Saya tidak pernah berangan-angan untuk menjadi pilot kapalterbang. Jauh sekali untuk menjadi Ketua bagi satu operasi penerbangan.
Pada hari pertama, Chief instructor- Kapten Andreas memilih saya menjadi Ketua Staf Penerbangan (Airboss). Tiada alasan kukuh kenapa saya dipilih. Saya terpinga-pinga, apa yang perlu saya lakukan? Saya diminta bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap misi penerbangan dengan dibantu oleh 7 staf penerbangan (7 peserta lain). Masing-masing diberi tugas spesifik sebagai marshall udara, pengawal radio, pegawai fuel, kawalan radar dan udara, pre-flight check officer, navigator dan pegawai pelapor. Masing-masing sibuk dengan tugas sebelum berlepas, ketika pesawat di udara dan selepas pesawat mendarat.
Hari pertama kami menjalani latihan mengendalikan penerbangan komersil. Kami diminta berada di Air base selepas sholat Subuh. Sebanyak 8 penerbangan dilakukan dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Menjadi airboss untuk sepanjang tempoh ini amat meletihkan. Dengan ilmu yang sedikit, saya perlu memastikan pesawat selamat berlepas dan kembali ke pengkalan.
Tiga perkara yang saya belajar pada hari pertama:
1. Bukan mudah rupanya untuk menjadi Ketua staf penerbangan. Selama ini bila naik pesawat, kita Cuma akan bertanya apa menu, di mana toilet, bila berlepas dan bila tiba. Ketika perjalanan jauh, kita akan tambah satu lagi soalan iaitu di mana saya boleh solat dan di mana arah kiblat? (Ramai juga jamaah Haji yang tidak sholat ketika dalam pesawat... alasan biasanya tidak tahu bagaimana hendak solat dalam flight? atau nanti kita qada'lah..) Sesetengah pesawat komersil, ’surau mini’ disediakan.
Tetapi bila jadi airbos, hendak solat dhuhapun boleh lupa, astaghfirullah al-azim. Lemah betul iman! Kenapa boleh lupa? Setiap pesawat perlu dicheck sebelum berlepas. Ketika di udara saya mesti pastikan radio controller memberi arahan yang betul menuju destinasi dan sebelum mendarat saya mesti memastikan radio controller dan pegawai radar udara memberi maklumat yang tepat di mana hendak mendarat.
2. Bila giliran saya menjadi pilot, saya belajar bagaimana menerima arahan dari radio controller di Pusat Kawalan (Air-base). Ada tidak kurang dari 18 petunjuk (18 meter) yang saya hendak tengok di kokpit pesawat ketika di udara. Membawa pesawat di ketinggian melebihi 1,000 kaki dari paras laut dengan kelajuan 250km/j amat menyeronokkan. Saya rasa dunia ini di bawah kawalan saya. Bumi yang hijau di bawah saya dan langit membiru di atas saya memberi saya keinsafan bahawa Allahlah yang menguruskan seluruh kehidupan di langit dan di bumi.
3. Saya berpeluang mengendalikan radio controller untuk memberi arahan kepada pilot untuk penerbangan ke 3 sebelum dan ketika penerbangan. Memberi arahan sebelum berlepas tidaklah sukar. Tetapi memberi arahan ketika pesawat berada di ketinggian 400 meter dan seterusnya menuju destinasi amatlah sukar. Pada awalnya, saya telah memberi arah tuju kompas yang silap. Walaupun masih mampu berkomunikasi, saya segera menyedari kesilapan saya (tiada siapa yang tahu kecuali Airbos. Oleh kerana saya juga airbos maka pegawai lain tidak menyedari kesilapan ini. Pilot, instuctor, navigator semuanya tidak sedar kesilapan ini). Bila menyedari saya silap, saya segera membuat perancangan mengubah sedikit perjalanan pesawat menuju ke kod 270 untuk misi penerbangan tersebut. Ketika itu saya risau jika pesawat sesat. Sebelum ini, satu pesawat telah sesat menuju ke Kuantan kerana kesilapan radio controller memberi arahan.
Mutiara Bicara
1. Biar bagaimana sibuk kita menjalankan tugas, hubungan dengan Allah perlu sentiasa online.
2. Bila menjadi pemandu/ketua/pilot, lihatlah orang dibawah, juga lihatlah di atas kerana Allah melihat kita. Terimalah panduan dan teguran orang dibawah (radio controller) kerana jika engkar pesawat akan sesat. Dalam kehidupan, kita ada Qur’an, kita ada Al-Hadith, kita ada ijma’ ulamak, kita ada ulama, tuan2 guru maka hormatilah mereka. Jika salah satu dari 18 meter petunjuk (indicator) di ketepikan oleh pilot, kemungkinan pesawat boleh menjunam jatuh ke bumi. Jika Qur’an dan Hadith sebagai panduan kita ketepikan, kita juga akan menjunam.
3. Bila menjadi radio controller, berilah arahan yang tepat. Bila menjadi pemimpin berilah panduan, bimbingan dan kasih sayang kepada orang yang kita pimpin. Jika silap, segera buat correction. Jika tidak, orang yang kita pimpin akan sesat sebagaimana pesawat akan sesat jika arahan perjalanan salah diberikan. Tiada salahnya pemimpin mengakui kesilapan, tiada salahnya membetulkan arah tuju dan tiada aibnya meminta pendapat orang lain bagi membetulkan arah tuju kehidupan.
InsyaAllah bersambung siri #3...
2 comments:
Assalamualaikum..DR..saya ada respond dlam article sebelum ni..anakanda sulung saya tentu berminat nak tahu macamana dr dpt peluang jadi pilot..bina satu lagi kemahiran..anakanda saya semasa di uitm kucing dapat tauliah inspektor muda TUDM..minat nak jadi pilot..tapi sekarang sedang lanjut pelajaran di University Northtumbria Newcastle dlm bidang Quantity Serveying..harap dapat tunjukajar..syabas sekali lagi..
salam sis,
Tahniah kerana mempunyai keinginan untuk meningkatkan diri. Saya di hantar oleh majikan saya ke program ini. Ada beberapa kelab penerbangan di Msia yg boleh disertai namun kosnya amat tinggi. InsyaAllah, saya akan maklumkan nama kelab2 tersebut. Sila majukan email sis ke tigeridz@gmail.com ,nanti saya email.
Post a Comment