Followers- Jalinan Ukhuwah

Thursday, February 26, 2009

Aku Seorang Pelakon

Aku Seorang pelakon

Semua insan adalah seorang pelakon. Ketika memberi ceramah dan mengendalikan program Corporate Business Planning dari 25-26 Feb 2009 kepada pengurus-Pengurus sebuah organisasi korporat, saya berkongsi bagaimana hollywood dan jenama Walt Disney di bina. Mereka membina entiti perniagaan ini dalam satu tempoh yang panjang. Saya juga menyebut bagaimana mereka mampu melahirkan pelakon-pelakon dan selebriti handalan yang menjadi bualan orang-orang kita.

Dari sudut lain, akhir-akhir ini berbagai-bagai watak terserlah ekoran krisis politik. Masing-masing mahu membawa watak hero hingga mungkin memualkan penonton. Di pejabat, terlalu ramai pelakon handalan cuba membawa mesej tersendiri. Lakonan hipokrasi dan penonjolan diri sendiri dengan memburukkan orang lain sudah menjadi norma kehidupan pejabat. Ada juga yang tiada kompetensi dan kurang kepakaran tetapi berlakon seolah-olah dia tahu semua perkara.

Malam tadi saya muhasabah diri. Hati saya tersentuh bila saya merasakan bahawa saya juga seorang pelakon. Saya memainkan berbagai-bagai watak dalam sehari. Watak ini berbeza-beza. Di rumah saya membawa watak seorang pemimpin keluarga, di pejabat ada dua watak iaitu watak 1- pemimpin pegawai bawahan dan watak 2- memberi imej sebaik mungkin kepada orang atasan. Di jalanraya, saya membawa watak lain. Sebagai pengguna pula, saya agak demanding dan ini turut mengubah cara saya berlakon. Tanpa disedari, saya berazam untuk membuat lakonan terbaik kepada setiap skrip hidup yang saya lalui.

Muhasabah diri sebenarnya meruntun hati. Ketika sholat, saya berlakon lagi –kali ini dengan Tuhan. Online dengan Tuhan ini banyak gangguan signal. Cuma usaha ini tidak banyak berubah melainkan hati dan diri di bawa dekat dengan Kaabah. Saya cuba tidak mahu berlakon watak hipokrit dengan Tuhan saya. Jika dipejabat saya cuba membawa imej terbaik tetapi mengapa saya tidak bersungguh-sungguh mempersembahkan sesuatu yang terbaik bila melakukan sholat dan berhadapan dengan Allah?

”Ya Allah, ampunilah dosaku jika sholatku hanyalah sebuah lakonan. Ampunilah aku jika usaha sholatku tidak mencapai sasaran kecemerlangan sholat dan kasihanilah aku, ayah-ibuku, guru-guruku, pemimpin dan rakan-rakanku, pengunjung blog setia ini dan seluruh ummah jika kami gagal merealisasikan faedah sholat dalam kehidupan.”

MUTIARA BICARA:
Buatlah persembahan terbaik untuk penilaian Allah. Lakonan hipokrit hanya mampu memberi keseronokkan sementara. Usahakanlah meniti kedamaian hakiki.

Saturday, February 21, 2009

AMANAH

Amanah memberi makna yang berbeza bagi seseorang. Secara umum, ia boleh membawa erti amanah kepada harta, perintah taat, soal kerja, urusan negara, urusan agama, menjaga wang atau memelihara rahsia.

Dalam pengurusan negara, pemerintah diberi amanah, bermula dengan mengangkat sumpah. Ada juga negara/negeri yang memulakan perakuan amanah dengan bertemankan Al-Qur'an di sisi. Sementara 'OSA' pula adalah akta Rahsia Rasmi bagi membendung kerahsiaan maklumat negara.

