Followers- Jalinan Ukhuwah

Thursday, April 30, 2009

Kopi Berkafein

Di posting terdahulu saya berkongsi berkenaan seorang rakan saya yang baru mencecah 40 tahun tetapi sudah mendapat sakit jantung. Beliau menyatakan bahawa antara punca beliau mengalami sakit jantung adalah kerana kegemaran minum kopi berkafein jenama terkenal.

Adakah benar minum air kopi berkafein boleh mempercepatkan kelemahan jantung?

Saya tiada maklumat saintifik atau membaca implikasi kopi berkafein ke atas jantung. Ianya cuma dibicarakan secara umum.

Jika anda seorang doktor perubatan atau mengkaji perkara ini, silalah berkongsi di blog ini untuk manfaat pengunjung.

Untuk mengejar Haji atau umrah mabrur, jamaah hendaklah sentiasa fit dan sihat.

Wednesday, April 29, 2009

Menjadi Pilot Pesawat #3

Setiap kali sebelum pesawat berlepas saya akan berbincang dengan pilot, navigator dan radio controller berkaitan peta misi penerbangan. Peta ini disediakan oleh navigator dan jika saya sebagai airbos bersetuju, maka penerbangan boleh dilaksanakan. Perbincangan dilakukan agar semua krew memahami arah tuju destinasi pesawat. Peta perjalanan dilakar dengan anggaran masa penerbangan. Dari titik ke titik (point to point) kami anggarkan masa penerbangan. Radio Controller akan berkomunikasi dengan pilot disetiap titik bagi memastikan pesawat selamat. Jika peta diikut dengan sempurna, pesawat bukan sahaja selamat kembali ke Air base tetapi akan menepati sasaran waktu mendarat.

Saya cuba refleks pengalaman ini dengan kehidupan. Allah sudahpun memberi peta kehidupan dengan panduan dari junjungan mulia Muhammad s.a.w. Kita perlu melaksanakan 5 rukun Islam dalam tempoh kehidupan. Kita juga diberi panduan untuk amalan sebulan seperti puasa, panduan amalan harian seperti shahadah dan sholat, panduan pengorbanan melalui zakat dan panduan kemuncak pengorbanan iaitu Haji. Jika panduan-panduan peta kehidupan ini kita alpa, sudah tentu kita akan sesat, mendustakan Allah dan rasulnya dan melawan kitab suci.

Dalam amalan harian, kita juga bertolak menerusi peta pusingan jam dari titik ke titik. Bermula dengan kewajipan sholat Subuh dan berakhir dengan isya’, kita melalui jalan seharian melalui peta waktu sholat. Maka beruntunglah orang yang bersholat khususnya yang sempurna sholatnya.

Insan juga laksana pilot pesawat. Seorang pilot perlu fokus dan sentiasa bersedia untuk berlepas. Jika tidak, airboss boleh membatalkan penerbangan. Begitu juga, bila satu titik dalam peta perjalanan di tinggalkan, maka kita akan sesat sebagaimana pesawat sesat. Muazin sentiasa mengingatkan kita waktu sholat. Lebih dari itu beliau mengajak kita ” haiya alal-falah” marilah kita menuju kejayaan. Bagi mereka yang tidak menghiraukan titik ini, maka mereka juga tidak menghiraukan titik kejayaan dan mereka termasuk golongan orang yang rugi.

”Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk di dalam sholatnya.....”
Al-Mukminun: 1
Mutiara Bicara
Ya Allah ampunilah dosa kami yang sentiasa tidak khusuk dan fokus ketika melakukan sholat.

Insyaallah bersambung....

Saturday, April 25, 2009

Buku Haji Muda Habis Di Pesta Buku

Hari ini jam 5-6 petang, saya dijadualkan menghadiri slot ceramah dan promosi buku Haji Muda di PWTC sempena Pesta Buku.

Semalam saya menerima panggilan telefon dari Ustaz Imran, Editor PTS Islamika. ”Tuan, buku Haji Muda dah habis tengahari tadi; stor kamipun dah clear. Kami pun tak sangka. Akan segera ulang cetak.” Beliau bertanya saya ”Jadi bagaimana sessi ceramah dan promisi esok petang?” Saya menjawab ”Kalau sekadar berceramah, bila-bila masa boleh. Tetapi oleh kerana misi kita untuk promosi, tidak sesuailah membuat promosi pada perkara yang tidak wujud ketika itu.”

Kepada rakan-rakan yang akan ke Pesta Buku petang ni, saya minta maaf kerana slot ceramah dibatalkan. InsyaAllah pihak penerbit akan memberi saya slot di satu lagi pesta buku di Mines Resort cuti sekolah Jun 2009 nanti.

