihatan lebih mudah.

Blog ini sudah lama tidak update perkara berkaitan haji umrah. Fokus banyak diberikan untuk membincangkan urusan ilmu Waqaf, Islamic finance dan kerja kerja Bakti Sosial di facebook/drridzwan. Juga fokus kepada tazkirah ringkas dan muhasabah diri.

InsyaALLAH, saya akan berkongsi semula tip tip haji umrah untuk bacaan masyarakat umum. Terlebihnya khusus kepada jamaah Umrah yang akan bersama saya pada 15 Mac 2018 nanti.

Imam Nawawi telah mengariskan beberapa perkara sebelum seseorang bermusafir dan ber rehlah menuju ke Tanah Suci. Tip kali ini mengupas perkara "Merujuk kepada orang berilmu". Imam Nawawi menekankan supaya kita berusaha merujuk dan bertanya kepada orang orang ilmuan dan berpengalaman sebelum kita membuat keputusan untuk menunaikan haji/umrah. 

Tip #1 ini penting dalam usaha kita mengapai haji/umrah maqbullah. Dalam kursus dan kuliah umrah yang saya usahakan, ramai jamaah lebih fokuskan kepada aspek keperluan lahiriah sehingga aspek rohaniah seakan terpinggir. Adalah menjadi kewajipan kita untuk merujuk dan bertanya kepada ilmuwan berkaitan urusan haji umrah.

Kita lihat beberapa fakta berikut:-

1.   Ibadah haji/umrah bukan perjalanan pelancongan. Ianya perjalanan hati dan roh untuk hampir dengan Pencipta. 

2.   Seringkali emosi mengelembung dan meluap dek kerana hilang sabar.

3.   Ada banyak kes penipuan umrah.  Saya juga mempunyai beberapa pengalaman ditipu oleh agensi umrah ternama yang kini hebat beroperasi di tanahair ini. Maruah dan imej saya terjejas akibat sikap tidak amanah agensi ternama ini. Walaupun saya sangat teliti, penipuan tetap berlaku.  Ibadah Umrah dijadikan tempat mengaut untung. 

NASIHAT:

1.  Rujuklah Tok Tok Guru dan Mutawif yang ikhlas di dalam urusan haji/umrah tuan puan.

2.  Hadirlah ke kursus kursus umrah yang sebahagian besarnya adalah percuma.

3.  Tanya apa sahaja soalan supaya kita benar benar bersedia untuk mendapat yang terbaik.

4.  Pilihlah agensi yang amanah, yang takutkan ALLAH. 

5.  Teliti dan semak pakej yang ditawarkan. Tanya mereka yang berpengalaman atau saudara mara kita yang pernah ke Tanah Suci. 

InsyaALLAH, bersambung Tip #2 ......



Tuesday, February 10, 2015

Umrah: Satu Coretan Kecil...


Coretan kecil di Pinggir KPJ Hospital.Satu sentuhan yang pernah dinukilkan...



Malam tadi saya tersentak dari tidur. Tiba-tiba rindu akan Kaabah menghampiri diri yang kerdil ini. Sudah sebulan lebih saya meninggalkan bumi Mekah tetapi kerinduan tiba-tiba merenjis hati kecil ini. Sukar untuk memperolehi renjisan kedamaian dan lapangnya fikiran seperti di Tanah Suci.

Ramai juga bertanya saya, bila lagi nak buat rombongan Umrah? kami nak ikut sama....

Jika nak pergi Umrah tidak semestinya ikut saya. Jika sudah berhasrat, maklumkan supaya saya dapat uruskan pendaftaran umrah. Jika nak ikut saya, simpan duit boleh join Umrah Disember 2015 nanti.



Ya lah... kalau ikut hati sudah tentu mahu ke sana lagi dalam tempoh terdekat. Jawapan saya, kumpullah duit. Jika saya nak pergi, saya akan maklumkan saudara-mara, rakan-rakan dan blog saya. Kita pergi ramai-ramai sebagai satu pasukan, barulah seronok.

