Followers- Jalinan Ukhuwah

Friday, August 28, 2009

Doa Buat Anda

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulilah saya telah selamat menunaikan umrah Ramadan dan selamat pulang ke tanahair malam tadi.

Kepada semua follower blog ini, saya telah mendoakan khusus buat anda di Mekah dengan harapan agar Allah memberi rezeki, dilapangkan kesihatan dan kemampuan serta diberi kekuatan untuk menunaikan Haji/Umrah. Walaupun saya tidak mengenali nama penuh tuan/puan (seperti rezeki dan alustacia) dan tidak pernah bertemu dengan yang lain, ia bukanlah halangan untuk saya mendoakan anda. Kepada anda yang pernah ke sana saya juga doakan moga Allah menjemput anda hadir lagi dan kepada yang belum dipilih, saya memohon agar Allah mempercepatkan perjalanan anda ke Tanah Suci..Amin!

Kepada pengunjung dan pelawat blog, saya turut menghulurkan doa umum agar anda juga dipilih oleh Allah untuk hadir di dua bumi yang disebut oleh Al-Quran ini. Allah tidak akan menghampakan harapan dan hasrat hambaNya yang berusaha untuk mendekatkan diri di jalanNya. InsyaAllah Allah akan memberi rezeki dan melapangkan keinginan perjalanan tuan/puan. Amin.

Saya turut berdoa agar Malaysia di bebaskan dari wabak H1N1 dan doa ini juga dibaca oleh imam As-Sudais dan imam muda Al-Maheer agar seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada dipelihara dan bebas dari wabak H1N1 dan di aminkan oleh hampir satu juta jamaah yang kini membanjiri Masjidil Haram.
Gambar diambil selepas solat tarawikh. Kelihatan manusia bertali arus melakukan Tawaf.

Anda bayangkan betapa Masjidil Haram penuh sesak (sekitar 70% penuh dari anggaran jamaah Haji) ketika ini dan mereka berdoa dengan ungkapan amin yang memenuhi segenap ruang Mekah, dengan harapan dan tangisan mengharap kasih sayang Allah.

Walaupun kita Cuma sahabat di alam maya, blog ini telah berusaha untuk merapatkan hati-hati insan dengan ikatan Cinta Kaabah. Kerana Cinta akan Kaabah inilah maka blog ini terus bermaya di alam maya.

Terima kasih semua dengan kesudian menziarahi blog ini, memberi komen dan bersama-sama saya untuk misi Haji Muda dan usaha mencintai Kaabah/Baitullah, mendaulatkan Allah dan RasulNya dan menterjemahkan Haji/Umrah dalam konteks aplikasi kehidupan.

Friday, August 21, 2009

aHLaN WaSAHLan Ya RaMaDHan...

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis bahwa dengan puasa kita belajar mengendalikan hawa nafsu serta mengendalikan setan yang menipu dan menjebak kita. Pada waktu kita puasa, kita membelenggu setan, membuka pintu surga dan menutup pintu neraka.Kita belajar menahan setan supaya tak masuk ke dalam tubuh kita. Salah satu pintu masuk setan ke dalam tubuh kita adalah melalui makan dan minum. Kita tutup pintu-pintu itu pada waktu siang hari. Kita melemahkan setan; membuatnya tak berdaya. Puasa adalah latihan mengendalikan hawa nafsu.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya. Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan.

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua muslimin dan muslimat sekalian.

Friday, August 14, 2009

Ramadan


Tahukah anda doa apa ini?

”Ya Allah ampunilah, sayangilah, maafkanlah, bermurah hatilah dan hapuskanlah apa-apa yang Engkau ketahui dari dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa-apa yang kami sendiri tidak tahu. Sesungguhnya engkau Ya Allah Yang Maha Mulia.”

Doa ini sering di baca oleh para jamaah Haji & Umrah.

