Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, October 28, 2009

Haji- Omokkan Negatif


Photo umum Masjid Nabawi.


Pergi Haji menuju kematian?

Semalam saya menerima panggilan telefon dari insan yang saya tidak kenali secara peribadi. Kami berhubung di alam maya. Pun begitu, beliau kerap menelefon saya. Walaupun tidak mengenali beliau dan tidak pernah bertemu, hubungan kami macam abang-adik.

Beliau menyebut “Maafkan saya Wan. Abang akan berangkat ke Tanah Suci tidak lama lagi, maaf ya.” Saya bertanya “Mengapa perlu minta maaf dengan saya sedangkan abang tidak pernah melakukan dosa kepada saya dan kita juga tidak pernah bersua?” Beliau menegaskan, “Bukankah perjalanan Haji adalah perjalanan menghampiri kematian?” Saya bertanya kembali, “ Siapa kata begitu?” Beliau menambah, “Boleh dikatakan semua orang kata begitu!”

Omokkan negatif ini pernah menghantui saya semasa saya remaja dahulu. Bila mak dan arwah abah melangkah ke Tanah Suci, saya disuntik oleh masyarakat di sekeliling saya dengan anggapan bahawa mereka tidak akan kembali lagi. Jadi peluklah mak dan ayah sepuas mungkin, itu pesanan mereka kepada saya.

Saya tidak menafikan bahawa Haji adalah perjalanan emosi. Namun mengapa perlu menebalkan gambaran negatif seolah-olah kita tidak akan kembali ke tanah air? Hidupkan suasana positif dan gembira agar perjalanan kita diiringi dengan rangkaian aktiviti caj positif. Caj positif ini akan memberi kita ekstra mileage untuk mengekalkan kesihatan fizikal, emosi dan ruhani. Jika perlu juga untuk bersedih dan menangis, hindarkan melakukannya di hadapan orang-orang tersayang.

Ketika melangkah menunaikan umrah Ramadan baru-baru ini, abang saya menangis di hadapan isteri dan anak-anak. Peristiwa ini agak pelik buat saya kerana pengalaman haji dan umrah bersama abang sebelum ini, beliau belum pernah menunjukkan sikap sedemikian. Ia turut mengundang emosi seluruh ahli keluarga termasuk emak dan diri saya.

Tips berikut boleh membantu emosi:-
1. Meminimakan ahli keluarga ketika menghantar jamaah di TH Kelana Jaya/ Pusat pertemuan TH kawasan.
2. Jika perlu azan sebelum keluar rumah (ianya bukan amalan sunnah tetapi elok juga untuk dilaksanakan), carilah muazin yang mantap suara. Dengan lain perkataan, elakkan mencari muazin yang bersuara sayu, mendayu-dayu dan sedih.
3. Segera masuk (check-in)di Kelana Jaya. Ini dapat mengurangkan emosi dan kesedihan.
4. Lihat kehadapan (Look Forward). Allah menanti TetamuNya, Allah hendak menghadiahkan pahala yang besar dan Allah akan menerima taubat kita.

Allahu AKbar! Seronoknya jika dapat pergi Haji..

Wednesday, October 21, 2009

Ceramah Personal Financial Fitness

Alhamdulilah dengan izinNya, saya telah dapat memenuhi jemputan berceramah di sebuah jabatan. Walaupun saya agak kurang sihat sejak seminggu ini, atas dasar tanggungjawab dan ingin berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman, saya kuatkan diri untuk menghadirinya.

Terima kasih kepada sekretariat IT khususnya Liyana dan Zuraini kerana sentiasa memastikan saya dapat mengisi slot ceramah ini. Kepada pengunjung blog ini ie mamasherry serta semua peserta yang hadir sekitar 200 tetamu, saya berharap anda semua mendapat manfaat dari perkongsian ringkas ini.

Moga Allah mengizinkan dan mengabulkan doa kita untuk menjadi insan yang lebih baik dari semalam.


Di akhir perkongsian saya menyebut
” Avoid unproductive personal debt/loan. Appreciate yourselves. Live your life as simple as you are. Perbanyakkan sadaqah walaupun ketika sesak..”