Minggu lepas selepas memberi ceramah di sebuah program, ada insan bertanya saya, “Bolehkah kita pergi Umrah pakai pinjaman koperasi?” Saya tersenyum kerana soalan ini adalah ranking pertama soalan-soalan yang pernah dikemukakan kepada saya. Wajah insan yang bertanya pula benar-benar excited seolah-olah esok hari juga hendak ke pejabat Koperasi untuk memohon pinjaman.

Saya tiada autoriti untuk membenarkannya. Namun bila berkesempatan untuk membincangkan perkara ini di ceramah-ceramah, maka saya akan mengupas dengan lebih panjang dengan membuka minda pendengar untuk melihat beberapa pilihan yang ada. Pada hemat saya, perkara pinjaman koperasi ini agak fleksi bergantung kepada kemampuan (mampu semasa dan selepas pulang Umrah) dan jaminan diri diperlindungkan.

Contoh 1 : Jika gaji Puan A ialah RM3,000 dan gaji bersih ialah RM1,000 dan ansuran bulanan koperasi ialah RM400, maka saya berpendapat ianya tidak seharusnya dilakukan. Sukar untuk hidup dengan gaji bersih RM600 khususnya di bandar-bandar.

Contoh 2 : Jika gaji Puan A ialah RM3,000 dan gaji bersih ialah RM1,600 dan ansuran bulanan koperasi ialah RM400, maka saya berpendapat pinjaman ini seharusnya dibolehkan kerana gaji bersih selepas tolak pinjaman koperasi =RM1,200 (tanpa ada tanggungan lain). Pun begitu, panduan seperti perkongsian saya dalam buku Haji Muda semestinya dilaksanakan iaitu pinjaman ini dilindungi oleh Takaful dan tempoh pinjaman yang singkat (seminima mungkin).

Dari perspektif lain, jika kita terlalu jumud/rigid, kemungkinan Puan A akan membuat pinjaman koperasi untuk ke Gold Coast atau ke Beijing. Justeru, dari membenarkan beliau ke Gold Coast atau Bali, maka kita perlu mengambil pendekatan maslahah fleksi dengan mengharuskan pinjaman koperasi untuk menunaikan Umrah. Wallah’alam (Astaghfirullahal azim, Ya ALLAH ampunkan kami jika pada pengetahuan MU, pendapat ini tidak benar).

Apa pun hujah, saya berpendapat berilah peluang semua insan untuk merasai nikmatnya beribadah di Tanah Suci. Jika mereka pergi ke Tanah Suci dengan hati yang tulus ikhlas kerana ALLAH, ALLAH akan melapangkan rezeki dan akan mempercepatkan penyelesaian hutang koperasi tersebut.

Rugi melewat-lewatkan usia untuk ke Tanah Suci. Kita sama-sama perlu berusaha memudahkan urusan insan yang ingin tunaikan Haji/Umrah, insan yang mahu berkahwin dan insan yang mahu menuntut ilmu. Bila kita memudahkan dan membantu insan lain merealisasikan impian, ALLAH juga akan memudahkan urusan impian kita menuju SyurgaNYA.   Wallah'alam.

Monday, December 29, 2014

Kuliah Online Mekah




                                    Foto: Memanjat keampunan dan kesyukuran di Multazam


[27/12 4:47 AM] Polaris Office Document Text - 
Kuliah online Masjid Assharif Meru, Klang 25 Dis 2014. 3 Rabiulawal 1436H
Lintas dari Masjidil Haram Mekah.


Assalamualaikum wbth. Segenap puji bagi Allah, Penguasa dan Pemilik sekelian kerajaan. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia pemimpin agung Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga baginda. Ayuhlah kita mulakan kuliah kita dengan beristighfar kepada AllAh swt, menginsafi diri dan meletakkan diri kita sebagai hamba kepada Allah yang Maha Esa bukan hamba kepada manusia atau bos kita.

