Followers- Jalinan Ukhuwah

Monday, September 24, 2012

KHM: Bina Hospital Mukmin


Nota:  Terima kasih ALLAH kerana ketemukan saya dengan anak-anak muda ini. Kelihatan mereka serius berdiskusi pelan tindakan hospital beyond boundries. 


Alhamdulilah, dalam kesibukan ada ruang kesihatan dan masa untuk saya berkongsi dalam blog. Moga ALLAH terus memberi kita kekuatan untuk istiqamah dengan jalan membuat kebaikan dan mencegah kemunduran, maksiat dan kecelaruan masyarakat.

ALhamdulilah, setelah sekian lama  hasrat untuk membina hospital mukmin khusus untuk  masyarakat  dhua'fa dan miskin tersimpan dalam hati, pada pagi Sabtu 22/9/2012 satu pertemuan dan diskusi  untuk membina hospital swasta khusus bagi masyarakat muslim Kemboja telah dibuat. Sememangnya saya telah lama sentiasa berdoa agar ALLAH ketemukan saya dengan insan-insan yang mempunyai hasrat yang sama. Walaupun doa  saya terkhusus untuk membina Rumah Sakit di kawasan miskin di Indonesia atas dasar  menyelamatkan aqidah dan kebajikan, tapi  ALLAH mendorong kami fokus kepada  negara Kemboja.  Ketika saya berada di Indonesia Mei 2012, saya nyatakan kepada teman-teman di sana akan keperluan  mengadakan  rumah sakit bagi membantu warga muslim dhu'afa ini. Satu pelan jangka panjang perlu dibuat  khususnya bagi mencari  sukarelawan dan doktor pakar untuk membantu. 

Jadi mengapa Kemboja?  Kita merancang, tetapi ALLAH juga mempunyai perancangan yang lebih hebat.  ALLAH telah menemukan saya dengan anak-anak muda ini (mereka adalah pelajar tahun akhir Perubatan IPTA dan beberapa lagi rakan mereka adalah Akauntan) yang berhasrat untuk mengerakkan inisiatif hospital swasta di Kemboja.  Alhamdulilah, satu 'wing' KHM bakal bergerak dengan kaedah kerjasama hospital beyond boundries bagi membangunkan hospital ini.

Saya mengambil kesempatan pertemuan dengan anak-anak muda ini dengan memberi sedikit tazkirah kerana   sesuatu kerja amal tidak akan mendapat barakah jika kita tidak ikhlas dan berlapang dada. Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan dan lagi challenging untuk melaksanakan amanah atas dasar kepercayaan. Haji/Umrah bukan untuk diri sendiri. Haji/Umrah adalah proses kita membina diri dan sama-sama berganding bahu membina masyarakat. 

InsyaALLAH, jika ALLAH izinkan saya akan ke Kemboja pada 26hb Oktober untuk  menyelia Program Korban KHM, melawat tapak Institut Pendidikan Islam yang daif  serta melihat tapak hospital beyond boundries ini. 

Kepada adik-adik yang hebat ini, InsyaALLAH saya dan abang-kakak dalam KHM  dan warga follower KHM akan mewariskan KHM untuk anda explore. Dan kepada adik-adik yang sedang membaca blog ini, jom sama-sama menanam semangat untuk membantu program amal KHM. 

KHM adalah untuk anda-  Wadah Annuiti Akhirat The Smart Way to Serve ALLAH.

ALLAHU AKBAR! MasyaALLAH  TabarakALLAH. 


Wednesday, September 19, 2012

Update Program KHM: Korban & Wisata Rohani



Alhamdulilah  program KHM #4 (Korban)  dan #5 (Wisata Rohani) telah mencapai sasaran.  Sehingga semalam 18/9/2012,  sebanyak 12 ekor lembu telah ditempah oleh  ahli KHM/ pengunjung blog bagi menyempurnakan ibadah korban Kemboja. 

Sementara itu, Program Wisata Rohani  Bandung pula, seramai 43 orang telah mendaftar untuk turut serta di dalam program percutian spiritual ini. Peserta bukan sahaja akan merehatkan minda, shopping dan menikmati alam tetapi akan di isi dengan program sentuhan hati bersama santri tahfiz dan anak yatim. Kemudian, mereka akan turut serta ke majlis perasmian Masjid KHM Desa Bojongloa, pecah-tanah Pasentren Tahfiz  KHM  lantas meluncurkan Kelab Haji Muda Indonesia (jika diizin ALLAH). 

