Aku Seorang pelakon
Semua insan adalah seorang pelakon. Ketika memberi ceramah dan mengendalikan program Corporate Business Planning dari 25-26 Feb 2009 kepada pengurus-Pengurus sebuah organisasi korporat, saya berkongsi bagaimana hollywood dan jenama Walt Disney di bina. Mereka membina entiti perniagaan ini dalam satu tempoh yang panjang. Saya juga menyebut bagaimana mereka mampu melahirkan pelakon-pelakon dan selebriti handalan yang menjadi bualan orang-orang kita.
Dari sudut lain, akhir-akhir ini berbagai-bagai watak terserlah ekoran krisis politik. Masing-masing mahu membawa watak hero hingga mungkin memualkan penonton. Di pejabat, terlalu ramai pelakon handalan cuba membawa mesej tersendiri. Lakonan hipokrasi dan penonjolan diri sendiri dengan memburukkan orang lain sudah menjadi norma kehidupan pejabat. Ada juga yang tiada kompetensi dan kurang kepakaran tetapi berlakon seolah-olah dia tahu semua perkara.
Malam tadi saya muhasabah diri. Hati saya tersentuh bila saya merasakan bahawa saya juga seorang pelakon. Saya memainkan berbagai-bagai watak dalam sehari. Watak ini berbeza-beza. Di rumah saya membawa watak seorang pemimpin keluarga, di pejabat ada dua watak iaitu watak 1- pemimpin pegawai bawahan dan watak 2- memberi imej sebaik mungkin kepada orang atasan. Di jalanraya, saya membawa watak lain. Sebagai pengguna pula, saya agak demanding dan ini turut mengubah cara saya berlakon. Tanpa disedari, saya berazam untuk membuat lakonan terbaik kepada setiap skrip hidup yang saya lalui.
Muhasabah diri sebenarnya meruntun hati. Ketika sholat, saya berlakon lagi –kali ini dengan Tuhan. Online dengan Tuhan ini banyak gangguan signal. Cuma usaha ini tidak banyak berubah melainkan hati dan diri di bawa dekat dengan Kaabah. Saya cuba tidak mahu berlakon watak hipokrit dengan Tuhan saya. Jika dipejabat saya cuba membawa imej terbaik tetapi mengapa saya tidak bersungguh-sungguh mempersembahkan sesuatu yang terbaik bila melakukan sholat dan berhadapan dengan Allah?
”Ya Allah, ampunilah dosaku jika sholatku hanyalah sebuah lakonan. Ampunilah aku jika usaha sholatku tidak mencapai sasaran kecemerlangan sholat dan kasihanilah aku, ayah-ibuku, guru-guruku, pemimpin dan rakan-rakanku, pengunjung blog setia ini dan seluruh ummah jika kami gagal merealisasikan faedah sholat dalam kehidupan.”
MUTIARA BICARA:
Buatlah persembahan terbaik untuk penilaian Allah. Lakonan hipokrit hanya mampu memberi keseronokkan sementara. Usahakanlah meniti kedamaian hakiki.
2 comments:
amin...
semoga 'penilaian prestasi' yang akan dijalankan oleh Allah swt di akhirat kelak akan membawa kejayaan bagi kita utk meniti siratul-mustaqim
Tingkah laku tidak mahu berlakon di depan orang lain adalah SALAH!
Post a Comment