Pencinta ilmu kariah Masjid Assharif Meru dan semua pendokong Kelab Haji Muda yang saya kasihi,
Alhamdulilah kita diberi kesempatan lagi untuk terus mengali ilmu dan berkomunikasi melalui kuliah online "Tarbiah dan manasik haji/umrah". Kuliah hari Khamis malam Jumaat ini saya teruskan secara online upload ke facebook/kelabhajimuda facebook/drridzwan dan blog http://ridzwan-bakar.blogspot.com dan akan diupload ke facebook masjid oleh admin.


Alhamdulillah sudah hampir 5 hari saya berada di Mekah. Hari ini saya menyarankan jamaah untuk berpuasa sunat Khamis dalam usaha kita membentuk hati dan diri. Ianya tidak sukar memandangkan cuaca sejuk nyaman di Mekah. Apatah lagi melaksanakan tawaf sunat yang seharusnya kita ambil peluang kerana tiada lagi lokasi ibadah Tawaf melainkan di Masjidil Haram.

Mereka yang kini berada di Tanah Suci amat bertuah. Pahala amalan di sini 100,000x dari mana2 tempat. Bukanlah ganjaran sahaja yang memotivasikan jamaah, namun apa yang lebih penting jamaah semua akan menjadi Duta Muslim setelah menjadi Tetamu Istimewa Pemilik alam. Inilah misi yang sukar untuk kita laksanakan yakni sebagai Duta Muslim bila kembali ke Tanahair.

Tawaf dan saie melatih kita menjadi sang hamba. Ketika bertawaf, kita tak putus-putus beristighfar, mengakui dosa, mentakuti azab kubur, takut akan mahsyar, gementar dengan titian sirat dan berdegup hati menerima keputusan amal. Tawaf dan saie mendidik kita erti sabar, bukan sedikit kesabaran. Kadang-kadang jamaah tidak mampu bersabar apabila di rempuh, ditolak dan dihimpit dalam keadaan suasana yang kurang berakhlaq sesetengah jamaah negara asing.

Di hadapan Hajar Aswad dan Multazam suasananya lebih kelam kabut akibat rakusnya manusia merempuh semata-mata mahu cium hajar aswad atau berdoa di Multazam. Sebahagian manusia sangat rakus dan mementingkan diri sendiri. Apa yang kita hendak harapkan kepada muslim kapitalis di luar Mekah jika budaya dan akhlaq muslim tidak diterjemahkan oleh para Tetamu Allah sendiri...

Ketika Tawaf pusingan pertama kita berdoa
"Maha suci Allah dan segenap puji bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah dan Allah maha besar dan tiada upaya kami mentaati perintah Mu dan tiada kekuatan utk kami menjauhi larangan Mu melainkan dgn izinMu. Wahai Allah kami mohon keampunan dariMu dari siksa neraka"


Rasulullah saw diutuskan utk membawa kebenaran dan memberi peringatan akan hari akhirat. Hampir kesemua doa tawaf dan saie yang disusun oleh para ulama berkisar persoalan sang hamba yang mengharapkan rahmat, kasih sayang Allah. Solat di Masjidil haram sudah cukup memberi peringatan akan hari Akhirat, di mana manusia berpusu pusu, ke hulu dan hilir mencari sesuatu. Ada ketikanya manusia2 ini diherdik oleh pegawai kerana tidak tahu bahasa dan mementingkan diri sendiri. Secara umum, Corak berfikir dan akhlaq tidak jauh beza samada di Tanah haram atau diluar tanah haram.

Moga ibadah umrah dapat membentuk ribuan rakyat Nusantara Melayu- Msia, Brunei, Indonesia, Singapura untuk bersatu membina ummah yang kian rapuh. Jamaah umrah adalah Duta Perubahan, maka usahlah lalai bila kalian kembali ke tanahair....

Kuliah Online Madinah


                      Foto:  Berselawat dan Melangkah perlahan di makam Rasululah saw.

[18/12 5:51 PM] Polaris Office Document Text -
Kuliah online Masjid Assharif Meru, Klang 18 Dis 2014
Lintas dari Masjid Nabawi, Madinah.