Monday, October 19, 2009

Tips Haji- Takut


Sejak seminggu dua ini saya menerima banyak panggilan telefon, email dan ada juga datang bertemu saya membuat appointment untuk membincangkan urusan Haji. Minggu lalu (saya dimaklumkan oleh rakan saya), MHI Tv3 juga turut membicarakan beberapa perkara Haji dengan menjadikan buku Haji Muda sebagai rujukan. Pagi tadi, rakan lama saya (sudah hampir 15 tahun terpisah) menghubungi saya mengucapkan terima kasih dengan panduan ringkas Haji Muda untuk persediaan beliau ke Tanah Suci.

Ringkasnya, mereka adalah bakal jamaah Haji yang akan berangkat ke Tanah Suci beberapa hari lagi. Difahamkan, esok (1 Zulkaedah) adalah penerbangan sulung jamaah Haji Malaysia. Alhamdulilah dan tahniah kepada bakal tetamu Allah yang terpilih tahun ini.

Takut untuk ke Tanah Suci seolah-olah biasa bagi tetamu Allah. Mereka mendengar berbagai-bagai cerita pelik, aneh dsbnya. Allah akan beri ”cash” kepada mereka. Perkara ini telah banyak saya sentuh sebelum ini. Jamaah Haji perlulah membawa pemikiran positif sebelum dan ketika di Tanah Suci, bersabar dengan ujian dan bertolak ansur. Jika taubat telah dibuat di Tanah Air, mengapa perlu takut? Apa yang bakal berlaku di sana nanti adalah ujian Allah untuk meningkatkan taraf kita sebagai seorang muslim mukmin. Allah sayang kepada kita, maka Allah beri kita ilmu dan pengalaman.

Setiap individu diberi ilmu dan pengalaman yang berbeza. Ada yang diuji dengan keras, sederhana dan ada juga yang tidak merasa mereka diuji. Jika kita mampu bersabar, meninggalkan pangkat dan ego, insyaAllah perjalanan Haji kita akan lancar.

Tip pertama, dengan menyebut ”Astaghfirullah hal-azim.....” sebanyak yang mampu akan mampu menghindarkan pemikiran negatif dan takut. Dengan beristighfar, hati kita akan tenang dan fikiran kita damai.

Tip Kedua, hindarkan bayangan negatif. Usah difikirkan perkara yang belum berlaku. Be positive!

Tip Ketiga, sebutlah perkataan-perkataan positif. Jaga mulut dari celupar, jangan cari salah orang, mengumpat atau bersenda gurau hingga jatuh ke tahap lagho/sia-sia. Sabar adalah kunci.

”Mohonlah ampun dari Tuhan mu sekelian, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya dia akan menurunkan pertolongan (hujan yang lebat kepada kalian)..” (Al-Qur’an Nuh 10-11).

Selamat berangkat pergi dan pulang kepada semua jamaah Haji Msia, Singapura, Brunei dan Indonesia serta semua tetamu Allah pengunjung blog ini. Harapan kami moga anda memperolehi Haji Mabrur.

Friday, October 16, 2009

Tempahan Haji Muda

Alhamdulilah, dengan izin Allah saya menerima beberapa tempahan buku HM untuk beberapa organisasi sempena program meraikan bakal jamaah Haji masing-masing. Harapan saya moga buku HM dapat memberi sumbangan ilmu dan pengalaman bagi bakal tetamu Allah.

Wednesday, October 14, 2009

Dimarahi Peminta Sedeqah

Baru-baru ini media tempatan melaporkan bahawa ada di antara peminta sedeqah memperolehi kutipan RM20,000 sebulan. Subhanallah! Banyaknya.! Di dalam keadaan si pemberi sedeqah yang sesak dengan tekanan hidup, peminta sedeqah lebih kaya!