Di kesempatan ini saya ingin memaklumkan beberapa perkara:
1. InsyaAllah blog ini akan berehat lebih kurang 12 hari kerana saya akan berangkat ke Tanah Suci esok Subuh. Doa di atas akan saya lafazkan bagi meniti renjisan kedamaian.
2. InsyaAllah slot Haji Muda di Astro Oasis akan ke udara (ulang tayang) pada minggu pertama bulan Ramadan ini.

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-kareem kepada semua warga muslim dan pengunjung setia blog ini.

Hadiah Royalti Ke Masjid


Alhamdulilah, baru sebentar tadi program solat hajat dan zikir perdana serta penyerahan royalti buku Haji Muda kepada Tabung Ramadan & Anak-anak Yatim telah selamat diserahkan kepada Nazir Masjid Munawwarah.

Program ringkas ini dimantapkan dengan solat hajat dan zikir munajat tuan guru Othman Ibrahim.

Kepada pengunjung blog ini dan para pembaca buku Haji Muda, terima kasih dengan sokongan anda semua. Moga tuan/puan akan turut menerima pahala ganjaran kebaikan. Moga sebahagian sumbangan royalti ini akan membolehkan para pembeli buku Haji Muda untuk turut sama-sama menikmati ganjaran dari sumbangan kecil royalti ini ke masjid-masjid.

Terima kasih semua.

Monday, August 10, 2009

Hidup Dalam Sangkar

Hidup ini laksana dalam sangkar. Kita seolah-olah tidak bebas untuk bertindak. Kita diikat dengan berbagai undang-undang dan peraturan. Di pejabat, kita dikongkong dan tidak bebas. Jika kita tanya pegawai-pegawai berjawatan tinggi, ramai akan berbicara bahawa mereka juga bosan, terikat dan tidak bebas, walaupun gaji mereka puluhan ribu RM sebulan.

Cuba kita lihat burung dalam sangkar emas. Mereka mungkin gembira dan bangga kerana berada di dalam status tinggi ’sangkar emas’ jika dibandingkan dengan rakan mereka di dalam sangkar ’kayu’. Namun apa sahaja status material yang mereka miliki, mereka hidup terkongkong. Mereka tidak mampu merealisasikan cita-cita dan impian untuk bebas bergerak dan merasai nikmat duniawi. Kegembiraan dan kebanggaan mereka juga tidak akan kekal lama kerana bersandarkan ukuran kebendaan.

Burung kakak tua, contohnya, akan dilatih untuk bercakap sepatah dua dan meluahkan kembali patah perkataan tersebut. Mereka diberi berbagai makanan yang bermutu namun mereka juga dikongkong dan tidak bebas. Rakan mereka diluar pula bebas terbang ke mana sahaja dan mampu memilih apa yang hendak dimakan walaupun cuma kais pagi makan pagi.

Cubalah kita lihat diri kita adakah kita juga seperti burung dalam sangkar?

Ukuran kebahgiaan tidak sepatutnya diukur dengan nilai kebendaan. Kita mempunyai wang yang banyak, namun tiada masa untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan mungkin juga tiada masa untuk Tuhan. Kita memberi berbagai alasan untuk membuat kebaikan.

Ketika rakan-rakan saya meluahkan dilema hidup tidak bebas, resah dan keliru, saya nyatakan untuk apa kita keliru dan resah? Muslim dianugerahkan kalimah syahadah yang hebat untuk direalisasi. Lihat bagaimana as-syahid Syed Qutb melayari bahtera neraka penjara di bumi anbiya. Jasad beliau dipenjarakan, namun jiwa dan pemikiran beliau sentiasa bebas sehingga lahirnya Fidhilal-Quran dalam penjara buat khazanah ummah dan bekalan menemui Allah.

Sekiranya anda merasakan anda hidup dalam sangkar, anda tidak keseorangan. Doa berterusan untuk membebaskan diri dari cengkaman kebendaan akan meringankan sangkar yang berat itu.... Allah maha mendengar isi hati kita.