Amanah adalah manifestasi iman. Kita juga sedar bahawa kita telah memegang satu amanah besar. Firman Allah
“Sesungguhnya telah kami berikan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang, lalu mereka enggan memikulnya dan takut menerimanya, kemudian amanah itu dipikul oleh manusia….. “ Al-Ahzab: 72

Mengikut sebuah kitab, Adam a.s. telah menerima amanah besar sebagai khalifah pada waktu Asar. Dan diantara Asar hingga malam hari itu juga, Adam a s telah melanggar amanah dengan memakan buah larangan dalam syurga. Nafsu adalah penyebab tergelincirnya amanah yang Adam pikul.

Rasululah s.a.w bersabda:
“Umatku akan sentiasa berada dalam keadaan baik selama mereka tidak menjual amanah dan menggadaikan kejujuran.”

Dalam kehidupan dunia materialistik bertunjangkan sistem kapitalis, amanah boleh 'diurus niaga'. Insan yang beramanah biasanya kurang mendapat tempat dan insan yang amanah juga biasanya mudah dikambing hitamkan.

Ku tadah tangan kecil ini:
“Ya Allah peliharalah kami dari pengkhianatan manusia, tempatkanlah insan yang beramanah ditempatnya, selamatkanlah ummah dan berikanlah kami renjisan kedamaian hidup.”

Tuesday, February 17, 2009

KIBLAT BERUBAH

Bolehkah kiblat kita berubah? Apabila Allah memerintahkan Rasul s a w menukar arah kiblat dari Baitulmuqaddis ke Mekah, maka perubahan dilakukan oleh Rasululah s a w on the spot, tiada persoalan! Masjid Qiblatain berhampiran kota Madinah adalah saksi akan peristiwa ini.

Baru-baru ini ketika menjengok sebuah surau, kecoh bila diberitakan “kiblat sudah berubah”. Perkara ini bukanlah baru bagi saya. Kira-kira dua tahun lalu sebuah surau diberitakan telah salah arah kiblat. Maka masing-masing menunding jari menyalahkan AJK Surau. Saya masih ingat ketika surau ini dibuat tidak kurang dari 5 kompas di bawa untuk mengesahkan arah kiblat. Salah satu kompas adalah milik kontraktor yang banyak pengalaman membuat surau dan menentukan arah kiblat. Setelah hampir tiga tahun digunakan, ada pula hamba Allah yang membawa kompas dan kemudian membuat pengumuman yang selama ini kita sholat salah kiblat. Kasihan AJK surau bila perjuangan sukar untuk mendapatkan surau akhirnya dikecam. Bila perkara ini dimaklumkan kepada saya, maka saya berpesan “Tidak perlulah kecoh-kecoh dan bergaduh.” Saya nyatakan bahawa ada banyak kemungkinan ‘perubahan arah kiblat ini berlaku’ antaranya mungkin kompas tidak melalui kalibrasi, kompas sudah lama dan mungkin juga bila surau berhampiran dengan Menara telekomunikasi kemungkinan boleh mempengaruhi ketepatan petunjuk kompas. (wallahalam).

Sekiranya anda mengalami atau bakal mengalami perkara ini, maka blog ini ingin berpesan:
1. Hargailah AJK Masjid atau Surau yang telah berusaha dan berkorban untuk memajukan kariah atau surau pejabat
2. Janganlah menunding jari. Cari jalan penyelesaian.
3. Hubungi Pejabat Mufti atau Majlis Agama Negeri untuk bantuan kerana mereka mempunyai alat canggih pengukur ketepatan kiblat.

Akhir kata, Walaupun kiblat kita sudah berubah, kita tetap bertanggungjawab untuk membebaskan Baitulmuqaddis/al-aqsa dari gengaman Yahudi! Allahu akbar!

