Followers- Jalinan Ukhuwah

Monday, August 10, 2009

Hidup Dalam Sangkar

Hidup ini laksana dalam sangkar. Kita seolah-olah tidak bebas untuk bertindak. Kita diikat dengan berbagai undang-undang dan peraturan. Di pejabat, kita dikongkong dan tidak bebas. Jika kita tanya pegawai-pegawai berjawatan tinggi, ramai akan berbicara bahawa mereka juga bosan, terikat dan tidak bebas, walaupun gaji mereka puluhan ribu RM sebulan.

Cuba kita lihat burung dalam sangkar emas. Mereka mungkin gembira dan bangga kerana berada di dalam status tinggi ’sangkar emas’ jika dibandingkan dengan rakan mereka di dalam sangkar ’kayu’. Namun apa sahaja status material yang mereka miliki, mereka hidup terkongkong. Mereka tidak mampu merealisasikan cita-cita dan impian untuk bebas bergerak dan merasai nikmat duniawi. Kegembiraan dan kebanggaan mereka juga tidak akan kekal lama kerana bersandarkan ukuran kebendaan.

Burung kakak tua, contohnya, akan dilatih untuk bercakap sepatah dua dan meluahkan kembali patah perkataan tersebut. Mereka diberi berbagai makanan yang bermutu namun mereka juga dikongkong dan tidak bebas. Rakan mereka diluar pula bebas terbang ke mana sahaja dan mampu memilih apa yang hendak dimakan walaupun cuma kais pagi makan pagi.

Cubalah kita lihat diri kita adakah kita juga seperti burung dalam sangkar?

Ukuran kebahgiaan tidak sepatutnya diukur dengan nilai kebendaan. Kita mempunyai wang yang banyak, namun tiada masa untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan mungkin juga tiada masa untuk Tuhan. Kita memberi berbagai alasan untuk membuat kebaikan.

Ketika rakan-rakan saya meluahkan dilema hidup tidak bebas, resah dan keliru, saya nyatakan untuk apa kita keliru dan resah? Muslim dianugerahkan kalimah syahadah yang hebat untuk direalisasi. Lihat bagaimana as-syahid Syed Qutb melayari bahtera neraka penjara di bumi anbiya. Jasad beliau dipenjarakan, namun jiwa dan pemikiran beliau sentiasa bebas sehingga lahirnya Fidhilal-Quran dalam penjara buat khazanah ummah dan bekalan menemui Allah.

Sekiranya anda merasakan anda hidup dalam sangkar, anda tidak keseorangan. Doa berterusan untuk membebaskan diri dari cengkaman kebendaan akan meringankan sangkar yang berat itu.... Allah maha mendengar isi hati kita.

2 comments:

rezeki said...

Salam,
itulah lumrah dunia . Apa-apa pun kita kembalilah kepada ajaran Al-Quran dan sunnah. Insyallah , selamat dunia dan akhirat.
Harta yang kekal abadi ialah harta yang dipersiapkan untuk akhirat.
Dari Ibnu Mas'ud, ia berkata : Rasulullah bersabda : " Siapakah di antara kamu yang harta warisannya lebih dicintainya dari harta sendiri?"
Mereka menjawab :
"Wahai Rasulullah, tidak ada seorang di antara kami yang harta warisannya lebih dicintai dari hartanya sendiri."
Lalu Nabi SAW bersabda:
"Maka sesungguhnya yang menjadi harta seseorang adalah apa yang telah dipersiapkan untuk akhiratnya, dan harta warisannya adalah apa yang ia tinggalkan untuk ahli warisnya"
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

ridzwan said...

salam rezeki,
Benar point anda. Moga Allah memelihara kita.