Amalan cium dan peluk mungkin janggal buat kita. Kita Cuma peluk dan cium pada majlis khas seperi cium mak, ayah, suami/isteri dan anak2 di hari Ulangtahun kelahiran, hari ibu, hari Raya Eid- Fitri, Hari konvokesyen atau memeluk jamaah Haji.
Semasa saya sekolah menengah, saya memasuki pasukan kadet sekolah. Hari Pertama saya dan rakan-rakan sudah dihukum kerana buat kesilapan kecil semasa berkawat. Kesilapan berkawat berlarutan hampir sebulan. Akibatnya, saya dan rakan-rakan diminta oleh Cikgu Alias Kongo untuk berlari ke tengah padang dan memeluk serta mencium pokok. Ketika arahan diberi, hujan mula turun renyai-renyai. Hampir semua rakan-rakan segera melaksanakan arahan kecuali saya.
Saya dimarahi cikgu kerana melanggar arahan. Saya berhujah ketika itu,
”Mengapa cikgu memaksa saya memeluk dan mencium pokok yang tidak ada nilai buat saya? Jika cikgu suruh saya berlari ke rumah dan memeluk emak dan menciumnya, saya akan segera berlari pulang untuk melaksanakannya.” Akibat berhujah, saya dihukum lagi. Pada minggu ke empat, saya meletakkan jawatan dalam kadet sekolah. Pengaruh saya dan ’politik sekolah’ memberi saya keyakinan yang saya tidak akan dihukum oleh Pengetua. Pengetua yang garang pula, tidak mengatakan saya betul dan tidak pula kata saya salah. Kes dengan sendirinya berhenti di situ.
Tidak ramai antara kita yang mampu menzahirkan kasih sayang dengan peluk cium. Ketika saya bertugas di luar negara, saya melihat bagaimana intim pasangan warga emas Barat yang begitu akrab memeluk suami/isteri masing-masing. Mereka kelihatan bahagia dan menjadikan sentuhan sebagai pendamai jiwa. Bila ditanya usia mereka, mereka bangga menyebut ”I am ++ 70 years old”. Dalam usia sebegini mereka masih menghargai pasangan masing-masing. Mereka bergandingan tangan di car boot sales, di taman atau di pusat bandar. Itu adalah budaya yang mereka cipta dan laksanakan.
Berlainan pula dengan jamaah haji warga emas orang kita. Mereka kelihatan bagai kurang mesra dan tidak mampu melahirkan kasih sayang. Isteri ditinggalkan suami kerana suami tidak mahu melayan kerenah isteri. (Nota Ridz:- Maaf tidak semua begitu).
Ketika saya melanjutkan pengajian Masters di UK 10 tahun lalu, anak sulung berusia 5 tahun saya hantar ke Nursery berhampiran rumah. Satu perkara yang saya belajar, guru yang bernama Anne dan Christine akan memeluk dan mencium anak perempuan saya setiap kali datang dan setiap kali pulang.
Pengalaman ini telah membuka minda saya. Jika mereka boleh memeluk dan mencium anak saya, mengapa saya tidak melakukan perkara yang sama? Maka saya mahu berubah. Dan sejak 10 tahun lalu, setiap hari saya akan memeluk ahli keluarga sebelum saya ke tempat kerja. Saya mendisiplinkan diri saya dan ahli keluarga untuk solat berjamaah maghrib bersama dan akan memeluk ahli keluarga setiap kali selepas berdoa solat Maghrib.
Dari kajian rambang yang saya lakukan, Cuma 30% sahaja orang-orang kita yang menjadikan budaya memeluk ahli keluarga sebagai budaya hidup. Saya mengucapkan tahniah jika anda sudah melakukannya. Jika belum, tips berikut bermanfaat:-
1. Mulakannya sekarang
2. Peluk dan cium ahli keluarga dengan ikhlas
3. Doakan dan beri kata-kata perangsang kepada mereka.
4. Ajar anak-anak kecil ‘adab/protokol Melayu’. Mulakan dari anak-anak memeluk umminya, ayah, abang/kakak yang tua hingga yang akhir.
5. Suami jangan lupa memeluk isteri depan anak-anak selepas solat supaya menjadi contoh positif kepada anak-anak.
6. Jika suami tidak melakukannya atau terlupa, ingatkannya
6. Jika anda seorang anak, peluklah ayah/ibu lepas solat atau setiap kali menziarahi beliau.
Saya menyakini satu perkara. Jika kita boleh mengujudkan budaya ini, maka kita mampu membawa budaya yang baik di Tanah Suci. InsyaAllah tidak akan timbul keadaan suami menengking isteri, suami-isteri membuat hal masing-masing atau suami tinggi ego di Tanah Suci.
Moga Allah memberi kita akhlaq terbaik sebagai model kepada masyarakat. Amin!
8 comments:
entry ini membuat saje berfikir sejenak...tips yg sgt berguna & akan diamalkan selalu insyallah
Salam Dr Ridz,
benar tu...kebanyakkan orang kita tak mesra dgn pasangan bila umur meningkat...tapi kak nab akan cuba merubah persepsi ini!! :))
salam..
betul tu Dr..saya setuju!
amalan ni boleh menyejuk hati yang kusut..atau rajuk.
walaupun masih ada rasa tak puas hati pagi2 kalau pegi kerja tanpa dipeluk rasa macam kekurangan sesuatu....tak senang duduk.
tapi kelemahan saya adalah nak peluk ayah..mak saya ok lagi..ayah memang susah sikit..sebab biasanya ngan ayah cerita benda-benda yang serious je..nampaknya nak kena ubah ni..
Salam Farra,
InsyaAllah cuba usahakan yang terbaik. Kadang2 suami lupa, jadi ingatkan dia.
Salam Kak Nab,
Sejak bersara banyak cerita kueh dan makanan. Kueh dan makanan juga boleh dijadikan modal meneruskan kemesraan keluarga. Tahniah.
Salam Hanim,
Untung Hanim masih ada ayah. Saya dah tak de. Apapun ayah memang agak serius kerana terlalu banyak mereka berfikir untuk kita. Sejak lahir sampai kita dah kahwin, ayah tetap memikirkan kita.. mungkin sebab tu ayah kita sedikit serius.
Jika susah nak ubah ayah, Kitalah yang perlu berubah. Good luck.
salam Dr Ridz...
entry yg baik...... memberi pelukan kepada anak2 yg masih kecil mmg mudah tapi sukar bagi anak remaja lelaki... remaja di usia begini lebih suka dalam dunia sendiri
Dr,
Sedari kecil, saya telah diajar oleh mak abah peluk dan cium sebelum masuk tidur. Minta maaf dan halalkan makan minum. Dan sampai sekarang kami adik beradik tak kira lelaki perempuan akan peluk dan cium abah dan mak kami. Kami juga akan peluk cium sesama sendiri bila berjumpa. Kekadang ada yang hairan kami ni macam tak malu je, tapi itulah amalan yang kami lakukan terhadap mak, abah dan ibu/bapa sedara semahram.
Dan saya pratikkan sehingga kini bersama anak2 saya.
-intan-
Post a Comment