Justeru, saya dengan ini memaklumkan bahawa penyertaan bagi kedua-dua program DITUTUP. 

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-puan yang telah membantu secara langsung atau tidak langsung bagi  menjayakan program KHM ini.  Juga terima kasih dengan beberapa komen seperti mengapa program korban KHM sangat murah  atau program melancung Bandung KHM hampir satu kali ganda lebih murah dari  apa yang ditawarkan oleh agensi pelancungan.  Saya ingin nyatakan, banyak lagi 'program murah' akan kami lakukan, dengan izin Ar-Rahman Ar-Rahim.  'Murah' bukan bererti tiada standard.  Anda masih ingat kisah saya di lapangan terbang Heathrow London yang pernah saya tulis dalam blog ini?  Jika pernah, tentu anda faham  low profile does not mean low class

MasyaALLAH & TabarakALLAH.

Nota: 
Selepas Program Wisata Rohani #1 ini, saya merancang untuk membuat program wisata rohani shopping Bandung setiap 2 bulan. Juga InsyaALLAH, program umrah 2013 (bulan Feb/Mac 2013) juga akan diwar-warkan kemudian. 

Kepada ahli berdaftar KHM, anda akan menerima makluman melalui email atau facebook.com/kelabhajimuda  atau  facebook.com/drridzwan

Tip No 2 Hargai Diri Sendiri (HDS): Solat Subuh



Nota:  Seronoknya solat Subuh di Masjidil Haram   



Rasululah s.a.w  telah  bersabda (Riwayat Abu Hurairah),

“Sesungguhnya solat yang paling berat  bagi orang munafik adalah solat Isya’ dan solat Subuh.”
                                                                                               


Tip HM HDS kali ini ialah tunaikanlah  Solat Subuh.  Dari lima waktu solat yang diwajibkan, solat subuhlah yang paling mencabar.  Tidur adalah satu nikmat yang diberikan oleh ALLAH kepada kita.  Akibat kelalaian, kita terlanggar solat Subuh atau mungkin solat Subuh  bersifat Subuh gajah.  

Dalam satu program, saya pernah bertanya  mahasiswa/I   siapa yang solat Subuh pagi itu?  Jawapannya, tidak sampai 20%  yang menunaikan solat Subuh.  Dengan lain perkataan, hampir  80%  gagal ujian ini.  Mungkin inilah sebabnya, kualiti mahasiswa/I   semakin  merosot.  Bila generasi muda gagal ujian Subuh, apa yang kita hendak harapkan Islam tertegak  dan ekonomi ummah terbela?

Blog ini menekankan Hargailah Diri dengan Solat Subuh.  Kita akan gagal pada hari di mana kita lupakan solat Subuh atas apa sahaja alasan.  Hari tanpa Solat Subuh akan  menjadikan kita  hidup tanpa energi.  Kita mungkin bangun dan  berlagak pandai  tetapi kita tidak akan peroleh hikmah dan kebijaksanaan. 

Bila kita hargai diri sendiri, nescaya ALLAH turut menghargai diri kita yang amat mendambakan cinta ALLAH. Allah akan kukuhkan diri kita dan perjuangan kita dengan keutamaan solat Subuh. Bagi muslimah, ingatkan suami, anak lelaki atau saudara lelaki supaya bangun awal dan tunaikan solat Subuh berjamaah di masjid. 

Hakikatnya, Kita perlukan cahaya di dunia apatah lagi cahaya ketika meniti titian sirat, di Padang Mahsyar.  Maka doa ini boleh diamalkan,


“YA ALLAH, berikanlah cahaya pada hati, lisan, telinga dan mata kami. Jadikanlah cahaya dari belakang, depan dan di bawah kami. Ya ALLAH  berikanlah kepada hambaMU ini cahaya.”


Riwayat Abdullah bin Abbas- doa di atas dibaca oleh Rasululah s.a.w sebelum keluar untuk solat Subuh.


Haji 1433H

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Berangkat kepada semua jamaah Haji,
moga ALLAH memberi  haji mabrur dan peroleh pengalaman terbaik buat bekalan pasca Haji.


