Followers- Jalinan Ukhuwah

Tuesday, December 1, 2009

Redho Dengan Ketetapan Tuhan

”Dr, bila saya buka blog tuan, saya hampir menangis kerana mendengar lagu Menanti di Alam Barzakh. Saya rasa hidup saya tidak lama kerana saya disahkan mendapat kanser.” Itulah ungkapan ringkas seorang wanita lewat usia 40an kepada saya baru-baru ini.

Mudah untuk kita berbicara ”Redholah dengan ketetapan Tuhan..” Kita tidak berhadapan dengan masalah mereka, tentu sekali kita tidak mengerti perasaan mereka. Mereka juga ingin hidup gembira sebagaimana insan lain. Bila mereka memikirkan kematian, sudah tentu mereka memikirkan suami dan anak-anak kesayangan.

Tiga bulan lepas seorang pengurus pembantu saya kehilangan sepupu akibat kanser. Usia awal 30an, beliau menemui Ilahi dengan meninggalkan dua anak kecil dan suami yang masih memerlukan kasih sayang isteri. Cerita-cerita begini sudah hampir biasa kita dengar.

Bila sentuh bab kanser, ramai yang takut. Kematian seolah-olah sudah hampir bagi pengidap kanser. Wanita lewat 40an ini telah menerima pampasan VSS. Namun beliau berbicara dengan nada yakin.

1. Saya lebih tenang dan bahagia selepas VSS

2. Beliau berpesan kepada saya, ”Tidak perlulah kita bekerja kuat siang malam untuk syarikat. Bila kita sakit, tiada siapa peduli hal kita. Saya menyokong tulisan Dr dalam Berita Harian bulan lalu bahawa bila kita sakit kita akan tanggung sendiri. Tiada siapa yang akan peduli kecuali keluarga kita sendiri.”

3. Saya kini lebih bersedia untuk bertemu Ilahi. Saya tahu saya tidak akan hidup lama. Saya kini lebih banyak masa untuk suami tercinta, anak-anak tersayang, lebih banyak waktu untuk ke Masjid dan surau dan mula membuat kerja-kerja amal serta bersedeqah.

Hati saya amat tersentuh dengan perkongsian muslimah ini. Saya dan seorang lagi rakan hampir-hampir menitis airmata mendengar luahan 'kehidupan senja' ini.

Diakhir perbualan saya nyatakan, jika wang masih banyak duduklah di Mekah berdoa moga Allah sembuhkan penyakit. Bukan itu sahaja, pahala yang selama ini tertinggal mungkin boleh dikumpul kembali dengan rahmat Tuhan. Juga mohon moga Allah ampunkan segala dosa-dosa. Kembalilah bersih menuju fitrah seperti kita kembali dengan fitrah di Eid-Fitr. Jika ada kuasa, pergilah Haji dan buat umrah tahun hadapan. Eid Adha menjemput hati kita mengagungkan kebesaran Allah.

Kematian adalah pasti, namun hidup juga adalah pasti. Kehidupan sudah berada di hadapan mata, namun kematian mungkin belum tiba masa. Fikirkan perjalanan hidup yang masih tinggal ini dan sediakanlah bekalan untuk hari esok. Ustaz saya berpesan ”Insan yang diberi sakit sebelum mati adalah insan yang beruntung. Mereka diberi signal oleh Allah bahawa perjalanan ini tidak lama. Rugilah mereka yang mati mengejut, kerana signal yang diberi tidak jelas dan persediaan pula mungkin ditahap zero.

Kepada muslimah ini, moga Allah memberkati segala usaha dan menerima amalan beliau. Buat kita yang sihat dan segar bugar ini, Eid Adha menuntut kita berkorban. Justeru berkorbanlah apa sahaja demi membawa misi Islam, buat bekalan lanskap teratak barzah yang menanti....

4 comments:

terimakasih said...

Hendak kata takut bila sebut hal kematian, ada juga. Hendak kata tidak hendak ambil tahu hal kematian, ada juga. Tapi hakikat sebenarnya saya juga belum bersedia kerana masih jauh lagi perjalanan ini. Bekalan masih lagi terumbang ambil.Ya Allah tolong lah hambaMu ini.Pilahlah kami untuk syurgaMu.

rezeki said...

salam dr,

berat mata memandang , berat lagi bahu memikul, namun alhamdulillah, sekiranya kita semua sentiasa ingat akan kematian dan sentiasa menambah bekalan kita utk dibawa ke negari akhirat yg benar seperti janji Allah

saya juga berfikiran sepeti ustaz dr dan beranggapan bahawa org yang sakit sebelum kematiannya sungguh beruntung krn dia masih sempat melakukan sesuatu sekiranya dia mahu utk bekalan dibawanya nanti

tapi kalau meninggal secara mengejut...

itu semua ketentuan Allah

sebulan lps, seorg sahabat saya meninggal dunia akibat barah hati thp empat yang hanya diketahui sebulan dr tarikh pemergiannya ke rahmatullah, itulah ketentuan Allah kepada setiap hambanya yg tak tercapai dek akal kita walaupun sebesar zarah jika utk difikirkan

ina said...

Mati adalah pasti. Hanya masanya sahaja yg tidak kita ketahui. Org yg paling bijak adalah yg ingat pd mati. Kita jgn takut mati dan jgn berdoa utk mati, tetapi rindu kpd kematian. Letakkan kematian sebagai matlamat kehidupan. InsyaAllah, kita akan sentiasa bersedia apabila malaikat maut dtg mencabut nyawa.

ridz said...

salam noor, rezeki dan ina,

Moga Allah memberi kita husnul khatimah dan perjalanan damai menemuiNya satu hari nanti.