Bersedeqah adalah aktiviti yang menyeronokkan bagi sesetengah orang. Ia juga mungkin membebankan. Pengalaman dimarahi peminta sedeqah mematangkan lagi pengalaman hidup saya. Sebelum saya berkongsi kisah dimarahi peminta sedeqah (Kisah No 3) di posting ini, saya kongsikan dahulu pengalaman-pengalaman lain (Kisah no 1 dan 2).

Kisah 1 :

Ketika ‘melepak’ sebentar di Mekah Hilton sementara menunggu azan Isya’ di Masjidil Haram, saya bersembang dengan seorang warga emas berbangsa Arab. Walaupun saya tidak mahir berbahasa Arab (tahu sikit-sikit aje), saya cuba memahami butiran perkataan wanita tua ini. Seronok juga dapat sembang bahasa Arab walaupun tidak mahir. Mana perkataan yang sama-sama tidak faham, kami sama-sama ketawa. Suasana ceria refleksi kehebatan Mekah, umpama ibu dan anak yang sudah lama tidak berbicara..

Di penghujung bicara, beliau meminta 3 Riyal untuk bekalan makan malam selepas solat tarawikh. Saya menghulurkan 10 Riyal. Rakan-rakan lain yang kebetulan tiba ditempat saya lepak, membelikan warga emas ini makanan dan minuman. Terkejut warga emas ini. Doa beliau melambung-lambung buat kami. Seronok sungguh bersedeqah di bumi Mekah. Setiap sedeqah kita disusuli dengan doa si penerima.

Lain pula kisahnya di luar Tanah Haram.

Kisah 2 :-
Pengalaman berada di Indonesia memberi pengalaman yang berbeza. Memberi Rp10,000 kepada pengemis rupa-rupanya tidak mengenakkan. Si peminta sedeqah berbicara dengan saya (sambil mengendong anak kecil) “Engak cukup Pak 10 ribu rupiah.....,. ” Saya menjawab ”Kalau begitu berapa yang kamu mahu..?” Beliau lantas menjawab, ” Ya, fikir saja dong.”
Wah! Peminta sedeqah boleh demand sekarang ini. Mungkin tekanan hidup menyebabkan mereka hidup lebih perit dari kita.


Kisah No 3:-
Yang paling sedih bila dimarahi oleh peminta sedeqah (peminta derma ini berkopiah dan berjanggut...).

Di mana-mana sahaja kita pergi kita akan dapat melihat terlalu ramai pemungut derma dengan menggunakan loga Jabatan Agama, Masjid, Pusat Tahfiz dan Pusat Anak-anak Yatim. Kita juga tidak pasti mengapa perkara ini terjadi di bumi Tanah Melayu ini. Kita juga kurang pasti kesahihan peminta derma ini. Mereka berada di mana-mana, di kompleks membeli belah, di pasar malam, di stesen minyak, di Masjid, di tempat makan. Seolah-olah daifnya umat Islam Malaysia dan tiadanya regulasi. Ada juga pemungut derma menetapkan harga RM10. Jika kita beri RM1 atau RM5, mereka menyebut angka minimum derma ialah RM10! Ai,.. nak derma ikhlas pun kena ada harga siling..?

Baru-baru ini saya ditempelak oleh seorang pemungut derma di bandar Temerloh. Peminta sedeqah ini berkopiah dan sedikit berjanggut. Wajah kelihatan bermasalah dan tidak ceria. Dari jauh, lengok bahasa badan mengambarkan beliau seorang yang ego dan dominan. Ketika beliau menghampiri beberapa orang di luar kedai, saya pula sedang sibuk membalas email rasmi pejabat melalui blackberry. Fikiran ketika itu fokus kepada urusan pejabat yang saya perlu beri perhatian dan memberi nasihat segera. Bila beliau menghampiri, saya menyebut ”Terima kasih, saya ada urusan sekejap lagi saya baca surat kebenaran mengutip derma tuan.” Tidak semena-mena saya ditengking oleh pemuda berkopiah ini. Saya melihat wajah pemuda ini dengan perasaan kasihan yang teramat sangat. Di mana akhlaq seorang muslim? Beliau meneruskan rejaman dengan menyebut ”Aku datang jumpa kaupun, kau tidak mahu bagi duit. Kalau aku datang rumah kau lagilah tak kan dapat satu sen pun.” Banyak lagi perkataan yang tidak enak di sebut depan saya. Inilah akibat terlalu miskin akhlaq.