Assalamualaikum wbth. Segenap puji bagi Allah, Penguasa dan Pemilik sekelian kerajaan. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia pemimpin agung Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga baginda. Ayuhlah kita mulakan kuliah kita dengan beristighfar kepada AllAh swt, menginsafi diri dan meletakkan diri kita sebagai hamba kepada Allah yang Maha Esa bukan hamba kepada bos atau mana-mana manusia.
Sidang jemaah dan sahabat2 pencinta ilmu kariah Masjid Assharif Meru yang saya kasihi,
Biarpun kuliah rasmi "Tarbiah dan manasik haji/umrah" siri ke 20 bulan ini ditangguhkan kerana saya menunaikan umrah bersama jàmaah, ianya bukan alasan untuk kita tidak boleh terus berkomunikasi. InsyaAllah kita cuba manfaatkan teknologi yang ada. Atas nikmat Allah inilah, saya berazam untuk membuat kuliah online terus dari Madinah dan Mekah. Kuliah ini akan saya kongsikan di facebook Masjid Assharif Meru dan facebook/kelabhajimuda facebook/drridzwan.


Tuan Puan ayah ibu yang saya kasihi,
Sesungguhnya Allah amat mencintai hambaNya. Atas dasar kecintaian inilah, maka Allah mengutuskan surat ujian yang perlu kita buka, baca dan bertindak. Ramai antara kita hanya gembira membuka surat khas ujian dari Allah, namun tidak ramai yang benar_benar mahu membaca dan bertindak. Kita silap bilamana kita gembira bila surat khas ujian ini tidak tiba. Maka kitapun leka dan seronok dengan kehidupan. Ada pula antara kita yang menerima surat ujian, kemudian menerimanya dan buat tak endah, masih dibuai nikmat hidup. Ada pula antara kita yang naik angin bila tiba_tiba di uji Allah, seolah-olah dia seorang sahaja diuji dengan masalah.


Di dalam kuliah_kuliah terdahulu, kita sama-sama kupas banyak isu dan persoalan haji dan umrah. Isu dan persoalan- persoalan ini sentiasa berulang dan solusinya hampir sama. Dalam seminggu dua ini saya menerima banyak kes kawan-kawan dan jamaah yang hilang sabar kerana diuji dengan karenah agensi umrah yang menunda-nunda tarikh umrah atau memberi alasan tidak dapat visa umrah. Saya tidak berminat untuk mengupas karenah agensi umrah, sikap tidak telus dan kurang mesra pelanggan. Bagi saya, kebanyakkan agensi umrah Msia adalah baik-baik. Apa yang ingin saya kongsikan dalam kuliah online ini ialah sikap kita para Tetamu Allah.

Pertama, kita perlu memahami siapa dia Tetamu Allah?
Kedua, adakah kita benar-benar ikhlas hadir di bumi suci Mekah dan Madinah kerana Allah?
Dan ketiga, sudahkah kita bersedia sebagai Tetamu Allah?


Persoalan emosi umrah akan timbul bila kita tidak merancang umrah, tidak serius membuat persiapan atau terdesak kerana ajakkan isteri seolah-olah terpaksa menjalani ibadah umrah. Sebahagian kecil jamaah masih membawa ego dan pangkat besar bila tiba KLiA untuk melalui proses check-in pesawat. Ego dan pangkat besar tiada nilainya di sisi ALLAH.

Bagi tuan puan yang bakal menjadi Tetamu Allah, fahamilah bahawa perjalanan haji dan umrah adalah proses terbaik menjernihkan hati, memantapkan aqidah dan meningikan iltizam untuk terus bekerja kerana Allah.

Kita penat bekerja, stress dan sibuk dengan sedikit nikmat yang dipinjamkan Allah. Maka ambilah ruang dan waktu untuk memasuki zon spa hati (sila rujuk buku Rindu Baitullah Bab Zon Spa Hati) yakni istimewanya Mekah dan Madinah.

Bila surat ujian Allah tiba mengetuk pintu hati, bukalah jendela hati. Bacalah apa yang tersirat dari setiap ujian dan persoalan kehidupan. Ambillah peluang di atas sajadah, duduk dan berfikir. Bincanglah persoalan dan ujian hidup bersama suami/isteri tersayang. Letakkan ego dan pangkat besar di bawah sejadah agar hikmah surat ujian Allah dapat dilihat oleh mata hati.

