Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, August 4, 2010

Kita Memang Begitu....

Nota: Kita sedang dalam perjalanan menuju destinasi abadi. Kita mudah tergelincir, kerana kita memang begitu....

Syaaban bakal melabuhkan tirai. Ianya tidak akan hadir lagi melainkan ALLAH yang maha penyayang dan pemurah mengizinkan kita bernafas lagi. Kita juga mungkin alpa untuk berdoa supaya ALLAH melanjutkan usia dan mengizinkan diri untuk bertemu Ramadan tahun ini serta Rejab/Syaaban tahun hadapan.

Bila saya bertanya kepada beberapa insan mengenai doa (random sampling), 85% menumpukan doa untuk menjadi kaya dunia dan mengakhiri doa dengan permohonan kejayaan dunia dan akhirat. Hakikatnya, kita akan masih begitu jika doa kita berterusan tanpa ada doa khusus. Rupa-rupanya terlalu banyak yang kita mahu minta dari Rabbul Jalil. Malu rasanya untuk memohon terlalu banyak perkara duniawi di dalam keadaan amalan kita pula tidaklah sehebat mana.

Yang nyata, Kita adalah golongan yang tidak tahu malu. Kita menumpang di bumi Tuhan tetapi mahu mendapat layanan bertaraf istana. Kita melanggar undang-undang Tuhan dan kadang-kadang menafikan perintah Tuhan namun masih menyimpan hasrat bertimbun dengan dorongan nafsu duniawi.

Kita tergapai-gapai mencari ALLAH ketika susah, dan sedikit lupa bila kita sedikit senang. Itulah ciri kita sebagai manusia. Kita tersangat sibuk dengan hal ehwal duniawi dan lalai menghitung masa yang mengengsot pergi. Kita tidak merintih kerana hati dan jiwa kita membatu.

Di saat Ramadan bakal tiba, Jualan Mega Aidil Fitri sudah mula dicanang. Kita akan masih begitu…, bakal kecundang dengan shopping Raya. Hutang duniawi pula akan mula bertambah kerana nafsu perhiasan Raya dan hutang dengan ALLAH juga mungkin bertambah kerana kita tidak mampu memaksimumkan peluang Ramadan.

Syaaban bakal melangkah pergi dan meninggalkan kita. Maka perbanyakkan istighfar akan mendamaikan jiwa. Istighfar juga menjemput rezeki memasuki laman hati dan dompet kita.
Di dalam satu kisah diceritakan bahawa Rasululah s.a.w pernah menjemput para sahabat menghampiri beliau, lantas Baginda bersabda bermaksud: "Hampiri mimbar!" Lalu kami semua menurutinya. Ketika Baginda melangkah ke tangga pertama, Baginda mengatakan, “Amin.” Apabila melangkah tangga kedua, Baginda mengatakan, “Amin.” Begitulah apabila melangkah tangga ketiga. Lalu kami bertanyakan maksud perbuatannya itu, Baginda menjawab: “Aku didatangi Jibrail mengatakan kepadaku: “Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan.” Aku pun menyahut dengan berkata, “Amin.” Di tangga kedua Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu,” aku pun menyahut, “Amin.” Di tangga ketiga Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang uzur atau seorang daripada mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga.” Aku pun mengatakan, “Amin.”

Di penghujung Syaaban ini (hujung minggu ini), blog ini menyarankan akan kita sama-sama menziarahi kedua orang tua (jika masih ada) atau menziarahi perkuburan mereka sebagai tanda ingatan dan sayang kita kepada mereka. Sedekahkan Al-Fatihah, bacakan Qur’an dan buatlah tahlil (atau join program tahlil di Masjid/surau) dan sedekahkan amal kebaikan untuk mereka.

Ya, kita masih begitu kerana kita mudah lalai dan alpa...

5 comments:

alihassan said...

Salam Dr.
Satu perkongsian ilmu yang bernilai. Insan mudah lupa apa yang tersirat tapi terkesima dengan apa yang tersurat. Semuga ramadhan yang mendatang akan lebih mendekatkan kita kpd pencipta kita.
Amin

Naz Mohamed said...

Salam Dr,

Entah mengapa membaca n3 Dr kali ini timbul 'semacam' perasaan yg susah nk diucapkan. Mungkin terkenang suasana berpuasa di Tanah Suci semasa mengerjakan umrah pd tahun 2004. Masa dipenuhi dgn amal ibadat. Manakala di tanah air, sedih & bosan melihat pelbagai promosi berbuka puasa & raya.

p/s Alhamdullillah, mak & ayah serta mak & ayah mertua keempat2nya masih ada lagi.

Anonymous said...

Assalamualaikum Dr.

Terima kasih dgn perkongsian ilmu ini. Terima kasih ya Allah.


Kak Nor.

H@nn@H said...

salam dr.
selamat berposa

Anonymous said...

Salam prof, saya peminat dan pembaca silent prof,ingin mengucapkan ramadan al mubarak buat pro sekeluarga.