Moga tips yang dikongsi dalam buku ini dapat membantu jamaah Haji, InsyaALLAH.

Anda juga boleh hadiahkan buku ini kepada  para jamaah sebagai sokongan emosi dan minda.

Monday, September 17, 2012

PIMPINAN & Masjid As Salam



Foto: AJK dan wakil Nazir masjid-masjid negeri Selangor memberi perhatian kepada isi 
dan perkongsian tazkirah



Alhamdulilah dengan izin ALLAH, saya telah diberi kesempatan untuk menyampaikan  tazkirah ringkas pertemuan Syawal PIMPINAN Selangor pada 15hb Sept 2012.  Majlis ini dihadiri oleh  Nazir-nazir dan pengurus-pengurus masjid seluruh negeri Selangor.

Secara ringkas, saya menekankan akan betapa  pentingnya masjid di urus secara professional dan berwawasan.  Masjid bukan sekadar bangunan  tempat untuk kita solat.  Lepas solat kita balik rumah tengok tv dan tidur.  Masjid adalah satu pusat perkembangan dakwah dan kepimpinan masyarakat.  Kita tidak boleh mentadbir masjid dengan pendekatan tahun 1980an atau 1990an.  Dunia telah berubah, anak-anak  muda  inginkan perubahan masjid.  Maka  pengurusan masjid  juga  perlu berubah.

Beberapa tips kepimpinan saya kongsikan dengan harapan saya dan pimpinan masjid boleh laksanakan. Antara tips penting adalah sikap/sifat ikhlas perlu ada di hati setiap nazir dan pegawai masjid. Ikhlas dihati akan menghidupkan wajah dan melimpahkan cahaya ikhlas kepada masjid dan masyarakat.  Dalam kajian dan personal observation, saya dapati masjid yang benar-benar  hidup didokong oleh faktor dalaman (hati) dan  sokongan  masyarakat.  Bila Nazir dan pengurusan masjid mempunyai kepentingan lain seperti kerana  gila kuasa, mahu rebut projek, berpolitik dan kepentingan peribadi yang tidak diketahui, maka masjid  dan masyarakat tidak akan ke mana. Ada juga Nazir yang jarang datang ke masjid atau sibuk berceramah di masjid lain tetapi mengabaikan masjid sendiri. Nazir sebegini (dalam pandangan saya), perlu meletak jawatan  kerana mereka akan menjadi elemen yang akan melambatkan perkembangan masjid dan pembinaan kariah/masyarakat.   

Dikesempatan ini saya ingin memperkenalkan  PIMPINAN (Persatuan imam, pegawai masjid dan Pendaftar nikah masjid Selangor)  iaitu sebuah organisasi NGO yang ditubuhkan khusus sebagai wadah pertemuan dan pergerakkan Nazir, Imam dan pegawai masjid seluruh negeri Selangor.  Dari struktur perundangan, PIMPINAN seharusnya dianggotai oleh semua 360 masjid-masjid seluruh Selangor.  Ianya telah  ditubuhkan  lebih dari 10 tahun lalu tetapi kurang dikenali.  Justeru saya menyarankan secretariat PIMPINAN yang kini diterajui oleh Masjid As-Salam Puchong  untuk ‘rebrand’ PIMPINAN  supaya lebih dikenali  dan lebih agresif  bagi mencorak  peranan masjid.  Tahniah kepada pemimpin Masjid As-Salam khususnya kepada tuan Hj Yasim dan Hj Azmi Ghani serta SU ustaz Fakhurudin kerana telah dipilih untuk menerajui PIMPINAN bagi tempoh dua tahun.

InsyaALLAH, saya (secara peribadi) dan KHM akan menghulurkan bantuan  kepada PIMPINAN demi aspirasi untuk mengubah dan mencorakkan arah tuju masjid-masjid di negeri Selangor (Jika diberi peluang untuk memberi sumbangan).


Akhir sekali, saya ingin tekankan,  bahawa skop pengurusan masjid bukan sekadar mentadbir masjid, tetapi  kita mentadbir dan menguruskan masyarakat.

Astaghfirullah, MAsyaALLAH & TabarakALLAH.



Friday, September 14, 2012

Nukilan Rasa: Ramadan dan Perjalanan PhD



Buku 'Bila Pintu Hati Terbuka' (BPHT) sudah lebih kurang 2 tahun di pasaran. Dari sudut penjualan,  buku ini agak perlahan namun saya berharap idea dan perkongsian buku ini tidak terhenti disini. Ianya seharusnya bukan saja di baca tetapi perlu diamalkan. Banyak tips kehidupan dimuatkan di dalam buku ini. Ianya mampu memberi motivasi ketika diri di landa sepi.

Saya menulisnya kerana saya menghargai diri saya....



Di bawah ini saya petik nukilan rasa dari blog mamalal.blogspot.com (diekstrak copy paste pada 14 Sept 2012) mengenai buku ini. ibu muda ini sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang aplikasi teknologi dalam perspektif Islam. Secara khusus mengenai keibuan/susu ibu. Kita sebagai hamba ALLAH, seharusnya menyokong usaha adik kita yang masih muda ini untuk membuat kajian dengan harapan dapat meningkatkan kualiti ummah. 

InsyaALLAH, Kelab Haji Muda akan terus menyokong usaha ini yang menjadi salah satu teras penubuhan KHM bagi membentuk semangat pra/pasca haji/umrah. Sebagaimana yang ditekankan dalam buku BPHT, ayuhlah kita berganding bahu melahirkan, 

'Satu Rumah Satu Dr', satu aspirasi peribadi saya yang perlu diusahakan secara kolektif bersama anda semua. MasyaAllah TabarakALLAH.


Tajuk:  Ramadan 1433H dan Perjalanan PhD

Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan saya dalam konteks pelajar PhD semenjak berlalunya Ramadhan 1433H (Ogos 2012M). Sehingga kini, 20 Syawal 1433H, saya masih teringat-ingat manisnya Ramadhan. Terkadang hati rasa sayu dan sebak bila memikirkan sempatkah aku menemui Ramadhan tahun depan?.. Benar, saya sangat sebak. Ramadhan yang lalu, saya tekadkan azam untuk 'Tidak Rugi Lagi'... Saya pertingkatkan amalan sunat, jauhi perkara lagha, dan berazam untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan terutamanya 10 malam terakhir. 20 malam pertama Ramdhan, saya hanya berjaya bangun untuk solat tahajud hanya sebanyak 5 hari sahaja. Saya sangat kecewa kerana target saya adalah bangun sekurang-kurangnya selang sehari. Tetapi, itulah tahap iman saya. Pabila tiba malam 21 Ramadhan, saya kuatkan tekad untuk qiyamullail setiap malam, bangun seawal jam 3 pagi (beriktikaf di masjid) agar saya dapat mengecapi anugerah malam seribu bulan (yakni Lailatul Qadar-LQ)...

Sepanjang Ramadhan, saya memohon agar Allah SWT mengurniakan saya LQ. Ramadhan tahun ini memang berbeza. Keinginan kuat dan mendalam untuk mengejar LQ sangat hebat. Tidak seperti Ramadhan tahun-tahun yang lalu. Mungkin jika benar ia adalah kesan dari program yang saya hadiri bertajuk "Ramadhan dan Perjalanan PhD" pada Julai 2012 bertempat di IPG Bangi. Pada mulanya saya agak 'malas' untuk menghadiri program tersebut, tetapi saya gagahkan juga hati, biarpun pergi seorang diri (memang kebanyakan seminar, bengkel, program yang saya hadiri adalah seorang diri).

Syukur padaMu Ya Allah yang telah menemukan saya dengan seorang yang bagi saya sangat hebat dari segi misi, visi, wawasan, strategi dan tips-tips dalam menempuh PhD. Itulah Dr Ridzwan Bakar (blog beliau: http://ridzwan-bakar.blogspot.com/). Semasa mendengar ceramah beliau mengenai bagaimana Ramadhan dapat mengubah perjalanan seorang calon PhD, hati saya masih 'kering' dan hanya menerima sahaja apa  yang disampaikan.

Sehinggalah beliau mempromosikan buku tulisan beliau bertajuk "Bila Pintu Hati Terbuka" iaitu catatan perjalanan beliau menggapai ijazah kedoktoran dalam masa 40 bulan (pelajar separuh masa sambil bekerja di sektor korporat). Pada mulanya, hati berkira-kira untuk membeli buku yang hanya berharga RM15.00, sekali lagi saya gagahkan untuk membeli buku ini.


Rupa-rupanya, buku ini ibarat gedung emas, tersimpan di dalamnya pelbagai khazanah hikmah yang tiada bandingannya. Belum pernah saya temui seorang PhD holder yang berkongsi wawasan semurni ini. Kebiasaannya nasihat yang saya terima dalam perjalanan ini hanyalah berupa duniawi semata-mata. Tetapi Dr Ridz memberi satu sudut pandang yang sangat suci dan murni. Walaupun saya kira matlamat saya untuk memiliki PhD ini sudah jelas, tetapi dengan membaca buku ini, dr Ridz telah menggilap lagi matlamat itu agar ia bersinar dan mampu sampai ke arah yang dituju.

Ramadhan kali ini, jika benar saya telah menemui LQ, saya panjatkan kesyukuran padaMu Ya Ilahi. Tetapi jika belum rezeki saya untuk menikmatinya, maka kurniaMu yang telah menemukan saya dengan sosok tubuh insan mulia bernama Dr Ridz dan pandangan alam yang dikongsikan dalam bukunya ini, maka saya terlebih-lebih bersyukur ke hadratMu Ya Rabbi.

Doa saya semoga perjalanan PhD ini (baca: perjalanan yang amat mencabar ini) sentiasa diberkati, ditunjuki dengan hidayah Allah SWT.

Penutup kata, ingin saya kongsikan kata-kata hikmah yang membuat jiwa saya segar semula dalam menyelusuri perjalan ini...

"PhD bukanlah Permanent head Damage atau Pelajaran habis Dah, tetapi PhD adalah Perjalanan hamba Dhoif"

"PhD adalah perjalanan mencari keagunganNya. Amat manis bagi mereka yang telah melalui proses tarbiah yang amat panjang ini"

"Insan yang tidak menjumpai TUHAN di dalam proses ini adalah insan yang gagal"

"PhD bukanlah perjalanan intelektual semata-mata! Ia juga bukan perjalanan mengasah ego dan pemikiran sempit. Tetapi ijazah kedoktoran adalah perjalanan kecemerlangan emosi dan keluhuran komunikasi dengan manusia serta Tuhan"

akhir sekali...

"Belajar kerana mengejar pangkat dan kemewahan dunia akan hanya menambah beban. Ikhlaskan perjalanan ilmu untuk mencari redhaNya"

7 Sept 2012
Taman Sri Ukay


Wednesday, September 12, 2012

Tip #1 - HDS - Cintailah Diri SEndiri


TIP No 1 HARGAI DIRI SENDIRI (HDS)– Cintailah Diri Sendiri



Nota HM:  Insan yang ikhlas mencintai diri sendiri, sesungguhnya akan mampu menarik golongan pencinta kehidupan.


Setiap pagi bila kita bangun tidur, kita akan melihat cermin.  Rumah tanpa cermin dianggap tidak hidup. Boleh dikatakan setiap rumah mempunyai cermin di setiap bilik termasuk bilik air.  Dalam keretapun ada  cermin. Di surau, masjid hatta di tandas awam juga tidak terlepas dari benda yang bernama cermin. Diri pula seakan tidak sempurna di pagi itu. Contoh mudah, bila kita melakukan aktiviti camping dan bermalam, sudah pasti kita sedikit risau mengenai wajah kita kerana tiada cermin yang di bawa. Kita tidak dapat lihat wajah kita.

Ya cermin itu penting!

Itu adalah tabiat yang sangat baik kerana kita amat perihatin dengan wajah kita. Tanpa mengira lelaki atau perempuan, sebiji jerawat  di muka akan merimaskan hati. Ianya fitrah.  Kita mahu kelihatan tampan dan jelita. ALLAH juga mahu kita cantik. Lebih cantik bila dihiasi dengan akhlaq yang baik.


Sesungguhnya, kita tidak mampu untuk menghargai diri sendiri jika kita tidak menilai diri kita tinggi. We need to value ourselves.  Cinta diri sendiri bukan bermaksud  kita mencipta ego, sombong atau takabbur.

Jika kita tidak cintai diri sendiri, apakah orang lain akan mencintai kita?
JIka kita tidak mencintai diri sendiri, apakah mungkin kita mengenal ALLAH?
Jika kita tidak cinta diri sendiri, bagaimana untuk kita mencintai hamba-hamba ALLAH?

