Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, July 20, 2011

Kunjungan

Alhamdulilah kelmarin saya menerima kunjungan dari ahli korporat dan akademik sebuah Universiti dari Indonesia. Kunjungan ini amat bermakna kepada saya kerana mereka memerlukan mentor bagi kajian membangunkan model ekonomi masyarakat miskin di Jawa. Saya juga terharu dan bersyukur kerana ALLAH memberi izin dan peluang untuk menghulurkan buah fikiran dan mengkaji bagaimana untuk membantu ummah dan ukhuwah umat serumpun ini.

Sebagai insan yang amat kerdil disisi Tuhannya dan ilmu tidak setinggi mana, kesungguhan mereka mengajak saya membantu mereka amat saya hargai. InsyaALLAH saya akan hands-on dengan mereka bagi tempoh 6 hingga 12 bulan secara distance-consultancy dengan harapan kami dapat sama-sama membangunkan satu model ekonomi untuk membangunkan masyarakat miskin yang serba daif di Indonesia. Saya gembira dengan inisiatif ini biarpun tanpa ganjaran duniawi seperti elaun tambahan.

Ketika makan tengahari, saya katakan kepada bapak Dr Henrry dan Pak Dr Asep bahawa kita kena bina manusia terlebih dahulu, kemudian barulah melihat bagaimana untuk membina organisasi dan Negara. Makan tengahari di sebuah lokasi berhadapan tasik yang tenang memberi kami keinsafan bahawa kami adalah manusia yang amat lemah di sisi ALLAH. Kami saling memperakui bahawa garisan penamat kehidupan semakin hampir. Kita sedang mengejar satu fakta hidup muslim iaitu meninggalkan dunia dan kembali kepada Tuhan.

Di akhir pertemuan, Pak Dr Henrry berkata kepada saya supaya kita sama-sama berganding bahu untuk memajukan ekonomi ummah biar bagaimana pahit ranjau yang perlu dilalui. Biarkan mereka yang mahu memperlekehkan usaha murni ini, biarkan mereka yang menghina kita dan lantakkan mereka yang bakal merosakkan usaha baik ini. Hidup kita hanya untuk ALLAH dan Islam. Zikir dan Qur’an seharusnya menjadi landasan hidup dan kebahagiaan insan.

Wallah’alam , Terima kasih ya ALLAH….


Tuesday, July 12, 2011

Ceria di Pejabat


Auditorium Hospital Putrajaya

Alhamdulilah dengan izin ALLAH, satu perkongsian berkaitan ceria di pejabat telah disempurnakan di Hospital Putrajaya. Perkongsian ini amat bermakna kerana sudah lama saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pegawai perubatan, pentadbiran, staf nurse dll kerana membantu menguruskan bapa mertua saya ketika berada di CCU kira-kira dua tahun lalu.

Antara intipati ceramah ialah adakah manusia memerlukan kebahgiaan untuk hidup? Adakah orang kaya itu happy? Adakah orang berjawatan besar happy? Siapakah lebih bahgia, lelaki atau perempuan? Di mana letaknya bahagia? Dan bagaimana Islam memandu kebahgiaan manusia. Program yang dihadiri hampir 100 orang ini (termasuk bukan Islam) di harapkan dapat membantu peserta untuk mengenal pasti titik kebahgiaan dan solusi kebahgiaan dalam Islam.

Anda masih ingat kisah RM5 yang telah saya nukilkan di dalam blog ini kira-kira setahun lalu? Apa ada pada nilai RM5? Adakah nilai RM5 boleh membantu seseorang mencapai kebahgiaan?


Satu kajian di UK (2007) mendapati bahawa wanita lebih bahagia dari lelaki. Benarkah wanita lebih bahagia dari lelaki? Jika benar, mengapa lelaki kurang bahagia?

Hakikatnya, hati yang ikhlas lagi salimah akan mampu membentuk kebahagiaan manusia.


Friday, July 8, 2011

Slot REHAL Sinar Harian 8 Julai 2011


Di pagi Jumaat yang mulia ini, dengan rasa rendah hati saya ingin merakamkan ucapan Terima Kasih dengan sokongan moral dari semua bagi membantu menjayakan misi hidup kita bersama. Dunia yang semakin menghimpit, hipokrasi mengila dan fitnah merupakan antara tribulasi hebat yang kita sama-sama perlu lalui. Kita juga kadang-kadang dihimpit oleh segelintir manusia yang negative dalam menjalani bahtera kehidupan. Atau mungkin juga kita bertemu dengan keadaan manusia yang mempunyai tempurung kepala yang sempit sehingga menyempitkan jiwa dan hati kita untuk meneruskan agenda yang lebih mustahak sebagai generasi AL-Qur’an.

