Alhamdulilah kini kita telah melangkah ke Hari ke 18 Ramadan. Sungguh pantas masa berlalu.
Dalam kepantasan itu, hati kita masih leka dan kita masih lalai memburu kehidupan yang seolah-olah tiada penghujungnya. Syurga yang ALLAH janjikan buat kita tidak dapat benar-benar kita rasai kecuali insan yang mahu berfikir akan keHEBATan ALLAH.
Adakah anda perasan, di setiap pertengahan dan akhir 10 Ramadan suasana malam agak berlainan? Cuba anda bangun sebelum sahur dan luangkan masa menjengok di luar tingkap rumah. Anginnya dingin, bertiup tenang dan kedamaian hati kian terasa. Mungkin itulah sebutir dari butiran-butiran manik Syurga untuk kita rasai di mukabumi ini. Tentu Syurga ALLAH lebih-lebih tenang, damai dan dingin. Ketenangan ini lebih dirasai oleh insan-insan yang bangun bertahajud, memohon keampunan ALLAH dan menangis memikirkan kelalaian diri.
Di dalam beberapa jemputan tazkirah Ramadan di MAsjid dan institusi, saya menekankan akan kepentingan kita segera berlumba-lumba memohon maghfirah ALLAH. Entri terdahulu saya petik satu ayat Qur’an mengenai diri kita yang perlu SEGERA mencari maghfirah ALLAH. Ianya perlu dilakukan SEGERA kerana sikap bertangguh hanya merugikan diri. Ayat tersebut juga menekankan supaya kita bersegera mencari Syurga ALLAH yang seluas langit dan bumi itu, keluasan yang tidak mampu akal manusia fikirkan. Dan Ramadan menjanjikan maghfirah dan Jannah iaitu keampunan, rahmat dan syurga.
Bila keampunan telah kita mohon, maka rahmat dan kasih sayang ALLAH semakin bertambah buat hambaNYA dan sudah tentu syurga ALLAH mampu kita miliki.
Saya menasihati diri saya supaya segera mencari keampunan dan syurga ALLAH ini.Lantaran, Fasa seterusnya (10 akhir Ramadan), tip berikut boleh dilakukan:-
1. Kita perlu tidur awal supaya dapat bangun jam 3.30pagi atau 4 pagi.
2. Jika bekerja, ambil cuti akhir 10 Ramadan. Atau jika bos okay, bincang dengan bos untuk masuk pejabat lewat sikit contohnya jam 10 pagi dan ganti kembali masa yang telah diambil.
3. Ambil sedikit waktu siang untuk tidur sebentar.
4. Kurangkan aktiviti malam dan menonton tv.
5. Usahakan solat Tarawikh 20 rakaat.
6. Bersama menghadiri program qiyamulail di masjid-masjid.
7. Banyakkan sujud syukur.
Wallah’alam.
No comments:
Post a Comment