Followers- Jalinan Ukhuwah

Saturday, October 30, 2010

Kita Masih Jauh...#1


“Wan, bosanlah hidup!” Tiba-tiba tiga patah perkataan ini muncul di peti suara hanfon saya. Belum sempat saya menjawab panggilan rakan saya ini, perkataan ini muncul pula, “Bukankah lebih baik jika tiap-tiap hari adalah hari-hari dalam bulan Ramadan!” Satu ungkapan yang menarik untuk saya selitkan di entri kali ini.

Perjalanan hidup sememangnya meletihkan. Hampir semua rakan-rakan menyebutkan ungkapan yang sama. Bagi sesetengah hamba ALLAH, rutin kehidupan agak membosankan. Isnin-Jumaat bergelut dengan masa mencari rezeki dan Sabtu-Ahad pula masa yang menyeronokkan, boleh istirehat, shopping, ziarah ahli keluarga dan rakan-rakan.

Hari Jumaat adalah waktu yang dinantikan bukan kerana meraikan ‘Hari Raya Mingguan Muslim’ tetapi berputiknya ‘weekend mood’. Sentimen ini bersifat universal, bukan sahaja masyarakat kita tetapi hampir semua manusia akan merasa lega bila Jumaat mengeyitkan mata.

Langkah-langkah menghimpun harta , glamor dan pangkat menjadi buruan hampir setiap insan. Al-Qur’an tidak menafikan kehendak kita yang amat mencintai perhiasan dan kemewahan dunia. Itulah dia tabiat dan ciri manusia.

Dalam kita sibuk dengan urusan duniawi, rupa-rupanya kita masih jauh. Pertama, hati kita jauh dari mengingati kematian dan persediaan Akhirat kerana terpaksa menghitung masa mengejar impian duniawi. Kedua, sejak Ramadan pergi, kita kehilangan sesuatu yang berharga. Solat berjamaah di Masjid semakin susut, ukhuwah yang dipupuk melalui solat tarawikh seakan-akan sepi, komitmen ibadah makin menurun dan kekuatan untuk membaca Al-Qur’an tiba-tiba hilang. Disiplin untuk kembali awal ke rumah selepas waktu kerja di bulan Ramadan, mula kian kurang diberi perhatian. Tabung-tabung masjid pula mengalami kemerosotan melebihi 30%.

Cuba kita lihat diri kita. Adakah kita risau dengan kesihatan, perubahan fizikal, banyaknya uban, boroinya perut, licinnya rambut dan kedutnya kulit? Perubahan fizikal ini menunjukkan kasih sayang ALLAH kepada kita. ALLAH memberi pelbagai ingatan untuk kita kembali ke jalannya. Perubahan ini juga adalah tips betapa hampirnya malaikat maut dengan kita.

Anak-anak muda kita juga kelihatan masih jauh. Media massa memanaskan lagi situasi generasi muda yang hilang pedoman hidup. Bagi anak muda, nikmat duniawi mahu dimaksimumkan dan hiburan menjadi keutamaan. Harapan ibu/ayah dan ummah tidak dipandang serius. Jatidiri kian rapuh. Ini adalah realiti akibat gelombang TV, internet, handfon dan pusat-pusat hiburan.

Sememangnya kita masih jauh dalam banyak aspek. Jauh dari kekuatan Ruhiah dan terpinggir dari kualiti hidup. Kita masih jauh dari bumi Mekah dan Madinah. Kita amat jauh dengan generasi awal pemuda/i MAdinah. Hati kita juga terasa sayu dan jauh dari Mekah & Madinah. Tidak pasti bila bisa hadir lagi.

Saya menilai kelemahan diri dan menyatakan kepada rakan saya, “Ramadan masih jauh, kita masih jauh namun ALLAH amat hampir dengan kita. Maka, hargailah apa yang hampir dengan kita dan manfaatkan kesempatan yang ada kerana kita tidaklah jauh mana di dalam perkiraan ilmu ALLAH yang MAHA MENGETAHUI itu”.