InsyaALLAH saya dijemput untuk memberi khutbah pada hari ini. Dan InsyaALLAH saya akan sentuh akan pentingnya kita membina jambatan kasih sayang sesama insan. Jambatan kasih sayang inilah yang akan menjadikan kita umat yang kuat dan digeruni. Rasululah s.a.w mengingatkan kita supaya sentiasa mengasihi sesama muslim dan tegas dengan golongan manusia yang sombong. Islam di bawa oleh Rasululah sa.w. untuk mendidik hati manusia. Proses Isra’ mi’raj juga melibatkan proses pembersihan hati. Tarbiah inilah telah melahirkan satu jiwa besar bernama Umar Al-Khatab r.a. Beliau seorang sahabat yang setia, mendapat jaminan syurga, menjadi hamba paling hina di malam hari tetapi menjadi singa di siang hari demi menyatakan kebenaran Risalah Islam.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada krew Sinar Harian khususnya Puan RoshlaWaty kerana bersunguh-sungguh untuk mendapatkan masa saya untuk mengisi slot REHAL akhbar Sinar Harian Jumaat 8 Julai. Moga usaha berterusan pihak media ini akan lebih mengalakkan umat Islam melakukan perjalanan hati kembara di Tanah Suci. Kita perlu saling menyokong di dalam agenda mulia.

Terima kasih semua..


Sunday, July 3, 2011

I can Cheat God! Can YOu? :- Kisah Solat

Nota: Banner ihsan

Solat adalah tuntutan yang sangat penting bagi seorang muslim. Ianya adalah asas kepada keIslaman seseorang. Rasululah s.a.w mengambil amanah ini terus daripada ALLAH s.w.t. Sudah tentu ianya tersangat penting sehingga ALLAh menjemput khas kekasihnya Muhammad s.a.w.

Di dalam Al-Qur’an banyak ayat membicarakan gabungan solat dan mencegah kemungkaran, solat dan sabar juga solat dan zakat. Solat dapat memelihara hamba dari perbuatan mungkar, bila diuji kita diminta melakukan solat dan bersabar dan bila berduit, kita pula diminta untuk solat dan melaburkan harta untuk tujuan zakat.

Ujian insan yang mahu bersolat amatlah besar lebih-lebih lagi dizaman yang terlalu mengejar kekayaan dan kemewahan. Bagi lelaki, rasa liat untuk solat berjamaah di masjid, bagi anak-anak agak malas bersolat dan bagi muslimah mungkin boleh melewatkan sedikit solat atas factor menguruskan rumah dan anak-anak. Ujian ini adalah biasa kerana kita tidak dapat melihat dengan mata kasar kehebatan bersolat. Atas alasan ini, melewatkan solat tidak menjadi kesalahan bagi kita.

Baru-baru ini adik ipar saya (perempuan) berkongsi bagaimana beliau diminta ‘menipu Tuhan’ dengan tidak bersolat. Majikan beliau adalah seorang berbangsa Cina (bukan Islam).

Berkatalah bos Cina (BC) ini “Hari ini lu tak payah sembahyang ok?”

Adik ipar (AI) saya menjawab , “Eh.. kenapa pulak?”

BC: “Hari ini saya tak de kat office. Hari ini ada banyak order mahu masuk. Kalu lu sembahyang, siapa mahu ambil order?”

AI: “Tak boleh. Sembahyang sekejap aje.”

BC: “Tak pa lah. Lu cakap sama Tuan Ala esokpun boleh sembahyang. Kita bukan Islam boleh cakap sama Tuan Ala tak mahu sembahyang. Orang Islampun boleh cakap sama Tuan Ala maa… Lagi satu, Tuan Ala itu boleh dengar punya.”

BC: “Ramai Melayu tak sembahyang okay apa. Merekapun boleh hidup senang dan kaya. Kita bukan mahu tipu Tuhan, tapi esokpun boleh sembahyang …”

Hakikatnya, solat adalah berat biarpun dilihat mudah dengan mata kasar. Pengalaman saya di sektor korporat, solat sering dilengah-lengahkan kerana faktor tugas atau mesyuarat. Lebih buruk, satu ketika dulu saya dan pegawai-pegawai kanan agak kecut perut untuk menunaikan solat kerana terpaksa meninggalkan bilik mesyuarat. CEO Melayu berjiwa picing ini akan blacklist pegawai-pegawai yang meninggalkan bilik mesyuarat semasa beliau mempengerusikan mesyuarat. Ada juga pegawai kanan yang sanggup tidak solat untuk menjaga periuk nasi.

Iman dan takwa akan mampu membantu seseorang untuk bersungguh-sungguh melakukannya. Kita perlu sentiasa takut kepada ALLAh dari mengeruni bos atau manusia yang ALLAh boleh lumpuhkan mereka pada bila-bila masa.