Followers- Jalinan Ukhuwah

Monday, May 25, 2009

Mensyukuri Nikmat Allah

Insan yang gagal mensyukuri nikmat air bersih tidak mungkin akan memuji Allah jika memiliki mahligai atau kenderaan mewah. Insan yang tidak bersyukur dengan sekeping roti canai, tidak mungkin mampu mensyukuri menu makanan lazat. Orang yang kufur nikmat Allah tidak akan mampu membezakan nikmat yang banyak dengan yang sedikit.



Terlalu ramai di antara kita melakukan ’protes’ kepada Allah tanpa kita sedari. Kita salahkan Tuhan kerana tidak memberi kita rezeki yang banyak. Kita membandingkan kemewahan insan lain dengan nikmat yang kita perolehi. Ada segelintir kita pula kelihatan resah, murung dan berserabut fikiran memikirkan perkara-perkara yang tidak perlu difikirkan. Bila di tanya, mereka akan memberi respons ”Saya ok, saya sihat.” Bagaimana insan yang sihat memberi refleksi wajah yang tidak ceria? Jika nikmat kesihatan yang sedang dinikmati tidak disyukuri, bagaimana untuk kita bersyukur kepada perkara lain yang mungkin abstrak dan tidak nyata?

Kita (nota: saya) sering berjanji dengan Allah ”jika Allah memberi kita rezeki yang banyak, kita akan menginfaqkan atau sedeqahkan sebahagian harta ke jalan Allah.” Namun kita sering alpa dengan janji kita. Kita mula berkira-kira dengan limpahan rezeki yang sedikit itu. Allah telah membicarakan perkara ini dengan firmanNya

**Dan diantara mereka ada yang telah berjanji dengan Allah, ”Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami akan termasuk orang-orang yang soleh.” Akan tetapi, setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu dan berpaling dan memanglah mereka itu orang-orang yang sering membelakangkan (kebenaran)** (At-Taubah: 75-76).


MUTIARA BICARA
Jika anda pernah berjanji dengan Allah untuk melakukan sesuatu kebaikan atau menginfaqkan sebahagian rezeki ke jalan Allah, maka segerakanlah, jangan ditunggu-tunggu. Sikap tunggu menunggu akan mengundang kepada sifat ’berkira-kira’ dan akhirnya janji tidak dapat dikota. Ucapkanlah Alhamdulilah tanda syukur dengan nikmat Allah.

4 comments:

noor said...

Insyaallah akan berusaha ke arah kebaikan tersebut supaya Allah menambahkan lagi rezeki itu.

hanila said...

Salam Dr,

Sekarang saya sedang menonton Ikhtibar di Tanah Suci di saluran 1o6 Astro Oasis - Haji Muda. Suami juga ada menonton bersama, dan saya tunjukkan buku Haji Muda kepadanya. Tambah teruja untuk ke Tanah suci. Insyaalah 31hb Mei nanti kami sekeluarga akan pergi mengerjakan umrah...Doakan agar kami dipermudahkan oleh Allah s.w.t di sana.

Hajah Zainab bt Abdullah said...

Ridz,
Kak Nab dah menonton Ikhtibar di Tanah Suci tadi. Makinlah menambahkan kerinduan untuk ke Makkah & Madinah.

ridzwan bakar said...

Salam noor dan kak Nab,
InsyaAllah tidak lama lagi sampailah hajat ke Tanah Suci lagi.

Kepada hanila, selamat berangkat menunaikan umrah. Moga Allah permudahkan perjalanan dan diberi ilmu terbaik buat bekalan menuju akhirat.