Ianya adalah tahap kesyukuran kita dengan pemberian ALLAH.  Tiada manusia yang sempurna.

Baru-baru ini ketika beriktikaf di Dataran Kaabah, saya melihat jari saya. Tidak kelihatan cacat celanya. Saya berkata kepada jamaah umrah, apa lagi yang kita hendak minta kepada ALLAH?  Tidak cukupkah dengan apa yang kita ada?  10 jari ditangan kita ini sudah cukup membuktikan kebesaran ALLAH.  Apa lagi kita nak minta kepada ALLAH?

Hargailah diri sendiri kerana ia mampu membina keyakinan diri dan self-esteem. Dunia kita akan berkembang bila kita melihat diri kita secara positif.

Dunia kita akan kelihatan besar  dan seronok bila kita hargai diri sendiri dengan menyatakan “I love myself, Aku cintai diriku seadanya…”

Appreciate the gifts that ALLAH has given you and the beauties that ALLAH has bestowed upon you.


Tips: 
Mulakan hari ini dengan rasa cinta pada diri sendiri. Luahkan cinta kepada diri sendiri  5 minit sebelum dan selepas bangun dari tidur. Lihat cermin lantas berdoa “Ya ALLAH, ALhamdulilah dengan setiap pemberianMU, Aku cinta MU, aku mencintai RAsulMU Muhammad s.a.w dan aku mencintai diriku atas anugerahMU. Perbaiki Akhlaqku dan izinkan aku menjadi insan yang lebih baik dari semalam.”


Tips Hargai Diri Sendiri - Pengenalan


Nota:  Tiada sebab untuk tidak bahagia.....



Berapa kali kita sebut dalam diri bahawa "Aku sememangnya bahagia?"

Berapa kerap anda menghargai diri sendiri? 

Bila soalan ini diajukan kepada rakan-rakan, secara rambang mereka menjawab “Aku tak pernah terfikir hendak hargai diri sendiri!” , 
“Alamak Wan, kau perangkap aku pagi ini..”

Mengapa jadi begitu?

Pada hemat saya, kita bukanlah langsung tidak hargai diri sendiri tetapi kita  samada kurang atau tidak sedar bahawa kita sememangnya sudahpun menghargai diri sendiri tanpa disedari. Kita jadi begini kerana kita lebih fokuskan dunia luar, focus kepada orang lain bukan  diri sendiri. Bila tumpuan diberikan kepada orang lain dan dunia yang kita tidak mampu mengubahnya, maka kita lalai untuk menghargai diri sendiri.

Juga tanpa disedari, kita letakkan diri kita ditahap rendah (rendah diri dan tahap rendah hidup adalah dua perkara berbeza).  

Contohnya, “Aku ni tak cerdik, sebab tu bos tak suka aku…”  atau 
"Aku ni tak de ilmu, camne nak gi Haji."

Memandangkan  topic ‘hargai diri sendiri’ ini penting (pada hemat saya), maka InsyaALLAH saya akan berkongsi tip-tip penting bagaimana untuk kita hargai diri sendiri. Ianya akan ditulis dalam  13 siri (13 tips)  supaya ianya mudah difahami dan yang lebih utama dapat kita sama-sama amalkan, InsyaALLAH.

Moga penulisan dan perkongsian ini bermanfaat. 


Thursday, September 6, 2012

Program KHM No 5/2012- Wisata Rohani Bandung



Foto:  Pemandangan indah yang mendamaikan..perlu dikongsi ketenangan ini.


Ramai antara kita meluang masa untuk makan angin sambil shopping. Ianya tidaklah salah selagi wang kita itu tidak terlibat dengan riba' dsbnya. Saya sudah lama berhasrat untuk mengujudkan program percutian spiritual (wisata rohani) bagi kita menghargai diri sendiri sambil bercuti dan shopping. KIta perlu masuk ke zon spa hati untuk kita mengisi keseronokkan fizikal dengan pengisian rohani. (Nota: Zon Spa Hati sudah saya bicarakan dalam buku Rindu Baitullah). Sudah tentu Mekah, Madinah dan program umrah adalah zon spa hati yang paling istimewa.


Alhamdulilah dan  InsyaALLAH  saya sedang menyusun satu program   Wisata Rohani (percutian spiritual) lantas merasmikan Masjid KHM- Abu Bakr As-siddiq di desa Bojongloa, Bandung.

Butiran ringkas program (tentatif) seperti berikut:-

Tarikh:        28 Nov-2 Dis 2012 (5Hari 4 malam)
Berangkat:  28 Nov jam 3.45pm  (Air Asia KL-Bandung)
Pulang:       2 Dis 2012 (12.15pm)   (Air Asia Bandung-KL)

Pengisian:
Hari 1:  Tiba Bandung jam 5 petang. Makan malam sunda dan ziarah masjid

Hari 2:  
4am  Solat Subuh di masjid Agung Bandung.  Tazkirah subuh ‘Dr Ridzwan di    MAsjid Agung, Kota Bandung (tentatif).
9am  Shopping Bandung. 
1pm  Selepas Zuhur,  melawat  Tangkuban Perahu dan Kawah putih.
8pm  Tausiah sentuhan rohani bersama santri tahfiz dan kiyai

Hari 3:
Kuliah Subuh  oleh Pembina Pasentren
Lawatan ke kawasan pergunungan dan desa
Khutbah Jumaat Dr Ridzwan di Masjid pergunungan Ciateur
Berangkat ke Pasentren Tahfiz International & kuliah Maghrib

Hari 4:
9am    Berangkat ke Desa Bojongloa 
10am Perasmian masjid KHM dan Pelancaran Kelab Haji Muda (KHM) Indonesia
11.30  Makan tengahari bersama penduduk desa/fakir-miskin
12.30pm  Solat Zuhur berjamaah di Masjid KHM
1pm    Berangkat ke Pergunungan Garut untuk istirehat, shopping dan makan malam
8pm    Pulang ke Bandung.

Hari 5:
9am    Check-out & Program tamat.
12pm  Pesawat pulang ke KL.

*************************************************
Nota penting:
Tempat Terhad.  Hanya 40 peserta sahaja untuk program Wisata Rohani ini. First come-first serve basis. 

METOD:
Tiket Airasia- booking sendiri.  Sehingga hari ini kos tiket Air Asia (return) untuk tarikh tersebut  ialah RM470 seorang. (Tiket saya KL-Bandung pada bulan Mei 2012 lalu ialah RM1,050. Jadi RM470 masih jauh lebih murah).

Kos Pengangkutan, penginapan di pasentren/hotel dan makan-minum (selama 5 Hari 4 malam), akan ditanggung secara bersama (berjamaah). Anggaran seorang RM300-RM400.

(NOTA:  Harga pasaran Pakej Bandung untuk 4Hari 3 malam ialah diantara RM1,200-RM1,500 seorang).

Jika berminat, sila email saya terus  tigeridz@gmail.com . 

Ingat- Tempat terhad, siapa register dahulu dia dapat. Sila dapatkan pengesahan saya terlebih dahulu sebelum membuat tempahan tiket penerbangan. 

InsyaALLAH Pengarah Projek wisata rohani ini sudah dilantik bagi pihak KHM (AJK KHM).  Beliau akan membantu urusan logistik program ini.

Lepas ini, kita beli hotel pula untuk meneruskan agenda tarbiah dan pengisian pasca haji/umrah....... InsyaALLAH.

MasyaALLAH & TabaraALLAH.




Tuesday, September 4, 2012

Program KHM 4/2012: Korban

ALhamdulilah dan InsyaALLAH KHM akan terus komited melaksanakan program berteraskan Haji/Umrah.     Untuk makluman, antara success story program KHM pada tahun ini (2012) antaranya adalah:

1.  Program Umrah 2012
2.  Tersiapnya MAsjid Abu Bakar As-Siddiq  pada 19 July 2012/29 Syaaban 1433H
3.  Menaja Program Iftar Ramadan di 5 buah masjid di desa miskin

Sementara, program tahun 2011 yang memerlukan follow-up masih lagi diteruskan.


PROGRAM KHM 4/2012- KORBAN

A)  InsyaALLAH, dengan izinNYA, KHM  menjemput tuan/puan untuk menyertai  Program Korban 2012 seperti butiran berikut:-

Tempat Korban:   Kemboja (Diuruskan oleh Institut Pendidikan Islam As-shabab, Kemboja)
                            (Institut ini mempunyai ladang menternak lembu dan 20 ekor lembu disediakan untuk KHM).

