Followers- Jalinan Ukhuwah

Tuesday, February 10, 2015

Umrah: Satu Coretan Kecil...


Coretan kecil di Pinggir KPJ Hospital.Satu sentuhan yang pernah dinukilkan...



Malam tadi saya tersentak dari tidur. Tiba-tiba rindu akan Kaabah menghampiri diri yang kerdil ini. Sudah sebulan lebih saya meninggalkan bumi Mekah tetapi kerinduan tiba-tiba merenjis hati kecil ini. Sukar untuk memperolehi renjisan kedamaian dan lapangnya fikiran seperti di Tanah Suci.

Ramai juga bertanya saya, bila lagi nak buat rombongan Umrah? kami nak ikut sama....

Jika nak pergi Umrah tidak semestinya ikut saya. Jika sudah berhasrat, maklumkan supaya saya dapat uruskan pendaftaran umrah. Jika nak ikut saya, simpan duit boleh join Umrah Disember 2015 nanti.



Ya lah... kalau ikut hati sudah tentu mahu ke sana lagi dalam tempoh terdekat. Jawapan saya, kumpullah duit. Jika saya nak pergi, saya akan maklumkan saudara-mara, rakan-rakan dan blog saya. Kita pergi ramai-ramai sebagai satu pasukan, barulah seronok.

Minggu lepas selepas memberi ceramah di sebuah program, ada insan bertanya saya, “Bolehkah kita pergi Umrah pakai pinjaman koperasi?” Saya tersenyum kerana soalan ini adalah ranking pertama soalan-soalan yang pernah dikemukakan kepada saya. Wajah insan yang bertanya pula benar-benar excited seolah-olah esok hari juga hendak ke pejabat Koperasi untuk memohon pinjaman.

Saya tiada autoriti untuk membenarkannya. Namun bila berkesempatan untuk membincangkan perkara ini di ceramah-ceramah, maka saya akan mengupas dengan lebih panjang dengan membuka minda pendengar untuk melihat beberapa pilihan yang ada. Pada hemat saya, perkara pinjaman koperasi ini agak fleksi bergantung kepada kemampuan (mampu semasa dan selepas pulang Umrah) dan jaminan diri diperlindungkan.

Contoh 1 : Jika gaji Puan A ialah RM3,000 dan gaji bersih ialah RM1,000 dan ansuran bulanan koperasi ialah RM400, maka saya berpendapat ianya tidak seharusnya dilakukan. Sukar untuk hidup dengan gaji bersih RM600 khususnya di bandar-bandar.

Contoh 2 : Jika gaji Puan A ialah RM3,000 dan gaji bersih ialah RM1,600 dan ansuran bulanan koperasi ialah RM400, maka saya berpendapat pinjaman ini seharusnya dibolehkan kerana gaji bersih selepas tolak pinjaman koperasi =RM1,200 (tanpa ada tanggungan lain). Pun begitu, panduan seperti perkongsian saya dalam buku Haji Muda semestinya dilaksanakan iaitu pinjaman ini dilindungi oleh Takaful dan tempoh pinjaman yang singkat (seminima mungkin).

Dari perspektif lain, jika kita terlalu jumud/rigid, kemungkinan Puan A akan membuat pinjaman koperasi untuk ke Gold Coast atau ke Beijing. Justeru, dari membenarkan beliau ke Gold Coast atau Bali, maka kita perlu mengambil pendekatan maslahah fleksi dengan mengharuskan pinjaman koperasi untuk menunaikan Umrah. Wallah’alam (Astaghfirullahal azim, Ya ALLAH ampunkan kami jika pada pengetahuan MU, pendapat ini tidak benar).

Apa pun hujah, saya berpendapat berilah peluang semua insan untuk merasai nikmatnya beribadah di Tanah Suci. Jika mereka pergi ke Tanah Suci dengan hati yang tulus ikhlas kerana ALLAH, ALLAH akan melapangkan rezeki dan akan mempercepatkan penyelesaian hutang koperasi tersebut.

Rugi melewat-lewatkan usia untuk ke Tanah Suci. Kita sama-sama perlu berusaha memudahkan urusan insan yang ingin tunaikan Haji/Umrah, insan yang mahu berkahwin dan insan yang mahu menuntut ilmu. Bila kita memudahkan dan membantu insan lain merealisasikan impian, ALLAH juga akan memudahkan urusan impian kita menuju SyurgaNYA.   Wallah'alam.

1 comment:

Farra Da Smiley said...

Salam Dr Ridzwan Bakar, alahai kesian yer orang2 yg tak berkemampuan yg berhasrat ke tanah suci...

Insyallah saya dan suami akan ke tanah suci Sabtu ni membawa mak dan ayah mertua ke tanah suci..semoga urusan kami dipermudahkan..saya pon kali pertama nak ke tanah suci dewasa ni dan 1st time semua 4 anak ditinggalkan