Thursday, October 21, 2010

Nilai Sebatang Pensil/Pen...

Foto: Kita mungkin tidak dapat menilai pensil patah ini...?

Sudah hampir sebulan saya bertugas dipersekitaran baru. Rutin hidup juga berubah dengan signifikan. Tiada lagi tekanan kesesakan jalanraya dan masa yang ada pula lebih produktif. Cuma kos TOL sehari RM7.00! Mesyuarat pula lebih fokus dan ‘straight to the point’, tiada perbincangan yang membuang masa. Yang nyata, masing-masing tekun dengan amanah yang dipikul, tiada gosip-gosip negatif dan kutuk mengutuk (mungkin saya belum Nampak lagi kot..). Doa dan harapan saya, tiadalah nilai negatif di tempat baru ini.

Sebelum ini, mesyuarat sahaja tidak kurang dari 4 kali sehari dengan berbagai isu yang sebenarnya boleh diselesaikan oleh pegawai bawahan sahaja. Agaknya itulah yang dikatakan ‘High-Income Economy’ iaitu mesyuarat tiada penghujung dengan produktiviti dan efisiensipun entah ke mana!

Pun begitu, penulisan buku Haji Muda ke-2 masih perlahan. Banyak perkara yang perlu dilakukan di tempat baru, menumpang sementara dipinggiran dunia ini. Persediaan Kampung Akhirat masih banyak yang perlu ditingkatkan. Antara perkara yang melalaikan kita ialah bab sadaqah.

Pagi tadi, saya melakukan proses 3S bagi menambahkan lagi keceriaan bilik. Bahan-bahan yang tidak perlu saya masukkan dalam kotak untuk dibuang. Alatulis yang tidak boleh digunakan pula saya buangkan dalam bakul sampah. Seperti biasa, setiap pagi pencuci pejabat berbangsa India akan mengetuk bilik saya jam 9.30 pagi. Soalan rutin beliau ialah “Dr, nak mop bilik ke?” Dan jawapan biasa saya ialah “Ya, silakan.” Selepas melakukan tugas dan mengangkat kotak/sampah di bilik saya, perempuan India tua ini beredar dan meneruskan tugasnya yang lain.

Ketika saya menuju ke lif jam 11.00 pagi, perempuan tua ini sedang mengumpul semua pen/pensil yang saya buang dan mengelapnya. Beliau cuba menulis menggunakan setiap satu pen/pensil tersebut. Bila beliau melihat saya memerhatikannya, beliau berkata “Dr, pen dan pensil yang dibuang ini masih boleh pakai, kenapa Dr buang?” Saya menjawab “Ya boleh pakai tetapi tidak bagus dan kualitinya tidak baik.” Beliau lantas berkata,” Dr, saya ambillah untuk bagi anak-anak saya. Tentu mereka gembira dapat pen/pensil sebegini.” ALLAHUAKBAR! Tersentuh hati saya. Maksudnya, selama ini anak-anak beliau tidak memiliki perkara asas untuk belajar..?

Saya beristighfar panjang di dalam lif. Hati saya benar-benar tersentuh. Saya mohon ampun dari Ar-Rahim jika saya termasuk di dalam golongan insan yang tidak bersyukur dengan nikmatnya.

Di dalam hidup, kadang-kadang kita tidak sedar perlakuan diri. Kita menolak satu perkara atau benda semata-mata untuk memenuhi ‘ego needs’ atau ‘standard’ hidup yang kita tetapkan. Atau kita membeli perkara-perkara yang tidak perlu bagi memenuhi ‘standard kita’ sedangkan ramai lagi insan yang terpaksa membanting tulang untuk memenuhi ‘basic needs’.