Harga:  RM230 satu bahagian = RM1,610 untuk satu ekor lembu  (jauh lebih murah dari program lain).
            (Nota: Harga RM1,610 ini adalah HARGA KOS. KHM tidak ambil sebarang komisen bagi kerja    amal ini. Pun begitu, KHM mengalu-alukan peserta korban untuk memberi sedikit sumbangan ke Akaun Operasi KHM  contohnya memberi 10% dari nilai harga korban- Tiada paksaan).


B)  Faedah Menyertai Program KHM:
1.  Daging korban akan diagihkan kepada fakir miskin dan madrasah pendidikan (pelajar-pelajar) yang amat memerlukan.
2.  Membantu dana pembangunan Institut Pendidikan Islam As-Shabab (mereka memerlukan perpustakaan dan asrama penempatan pelajar).
3.  Diuruskan oleh orang yang amanah.

C)  Bagaimana untuk menyertai?
1.  Sila email ke  kelabhajimuda@gmail.com   cc ke tigeridz@gmail.com.  Sila tinggalkan nama penuh, no HP dan bilangan (ekor) lembu untuk tujuan korban ini.
2.  Sekretariat KHM atau saya sendiri akan terus menelefon tuan/puan untuk tindakan susulan.
3.  Tidak dibenarkan  memasuki wang ke Dana Annuiti AKhirat/Masjid KHM. Bayaran akan diminta bila  aqad dan pengesahan dari Kemboja diperolehi.

D)  Tarikh tutup:
30 Sept 2012    2.  Siapa tempah dahulu, dia dapat.

Terima kasih.

Sunday, September 2, 2012

Perasmian KHM- Cinta Atas Jalan ALLAH



Foto: Wakil JAIS menandatangani  'mock' KHM tanda pelancaran Kelab Haji Muda. 

Alhamdulilah Kelab Haji Muda (KHM) telah dilancarkan oleh pegawai agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam  1 Sept 2012 sempena program Imarah Masjid tajaan Grup Karangkraf dengan kerjasama Masjid As-Salam.


Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua AJK KHM, dan individu-individu yang membantu di booth KHM dari 10 pagi hingga 12 malam. Juga terima kasih kepada VIP KHM, teman-teman korporat dan follower KHM khususnya yang datang dari jauh Kelantan, P.Pinang dan Johor. Sokongan dari Grup Karangkraf dan follower KHM serta teman-teman dari Mekah, Madinah, UK, Australia, New Zealand, Iran, Dubai, Palestin, Switzerland, Indonesia, Brunei, Singapura dan Kemboja amat kami hargai.

Juga terima kasih kepada tim Grup Karangkraf khususnya Kak Wan,tim Karya Bestari, tn RJ, tn Asyraf, Pn Sri Diah, ust Ahmad Yani, Nazir masjid Tn Hj Yasim dan AJK masjid, Pegawai JAIS, Majalah I, Majalah Nur, Sinar Harian, tim-serangkai -ust Mohd nor, ust Yaakub, ust Nazir dan semua yang terlibat menjayakan program Imarah Masjid.

Terima kasih kerana membantu melancarkan Kelab Haji Muda (KHM) - 
The Smart Way To Serve ALLAH  Wadah Anuiti Akhirat.



Foto: Sukarelawan di booth KHM

Kepada tim Karangkraf dan KHM, walaupun di raut wajah anda kelihatan letih, InsyaALLAH inilah jalan pengorbanan yang perlu kita lakukan bagi meraih Cinta ALLAH. Perasaan cinta atas jalan ALLAH ini amat terserlah biarpun kita tidak mengenali secara dekat antara satu dengan lain. Tiada satupun butir perkataan negatif, complain, penat, muka cuka dsbnya kelihatan disepanjang program sehari ini. Anda  sememangnya HEBAT  untuk meneruskan agenda  kita mengajak masyarakat mengimarahkan masjid.

Biarlah kita penat di dunia, namun kita bisa senyum di Akhirat..

InsyaALLAH, KHM akan terus membantu mengerakkan program imarah masjid bersama tim Grup Karangkraf demi mentransform dan mengislahkan diri sendiri dan masyarakat.

MasyaALLAH TabarakALLAH.  Terima kasih semua.