Followers- Jalinan Ukhuwah

Thursday, August 18, 2011

Tazkirah Ramadan #3: Ramadan Yang Berlalu...


Masa beredar dengan begitu pantas. Ramadan bakal mencecah fasa ketiga. Namun diri hamba yang kerdil ini masih terkapai-kapai dilautan Ramadan yang indah itu. Biarpun ALLAH menjanjikan rahmat dan keampunan, kita masih sama-sama bersilat melawan nafsu, kehendak diri dan hilang pertimbangan.

Mana tidaknya, juadah berbuka puasa kelihatan enak, persediaan Raya pula tidak mampu diri kita menepisnya, dengkuran tidur terus menguasai diri, hentaman mercun kian menjadi-jadi dan selawat ke atas nabi di setiap Tarawikh kian menyepi. Kita kelihatan cepat lelah walaupun berpuasa dan bertarawikh setiap tahun.

Kualiti Ramadan kita mungkin hampir sama setiap tahun. Ajakkan berbuka puasa di hotel-hotel mungkin menjadi pilihan yang tidak boleh ditolak. Ianya budaya glamor yang harus dikotakan. Berbuka di masjid atau dengan mak di kampong bukanlah pilihan.

Malam tadi selepas solat tarawikh, saya berkunjung sebentar di Kompleks Ole-Ole Shah Alam untuk minum dan merasai roti canai. Biarpun jam ditangan menunjukkan waktu 10:30 malam, Ole-Ole masih sesak dengan pelanggan dan kenderaan. Agak padat, jem. Maka hati saya terusik untuk berbicara akan lemahnya diri kita. Masjid berhampiran jauh menyusut bilangan jamaahnya jika dibandingkan dengan jamaah shopping.

Ramadan adalah bulan peningkatan ibadat. Jika kita tidak mampu melakukannya, maka Ramadan kita tiada nilainya.

Sampai bila kita mahu diri kita, ahli keluarga dan masyarakat membiarkan diri berterusan begini?

Sampai bila kita mahu menjadi penumpang pesawat Ramadan ‘tambang murah’?

Sampai bila kita mahu menaiki pesawat Ramadan kelas ekonomi?

Tidak mahukah kita naik taraf menaiki pesawat Ramadan First atau Business Class?

Kita masih ada lagi 11 hari untuk memperbaiki kelemahan ibadat Ramadan kita. Maka ayuhlah kita bekerja keras meningkatkan amalan, kurangkan keinginan berhari raya dan sama-sama menyokong perjalanan diri kita untuk bertemu Ilahi.

1 comment:

ady said...

salam Dr,

Doakan kami supaya mampu mengharungi Ramadhan ini sehingga mencapai tingkat taqwa sebenarnya.Insyaallah.