Setelah urusan saya selesai di sebelah petang, saya kembali semula ke bilik dan mengambil hampir semua alatulis yang ‘ada standard’ untuk saya serahkan kepada perempuan tua ini. Biarpun orang tua ini bukan ISLAM, beliau adalah hamba ALLAH yang mempunyai hak untuk saya sempurnakan. Saya nyatakan kepada beliau “Ama, terima kasih kerana memberi saya sedikit pengalaman hidup hari ini.” Beliau terpinga-pinga dan tidak faham apa yang sedang berlaku sambil memegang alatulis baru ‘yang ada standard itu’ . Saya tegaskan, “Berikan alatulis ini kepada anak-anak kamu kerana mereka lebih memerlukan dari saya. Saya Cuma menumpang dipinggiran dunia High-Income Economy (HIE) ……..”

Tiada gunanya kita menuju HIE jika perkara asas inipun tidak mampu dibeli oleh warga marhain. Warga marhain Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dll masih memerlukan keperluan asas untuk hidup. Jika kita mampu membantu, menunjukkan akhlaq Islam dan membentuk keadilan Islam, nescaya ISLAM akan cepat subur di Negara tercinta ini.

Adakah ‘High-income economy’ bersandarkan kapitalis akan melebarkan lagi jurang perbezaan ekonomi orang kaya dengan golongan miskin?

Yang pasti, ALLAH YANG PEMURAH itu mahu Kita selalu membantu dan berkongsi kerana kita Cuma menumpang di pinggiran dunia ini. ….

Alhamdulilah & Terima kasih ALLAH kerana memberi saya pengalaman kecil yang bernilai tinggi. …

Saturday, October 16, 2010

High Income Economy

(Nota: High-Income Economy tidak menjanjikan kita memiliki banglo ini).

Anda tentu gembira bila pemimpin negara atau media massa mewar-warkan perkataan ‘high-income economy’. Saya tidak mengambil perhatian serius mengenai perkataan tersebut walaupun pernah di tanya oleh rakan-rakan dan orang-orang yang hampir dengan saya. Bagi saya, HIE tidak membawa makna jika rakyat marhain tertekan, orang melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya dikelilingi hutang dan keperluan asas kian menekan.

Saya amat perihatin bila ramai insan bertanya:-
“Bolehkah saya pergi Haji atau Umrah jika gunakan wang pinjaman/hutang?”
“Bagaimana saya hendak pergi Haji pada usia muda sedangkan tekanan hidup melampau dan kredit kad menjadi sahabat setia saya?”
Baru-baru ini rakan saya berbangsa Cina menyebut "Camne nak hidup Wan, kos hantar seorang anak ke nurseripun sudah mencecah RM600 sebulan! itu baru seorang anak!"

Persoalan yang kemudian berligar diminda saya ialah “Adakah HIE dapat membantu muslim SEGERA menunaikan Haji?”

Pembentangan Belanjawan 2011 semalam, membuka hati saya untuk berkongsi sedikit salah-faham masyarakat kita berkaitan HIE. Ramai yang berpendapat, HIE bermakna rakyatnya akan hidup senang dan mewah kerana rakyat juga akan mendapat pendapatan atau gaji yang tinggi. Secara logiknya memanglah begitu, bila Negara mencapai HIE, rakyat juga sepatutnya berpendapatan tinggi. Namun dari sudut implementasi, ianya lain pula. Kita lihat Negara HIE seperti USA. Mereka berada di ranking No 17 dengan Gross National Income (GNI) $47,250, namun bilangan rakyat miskin dan yang tidak bekerja juga berada ditahap yang merisaukan.

Dari sudut lain, definisi HIE yang dinyatakan oleh Bank Dunia ialah Negara yang memenuhi Gross National Income Per Capita USD12,196 pada tahun 2009 dianggap telah mencapai taraf HIE (Sila Rujuk website World Bank). Ini bermakna, Malaysia masih jauh untuk mecapai tahap ini dan usaha kerajaan perlulah mendapat sokongan rakyat.