Friday, August 7, 2009

Tazkirah Jumaat- Pemimpin

Menjadi pemimpin bukanlah mudah. Rasululah s.a.w. melarang umatnya untuk sengaja menonjolkan diri mengejar pangkat dan jawatan. Bertolak dari nafsu mengejar pangkat dan jawatan menyebabkan seseorang akan menipu, memburuk-burukkan kawan, menjadi kawan sebagai musuh, memfitnah dan menikam orang lain dari belakang. Sikap buruk ini tidak akan membawa kebaikan kepada sesiapapun hatta kepada individu yang gelojoh dengan nafsu ini.


Rasululah s.a.w bersabda

“Wahai Abu Dzar, kamu seorang insan yang lemah, padahal jawatan sebagai pemimpin adalah amanah yang akan dipertangungjawabkan. Dan amanah pada hari kiamat nanti hanya akan mengundang penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang menunaikan hak kewajipannya serta menyempurnakan tanggungjawabnya (sebagai pemimpin).”


Ketika berkongsi dengan pengurus-pengurus muda dalam aspek kepimpinan, Saya berkongsi bahawa jalan terbaik membina pemimpin adalah dengan kembali kepada acuan AL-Qur’an dan sunnah rasululah s.a.w. Apabila kita menginsafi setiap perilaku dan keputusan yang kita buat akan dihitung oleh Allah, maka kita lebih berhati-hati, merendah diri, mempunyai integriti dan ikhlas demi Ilahi.

Dalam scenario politik semasa, apabila pegawai kerajaan (majoritinya Islam dan Melayu) di hetak meja, diserang di pejabat dan diperbodohkan oleh golongan anti Islam, maka tidak ramai pemimpin Melayu mara ke hadapan mempertahankan mereka. Jika usaha membenteras arak di kalangan pelajar IPTA dan sekolah di Shah Alam dihentam, maka di mana maruah ummah dan mengapa lesunya pemimpin-pemimpin kita? (Nota: Blog ini bukan blog politik tetapi isu ini melibatkan saya dan keluarga secara direct, justeru nukilan ini adalah untuk muhasabah diri).

Saidina Umar al-khatab r.a. di siang hari laksana singa memimpin umat dan Negara. Dan di malam hari beliau sujud dengan tangisan keinsafan.

Di pagi Jumaat ini, saya menadah tangan agar kita mampu melahirkan pemimpin-pemimpin hebat yang digeruni oleh musuh-musuh Allah namun mempunyai hati kecil merendah diri………..

Wednesday, August 5, 2009

Ceramah 'Great Leader'


Alhamdulilah dengan izin Allah, ceramah motivasi 'Great Leader begins with small heart' telah berjaya dilaksanakan pagi ini. Seramai 80 orang pengurus muda dan senior menghadiri ceramah
ini yang bertujuan untuk membina kepimpinan.

Secara umum, saya berkongsi akan pentingnya memahami keperluan membina pemimpin, bagaimana mengubah perspektif pemimpin, model kepimpinan, kualiti pemimpin dan yang utama bagaimana pemimpin yang lahir dari hati kecil mampu melonjakkan jiwa besar dengan panduan methodologi Ilahi.

Menandatangani autograf buku Haji Muda untuk tetamu.



Ketawa kecil boleh menceriakan program.

Saya berdoa moga perkongsian kecil ini mendapat tempat di sisi Allah sebagai amal kebajikan.

Sunday, August 2, 2009

Perkongsian di Pesta Buku Selangor


Alhamdulilah Allah telah mengizinkan saya membuat perkongsian di pentas utama Kompleks PKNS Shah Alam sempena Pesta Buku Selangor, semalam 1hb Ogos.

Perkongsian kecil ini diharap dapat membantu misi Haji Muda dan membuka ruang untuk masyarakat berfikir dan membuat pilihan.

Terima kasih saya ucapkan kepada Perpustakaan Negeri Sgor, pengurusan PKNS dan PTS khususnya warga PTS Islamika, ustaz Imran, Faris, Firdaus dan Khairul yang menemani saya petang semalam. Kepada para pendengar sesi perkongsian semalam, terima kasih dengan kehadiran serta sokongan tuan/puan.

Doa saya moga Allah menerima sumbangan kecil ini sebagai satu amal soleh. Amin!