Tulisan di bawah saya petik dari tazkirah ramadan dalam blog ini yang telah saya tulis pada tahun lepas. Saya membuat beberapa tambahan dari teks asal bersesuaian dengan perubahan semasa.
Alhamdulilah, ALLAH telah mengizinkan kita untuk terus menikmati kehebatan Ramadan. Ianya lebih dirasai oleh insan-insan yang benar-benar mencari kasih sayang ALLAH. Mereka terus istiqamah dengan tarawikh dan qiam.
Fasa Pertama Ramadan sudahpun berlalu. Sudahkah kita buat yang terbaik di Fasa Pertama?
Di Fasa kedua pula, ALLAH memberi ruang maghfirah kepada hambaNYA.
Namun kini, sudah ramai mula kecundang. Sebagaimana trend terdahulu, Fasa kedua Ramadan iaitu mendamba maghfirah ALLAH tidak diberi perhatian. Saf-saf tarawikh mula susut. Letupan mercun sudah mula kedengaran ketika sebahagian hamba-hamba ALLAH sedang sujud menunaikan Tarawikh. Kehadiran bazaar Ramadan pula sentiasa konsisten, tidak pula kelihatan susutnya. Kaum ibu pula mungkin mula sibuk mengajak suami shopping raya, membuat kueh raya dan pelbagai keperluan raya. Ianya adalah satu keperluan untuk menyambut lebaran. Lebih teruk, kita mungkin sedang menghitung dan menghimpun hutang kerana persediaan lebaran.
Tahun ini 2011, saya menunaikan tarawikh di beberapa masjid dan surau. Saya perhatikan bahawa trend menyusut ini dipengaruhi oleh beberapa factor termasuk juga cara pihak masjid dan surau meraikan jamaah. Bila jamaah tidak dapat apa yang mereka hajatkan, mereka akan beralih angin dan mungkin ada juga yang solat dirumah. Contohnya, tazkirah Ramadan tamat jam 10.15 malam sedangkan solat tarawikh baru siap 4 rakaat. Keseluruhan solat tarawikh 8 rakaat berakhir jam 11 malam. Pendekatan sebegini tidak bijak. Ianya tidak menjinakkan hati anak-anak muda untuk berdamping dengan masjid. Tazkirah Ramadan tidak perlu hingga satu jam, cukup sekadar 15 minit (sebab itu disebut tazkirah bukan ceramah). Ada juga penceramah yang menjerit-jerit ketika memberi tazkirah. Tazkirah dengan nada menjerit-jerit tidak akan melembutkan hati manusia khususnya untuk menarik anak-anak muda.
Berbalik kepada diri kita. Kita manusia yang lemah. Tuntutan Ramadan mungkin ada juga yang tidak dapat kita sempurnakan. Inilah dia, hidup dan diri kita. Kita tidak mampu istiqamah dengan usaha mencari ilmu dan tarbiah Ramadan.
Bagaimana kita mampu membebaskan Al-Aqsa jika kita berterusan saban tahun begini?
Blog ini menasihati diri penulis sendiri untuk segera memperkukuhkan hubungan dengan ALLAH dan memohon keampunanNYA atas setiap butir kesilapan hidup kerana sasaran kita adalah memasuki SYURGANYA yang luas itu. Firman ALLAH
“Bersegeralah kamu mencari keampunan ALLAH dan SYURGANYA yang luas antara langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”
Ali-Imran : 133
Moga ALLAH menerima proses Fasa kedua ini bagi bekalan kita seterusnya untuk melalui fasa ketiga Ramadan. Tips berikut boleh membantu:-
1. Rasululah s.a.w. berpesan supaya kita mengambil wuduk sebaik mungkin dan menunaikan solat taubat 2 rakaat. Kemudian muhasabah diri mengenangkan dosa dan kesilapan terdahulu.
2. Menghadiri majlis ilmu di surau/masjid
3. Menghadiri program Qiyamulail di Masjid-masjid.
Kita perlu sama-sama berusaha mencari maghfirah ALLAH kerana ianya tidak datang dengan percuma. Hendak BERJAYA perlu BERUSAHA.
Kepada bakal jamaah Haji 1432H, inilah waktu sesuai untuk muhasabah diri dan mencari keampunan ALLAH. Perlu berdoa moga ALLAH memberi rahmat, haji yang berkualiti- haji mabrur dan menerima ilmu yang terbaik di Tanah Suci nanti.
Wallah'alam.
4 comments:
Assalam Dr,
Terima kasih atas pengongsian ini. Ianya membuka minda agar terus muhasabah diri dan mempertingkat amalan bagi fasa Ramadhan ke 2 & 3 dan hari2 yang seterus nya hingga akhir hayat. Insya Allah
Salaam Dr,
Benar kata Dr, ada masjid yang tidak bijak dan tidak mesra jemaah. ada setengah2 imam yang membaca surah2 yang panjang sedangkan ada ramai juga jemaah yang berumur yang bersolat bersama. imam2 ini seolah2 tidak nampak semua ini. saban tahun masih tidak berubah dan masih di takuk lama. kalau saya mengatakan ada juga imam2 yang sudah tidak jelas bacaannya, dan agak mendayu2 bila membaca sesuatu ayat. belum lagi imam yang menjadikan sebagai landasan untuk dia mempraktis dan menghafaz surah, sudahnya banyak ayat yang salah dibaca. sehinggakan sampai satu tahap saya sendiri menjadi malas untuk bersolat berjemaah bila mengenangkan imam2 ini. apatah lagi anak2 remaja belasan tahun untuk datang bersolat jemaah. belum lagi dengan tazkirah yang tidak jelas didengar ditambah bunyi bising kanak2 berlari. dengan saf yang tidak lurus dan tidak rapat. Ya Allah ampunkanlah saya dan saya berharap amalan saya selama ini diterima walaupun tahap khusyuk itu hanya 20% sahaja rasanya.
Assalam anonymous 1,
InsyaALLAH kita sama tingkatkan komitmen kita menuju insan bertaqwa.
Assalam anonymous 2,
Kadang2 pengurusan masjid agak sukar ditegur dan gagal memahami keperluan semasa.
Post a Comment