Cuba lihat di mana kita di mata ranking dunia (Ekstrak Data World Bank 20 Sept
2010). Data berkaitan Gross National Income (GNI 2009).

Singapore $37,220 Ranking No 33
Israel $25,740
South Korea $19,830
Saudi $17,700
Malaysia $7,230 Ranking No 89

Mengikut ranking ini, Malaysia berada setaraf dengan
Negara seperti Mauritus, Montenegro, Botswana dan Panama!! Haa! Setaraf dengan Botswana....?



HIE Strategi adalah satu usaha terbaik kerajaan namun ianya tidak akan berhasil jika circulation of wealth hanya kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Projek-projek mega tidak akan memberi impak terus kepada rakyat marhain dan golongan pertengahan.

Bagaimana rakyat untuk mencapai tahap hidup selesa bila cukai pendapatan masih tinggi, dikelilingi oleh TOL, berbagai-bagai cukai dikenakan dan basic needs seperti api dan air berada pada kadar tariff yang agak membebankan?

Budget 2011 dibentangkan semalam tidak akan banyak membantu golongan marhain dan grup middle-income untuk meningkatkan kualiti hidup. Cuba kita lihat persoalan berikut:-

1. Mengapa Cukai Pendapatan Persendirian tidak diturunkan dalam keadaan rakyat tertekan dengan peningkatan harga barang?
2. Rakyat mengharapkan ‘grand-plan’ penghapusan TOL bukannya zero-growth TOL bagi tempoh 5 tahun mendatang.
3. Apakah impak kepada rakyat marhain jika UEM dan EPF mengambil alih PLUS?
4. Mengapa Cukai Perkhidmatan dinaikkan dari 5% ke 6% dan melibatkan perkhidmatan penting rakyat seperti restoran dan perkhidmatan hospital?
5. “Bonus RM500” kepada pegawai kerajaan amat minimum jika dilihat pengalaman mereka yang terpaksa berhutang setiap kali musim persekolahan anak bermula.

Dari perspektif lain, saya menyokong penuh usaha agresif kerajaan dalam menjayakan misi ‘International Islamic Finance Center’ dan menjadikan Malaysia hub Islamic Finance dunia. Komen saya, janganlah sampai Islamik Bank di Malaysia di barisi oleh orang-orang bukan muslim-mukmin untuk memimpin Islamic Banking/Finance. Adakah Malaysia ketandusan Muslim untuk memimpin atau menjadi pegawai kanan Islamic Banking/Finance? Matlamat mutlak Islamic Finance ialah mengejar mardhatillah.

Rumusan, Budget 2011 tidak dapat merungkai persoalan “Bolehkah saya pergi Haji pada usia muda? ” jika rakyat masih tidak mampu meningkatkan savings/investment atau masih bergantung kepada kredit kad untuk hidup.

Wallah’alam.

Wednesday, October 13, 2010

Cinta Yang Ditinggalkan



Pernahkah anda meninggalkan sesuatu yang anda cintai…?

Setiap kita mempunyai sesuatu yang kita cintai, ianya mungkin bersifat personal. Kita mencintai rumah kita, kereta kita, anak-anak, ayah/ibu, suami/isteri dan mungkin juga rakan-rakan. Kita mempunyai cara tersendiri untuk mengukur nilai cinta tersebut.

Ketika remaja dahulu, kita mungkin pernah merasai perpisahan dengan mak/ayah/adik-beradik kerana terpaksa meneruskan perjalanan hidup memasuki asrama atau meninggalkan mereka untuk belajar ke luar Negara. Mak/ayah/adik-beradik hatta warga kampong bangga dengan kejayaan anda. Namun emosi Cinta Yang Ditinggalkan ini tidak sama dengan Cinta Yang Ditinggalkan oleh bakal tetamu ALLAH.