Mutiara Hidup:
Di dalam kehidupan, kita sering menghukum orang dari memahami orang. Kita perlu belajar untuk banyak mendengar dari banyak bercakap. Bersedeqah di Bumi Mekah dan Madinah- anda akan dihargai dengan susulan doa. Bersedeqah diluar Tanah Haram- anda kurang dihargai dan mungkin akan dihentam... Wallahalam.

Monday, October 12, 2009

Perkongsian di BH dan Majalah i

Alhamdulilah, tulisan saya berkaitan persiapan jamaah Haji telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian Sabtu 10 Okt 2009 lalu.

Saya turut terkejut bila seorang wartawan memaklumkan bahawa sedikit perkongsian hidup telah dikeluarkan di Majalah i Oktober 2009.

Terima kasih kepada sidang editor Berita Harian dan Majalah i kerana mengizinkan tulisan saya di paparan akhbar/majalah.

Wednesday, October 7, 2009

Lindungilah Kami Ya Allah


Padang (Sumatera) kini menjadi padang jarak padang terkukur. Allah sahaja yang Maha Mengetahui mengapa tempat ini menjadi pilihan.

Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan memelihara kita dari bencana alam dan emosi yang hebat ini. Juga moga masyarakat kita di Malaysia akan segera berubah untuk mendaulatkan Qur’an sebagai perlembagaan hidup. Allah telah membuat penegasan di dalam Al-Qur’an :

"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."
Al Israa'(17) ayat 16

"Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz)."
Al Israa'( 17) ayat 58

Bila orang lain membuat kezaliman, kita akan turut sama menerima ujian dan bencana. Ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah.

Friday, October 2, 2009

Masjid dan Pejabat juga tidak selamat..?

Minggu lepas saya menerima panggilan menyatakan pejabat Masjid Munawarrah di pecah masuk lagi. Sudah banyak kali Masjid di pecah masuk. Berbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasinya namun masih berlaku juga. Hari Rabu lepas sebuah kereta di pecahkan cermin kereta waktu jamaah solat Isya’. Semalam (Khamis), dua lagi kenderaan jamaah dipecahkan cermin dan turut kehilangan barang berharga. Di kala pengurusan Masjid berusaha keras mengajak orang ke Masjid, ada pula segelintir anak muda kita buat kerja-kerja khianat ini. Ini akan mengakibatkan jamaah tawar hati dan mungkin menjauhkan diri dari masjid.

Semasa saya belajar di luar negara dahulu, kisah kereta curi, cermin kereta dipecahkan, logo Mercedes di patahkan dan kedai muslim dipecahkan adalah perkara biasa; santapan harian. Ketika itu, saya berfikir anak-anak muda bekas penjajah ini sudah hilang arah dan banyak membuang masa dengan berfoya-foya. Budaya buruk ini kini hadir di hadapan kita. Ianya dilakukan oleh anak-anak muda Melayu. CCTV yang dipasang di Masjid berjaya merakamkan gelagat anak Melayu ini (bermotosikal). Pernah juga berlaku kamera cctv di curi dan di rosakkan. (Pihak Polis arahkan Masjid pasang CCTV). Walau apa sekalipun usaha dilakukan, kejadian ini mengambarkan buruknya akhlak anak-anak muda Melayu.

Pun begitu cerita di bawah ini lebih menakutkan. Seorang wanita muda diculik di depan pejabat....

**********************************************

Pada 19 Sept 2009 lalu, seorang eksekutif muda (wanita) telah diculik di hadapan pejabat beliau di KL ketika keluar pejabat dari bertugas. Kejadian berlaku sekitar jam 6.10 petang. Penculik beliau adalah lelaki India (lelaki Hindu lagi...!) dengan menarik wanita ini ke kereta beliau dan mengacukan senjata tajam. Suspek menggunakan kereta Proton Waja hijau plat nombor WHY 2122.

