Followers- Jalinan Ukhuwah

Monday, December 29, 2014

Kuliah Online Mekah




                                    Foto: Memanjat keampunan dan kesyukuran di Multazam


[27/12 4:47 AM] Polaris Office Document Text - 
Kuliah online Masjid Assharif Meru, Klang 25 Dis 2014. 3 Rabiulawal 1436H
Lintas dari Masjidil Haram Mekah.


Assalamualaikum wbth. Segenap puji bagi Allah, Penguasa dan Pemilik sekelian kerajaan. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia pemimpin agung Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga baginda. Ayuhlah kita mulakan kuliah kita dengan beristighfar kepada AllAh swt, menginsafi diri dan meletakkan diri kita sebagai hamba kepada Allah yang Maha Esa bukan hamba kepada manusia atau bos kita.

Pencinta ilmu kariah Masjid Assharif Meru dan semua pendokong Kelab Haji Muda yang saya kasihi,
Alhamdulilah kita diberi kesempatan lagi untuk terus mengali ilmu dan berkomunikasi melalui kuliah online "Tarbiah dan manasik haji/umrah". Kuliah hari Khamis malam Jumaat ini saya teruskan secara online upload ke facebook/kelabhajimuda facebook/drridzwan dan blog http://ridzwan-bakar.blogspot.com dan akan diupload ke facebook masjid oleh admin.


Alhamdulillah sudah hampir 5 hari saya berada di Mekah. Hari ini saya menyarankan jamaah untuk berpuasa sunat Khamis dalam usaha kita membentuk hati dan diri. Ianya tidak sukar memandangkan cuaca sejuk nyaman di Mekah. Apatah lagi melaksanakan tawaf sunat yang seharusnya kita ambil peluang kerana tiada lagi lokasi ibadah Tawaf melainkan di Masjidil Haram.

Mereka yang kini berada di Tanah Suci amat bertuah. Pahala amalan di sini 100,000x dari mana2 tempat. Bukanlah ganjaran sahaja yang memotivasikan jamaah, namun apa yang lebih penting jamaah semua akan menjadi Duta Muslim setelah menjadi Tetamu Istimewa Pemilik alam. Inilah misi yang sukar untuk kita laksanakan yakni sebagai Duta Muslim bila kembali ke Tanahair.

Tawaf dan saie melatih kita menjadi sang hamba. Ketika bertawaf, kita tak putus-putus beristighfar, mengakui dosa, mentakuti azab kubur, takut akan mahsyar, gementar dengan titian sirat dan berdegup hati menerima keputusan amal. Tawaf dan saie mendidik kita erti sabar, bukan sedikit kesabaran. Kadang-kadang jamaah tidak mampu bersabar apabila di rempuh, ditolak dan dihimpit dalam keadaan suasana yang kurang berakhlaq sesetengah jamaah negara asing.

Di hadapan Hajar Aswad dan Multazam suasananya lebih kelam kabut akibat rakusnya manusia merempuh semata-mata mahu cium hajar aswad atau berdoa di Multazam. Sebahagian manusia sangat rakus dan mementingkan diri sendiri. Apa yang kita hendak harapkan kepada muslim kapitalis di luar Mekah jika budaya dan akhlaq muslim tidak diterjemahkan oleh para Tetamu Allah sendiri...

Ketika Tawaf pusingan pertama kita berdoa
"Maha suci Allah dan segenap puji bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah dan Allah maha besar dan tiada upaya kami mentaati perintah Mu dan tiada kekuatan utk kami menjauhi larangan Mu melainkan dgn izinMu. Wahai Allah kami mohon keampunan dariMu dari siksa neraka"


Rasulullah saw diutuskan utk membawa kebenaran dan memberi peringatan akan hari akhirat. Hampir kesemua doa tawaf dan saie yang disusun oleh para ulama berkisar persoalan sang hamba yang mengharapkan rahmat, kasih sayang Allah. Solat di Masjidil haram sudah cukup memberi peringatan akan hari Akhirat, di mana manusia berpusu pusu, ke hulu dan hilir mencari sesuatu. Ada ketikanya manusia2 ini diherdik oleh pegawai kerana tidak tahu bahasa dan mementingkan diri sendiri. Secara umum, Corak berfikir dan akhlaq tidak jauh beza samada di Tanah haram atau diluar tanah haram.