Dalam satu tazkirah Haji baru-baru ini, saya menyentuh akan berlakunya satu turning point kepada jamaah Haji iaitu Cinta Yang Ditinggalkan. Ianya dapat dirasai oleh tetamu-tetamu ALLAH dan mereka yang amat rapat dengan mereka. Di saat azan dilaungkan, diketika mereka dipeluk oleh anak-anak dan sahabat-handai, ketika itulah turning point ini berlaku. Mereka akan merasai saat-saat perpisahan dengan semua yang mereka cintai. Airmata tidak mampu bertahan biarpun kita sebenarnya keras hati. Insan-insan yang benar-benar ikhlas ingin mencari redo ALLAH di Tanah Suci akan merasai suasana yang lebih mendalam.

Apa sahaja yang kita ada dimukabumi ini akan kita tinggalkan di dalam usaha meniti kedamaian di Tanah Suci. Kita menyayangi rumah, kereta, ahli keluarga dll, namun kita terpaksa meninggalkan mereka demi misi Haji Mabrur. Haji Mabrur menuntut pengorbanan besar, kesabaran dan usaha yang berterusan.

Tiada lagi perkara yang lebih penting kepada mereka dan kita semua melainkan kita benar-benar hargai cinta yang berada di hadapan kita di saat ini. Ianya dipinjamkan buat kita kerana Cinta Abadi menanti kita dan insan-insan yang bertaqwa.

Tuesday, October 5, 2010

Ceria di wajah Tetamu ALLAH


Alhamdulilah, minggu hadapan grup pertama jamaah Haji akan berangkat ke Tanah Suci. Mereka adalah insan terpilih, menjadi Tetamu Agung atas jemputan Ar-Rahman dan Ar-Rahim Yang Maha Besar itu. TAHNIAH!

Di dalam beberapa siri ceramah khas ‘Persediaan Haji’, saya perhatikan bakal tetamu ALLAH ini menunjukkan wajah ceria dan benar-benar tekun mendengar perkongsian saya yang sedikit itu. Mereka puas dan tidak sabar-sabar untuk bertalbiah menyahut seruan mulia ini.



Rasululah s.a.w bersabda,
“Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung ALLAH, sekiranya mereka berdoa kepadaNYA nescaya ALLAH akan perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunanNYA, nescaya ALLAH ampunkan mereka.” (Riwayat An-nasai & Ibnu Majah).

Semalam saya berbincang dengan seorang warga Iran. Saya bertukar fikiran dengan beliau mengenai amalan golongan Sunni dan bezanya pendekatan Haji diantara kita dengan golongan Syiah. Hakikatnya, mereka dan kita mengakui perkara yang sama mengenai Haji. Bagi mereka (mungkin kita juga) menganggap Haji sebagai satu rutin tahunan yang mesti dilakukan. Cuma (pada hemat saya) mereka memberi penekanan lebih kepada aspek aqidah sedangkan jamaah kita mungkin kurang ditekankan akan kepentingan memperbaharui kalimah shahadah.

Maka saya teringatlah laporan berita hari ini yang menyebut "Kerajaan Britain telah mengiktiraf agama 'Druids' sebagai salah satu agama di sana. Agama ini mengamalkan amalan menyembah matahari dan bumi. Ianya adalah amalan purba yang menjadikan Stonehenge sebagai tempat pertemuan tahunan mereka." Mereka mahu menandingi kehebatan pertemuan manusia di Arafah dengan mereka di Stonehenge...?

Apapun amalan agama lain, satu tabiat yang sama antara kita dan warga Iran ialah, rakyat mereka juga suka ‘bershopping’. Sebab itulah agaknya harga barang di Musim Haji melambung naik. Contohnya, air minuman biasanya dijual SR1 atau SR2 akan dijual pada harga SR5.

Kepada anda bakal tetamu ALLAH, nasihat saya tidak perlulah bershopping sakan di sana. Memang barang murah tetapi perlu kira-kira kos bawa pulang. Lebihan luggage penerbangan akan dikenakan caj SR98 sekilogram!

Seronoknya menjadi Tetamu ALLAH...….