Followers- Jalinan Ukhuwah

Sunday, April 28, 2013

TUJUH TIPS MENYINGKAP KEHIDUPAN



TUJUH TIPS MENYINGKAP KEHIDUPAN

PRU 13 di Malaysia kian panas.  Umumnya, kempen PRU13 banyak menyerang lawan, menyentuh peribadi dan menyalahkan  orang lain dari melihat  kelemahan diri sendiri.  Hati dan ukhuwah kita akan terus rosak jika perilaku begini  berterusan dalam hidup. Kesannya, hati mempunyai titik hitam yang akan menghambat  ketenangan hidup jauh dari jiwa dan minda. Itulah dia politik.  Dalam politik ada strategi. Jika strategi  tidak mengikut kehendak Ilahi dan bertentangan dengan sunnah, sudah tentu  rahmat ALLAH jauh membatu.

Kita kini berada dalam alam dunia dan dihiasi dengan perhiasan yang melekakan.  Sikap kita terhadap kehidupan juga berbeza mengikut acuan yang kita  define sendiri.  Kita termasuk saya pernah melakukan beberapa kesilapan hidup  kerana ilmu, minat dan pengalaman kita berbeda.  

Dalam dua minggu ini ALLAH ketemukan saya dengan beberapa individu samada mereka datang ke pejabat,  email,  jumpa di restoran, cafe mahupun di penjuru MAsjid.  Ringkasnya, isu yang dibawa adalah hampir sama iaitu bagaimana melalui kehidupan yang  masalahnya tidak pernah selesai? 

Soalan saya kepada mereka:-
Adakah benar masalah kehidupan yang tidak pernah selesai  ATAU
Persoalan hidup yang hampir sama tetapi kita mengambil sikap yang sama?

(Nota: Soalan ini juga pernah saya tanya dan kupas ketika memberi tausiyah di Mekah bulan lepas).

Saya ambil satu analogi sikap  kehidupan.  


fOTO: Sudahlah aku ni tua (kelapa tua), dicucuk begini pula...

Cuba bayangkan buah kelapa.  Kehidupan buah kelapa adalah membosankan. Bila makin tua, dia tidak diperlukan. Fitrahnya, dia akan gugur tersungkur ke bumi. Makin tinggi buah ini di atas pokok, dengan kuasa ALLAH dan mengikut teori graviti, buah ini kelihatan turun laju dan berdentum ke bumi. Tiada buah kelapa tua yang gugur ke bumi dengan “releks dan steady”.  Nasib buah kelapa tidak mati disitu.  Dia akan dipijak atau dikupas dengan parang, sakit sangat bila di tarik-tarik kulit tua, diparut/ dimesin  dan kemudian di perah.   Sakit ini sangat berterusan.  Namun diakhir proses, si kelapa tua ini akan memberi sumbangan terakhir hidup, iaitu menyenangkan manusia dengan santan kelapa.  Masakkan seperti nasi lemak akan lebih enak dengan pengorbanan si kelapa tua ini.

Si kelapa tua melalui proses hidup yang sama. Tidak mampu melakukan apa-apa kerana itu fitrah hidup kelapa. Dia tiada aqal, nafsu, ilmu, minat tetapi setiap hari melihat pengalaman yang sama dilalui rakan-rakan si kelapa tua.

Dalam kehidupan, jika kita hanya menyantun nafsu dan melihat sahaja pengalaman orang lain tanpa ilmu, kurang intelek dan minat untuk  terjun mendampingi masalah, maka kita dengan si kelapa tua mempunyai ciri kehidupan yang sama. Akhirnya, sebahagian kita akan menyalahkan takdir ALLAH, salahkan orang sekeliling dan membawa hati, jiwa dan minda memasuki acuan hidup yang sempit.

Santunilah nikmat ALLAH kerana rahmatNYA maha besar.  Rahmat dan maghfirah ALLAH ada di mana-mana terutamanya di Tanah Suci Mekah.  Pola masalah kehidupan tidak akan selesai jika kita mengambil sikap yang sama dan membina benteng acuan yang sempit, tidak terbuka dan alpa dengan kehadiran ALLAH.  Maka tujuh tips ini  boleh kita lakukan:-

1. Lihat dunia ini seluas mungkin kerana bila kita menyempitkan hati, fikiran juga akan sempit dan kehidupan juga terikat dengan acuan yang kita buat sendiri. Jika hati lapang, dunia kelihatan luas.

2.  Bersiap berhadapan dengan sesuatu yang kita mungkin tidak suka.  Takdir ALLAH ada kalanya tidak masuk gear dengan keinginan nafsu kita. Sesuatu yang kita tidak suka, tidak semestinya buruk untuk kita.

3.  Redha dengan musibah. Menyesali masalah dan membandingkan masalah dengan orang lain, akan memburukkan nilai hidup. Kita akan stress jika membandingkan  ujian yang kita lalui dengan ujian yang orang lain lalui. Kekayaan dan kemewahan orang lain bukanlah sumber kebahagiaan hati kita.

4. Taubat dan istighfar adalah sikap terbaik menyingkap nilai hidup. Hati kita lebih tenang jika mampu mencari kelemahan diri dari sibuk mencari salah orang. (Sila rujuk beberapa zikir/doa yang pernah diupload di blog ini).

     5. Bersandar hanya pada Allah SWT-Tawakkal.  Haji dan Umrah mengasuh tabiat dan sikap ini.

    6.  Berdoa tanpa rasa jemu dan putus asa

    7. Mohonlah bantuan.  Ramai antara kita yang menghadapi masalah tetapi hanya pendam dalam diri. Kesannya, hati rosak, jiwa tertekan, emosi tidak stabil  dan raut wajah hilang cahaya.

Hidup ini laksana si kelapa tua. Jika kita mengambil sikap dan membina acuan fikiran yang positif, maka sumbangan kita kepada keluarga, negara dan ummah lebih bersantan dan enak untuk dilalui.

Wallah’alam.


No comments: