Foto: Jamaah sesak di KLIA
Alhamdulilah semalam saya sempat menghantar jamaah umrah grup saya seramai 13 orang di KLIA. Hasrat menunaikan umrah musim sejuk tahun lepas tidak kesampaian kerana visa umrah dibekukan oleh Kerajaan Saudi.
Ketika tiba di KLIA saya agak terkejut kerana kawasan parkir bertingkat penuh. Hanya tinggal parkir di Lot C. Kenderaan berbaris panjang untuk memasuki ruang parkir. Pengalaman saya ke KLIA, inilah pertama kali kenderaan terpaksa bersusun panjang di luar kawasan untuk memasuki ruang parkir.
Di ruang check-in, jamaah dan ahli keluarga sudahpun penuh sesak. Suasana ini laksana menghantar jamaah Haji di TH Kelana Jaya. Cuma emosi Haji sedikit kurang jika dibandingkan dengan suasana di KLIA ini.
Kesedaran dan kesungguhan rakyat Malaysia untuk ke Tanah Suci perlulah dipuji. Suasana dan keinginan ini tidaklah mendesak 8 atau 10 tahun yang lalu. Dengan kesedaran, mereka sanggup berjalan jauh dari Utara dan Selatan Tanahair untuk ke KLIA. Mereka juga menaiki pelbagai pesawat seperi MAS, Saudi, Jordan, Pakistan, Biman, SriLanka yang berlepas pada waktu yang hampir sama. Justeru tidak mustahillah jika KLIA sesak.
Ada juga beberapa warga emas bertongkat, berkerusi roda dan ada yang perlu dipimpin oleh ahli keluarga untuk sama-sama menghidupkan cahaya iman di Tanah Suci.
Saya mendoakan semua ahli jamaah dan para Tetamu ALLAH warga Malaysia moga kembali dengan pencapaian tertinggi dalam hidup, mendapat umrah mabrurah dan sama-sama berganding bahu untuk membina diri dan membangunkan masyarakat. AMin!
No comments:
Post a Comment