Photo umum Masjid Nabawi.
Pergi Haji menuju kematian?
Semalam saya menerima panggilan telefon dari insan yang saya tidak kenali secara peribadi. Kami berhubung di alam maya. Pun begitu, beliau kerap menelefon saya. Walaupun tidak mengenali beliau dan tidak pernah bertemu, hubungan kami macam abang-adik.
Beliau menyebut “Maafkan saya Wan. Abang akan berangkat ke Tanah Suci tidak lama lagi, maaf ya.” Saya bertanya “Mengapa perlu minta maaf dengan saya sedangkan abang tidak pernah melakukan dosa kepada saya dan kita juga tidak pernah bersua?” Beliau menegaskan, “Bukankah perjalanan Haji adalah perjalanan menghampiri kematian?” Saya bertanya kembali, “ Siapa kata begitu?” Beliau menambah, “Boleh dikatakan semua orang kata begitu!”
Omokkan negatif ini pernah menghantui saya semasa saya remaja dahulu. Bila mak dan arwah abah melangkah ke Tanah Suci, saya disuntik oleh masyarakat di sekeliling saya dengan anggapan bahawa mereka tidak akan kembali lagi. Jadi peluklah mak dan ayah sepuas mungkin, itu pesanan mereka kepada saya.
Saya tidak menafikan bahawa Haji adalah perjalanan emosi. Namun mengapa perlu menebalkan gambaran negatif seolah-olah kita tidak akan kembali ke tanah air? Hidupkan suasana positif dan gembira agar perjalanan kita diiringi dengan rangkaian aktiviti caj positif. Caj positif ini akan memberi kita ekstra mileage untuk mengekalkan kesihatan fizikal, emosi dan ruhani. Jika perlu juga untuk bersedih dan menangis, hindarkan melakukannya di hadapan orang-orang tersayang.
Ketika melangkah menunaikan umrah Ramadan baru-baru ini, abang saya menangis di hadapan isteri dan anak-anak. Peristiwa ini agak pelik buat saya kerana pengalaman haji dan umrah bersama abang sebelum ini, beliau belum pernah menunjukkan sikap sedemikian. Ia turut mengundang emosi seluruh ahli keluarga termasuk emak dan diri saya.
Tips berikut boleh membantu emosi:-
1. Meminimakan ahli keluarga ketika menghantar jamaah di TH Kelana Jaya/ Pusat pertemuan TH kawasan.
2. Jika perlu azan sebelum keluar rumah (ianya bukan amalan sunnah tetapi elok juga untuk dilaksanakan), carilah muazin yang mantap suara. Dengan lain perkataan, elakkan mencari muazin yang bersuara sayu, mendayu-dayu dan sedih.
3. Segera masuk (check-in)di Kelana Jaya. Ini dapat mengurangkan emosi dan kesedihan.
4. Lihat kehadapan (Look Forward). Allah menanti TetamuNya, Allah hendak menghadiahkan pahala yang besar dan Allah akan menerima taubat kita.
Allahu AKbar! Seronoknya jika dapat pergi Haji..