Mangsa telah dibawa oleh suspek ke sebuah rumah kosong dan terpencil di jalan Tun Sambanthan Brickfields dan mereka sampai disana pada pukul lebih kurang 6.35 petang. Tiba di rumah kosong, Mangsa diugut untuk di rogol dan dijual. Lebih kurang jam 7 malam suspek mengajak mangsa pergi ke Mid Valley untuk makan. Sampai disana suspek belanja mangsa makan di McD. Selepas makan dan berjalan-jalan di Mid Valley, dengan kebijaksanaan mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Keberanian mangsa menguasai minda sendiri dan minda suspek telah berjaya menyelamatkan beliau. Mungkin sedikit amalan Quran dan zikir harian berjaya membantu mangsa .

Tanah Melayu oh Tanah Melayu... Bila nak aman?

Thursday, October 1, 2009

Musim Haji Kembali Lagi

Foto: Padang Arafah - Kemuncak Haji

Pagi ini saya bertemu dengan seorang pengurusan kanan membincangkan urusan pelan perniagaan tahun hadapan 2010. Selepas membincangkan isu-isu strategi dan pelan tahun 2010, pengurus besar ini mengucapkan terima kasih kepada saya kerana memberi dorongan untuk menunaikan Haji. InsyaAllah, beliau akan berangkat melengkapkan rukun Islam ini pada bulan hadapan. Usia mencecah pencen adalah normal bagi masyarakat kita. Yang penting, mahu melaksanakannya.

Seronok sungguh bila membicarakan bab Haji dan Umrah. Hati dan fikiran terasa lapang. Dengan sedikit perkongsian dan penerangan, beliau kelihatan ceria dan bersemangat. Menunaikan Haji mengikut pakej swasta ++RM25,000 sudah tentu mempunyai nilai tersendiri.

Ada beberapa perkara yang perlu saya berkongsi di blog ini (soalan yang dikemukakan oleh pegawai ini kepada saya):-

1. Perlu kah menghadiri program Haji perdana?
Pegawai ini bertanya saya wajibkah menghadiri program Haji Perdana? Boleh excuse tak?
Perkara ini saya telah kupas di blog ini pada musim Haji lepas. Ringkasnya, pilihan di tangan kita. Saya berpendapat, hadirlah ke program ini walaupun mungkin kita rasa kita sudah tahu banyak perkara dan kita telah berguru serta yakin dengan ilmu kita. Latihan ‘kesusahan’ di program ini akan memantapkan persediaan Haji kita.

2. Perlukah membawa blackberry ke Tanah Suci?
Nasihat saya- TIDAK PERLU. Gunakan hanfon (apa sahaja teknologi dan features hp) pada tahap minimum. Jika boleh, switch-off minda dari urusan pejabat seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci. Ini akan memberi lebih kekuatan buat kita. Urusan pejabat tidak akan selesai sampai bila-bila selagi kita bekerja/makan gaji. Bila kita sakit atau hospitalized, tiada siapa akan peduli hal ehwal kita. Sakit tanggung sendiri.

3. Cuti
Mohon cuti awal seminggu sebelum berangkat. Selesaikan semua keperluan keluarga seperti bil-bil utiliti, bayaran ansuran pinjaman dan urusan anak-anak. Ketika cuti ini, ajak isteri ke tempat riadah selepas Subuh. Buat senaman, jogging atau apa-apa bentuk latihan jasmani bagi meningkatkan tahap kecergasan diri.

4. Bermaafan
Kita tidak mampu untuk bertemu dengan semua saudara-mara dan rakan-rakan di Hari Lebaran ini. Nasihat saya, aturkan program ’open house’ dan telefon saudara-mara dan rakan-rakan supaya hadir. Juga maklumkan bahawa anda akan ke Tanah Suci tahun ini. Jadi majlis open house ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya disamping boleh diselitkan agenda majlis doa selamat dan kesyukuran ke Tanah Suci.

Moga perkongsian kecil ini bermanfaat.