Moga ibadah umrah dapat membentuk ribuan rakyat Nusantara Melayu- Msia, Brunei, Indonesia, Singapura untuk bersatu membina ummah yang kian rapuh. Jamaah umrah adalah Duta Perubahan, maka usahlah lalai bila kalian kembali ke tanahair....

Kuliah Online Madinah


                      Foto:  Berselawat dan Melangkah perlahan di makam Rasululah saw.

[18/12 5:51 PM] Polaris Office Document Text -
Kuliah online Masjid Assharif Meru, Klang 18 Dis 2014
Lintas dari Masjid Nabawi, Madinah.

Assalamualaikum wbth. Segenap puji bagi Allah, Penguasa dan Pemilik sekelian kerajaan. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia pemimpin agung Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga baginda. Ayuhlah kita mulakan kuliah kita dengan beristighfar kepada AllAh swt, menginsafi diri dan meletakkan diri kita sebagai hamba kepada Allah yang Maha Esa bukan hamba kepada bos atau mana-mana manusia.
Sidang jemaah dan sahabat2 pencinta ilmu kariah Masjid Assharif Meru yang saya kasihi,
Biarpun kuliah rasmi "Tarbiah dan manasik haji/umrah" siri ke 20 bulan ini ditangguhkan kerana saya menunaikan umrah bersama jàmaah, ianya bukan alasan untuk kita tidak boleh terus berkomunikasi. InsyaAllah kita cuba manfaatkan teknologi yang ada. Atas nikmat Allah inilah, saya berazam untuk membuat kuliah online terus dari Madinah dan Mekah. Kuliah ini akan saya kongsikan di facebook Masjid Assharif Meru dan facebook/kelabhajimuda facebook/drridzwan.


Tuan Puan ayah ibu yang saya kasihi,
Sesungguhnya Allah amat mencintai hambaNya. Atas dasar kecintaian inilah, maka Allah mengutuskan surat ujian yang perlu kita buka, baca dan bertindak. Ramai antara kita hanya gembira membuka surat khas ujian dari Allah, namun tidak ramai yang benar_benar mahu membaca dan bertindak. Kita silap bilamana kita gembira bila surat khas ujian ini tidak tiba. Maka kitapun leka dan seronok dengan kehidupan. Ada pula antara kita yang menerima surat ujian, kemudian menerimanya dan buat tak endah, masih dibuai nikmat hidup. Ada pula antara kita yang naik angin bila tiba_tiba di uji Allah, seolah-olah dia seorang sahaja diuji dengan masalah.


Di dalam kuliah_kuliah terdahulu, kita sama-sama kupas banyak isu dan persoalan haji dan umrah. Isu dan persoalan- persoalan ini sentiasa berulang dan solusinya hampir sama. Dalam seminggu dua ini saya menerima banyak kes kawan-kawan dan jamaah yang hilang sabar kerana diuji dengan karenah agensi umrah yang menunda-nunda tarikh umrah atau memberi alasan tidak dapat visa umrah. Saya tidak berminat untuk mengupas karenah agensi umrah, sikap tidak telus dan kurang mesra pelanggan. Bagi saya, kebanyakkan agensi umrah Msia adalah baik-baik. Apa yang ingin saya kongsikan dalam kuliah online ini ialah sikap kita para Tetamu Allah.

Pertama, kita perlu memahami siapa dia Tetamu Allah?
Kedua, adakah kita benar-benar ikhlas hadir di bumi suci Mekah dan Madinah kerana Allah?
Dan ketiga, sudahkah kita bersedia sebagai Tetamu Allah?


Persoalan emosi umrah akan timbul bila kita tidak merancang umrah, tidak serius membuat persiapan atau terdesak kerana ajakkan isteri seolah-olah terpaksa menjalani ibadah umrah. Sebahagian kecil jamaah masih membawa ego dan pangkat besar bila tiba KLiA untuk melalui proses check-in pesawat. Ego dan pangkat besar tiada nilainya di sisi ALLAH.

Bagi tuan puan yang bakal menjadi Tetamu Allah, fahamilah bahawa perjalanan haji dan umrah adalah proses terbaik menjernihkan hati, memantapkan aqidah dan meningikan iltizam untuk terus bekerja kerana Allah.

Kita penat bekerja, stress dan sibuk dengan sedikit nikmat yang dipinjamkan Allah. Maka ambilah ruang dan waktu untuk memasuki zon spa hati (sila rujuk buku Rindu Baitullah Bab Zon Spa Hati) yakni istimewanya Mekah dan Madinah.

Bila surat ujian Allah tiba mengetuk pintu hati, bukalah jendela hati. Bacalah apa yang tersirat dari setiap ujian dan persoalan kehidupan. Ambillah peluang di atas sajadah, duduk dan berfikir. Bincanglah persoalan dan ujian hidup bersama suami/isteri tersayang. Letakkan ego dan pangkat besar di bawah sejadah agar hikmah surat ujian Allah dapat dilihat oleh mata hati.

GURU DAN Kiyai saya berpesan, Disaat ujian hidup mendesak-desak, akan wujud dua kumpulan manusia yang nyata. Golongan pertama, mereka yang berterusan berdansa dengan rentak hidup menafikan Allah dan berbangga dengan dosa. Maksiat dan dosa menjadi sebahagian kehidupan dan diterima masyarakat. Inilah yang sedang menginjak-injak kesabaran kita di tanahair Nusantara Islam Melayu. Kedua, golongan yang cuba dan berusaha menjaga iman sebagaimana pemuda Asbabul Kahfi. Iman dijamin dan dipelihara di Mekah dan Madinah. Dikala fitnah dunia dengan bahang-bahang dajjal kian terasa, maka bumi Mekah dan Madinah adalah tempat yang sewajarnya di jadikan teman yang dirindui.

Haji dan umrah menjanjikan ilmu dan pengalaman yang berbeza. Itulah kebesaran Allah. Sudah 10 tahun saya dan isteri membawa jamaah umrah, dan setiap kali itulah Allah memberi pelbagai ilmu dan pengalaman. Sesungguhnya, pengalaman-pengalaman ini tidak membosankan. Dan dengan sedikit ilmu dan pengalaman inilah, kuliah bulanan kita di Masjid AsSharif Meru ini dapat kita hidupkan, kini memasuki tahun kedua. MasyaAllah & Tabarakallah.


Monday, December 15, 2014

Projek KHM: Pembesaran Masjid dan Pasentren Bojongloa Bandung



Alhamdulilah, projek Kelab Haji Muda (KHM) Pembesaran Projek Masjid dan Pasentren desa Bojongloa hampir siap sepenuhnya. Perlukan sedikit lagi dana agar masyarakat desa dapat memanfaatkan masjid dan bilik-bilik  kuliah.

Sumbangan boleh dibuat terus ke Akaun:

Bank Islam    No Akaun: 1418001-0014322    KHM Dana Annuiti Akhirat

Sasaran Siap:  31 Disember 2014

Keterangan lanjut, boleh hubungi:
hotline KHM:                       +6011 3233 2726
Whatsup PA Dr Ridzwan: +6011 3233 2085




Moga ALLAH menerima setiap amalan dan harta yang kita infaqkan. Amin!

Tuesday, November 18, 2014

Eksplorasi Turki Uthmaniah


Alhamdulilah, Grup KHM Wisata Uthmaniah InsyaALLAH akan berangkat untuk program Ekplorasi Turki 23 Nov- 2 Dec 2014. Beberapa tips penting perjalanan ini telah saya kongsi di facebook/drridzwan dan personal fb message.

Disamping saya membuat tugasan rasmi dan meneliti beberapa kajian ilmiah di Istanbul, saya akan bersama 40 orang peserta untuk meneroka dan memahami mengapa perlu datang ke Turki. Program selama 10 hari ini akan diisi dengan kuliah/tazkirah ringkas, zikir dan input2 ilmiah secara santai supaya program lebih fun.

Peserta bukan sekadar melancong, beristirehat dan shopping; lebih bermakna bila kupasan, ilmu dan ibrah kejayaan dan kejatuhan Uthmaniah dapat dihayati. InsyaALLAH, peserta akan menerima tiga "surprises" yang akan saya war-warkan.

Kepada sahabat-sahabat yang terlepas peluang atau lewat daftar, bolehjoin program tahun 2015.

Worth to join KHM Wisata Uthmaniah.

Sunday, October 26, 2014

KULIAH BULANAN NO 18: MENGAPA MADINAH?




Alhamdulilah, kuliah bulanan siri ke 18 dan perkongsian ilmu/pengalaman (Setiap Minggu Terakhir Malam Jumaat)  berkait “Tarbiah & Manasik Haji dan Umrah” di Masjid As-Shariff  Meru, berjalan dengan baik pada Malam Jumaat dipenghujung bulan Zulhijjah kelmarin.

Kuliah kali ini menyentuh beberapa perkara penting tarbiah Haji & UMrah dan memfokus kepada  Tips pengurusan kewangan Haji/Umrah  dan  Mengapa Madinah serta kaitan Madinah dengan Hijrah.

  1. Tips Pengurusan Kewangan- 
Mohon rujuk buku Rindu Baitullah dan Haji Muda bagaimana untuk menabung supaya boleh pergi haji dalam tempoh 5 tahun.

  1. Mengapa Madinah?
Kupasan ini agak mendalam yang agak sukar untuk saya menulis dengan panjang lebar.  Secara ringkasnya, soalan ini ditimbulkan oleh  segelintir jamaah umrah atau  rakan-rakan saya secara informal.  Ada dikalangan kita yang kurang faham mengapa perlu ke Madinah sedangkan Haji/Umrah, Kaabah, Tawaf, Saie dan Tahalul dilakukan di MAsjidil Haram?

Adakah soalan ini serius?  Jawapannya “Ya”.

Saya pernah mempunyai pengalaman bersembang dengan jamaah Indonesia tahun lepas semasa di Madinah. 

Bila saya bertanya “Kapan bapak berangkat ke Mekah untuk Umrah?”

Beliau menjawab, “Bukankah Umrah di sini (Madinah)?  Bukankah Rasululah s.a.w berada di sini?

Terkejut saya dengan jawapan begini. Bagaimana tatacara Umrah tidak difahami sebelum berangkat untuk Umrah?

Hakikatnya, ada sebahagian kecil masyarakat kita (termasuk rakyat Malaysia) yang tidak memahami mengapa perlu ke Madinah?   Sebab itu ada dikalangan jamaah Haji/Umrah yang hanya melengkapkan Haji/Umrah tanpa menziarahi Rasululah s.aw. dan mengambil ibrah di bumi Madinah.


Di akhir kuliah, beberapa tips dan adab menziarahi Madinah di kongsi dan dikupas. InsyaALLAH kuliah bersambung bulan depan untuk siri ke 19. 

Saturday, October 25, 2014

Salam Hijrah 1436


Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hijrah 1436 kepada semua ahli keluarga, pendokong Kelab Haji Muda, Tetamu, guru-guru dan anak-anak murid saya, moga kita terus istiqamah dengan jalan Islam, bersolat dan  bersabar.  

Maafkan salah silap saya dan keluarga serta Tim Pengurusan Kelab Haji Muda di sepanjang menyusuri langkah tahun 1435Hijrah. Juga terima kasih dengan sokongan dan bantuan kerja amal KHM.

Hijrah Rasululah s.a.w adalah hijrah Iman dan Islam
Bukan
Hijrah Kosmetik atau takut dengan ancaman dan dugaan. 

Thursday, October 2, 2014

Arafah





Alhamdulilah, beberapa jam lagi, umat Islam para dhuyufur Rahman akan berangkat ke Arafah. Perjalanannya tidaklah jauh tetapi amat mencabar khususnya ketika cuaca masih panas. Dan di saat ini, para jamaah haji sudah bersedia untuk bertalbiah mengagung dan mengesakan ALLAH.

Arafah adalah tempat yang istimewa dan khusus.

Wahai Tetamu ALLAH,
Pandanglah kalian ke langit Arafah. Renungilah bahwa pada hari yang mulia ini Allah s.w.t. akan  memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah, dan membangga-banggakan anda semua yang sedang wukuf di Arafah di hadapan para malaikatnya.

Disebutkan dalam hadits qudsi bahwa Allah berfirman:

“ Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang kesini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku”

Di saat ini,
Imbas kembali kisah silam
Bukalah buku catatan amal sebelum sang Malaikat berbicara tentang amalmu,
bentangkan dosa-dosamu di padang Arafah ini,
ingatlah kembali satu persatu dosa-dosa yang pernah engkau lakukan,
Semak kembali  saat waktumu yang selama ini habis di sia-sia
Atau mindamu yang sangat sibuk memperindah kehidupan dunia.

Buatlah Pengakuan yang jujur dan ikhlas,
di hadapan Allah, dipuncak Haji di Padang Arafah ini...

Hari Arafah,
adalah hari Allah dekat sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang sedang berwukuf
mendengar rintihan hambaNya dan menanti doa sang hamba

Rasululah saw bersabda :
. . . Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang di Arafah. Dengan bangga Ia bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu ?

Thursday, September 18, 2014

Kaya Di sisi ALLAH






ALHAMDULILLAH, Segala puji hanya milik Allah yang Maha Menguasai langit dan bumi. Selawat dan salam ke atas junjungan &  kekasih Allah, Muhammad s.a.w.

Di saat jemari ini menari, kita berada di penghujung bulan Zulkaedah. Beberapa hari lagi saya akan menyambut tarikh kelahiran saya dalam bulan Hijrah ie. 26 Zulkaedah. Bila diukur usia dalam kalender Hijrah, ternyata saya makin lanjut usia walaupun masih kelihatan muda jika diukur kelender masihi.

Saudara dan sahabat KHM, sesungguhnya amat  beruntung orang yang kaya raya. Apatah lagi jika Kaya  harta disertai kaya hati budi. Kadang-kadang kita melihat ukuran kejayaan dari sudut duniawi yakni karena banyaknya harta, mewahnya rumah dan canggihnya kereta. Kita “envy” dengan kemewahan kawan-kawan yang memiliki rumah banglow, kereta BMW, setiap tahun melancong ke luar negara dan kelihatan serba-serbinya senang dan kaya. 

Dalam satu program motivasi, saya pernah bertanya kepada peserta,

”Adakah anda mahu kaya?”. Boleh dikatakan 100% kata “Ya!”.  

Bila isu ini diperbahaskan, maka timbul lagi satu ayat “Saya tidak mahu kaya, tetapi saya mahu hidup senang!”

Dari sisi pandang yang lain, pernahkah kita menilai orang yang miskin sebagai kaya? Tentu pelik soalan ini....

