Followers- Jalinan Ukhuwah

Friday, April 17, 2015

Hamba Yang Tidak Punya Apa-Apa

Artikel Sumbangan:  Dr Ridzwan Bakar
Mac 2015
(Nota: Artikel ini telah dikongsikan di beberapa laman web).


Alhamdulilah dengan semua nikmat ALLAH buat hambaNya. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia Muhammad s.a.w, para sahabat, para syuhada’  dan ahli keluarga Baginda s.a.w.

Bersyukurlah kita kerana berada di kalangan orang-orang yang beriman.  Orang beriman hidupnya simple, tenang dan sentiasa berusaha mengukir kebahagiaan hidup untuk diri, ahli keluarga dan masyarakat.  Orang beriman akan mensyukuri kesulitan kerana kesulitan hanyalah batu-batu kecil yang tidak akan mengubah jalan kehidupan. 

Saya percaya, di saat ini, ramai rakyat nusantara khususnya dari Malaysia kini berada di Haramain, tanah suci yang dijanjikan ketenangan.  Ketenangan yang Cuma difahami oleh mereka yang berkorban harta, jiwa dan masa demi mencari pertemuan hamba dengan Pemiliknya dan  pengikut kepada Pemimpin Agung Muhammad s.a.w.

Haji UMrah dan Tanah Suci  adalah aktiviti ibadah dan lokasi di mana sang hamba mampu berfikir, menyendiri dan meneliti persediaan hari esok. Itupun jika para jamaah umrah benar-benar hadir di bumi Haramain untuk mencari sesuatu yang hilang, datang dengan ikhlas bukan datang ke Tanah Suci kerana menghabiskan cuti  dan bersuka ria. Tidak salah bersuka ria di Tanah Suci, tetapi hasil dari umrah mungkin kurang impaknya, bilamana hati turut lalai di Haramain.  

Batu-batu kerikil kehidupan tidak mampu mencairkan hati kerana batu kerikil ini sentiasa menyebukkan kita dengan ancaman hidup.  Kita disibukkan dengan urusan dunia sehingga kita larut di alam fitnah dan alpa untuk menghayati persediaan hari esok.  

 Dunia kini makin membosankan, mungkin tanda  hari pembalasan kian hampir. Manusia semakin rakus, fitnah alam maya berleluasa, manusia hipokrit makin ramai, ekonomi makin menghimpit, pemimpin semakin tamak dan korup sementara ulama dihina dan dicerca.  Manusia makin sibuk dalam alam glamour, ustaz ustazah pula bersungguh-sungguh untuk menjadi selebriti sementara ulama dan guru yang benar-benar ikhlas terpinggir.  Itulah dia batu kerikil kehidupan, perhiasan yang dicintai manusia untuk hidup dipandang dan dimuliakan.

Bila berada di Madinah, kita tinggalkan nikmat dunia,

Kita muhasabah diri dan menangis sendiri

Kita letakkan kepala serendah mungkin di karpet hijau Raudah,

kita menangis lagi di situ…..

hati hiba,  

Keimanan dan keyakinan menyelinap masuk dalam jiwa

Bila kita mengaku kita hamba dan mengharapkan rahmatNYA.


Hati kita akan mencapai kebaikan

Dan jiwa kita akan merasa keseronokkan

Bila hamparan hati diluahkan

Doa dipanjatkan

Kerana kita hamba, yang tidak punya apa-apa……


No comments: