Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, June 10, 2009

Akhlaq Bank Perbankan Islam #1

Di dalam buku Haji Muda, saya ada menyentuh secara ringkas berkaitan keperluan melaksanakan sistem kewangan Islam. Saya juga berkongsi secara umum di dalam Radio Ikim bahawa kita sebenarnya boleh dan mampu melaksanakan kewangan Islam dalam organisasi korporat. Saya mempunyai pengalaman memimpin dan melaksanakannya biarpun terpaksa menempuh ranjau dan duri (ada juga duri dalam daging...). Visi dan misi saya jelas, justeru halangan adalah satu ujian ketahanan diri.

Melangkah setapak lagi, pada hemat saya perbankan Islam bukanlah sekadar sistem kewangan tetapi menjangkau ke nilai abstrak AKHLAQ luhur dari keinsafan untuk memartabatkan penegasan Al-Quran dan sunnah dalam aspek muamalah dan penghindaran riba’.

Kira-kira dua bulan yang lalu saya menerima panggilan dari sebuah bank ’islam’ (nota: bukan Bank Islam) yang memaklumkan bahawa peminjam tidak bayar ansuran bulanan yang hanya baru RM3,000. Saya agak terkejut bila dimaklumkan bahawa saya adalah penjamin untuk personal loan ini. Rupanya saya lupa yang saya pernah menjamin rakan.

Saya bertanya kepada pegawai bank ini, sudahkah anda berhubung dengan si peminjam. Jawapannya ”Sudah”. ”Apa jawapannya?” tanya saya. Pegawai ini menjawab ”Tiada jawapan”. Saya bertanya lagi ”Berapa kali sudah berhubung?” Beliau menambah ”Baru sekali dua.” Saya terus memberi nasihat ”usaha anda tidak cukup! Kena ada kesungguhan bukan transfer problem kepada orang lain. ”

Dalam tempoh sebulan dua ini tidak kurang dari dua kali saya menghubungi pegawai bank ini bertanyakan status. Saya mahu memastikan pegawai bank benar-benar bertanggungjawab. Pegawai-pegawai bank ini sering lepas tangan dan membebankan masalah mereka kepada orang lain (Ini adalah kenyataan kerana sudah ramai yang komen, bengang dan tidak berpuas hati dengan budaya kerja Bank ini). (Nota: Kepada calon PhD dan Masters by research, ini adalah peluang membuat kajian berkenaan sikap work behaviour bank dan pegawai bank). Sikap lepas tangan sebegini amat mendukacitakan. Saya turut berpesan kepada pegawai ini, sila berkomunikasi dengan si peminjam. Jika masih gagal sila berhubung terus dengan saya. Jangan ambil tindakan diluar batasan AKHLAQ MUSLIM lebih-lebih lagi Bank ini adalah Bank yang telah diberi lesen untuk sistem perbankan Islam.

Petang tadi bila tiba di rumah, saya terkejut menerima surat perintah hadir ke Mahkamah. Sememangnya saya dukacita kerana tiada sesiapapun berkomunikasi dengan saya samada pihak bank atau Peguam yang menguruskan tindakan mahkamah (nota: peguam bertaraf posmen yang mementingkan projek untuk mengisi perut sendiri). Di mana akhlaq mereka saya tidak tahu? Bagi saya, Peguam semestinya mempunyai nilai yang tinggi bukan sekadar menjadi posmen. Tiada seorangpun menelefon saya sedangkan saya sudah meninggalkan no hp, no pejabat dan email saya jika mereka masih menghadapi masalah. Tiada juga surat amaran diberikan sebelum ini.

Saya menghubungi rakan saya dan beliau juga terkejut. Beliau nyatakan bahawa beliau sudahpun bayar separuh dari jumlah RM3,000 pada akhir bulan Mac dan telahpun menyelesaikan keseluruhan hutang tertunggak pada akhir Mei 2009.

Jika hutang sudah diselesaikan dan berstatus ”current”, mengapa ugutan menggunakan mahkamah diambil kepada penjamin?

Jika hutang masih tertunggak, tidakkah mereka boleh membantu dengan menyusun semula hutang sebagaimana diamalkan oleh bank konvesional sebagai alternatif bijak pengurusan risiko? (Nota: Mungkin bank ini tidak mempunyai unit pengurusan risiko?)

Sukarkah untuk mereka berkomunikasi dengan saya di zaman teknologi yang serba canggih?

Mengapa bank yang menggunakan motto Islamik ini tiada inisiatif untuk mencari peminjam? Mengapa perlu ”transfer problem” kepada penjamin?

Sebagai seorang muslim yang berusaha memperjuangkan sistem kewangan Islam peribadi dan korporat, peristiwa sebegini amat mendukacitakan saya. Jika bank yang mottonya ingin membawa perbankan Islam tidak menunjukkan akhlaq, bagaimana harapan ummah untuk memartabatkan kewangan Islam? Adakah kita mengharapkan Citibank atau Hong Leong Bank untuk menerajui dan ke hadapan di dalam melaksanakan kewangan dan perbankan Islam?

Undang-undang yang sediaada tidak melindungi pengguna/penjamin. Kelemahan undang-undang komersil yang sedia ada banyak menggangu insan lain yang tidak mendapat apa-apa manfaatpun. Dalam kes sebegini, Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terpaksa membuang masa yang amat tinggi nilainya bagi menghadiri kes mahkamah. Alangkah molek jika kes ini di bawa ke Mahkamah Syariah supaya saya boleh berhujah bersandarkan Qur’an dan sumber ilmu muamalah....

Mutiara Bicara
Rasululah s.a.w membina kepercayaan pendeposit dengan bertunjangkan akhlaq. Akhlaq adalah asas muamalah.

No comments: