Followers- Jalinan Ukhuwah

Sunday, May 3, 2015

REJAB: IMAN, CINTA DAN PERJUANGAN



Artikel yang telah dikongsi di ruang Tadabur Rehal Sinar Harian 12 Rejab/1 Mei 2015.

Rejab adalah salah satu bulan yang disebut dalam Al-Qur’an. Bila Al-Qur’an menyebut, sudah tentu ianya istimewa. Bulan Rejab adalah sinonim dengan peristiwa Isra’ Mikraj. Ianya bukan cerita dongeng. Rejab bukanlah sekadar satu perjalanan Pemimpin Agung bertemu  Pemilik alam dan PenciptaNya. Ianya adalah perjalanan signifikan hamba menemui PenciptaNya, mengambil amanah dan menyampaikan amanah. Ianya adalah perjalanan ukiran iman, takjubnya cinta dan geloranya perjuangan. Rejab adalah bulan bermulanya hadiah istimewa dari langit khusus bagi umat yang mahu mengerti. 


IMAN


Peristiwa Isra Mikraj benar-benar menguji keimanan para sahabat dan pendukung risalah Islam. Di kala Baginda merasa begitu gembira apalagi saat dapat bertemu dengan Allah swt, perkongsian perjalanan suci ini ditempelak oleh kaum Quraisy. Baginda ditertawakan, di gelar gila dan berbagai cemuhan menghingap telinga. Ianya mengegarkan kepercayaan masyarakat. Al-Amin gelaran istimewa Rasululah s.a.w sudah tiada nilai di saat manusia mempunyai hati yang rosak dan menolak risalah Islam. Di saat kekecewaan itu, muncul insan mulia bernama Abu Bakar As-siddiq membenarkan peristiwa Isra’ dan mikraj. Ia menyuntik semangat untuk terus berdakwah.

Dalam kehidupan, iman dan semangat kita sering naik dan turun. Di saat kita senang, kita terlupa sedikit dengan ALLAH dan di saat kita sukar, ramai pula teman yang meminggir. Itu adalah fitrah. 

Jika Rasulullah saw mendapat hadiah istimewa daripada Allah saw pada bulan Rajab dengan peristiwa Isra’ Mi’raj, maka kisah Isra Mikraj juga mengundang hadiah ALLAH buat kita. ALLAH memberi kita bulan Rejab agar kita dapat memperkukuhkan iman kita, Iman akan wujudnya ALLAH, Tuhan yang Esa, Tuhan yang satu yang bersemayam di Arash.

Iman akan kewujudan para petugas ALLAH berupa para Malaikat
Iman kepada kewujudan Kitab-kitab suci
Iman akan adanya para Rasul dan Nabi serta Rasululah s.a.w, penutup segala nabi. 
Iman akan adanya hari Akhirat
Iman akan Qada’ dan Qadar, perkara ghaib, iman akan ketentuan ALLAH.


CINTA

Di kala Baginda s.a.w  berdukacita dan berhadapan dengan kehilangan insan-insan tersayang, ALLAH menunjukkan bahawa DIA lebih menyayangi. Di angkatNya darjat Rasululah s.a.w melalui proses isra’ dan mikraj, menjadi Pemimpin besar buat sekalian Rasul dan Nabi. 

Justeru, dalam konteks ini, Allah menghadiahkan Rejab, Syaaban dan Ramadan sebagai tanda cinta dan kasih kepada hambaNya. Di saat kita lalai dengan nikmat dunia, Ramadan melambai melalui lorong Rejab dan Syaaban. Rejab memberi kita ruang untuk Cinta ALLAH, Cinta Rasulullah saw dan Cinta akan para sahabat Baginda. 

Sudah tentu hadiah khas yang kita terima melalui Rasululah sa.w. ialah perintah Solat lima waktu sehari semalam. Ianya adalah tanda cinta ALLAH dan Rasululah s.a.w kepada kita. Solat adalah asas kejayaan. Perintah solat mengajar kita untuk menguruskan masa dengan baik, mengikut perintah dan tertib solat dan menjadi terapi kepada persoalan kehidupan yang sentiasa kita tempohi setiap detik dan saat. 

Kita dapat berbicara dengan ALLAH secara gratis dalam solat dan ketika memanjatkan doa.
Lantas, bagaimana untuk berjaya jika seruan kejayaan (hayya alassolah) kita tidak ambil peduli? 


PERJUANGAN

Bulan Rejab meninggalkan banyak kesan sejarah yang perlu kita hayati. Sejarah bukan untuk di simpan dalam muzium. Sejarah adalah untuk dihayati, diambil iktibar dan pencetus perubahan tamadun insan. Antara peristiwa signifikan berlaku dalam bulan Rejab adalah

1. Lahirnya  Imam As-Shafiee

Imam Syafie dilahirkan di Ghuzah-daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Beliau menghafal 30 juzu’  Al-Quran ketika berumur 9 tahun,  Mengkaji dan memahami  kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya pada usia 19 tahun. Kerana kebijaksanaannya  pada umur 15 tahun beliau telah dibenarkan  memberi fatwa di untuk  masyarakat dan menjawat sebagai guru  ilmu hadith serta menjadi mufti. Ketika berusia 20 tahun beliau merantau untuk mendalami ilmu  dengan  Imam Malik di Madinah, dan kemudian ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. 

2.  Pembebasan Palestin oleh Salahudin Al-Ayubi

Di bulan Rejab  tahun 583 H (1187 M), Shalahudin Al Ayubi  telah  memimpin pasukannya berangkat ke Baitulmuqaddis untuk membebaskannya dari cengkeraman tentera salib yang telah menguasainya selama hampir satu abad. Kemenangan Shalahudin sangatlah istimewa karena berjaya mengembalikan bumi Isra’ Mi’raj dan kiblat pertama kaum muslimin ke dalam pangkuan Islam. 


3.   Jatuhnya Kerajaan Uthmaniah

Pada 28 Rejab 1342 Hijrah  (3 Mac 1924M), Khilafah Uthmaniah telah berjaya dikuburkan secara rasmi oleh Mustafa Kamal At-Tarturk  Turki dengan dokongan Britain dan Perancis.  Di saat kerajaan Uthmaniah tamat,  umat kehilangan asas kepimpinan. Tiada lagi institusi yang mampu melindungi umat secara kolektif dan global. Syariah tidak lagi dijadikan asas negara, dan ideologi sekular dan kapitalisma di tanam ke dalam jiwa umat dengan penjajahan terancang. Kerajaan besar Uthmaniah telah dipecah-pecahkan kepada lebih 40 negara-negara kecil dengan berpaksikan  kaum, wilayah dan semangat kebangsaan yang merosakkan. Akibatnya, umat Islam terus berkelahi, merebut wilayah dan kekuasaan dan dipisahkan antara negara kaya dan miskin.


Rumusannya, bulan Rejab bukan sekadar bulan berkisar perjalanan Rasululah s.a.w  melalui peristiwa isra’ dan mikraj untuk kita kenang.  Tetapi bulan Rejab adalah bulan kita menilai tahap iman kita, status cinta kita kepada ALLAH, Rasululah s.a.w dan Islam serta bulan di mana kita menilai dan menghayati sejarah Islam agar umat akan lebih progresif. Imam As-Shafie menunjukkan contoh terbaik untuk umat menguasai ilmu, Salahudiin Al-Ayubi menunjukkan contoh membebaskan Baitulmuqaddis  dan kejatuhan Kerajaan Uthmaniah seharusnya memberi semangat untuk umat bangkit demi mengembalikan Khilafah dan kepimpinan dunia ke tangan umat Islam.


No comments: