Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, June 24, 2009

Rejab- Tips Pengurusan Diri

Hari ini adalah 1hb Rejab 1430H. Maksudnya dua bulan lagi kita akan bergembira dengan kehadiran Ramadhan dan empat bulan lagi panggilan Haji akan ke udara.

Allah s.w.t berfirman di dalam Surah AT-Taubah ayat 34 yang bermaksud,
”Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya 4 bulan Haram. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu..”

Rejab adalah salah satu bulan yang dinyatakan di dalam Qur’an sebagai bulan yang perlu dihormati. Kita banyak mendengar hadis dan kata-kata perangsang untuk melakukan berbagai kebajikan dan puasa sunat di bulan Rejab. Namun ada juga menolak usaha berpuasa di bulan Rejab dengan hujah bahawa hadis yang dikemukan adalah hadis palsu.

Walau apa sekalipun hujah, Imam al-Qurtubi contohnya dalam tafsirnya menyatakan Nabi s.a.w memberi penegasan bahawa Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin Tanah Haram) itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka untuk berhadapan dengan musuh Allah.

Di dalam satu lagi contoh, Imam al-Thabrani merekodkan daripada Anas bin Malik, bahawa apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Apa sekalipun hujah yang diberi menolak berpuasa pada 1 Rejab, ramai juga berpuasa pada hari ini. Ini adalah satu perkembangan yang baik asalkan amalan berpuasa Isnin-Khamis dan puasa-puasa sunat anjuran dan amalan Rasul s.a.w dapat kita laksanakan.

Bulet penting yang ingin saya tekankan di dalam penulisan ini adalah, kita seharusnya berusaha kuat menambahkan amalan-amalan sunat di bulan Rejab dan Syaban untuk persediaan bulan Ramadhan dan bulan Zulhijjah. Jika bulan-bulan lepas kita meninggalkan puasa, maka lakukanlah puasa sunat di bulan ini. Sekiranya kita tidak melakukan solat dhuha pada bulan-bulan terdahulu maka mulakanlah esok. Seandainya kita malas bertahajud, maka kuatkan semangat untuk bangun malam. Jika kita berkira-kira untuk bersedeqah, maka jinakkanlah hati menyeluk barang seringgit untuk bersedeqah.

Bagi bakal jamaah Haji, Allah memberi anda bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan bagi membersihkan ruhani sebelum melangkah mencari redha Allah dan memburu haji mabrur. Jika bulan Rejab, syaaban dan Ramadhan bakal jamaah haji gagal membaiki diri maka memburu haji mabrur di bulan Zulhijjah lebih mencabar. Sekiranya bakal jamaah haji berusaha keras dengan hati yang ikhlas untuk mencari redha dan kasih sayang Allah, sudah tentu Allah akan nampak kesungguhan dan keikhlasan hati anda.

InsyaAllah kita akan sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri dan amalan. Moga Allah memberi kita lebih kekuatan (dengan azam sendiri) di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan.

“Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

1 comment:

noor hafhizah said...

Terima kasih atas perkongsian bermakna ini