Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, August 1, 2012

Ramadan Bicara #4- Prestasi yang perlu disemak



Nukilan HM:  Qur'an buruk ku baca, namun sukar untukku laksanakan, Ampunilah aku Ya ALLAH.


Tulisan di bawah saya petik dari tazkirah ramadan dalam blog ini yang telah saya tulis pada tahun lepas. Saya membuat beberapa tambahan dari teks asal bersesuaian dengan perubahan semasa.

Alhamdulilah, ALLAH telah mengizinkan kita untuk terus menikmati kehebatan Ramadan. Ianya lebih dirasai oleh insan-insan yang benar-benar mencari kasih sayang ALLAH. Mereka terus istiqamah dengan tarawikh dan qiam.

Bagaimana prestasi Ramadan selepas 11 hari kita melaluinya?  Fasa Pertama Ramadan sudahpun berlalu. Sudahkah kita buat yang terbaik di Fasa Pertama?

Jika anda menjawab bahawa anda tidak berpuashati dengan prestasi Ramadan, anda sebenarnya bukan keseorangan. Rata-rata, ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan prestasi akibat kesibukan tugas dan usaha melawan nafsu. Ianya adalah satu penilaian yang jujur namun tidak cukup jika tiada pelan tindakan mencari kehebatan Ramadan yang hanya tinggal dua-pertiga lagi .

Dalam satu kajian di USA, didapati bahawa hanya 11% umat Islam sahaja yang berpuashati dengan prestasi Ramadan. Maknanya majoriti umat Islam (89%) tidak puashati dengan prestasi Ramadan. Mungkin kita termasuk sekali dalam bot ini...

Di Fasa kedua pula, ALLAH memberi ruang maghfirah kepada hambaNYA.

Namun kini, sudah ramai mula kecundang. Sebagaimana trend terdahulu, Fasa kedua Ramadan iaitu mendamba maghfirah ALLAH tidak diberi perhatian. Saf-saf tarawikh mula susut. Letupan mercun sudah mula kedengaran ketika sebahagian hamba-hamba ALLAH sedang sujud menunaikan Tarawikh. Kehadiran bazaar Ramadan pula sentiasa konsisten, tidak pula kelihatan susutnya. Kaum ibu pula mungkin mula sibuk mengajak suami shopping raya, membuat kueh raya dan pelbagai keperluan raya. Ianya adalah satu keperluan untuk menyambut lebaran. Lebih teruk, kita mungkin sedang menghitung dan menghimpun hutang kerana persediaan lebaran.

Tahun ini 2012, saya menunaikan tarawikh di beberapa masjid dan surau. Ingin mengkaji  'mosque behaviour' yang dipraktiskan oleh masjid-masjid. Bukan untuk menghentam masjid tetapi ingin membantu Majlis Agama Islam dan pengurusan masjid supaya Ramadan dihidupkan dengan Qiyam Ramadan. Tugas kita menegur, enggan bertindak tidak mengapa...  Perkataan yang saya selalu gunakan "If we don't take action, we are no more relevant....."

Saya perhatikan bahawa trend menyusut tarawikh ini dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk juga cara pihak masjid dan surau meraikan jamaah. Bila jamaah tidak dapat apa yang mereka hajatkan, mereka akan beralih angin dan mungkin ada juga yang solat dirumah. Contohnya, tazkirah Ramadan tamat jam 10.20 malam sedangkan solat tarawikh baru siap 4 rakaat. Keseluruhan solat tarawikh 8 rakaat berakhir jam 11 malam. Pendekatan sebegini tidak bijak. Ianya tidak menjinakkan hati anak-anak muda untuk berdamping dengan masjid. Tazkirah Ramadan tidak perlu hingga satu jam, cukup sekadar 15 minit (sebab itu disebut tazkirah bukan ceramah). Ada juga penceramah yang menjerit-jerit ketika memberi tazkirah. Tazkirah dengan nada menjerit-jerit tidak akan melembutkan hati manusia khususnya untuk menarik anak-anak muda.

Berbalik kepada diri kita. Kita manusia yang lemah. Tuntutan Ramadan mungkin ada juga yang tidak dapat kita sempurnakan. Inilah dia, hidup dan diri kita. Kita tidak mampu istiqamah dengan usaha mencari ilmu dan tarbiah Ramadan. Bagaimana kita mampu membebaskan Al-Aqsa jika kita berterusan saban tahun begini?

Blog ini menasihati diri penulis sendiri untuk segera memperkukuhkan hubungan dengan ALLAH dan memohon keampunanNYA atas setiap butir kesilapan hidup kerana sasaran kita adalah memasuki SYURGANYA yang luas itu. Firman ALLAH

“Bersegeralah kamu mencari keampunan ALLAH dan SYURGANYA yang luas antara langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”
Ali-Imran : 133

Moga ALLAH menerima proses Fasa kedua ini bagi bekalan kita seterusnya untuk melalui fasa ketiga Ramadan. Tips berikut boleh membantu kita semua:-
1. Rasululah s.a.w. berpesan supaya kita mengambil wuduk sebaik mungkin dan menunaikan solat taubat 2 rakaat. Kemudian muhasabah diri mengenangkan dosa dan kesilapan terdahulu.
2. Menghadiri majlis ilmu di surau/masjid
3. Menghadiri program Qiyamulail di Masjid-masjid.

Kita perlu sama-sama berusaha mencari maghfirah ALLAH kerana ianya tidak datang dengan percuma. Hendak BERJAYA perlu BERUSAHA.

Kepada bakal jamaah Haji 1433H, inilah waktu sesuai untuk muhasabah diri dan mencari keampunan ALLAH. Perlu berdoa moga ALLAH memberi rahmat, haji yang berkualiti- haji mabrur dan menerima ilmu yang terbaik di Tanah Suci nanti.

Wallah'alam.

1 comment:

alihassan said...

Assalam Dr.
Terima kasih atas peringatan yang bernas. Muhassabah diri adalah satu cara terbaik untuk kenal diri.
Wassalam