Malam kelmarin, saya mencapai buku Rindu Baitullah. Buku yang telah berusia 5 tahun. Saya selak satu persatu helaian naskah, ianya lahir dari hati dan pengalaman.
Di dalam Khutbah Jumaat 3 Nov 2017 yang telah saya sampaikan di sebuah Masjid di Kota Bandung saya telah berkongsi kepentingan ukhuwah, menjaga hati dan membelai hati. Hati sangat penting untuk dijaga dan dihargai. Perlu memasuki zon kebahagiaan hati. Satu zon penting kebahagiaan hati ialah dengan bermusafir ke Tanah Suci, melakukan ibadah haji atau umrah.
Ibadah Haji dan Umrah kelihatan sulit dan payah. Terlalu banyak prosedur dan kos yang sentiasa meningkat. Melancong ke London atau Beijing pun tidaklah sesulit ke Tanah Suci. Namun, Dalam kesulitan dan kepayahan, masih ramai merindui Baitullah. Ibadah yang seronok walaupun sulit.
Bila ALLAH menjemput tiada siapa mampu menghalang. Itulah dia, Tetamu istimewa Ar Rahman.
Kehidupan seharian menjanjikan hati dan fizikal kita sibuk dengan urusan duniawi, sebahagiannya agak melalaikan. Kadang kadang terlupa peranan sebagai hamba Ar Rahman. Kita lebih suka menjadi tuan dan dimuliakan. Sibuk kepada perkara yang tidak perlu atau tiada nilai di sisi Tuhan. Bila menerima whatsapp mesej dari grup kawan-kawan (termasuk grup Masjid), kebanyakkan mesej kurang memberi manfaat. Lebih banyak cerita politik, kutuk mengutuk dan mengeluh. Itulah dia kehidupan manusia. Penuh dengan keluh kesah dan komplain.
Rasa sangat bertuah bila menjadi Dhuyufur Rahman. Kita mula sibuk persiapkan diri ke Tanah Suci walaupun mungkin sudah berkali kali menunaikan Haji dan umrah.
Haji dan Umrah sangat istimewa. Kita belajar mendidik hati yang sentiasa keras, ego melambung dan belajar menangis. Hati yang keras mana bisa menangis, takut akan janji ALLAH dan berita dahsyatnya kiamat.
Di tanahair, kita banyak gelak ketawa, berhibur dan memenuhkan perut. Tengah malam sebelum tidurpun, kita tercari cari makanan. Restoran Mamak pula merancakkan nafsu makan dengan khidmat 23 jam sehari. Makan non-stop. Bila sakit, hospital swasta juga yang untung.
Malam malam juga kita sibuk berwhatsapp dan berFB. Terlupa dengan Janji pertemuan dengan ALLAH.
Haji dan Umrah membentuk hati. Hati supaya kembali kepada Sang Pencipta. Mengakui kita Cuma hamba, tidak punya apa-apa.
Ketika kita bertawaf, antaranya kita mengadu,
“Ya ALLAH, lindungilah aku di bawah naungan singgahsana Mu pada hari yang tidak ada naungan selain naungan Mu, dan tidak ada yang kekal kecuali DzatMu....”
Di saat berdoa dalam Tawaf, kita menginsafi diri. Kita menangis dan kita memasuki gelombang sakinah, yang rakan rakan kita di luar Tanah Haram tidak mampu menyaingi. Kita tunduk, sujud dan merintih mohon ALLAH menerima kita dan mengampuni kesilapan kita. Kita mohon ihsan Ar Rahman Ar Rahim akan dapat berlindung di hari Mahsyar, panasnya api neraka dan sulitnya perjalanan di hari tersebut.
Tundukkanlah dirimu di dunia ini, sebelum bahang Mahsyar menundukkan wajah wajah manusia yang banyak berdosa dan menganiaya diri. Menangislah depan Kaabah sebelum kita menangis di alam barzakh dan titian sirat. Dosa dan kesilapan kita mengunung tinggi yang cuba kita nafi.
“Ya ALLAh ampunilah kelalaian kami. InsyaALLAh kami datang lagi kerana kami merindui Baitullah dan Zon ketenangan hati. Izinkan kami datang lagi...” Aamiin
No comments:
Post a Comment