Friday, February 13, 2009

Valentine Day

HARI KEKASIH

Malam semalam saya menerima sms dari seorang rakan mengenai Ops valentine. Maka, saya teringat kisah bulan November 2000-Kisah parti buih di Bangsar berhampiran Masjid Abu Bakar as-siddiq. Pesta muda-mudi sempena hari kekasih ini menerima kecaman hebat pencinta Islam dan tidak kurang juga golongan yang menempelak pendirian ummah mengenai isu ini. Kejadian ini tidak berhenti di situ. Setiap tahun seluruh dunia menyambut hari kekasih termasuk juga anak-anak muda Melayu (mungkin ada juga orang yang sedikit berumur). Bagi memberi penjelasan tegas, beberapa fatwa telah dikeluarkan seperti di bawah.

********************************
Ekstrak dari web JAKIM

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.
Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.
********************************

Seminggu dua ini, peti surat rumah dihujani dengan berbagai risalah promosi valentine day. Banyak promosi pelik seperti Body massage for your valentine moments, Hotel romantic dinner di bawah cahaya lilin, special hotel package for your special day dan macam-macam lagi. Masyaallah! Macam mana la kita nak bentuk generasi muda kita bila promosi sebegini lebih hebat dari usaha kita yang tersangat kecil ini.

Semalam selepas habis mesyuarat pengurusan masjid jam 12.30mlm, Pak Mat (warga tua kariah) menegur saya “Dr, apa kata kalau tuan anjurkan program bawa budak-budak muda ni menunaikan umrah. Mungkin idea kecil saya ini boleh mengubah anak-anak muda kita.” Walaupun Pak Mat bukanlah orang korporat atau pegawai kerajaan(Cuma sekadar menjual air tebu dan kelapa sebagai sumber hidup), namun saya menghargai idea kecil ini.

Good idea Pak Mat! Akan saya usahakan, insyaAllah.

Tuesday, February 10, 2009

Malunya Saya...

Sejak akhir-akhir ini, kita dihujani dengan berbagai perkara berkaitan survival Melayu. Minggu ini, kepimpinan Perak menjadi isu hangat. Raja dan Sultan diheret sama. Saya tidak berminat untuk menjadikan blog ini sebagai medan diskusi politik kepartian. Pun begitu, saya tidak menolak kesyumulan Islam di bawah kepimpinan Rasululah membina kerajaan Islam Madinah. Jika anda pernah pergi ke Madinah, anda akan lihat tersusunnya bandar Madinah dengan berpaksikan Masjid Nabawi sebagai pusat pentadbiran daulah islamiah.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang rakan lama seorang ahli perniagaan bukan Melayu. Sebagai insan berdarah Melayu yang dilahirkan di Tanah Melayu, persoalan di bawah sememangnya memalukan saya. Rakan saya bertanya:

”Mengapa ada 2 ketua dalam sebuah kampong? Tidak bolehkah mereka berkompromi dan meletakkan kepentingan Melayu dan bangsa-bangsa lain sebagai faktor utama? Kalau dulu seorang ketua kampongpun teruk, kalau dah dua ketua kampong lagilah huru-hara.”

”Kenapa orang Melayu gagal mempertahankan bahasa Melayu?”

”Kenapa terlalu banyak papan tanda dan nama bangunan bukan dalam bahasa Melayu? Di Putrajaya, nama kawasan di sebut ’prescint’ / parcel dsbnya. Beliau bertanya lagi ”Malu ke kalau kita namakan kampong 8 bagi menggantikan precint 8, contohnya?”

Kawasan-kawasan perumahan baru menggunakan nama Inggeris, bangunan-bangunan juga nama Inggeris atau nama bukan Melayu/Malaysia. Beliau menambah bagaimana mat salleh boleh mengenali Low Yatt Plaza dan Petaling Street daripada Medan Mara atau kompleks perniagaan Jalan Masjid India?

Tulisan jawi, pada pendapat rakan saya ini, sudahpun berkubur. Dulu, rakan saya ini boleh memasuki kelas jawi di sekolah walaupun dia bukan Melayu. Sekarang, orang Melayu sendiri tidak mahu belajar tulisan jawi apatah lagi membacanya.

Beliau menambah, ”Dr, satu lagi. Isu lembu untuk Raya Haji. Itu lembu diberi kepada Masjid dan surau orang Melayu dan dimakan oleh orang Melayu. Lagipun lembu itu untuk program sembahyang , apasal jadi isu? Kalau itu lembu diberi kepada bukan Melayu logik juga dijadikan isu! ”

Ya, sudah tentu saya malu dengan ulasan rakan saya ini!

Beliau bercerita lagi ”Dr, you tengok bangsa Cina. Kami pertahankan bahasa kami, budaya kami, tulisan Cina kami dan akhbar tulisan kami. Kalau sekolah Cina tiada fund, kami akan usaha kumpulkan. Kami memberi sokongan kepada peniaga-peniaga kami. Tapi, Melayu tak habis-habis mahu gaduh dan melelong budaya sendiri. Isu yang dibangkitkan pun isu yang tidak membina. Siapa rugi?”

*************************************************************
Khamis minggu lepas, saya menghadiri persidangan di Hotel Hilton KL. Persidangan diminta berhenti sebentar kerana tarian naga akan dimulakan dan kumpulan tarian naga ini akan masuk ke setiap bilik seminar/dewan untuk mengambil restu nenek moyang. Cuba gambarkan, bagaimana budaya ini mampu mereka terapkan walaupun persidangan ini di hadiri oleh ramai mat salleh di Hotel bertaraf antarabangsa? Kita pula bagaimana?

„Takkan Melayu Hilang Di Dunia??”

Wednesday, February 4, 2009

Pemanduan Defensif dan Miskin Akhlaq II

Dua bulan lepas saya ada menulis mengenai ’MISKIN AKHLAQ’ di kalangan orang kita. Sedih hati bila perkara yang mudah orang kita tidak mampu melaksanakannya mungkin disebabkan hubungan dengan Allah rapuh, ego dan jiwa gersang.

Saya pasti anda pernah dengar pemanduan defensif. Ianya tidaklah susah tetapi memerlukan kecerdikan emosi dan sifat tolak ansur di jalanraya. Perasaan kita yang tenang dan santai ketika memandu di Tanah Melayu tercinta ini, kadang-kadang digugat oleh insan hipokrit yang miskin akhlaq di jalanraya.

Ketika memandu pulang dari pejabat petang tadi saya sedikit alpa. Mungkin banyak perkara difikirkan. Lampu isyarat hijau tidak saya sedari sehingga menyebabkan sebuah kereta Perdana Hitam (juga bercermin hitam gelap) menghon saya. Ianya tidak berakhir disitu. Kereta berkenaan dengan rakusnya memotong kereta saya dengan membunyikan hon, menghimpit saya, menekan brek dan memperlahankan kenderaan beliau di depan saya. Saya tidak pasti mengapa mungkin kereta beliau bermasalah. Jadi saya memotong kereta tersebut dan memandu sekitar 60km/j dan hon kenderaan belakang berbunyi lagi. Dengan pemanduan defensif, saya mengambil lorong kiri bagi memberi laluan. Kereta saya dihimpit lagi, kali ini saya dimaki hamun. Saya mula mengucapkan ”Astaghfirullah alazim”. Saya membiarkan dan tidak melayan telatah bongkak ini. Lagipun kesalahan saya cuma lambat respon kepada lampu hijau. Kenapalah jadi macam ni? Saya diekori dan dihimpit oleh kereta ini sejauh lebih 7km. Mungkin beliau marah sebab saya tidak memberi sebarang respons dengan sikap agresif tidak bertempat ini. Tiba di satu kawasan beliau terus memaki saya dan bila saya menoleh untuk memberi isyarat badan memohon maaf (saya rasa saya tidak perlu meminta maaf kepada insan bongkak), saya lihat wajah pemandu. Ya Allah pemuda Melayu rupanya! Isyarat badan maaf juga dibalas dengan maki hamun.

