Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, October 14, 2009

Dimarahi Peminta Sedeqah

Baru-baru ini media tempatan melaporkan bahawa ada di antara peminta sedeqah memperolehi kutipan RM20,000 sebulan. Subhanallah! Banyaknya.! Di dalam keadaan si pemberi sedeqah yang sesak dengan tekanan hidup, peminta sedeqah lebih kaya!

Bersedeqah adalah aktiviti yang menyeronokkan bagi sesetengah orang. Ia juga mungkin membebankan. Pengalaman dimarahi peminta sedeqah mematangkan lagi pengalaman hidup saya. Sebelum saya berkongsi kisah dimarahi peminta sedeqah (Kisah No 3) di posting ini, saya kongsikan dahulu pengalaman-pengalaman lain (Kisah no 1 dan 2).

Kisah 1 :

Ketika ‘melepak’ sebentar di Mekah Hilton sementara menunggu azan Isya’ di Masjidil Haram, saya bersembang dengan seorang warga emas berbangsa Arab. Walaupun saya tidak mahir berbahasa Arab (tahu sikit-sikit aje), saya cuba memahami butiran perkataan wanita tua ini. Seronok juga dapat sembang bahasa Arab walaupun tidak mahir. Mana perkataan yang sama-sama tidak faham, kami sama-sama ketawa. Suasana ceria refleksi kehebatan Mekah, umpama ibu dan anak yang sudah lama tidak berbicara..

Di penghujung bicara, beliau meminta 3 Riyal untuk bekalan makan malam selepas solat tarawikh. Saya menghulurkan 10 Riyal. Rakan-rakan lain yang kebetulan tiba ditempat saya lepak, membelikan warga emas ini makanan dan minuman. Terkejut warga emas ini. Doa beliau melambung-lambung buat kami. Seronok sungguh bersedeqah di bumi Mekah. Setiap sedeqah kita disusuli dengan doa si penerima.

Lain pula kisahnya di luar Tanah Haram.

Kisah 2 :-
Pengalaman berada di Indonesia memberi pengalaman yang berbeza. Memberi Rp10,000 kepada pengemis rupa-rupanya tidak mengenakkan. Si peminta sedeqah berbicara dengan saya (sambil mengendong anak kecil) “Engak cukup Pak 10 ribu rupiah.....,. ” Saya menjawab ”Kalau begitu berapa yang kamu mahu..?” Beliau lantas menjawab, ” Ya, fikir saja dong.”
Wah! Peminta sedeqah boleh demand sekarang ini. Mungkin tekanan hidup menyebabkan mereka hidup lebih perit dari kita.


Kisah No 3:-
Yang paling sedih bila dimarahi oleh peminta sedeqah (peminta derma ini berkopiah dan berjanggut...).

Di mana-mana sahaja kita pergi kita akan dapat melihat terlalu ramai pemungut derma dengan menggunakan loga Jabatan Agama, Masjid, Pusat Tahfiz dan Pusat Anak-anak Yatim. Kita juga tidak pasti mengapa perkara ini terjadi di bumi Tanah Melayu ini. Kita juga kurang pasti kesahihan peminta derma ini. Mereka berada di mana-mana, di kompleks membeli belah, di pasar malam, di stesen minyak, di Masjid, di tempat makan. Seolah-olah daifnya umat Islam Malaysia dan tiadanya regulasi. Ada juga pemungut derma menetapkan harga RM10. Jika kita beri RM1 atau RM5, mereka menyebut angka minimum derma ialah RM10! Ai,.. nak derma ikhlas pun kena ada harga siling..?

Baru-baru ini saya ditempelak oleh seorang pemungut derma di bandar Temerloh. Peminta sedeqah ini berkopiah dan sedikit berjanggut. Wajah kelihatan bermasalah dan tidak ceria. Dari jauh, lengok bahasa badan mengambarkan beliau seorang yang ego dan dominan. Ketika beliau menghampiri beberapa orang di luar kedai, saya pula sedang sibuk membalas email rasmi pejabat melalui blackberry. Fikiran ketika itu fokus kepada urusan pejabat yang saya perlu beri perhatian dan memberi nasihat segera. Bila beliau menghampiri, saya menyebut ”Terima kasih, saya ada urusan sekejap lagi saya baca surat kebenaran mengutip derma tuan.” Tidak semena-mena saya ditengking oleh pemuda berkopiah ini. Saya melihat wajah pemuda ini dengan perasaan kasihan yang teramat sangat. Di mana akhlaq seorang muslim? Beliau meneruskan rejaman dengan menyebut ”Aku datang jumpa kaupun, kau tidak mahu bagi duit. Kalau aku datang rumah kau lagilah tak kan dapat satu sen pun.” Banyak lagi perkataan yang tidak enak di sebut depan saya. Inilah akibat terlalu miskin akhlaq.