Hakikatnya, kita terkadang lupa definisi kaya yang hakiki iaitu kekayaan individu yang tidak sepatutnya diukur dari sisi hartanya, melainkan dari segi makna disebalik kehadiran hartanya. Hartanya mungkin hadir berkat kaya usahanya, kaya ilmunya, kaya jasadnya, kaya ketrampilannya, kaya penampilannya, kaya amanahnya, kaya sebab imannya mahupun kaya kerana kesabarannya.

Secara umum ada empat ukuran kekayaan.  

Pertama kaya llmu. Ilmu  adalah kekayaan yang nilainya lebih tinggi dari kemewahan material, bahkan Allah meninggikan orang yang berilmu beberapa derajat ketinggian (rujuk  ayat Al-Qur’an di atas). Sesungguhnya, orang yang berilmu akan dihargai daripada orang yang tidak berilmu. Itupun jika ilmunya dikongsi dan dimanfaatkan. Jadi, kayakanlah diri dengan ilmu. Kelab Haji Muda (KHM) sangat menekankan ilmu dan sentiasa istiqamah dengan majlis ilmu. Jemputlah hadir ke Program Kuliah mingguan KHM (Sila rujuk facebook/kelab Haji Muda ATAU facebook/drridzwan untuk maklumat terkini program).
 
Kedua, seseorang yang kaya dari sudut lahirnya anak soleh dan solehah. Anak yang soleh dan solehah merupakan aset terbesar bagi kedua orangtua. Dalam satu hadis diriwayatkan bahwa jika anak Adam  meninggal, maka putuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat, dan doa anak yang saleh. Tetapi, anak soleh dan solehah perlu dibentuk dan dibina. Ianya sangat mencabar di alam yang tanpa sempadan ini.

Ketiga, kaya dengan  memiliki hati ikhlas dan berjiwa bebas. Kekayaan boleh juga datang dengan perasaan jiwa yang bebas, disaluti elemen ikhlas. Ianya sangat nikmat untuk dirasai. Bilal Bin Rabah r.a. menjadi kaya bilamana menjadikan sandaran Ahad! Ahad! Ahad! Dan kalimah shahadah sebagai pembentuk jiwa bebas dan ikhlas.  Dalam satu kisah diceritakan bagaimana penghuni langit tidak mendengar panggilan azan di satu Subuh dek kerana muazin melaungkan azan dalam keadaan sombong dan tidak ikhlas. Sang Malaikat berbicara apakah umat Madinah tidak solat berjamaah Subuh di hari itu? Ianya bukan sebab umat Madinah tidak solat Subuh berjamaah di masjid Nabawi, tetapi bukanlah Bilal bin Rabah  yang mengazankan panggilan solah dan al-falah.  Laungan azan digemakan oleh seorang sahabat yang memperlekehkan suara kurang merdu Bilal.  Suara merdu dan sedap bukanlah ukuran kejayaan dan kekayaan di sisi ALLAH dan petugas langit. Hati ikhlas dan jiwa bebaslah yang memenangkan keazaman untuk kaya di mata ALLAH.

Keempat,  kaya dengan Sedekah
. Setiap harta yang digunakan di jalan Allah, tidaklah akan berkurang, bahkan terus bertambah.....annuiti (KHM Dana Annuiti Akhirat). Dengan infak itulah rezeki kita akan menambah berat pahala di hari perhitungan nanti. Juga sedekah dapat membebaskan stress, membersihkan hati dan menjemput rezeki. Mungkin tidak KAYA tetapi sentiasa SENANG!

Saudara dan sahabat sekelian, ayuh usahakan untuk memasuki kelab orang kaya atau orang “miskin” tetapi SENANG!  Kayakanlah diri dengan ILMU, anak soleh/solehah, hati dan jiwa bebas dan kaya bersedekah. Biar "miskin" di mata manusia tetapi Kaya di mata ALLAH!

Allahu Akbar!