Luluh hati bila melihat akhlaq pemuda Melayu ini yang bukan sekadar miskin, mungkin dah jatuh peringkat akhlaq papa kedana! Perkara yang remeh ini buat apalah diperbesarkan. Banyak lagi perkara membina ummah yang perlu difikirkan. Saya maafkan pemuda yang miskin akhlaq ini tapi saya rasa kasihan bagaimana agaknya beliau melayan kedua orangtua yang melahir dan membesarkan beliau?

Mutiara Bicara
Setiap hari fikiran dan emosi kita diganggu oleh insan dan persekitaran negatif. Lebih malang jika unsur negatif ini di lakukan oleh orang-orang Melayu (Islam?). Pemanduan defensif dan aplikasi kecerdikan emosi perlu sentiasa memagari cara kita bertindak. Ianya amat mencabar untuk berlatih bersabar. Moga Allah sentiasa memelihara kita.

Terima Kasih Mekah, Terima Kasih Madinah kerana anda mengajar saya himpunan rimbun buah kesabaran....

Nota:
Jika anda berada dikedudukan saya, apa yang anda akan lakukan?

Monday, February 2, 2009

Apakah Benar Ekonomi Merudum?

Ketika bersarapan pagi tadi dengan seorang rakan lama, saya diperkenalkan dengan seorang CEO satu syarikat antarabangsa. Lengok gaya dan bahasa CEO ini mengambarkan beliau memang orang berada. Beliau mempunyai perniagaan besar dan sering ke luar negara. Beliau bercerita bahawa kesan ekonomi mungkin lebih parah dari kegawatan ekonomi dan krisis kewangan sebelumnya. Wang pelaburan peribadi beliau setakat ini sahaja sudah mengalami kerugian sekitar RM800,000. MasyaAllah! Banyak nye duit dia!

Seminggu dua ini saya mengumpulkan beberapa fakta untuk kajian peribadi. Fakta-fakta berikut saya kutip dari laporan akhbar dan majalah perniagaan (Malaysia):
a) 10,000 orang sudah kehilangan pekerjaan
b) 45,000 orang dijangka hilang pekerjaan
c) Dianggarkan 100,000 warga Indonesia yang sedang bekerja di Malaysia tiada pekerjaan
d) Syarikat gergasi Intel akan menutup 2 kilang
e) MAA melaporkan jualan kenderaan akan merosot 12.4% dalam tahun 2009, harga kereta dijangka naik akibat kerugian forex dan lemahnya RM
f) RAM menjangkakan defisit belanjawan melebihi 5%

Diperingkat global, syarikat multinasional dan gergasi juga mengalami masalah besar. Iceland, sebuah negara dihujung benua, turut menerima nasib kerana muflis! Zimbabwe pula sudah lama mengalami kekecohan nilai matawang yang langsung tidak masuk aqal.

Mungkin dua-tiga bulan lagi negara kita akan mula merasai impak. Berita dibawah amat tidak menyeronokkan:

Govt allows firms, factories to reduce working days
Kuala Lumpur 30/01/09: The Government will allow companies and factories to shorten their operations to three days a week, provided workers were agreeable to the move, Labour Director-General Datuk Ismail Abdul Rahim said Thursday. He said the Government's main concern was to ensure minimal job loss and that companies continue to operate, albeit on a low gear.


Selain kita sholat hajat untuk sahabat palestin, janganlah lupa untuk sholat hajat agar Negara kita terselamat dari bencana ekonomi ini. Juga sama-samalah kita pohon keselamatan diri dan harta benda dari dianiaya orang. Dilaporkan oleh pakar ekonomi bahawa krisis ekonomi kali ini lebih teruk dari krisis ekonomi tahun 1929. Bila orang hilang pekerjaan, maka sudah tentu kadar jenayah meningkat.

Moga Allah selamatkan kita dari bencana. Amin!