Mutiara Hidup:
Di dalam kehidupan, kita sering menghukum orang dari memahami orang. Kita perlu belajar untuk banyak mendengar dari banyak bercakap. Bersedeqah di Bumi Mekah dan Madinah- anda akan dihargai dengan susulan doa. Bersedeqah diluar Tanah Haram- anda kurang dihargai dan mungkin akan dihentam... Wallahalam.

8 comments:

Azemi Ali said...

Assalamualaikum

Terima kasih atas nasihat Dr. Ridzwan mengenai sedekah tempoh hari. Bila diamalkan baru nampak keajaibannya. Terima kasih.

Saya sekarang sedang berusaha utk mencari dana surau taman saya (taraf masjid). Walaupun saya bukan ajk tapi saya ingin membantu. Kadang-kadang agak sukar juga kerana ajk macam ada protokol dan politik sendiri. Pada pendapat saya mereka kurang agresif kerana itu dana terlalu rendah dari yang sepatutnya.

Mungkin Dr. boleh berkongsi pengalaman Dr. dalam bidang ini. Ataupun masjid Munawarah ada dana untuk disumbangkan ke tabung pembinaan surau kami.

Terima kasih.

rezeki said...

salam,

alhamdulilah amalan bersedekah itu merupakan satu amalan yg terpuji yg harus ditanamkan dalam diri kita dan anak-anak kita

namun sekarang , ada individu yang telah menyalahgunakannya amalan terpuji itu utk kepentingan yang hanya Allah sahaja mengetahuinya

sepatutnya berapa jumlahnya tidak penting, yg penting keikhlasan si pemberi

mamasherry said...

walaupun ada pengalaman pahit seperti kisah no3, hopefully tidak menjadi halangan untuk kita terus bersedekah.. insya allah balasan dari Allah tetap kita dapat selagi kita ikhlas. kalau yang meminta itu menipu atau sebagainya, biarlah itu antara mereka dengan Allah...

inamohamed said...

Saya selalu percaya apa yg Allah berikan kpd kita sebenarnya ada hak org lain yg perlu kita infaqkan. Adanya fakir & miskin sebagai wadah utk kita beribadah kpdNya.

2 hari lepas saya ke pejabat pos utk menyimpan sedikit wang gaji. Terdpt sepasng suami isteri muda dan seorang anak kecil(mungkin 2-3 bulan)sedang menunggu giliran utk mengeluarkan duit ASB. Secara tak sengaja, saya terlihat amaun yg ingin dikeluarkan ialah RM30. Hati begitu tersentuh dan agak terganggu fikiran saya memikirkan tentu pasangan ini berada dlm kesempitan. Berapa lamakah RM30 dpt bertahan? Secara perlahan saya masukkan sedikit wang ke dlm sampul raya dan menghulurkan kpd pasangan tersebut utk kegunaan anak mereka.

Sehingga kini saya masih membayangkan kehidupan mereka yg susah dan ia betul2 memberi keinsafan kpd saya utk berbelanja bagi perkara2 yg asas sahaj.

Ridz said...

Salam Azemi,
InsyaAllah nanti saya cuba bantu.

Ridz said...

Salam rezeki dan mamasherry,
Bersedeqah kena ikhlas. Biarlah apa peminta sedeqah atau org sekeliling nak cakap. Kita cuma cari redho ALlah.

Ridz said...

Salam ina,
Simpan duit gaji kat Pejabat Pos... tidak menunggu lama ke? Tapi tak pe dapat pahala sedeqah dgn memberi duit raya kepada anak pasangan tersebut. Tersentuh hati saya dengan kisah RM30 ni. RM30 mungkin kurang nilainya buat kita, tetapi mungkin bernilai tinggi di mata insan lain. Saya baru balik klinik, bil sekali ke klinik RM30 tak cukup.

m.q said...

sedih jugak bila baca cerita sdri ina mohamed