GURU DAN Kiyai saya berpesan, Disaat ujian hidup mendesak-desak, akan wujud dua kumpulan manusia yang nyata. Golongan pertama, mereka yang berterusan berdansa dengan rentak hidup menafikan Allah dan berbangga dengan dosa. Maksiat dan dosa menjadi sebahagian kehidupan dan diterima masyarakat. Inilah yang sedang menginjak-injak kesabaran kita di tanahair Nusantara Islam Melayu. Kedua, golongan yang cuba dan berusaha menjaga iman sebagaimana pemuda Asbabul Kahfi. Iman dijamin dan dipelihara di Mekah dan Madinah. Dikala fitnah dunia dengan bahang-bahang dajjal kian terasa, maka bumi Mekah dan Madinah adalah tempat yang sewajarnya di jadikan teman yang dirindui.

Haji dan umrah menjanjikan ilmu dan pengalaman yang berbeza. Itulah kebesaran Allah. Sudah 10 tahun saya dan isteri membawa jamaah umrah, dan setiap kali itulah Allah memberi pelbagai ilmu dan pengalaman. Sesungguhnya, pengalaman-pengalaman ini tidak membosankan. Dan dengan sedikit ilmu dan pengalaman inilah, kuliah bulanan kita di Masjid AsSharif Meru ini dapat kita hidupkan, kini memasuki tahun kedua. MasyaAllah & Tabarakallah.


Sunday, October 26, 2014

KULIAH BULANAN NO 18: MENGAPA MADINAH?




Alhamdulilah, kuliah bulanan siri ke 18 dan perkongsian ilmu/pengalaman (Setiap Minggu Terakhir Malam Jumaat)  berkait “Tarbiah & Manasik Haji dan Umrah” di Masjid As-Shariff  Meru, berjalan dengan baik pada Malam Jumaat dipenghujung bulan Zulhijjah kelmarin.

Kuliah kali ini menyentuh beberapa perkara penting tarbiah Haji & UMrah dan memfokus kepada  Tips pengurusan kewangan Haji/Umrah  dan  Mengapa Madinah serta kaitan Madinah dengan Hijrah.

  1. Tips Pengurusan Kewangan- 
Mohon rujuk buku Rindu Baitullah dan Haji Muda bagaimana untuk menabung supaya boleh pergi haji dalam tempoh 5 tahun.

  1. Mengapa Madinah?
Kupasan ini agak mendalam yang agak sukar untuk saya menulis dengan panjang lebar.  Secara ringkasnya, soalan ini ditimbulkan oleh  segelintir jamaah umrah atau  rakan-rakan saya secara informal.  Ada dikalangan kita yang kurang faham mengapa perlu ke Madinah sedangkan Haji/Umrah, Kaabah, Tawaf, Saie dan Tahalul dilakukan di MAsjidil Haram?

Adakah soalan ini serius?  Jawapannya “Ya”.

Saya pernah mempunyai pengalaman bersembang dengan jamaah Indonesia tahun lepas semasa di Madinah. 

Bila saya bertanya “Kapan bapak berangkat ke Mekah untuk Umrah?”

Beliau menjawab, “Bukankah Umrah di sini (Madinah)?  Bukankah Rasululah s.a.w berada di sini?

Terkejut saya dengan jawapan begini. Bagaimana tatacara Umrah tidak difahami sebelum berangkat untuk Umrah?

Hakikatnya, ada sebahagian kecil masyarakat kita (termasuk rakyat Malaysia) yang tidak memahami mengapa perlu ke Madinah?   Sebab itu ada dikalangan jamaah Haji/Umrah yang hanya melengkapkan Haji/Umrah tanpa menziarahi Rasululah s.aw. dan mengambil ibrah di bumi Madinah.


Di akhir kuliah, beberapa tips dan adab menziarahi Madinah di kongsi dan dikupas. InsyaALLAH kuliah bersambung bulan depan untuk siri ke 19.