Moga Allah mempermudahkan urusan kita memandaikan ummah dan bangsa.

Menjadi Pilot Pesawat #2

Saya tidak pernah berangan-angan untuk menjadi pilot kapalterbang. Jauh sekali untuk menjadi Ketua bagi satu operasi penerbangan.

Pada hari pertama, Chief instructor- Kapten Andreas memilih saya menjadi Ketua Staf Penerbangan (Airboss). Tiada alasan kukuh kenapa saya dipilih. Saya terpinga-pinga, apa yang perlu saya lakukan? Saya diminta bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap misi penerbangan dengan dibantu oleh 7 staf penerbangan (7 peserta lain). Masing-masing diberi tugas spesifik sebagai marshall udara, pengawal radio, pegawai fuel, kawalan radar dan udara, pre-flight check officer, navigator dan pegawai pelapor. Masing-masing sibuk dengan tugas sebelum berlepas, ketika pesawat di udara dan selepas pesawat mendarat.

Hari pertama kami menjalani latihan mengendalikan penerbangan komersil. Kami diminta berada di Air base selepas sholat Subuh. Sebanyak 8 penerbangan dilakukan dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Menjadi airboss untuk sepanjang tempoh ini amat meletihkan. Dengan ilmu yang sedikit, saya perlu memastikan pesawat selamat berlepas dan kembali ke pengkalan.

Tiga perkara yang saya belajar pada hari pertama:

1. Bukan mudah rupanya untuk menjadi Ketua staf penerbangan. Selama ini bila naik pesawat, kita Cuma akan bertanya apa menu, di mana toilet, bila berlepas dan bila tiba. Ketika perjalanan jauh, kita akan tambah satu lagi soalan iaitu di mana saya boleh solat dan di mana arah kiblat? (Ramai juga jamaah Haji yang tidak sholat ketika dalam pesawat... alasan biasanya tidak tahu bagaimana hendak solat dalam flight? atau nanti kita qada'lah..) Sesetengah pesawat komersil, ’surau mini’ disediakan.

Tetapi bila jadi airbos, hendak solat dhuhapun boleh lupa, astaghfirullah al-azim. Lemah betul iman! Kenapa boleh lupa? Setiap pesawat perlu dicheck sebelum berlepas. Ketika di udara saya mesti pastikan radio controller memberi arahan yang betul menuju destinasi dan sebelum mendarat saya mesti memastikan radio controller dan pegawai radar udara memberi maklumat yang tepat di mana hendak mendarat.

2. Bila giliran saya menjadi pilot, saya belajar bagaimana menerima arahan dari radio controller di Pusat Kawalan (Air-base). Ada tidak kurang dari 18 petunjuk (18 meter) yang saya hendak tengok di kokpit pesawat ketika di udara. Membawa pesawat di ketinggian melebihi 1,000 kaki dari paras laut dengan kelajuan 250km/j amat menyeronokkan. Saya rasa dunia ini di bawah kawalan saya. Bumi yang hijau di bawah saya dan langit membiru di atas saya memberi saya keinsafan bahawa Allahlah yang menguruskan seluruh kehidupan di langit dan di bumi.

3. Saya berpeluang mengendalikan radio controller untuk memberi arahan kepada pilot untuk penerbangan ke 3 sebelum dan ketika penerbangan. Memberi arahan sebelum berlepas tidaklah sukar. Tetapi memberi arahan ketika pesawat berada di ketinggian 400 meter dan seterusnya menuju destinasi amatlah sukar. Pada awalnya, saya telah memberi arah tuju kompas yang silap. Walaupun masih mampu berkomunikasi, saya segera menyedari kesilapan saya (tiada siapa yang tahu kecuali Airbos. Oleh kerana saya juga airbos maka pegawai lain tidak menyedari kesilapan ini. Pilot, instuctor, navigator semuanya tidak sedar kesilapan ini). Bila menyedari saya silap, saya segera membuat perancangan mengubah sedikit perjalanan pesawat menuju ke kod 270 untuk misi penerbangan tersebut. Ketika itu saya risau jika pesawat sesat. Sebelum ini, satu pesawat telah sesat menuju ke Kuantan kerana kesilapan radio controller memberi arahan.


Mutiara Bicara

1. Biar bagaimana sibuk kita menjalankan tugas, hubungan dengan Allah perlu sentiasa online.

2. Bila menjadi pemandu/ketua/pilot, lihatlah orang dibawah, juga lihatlah di atas kerana Allah melihat kita. Terimalah panduan dan teguran orang dibawah (radio controller) kerana jika engkar pesawat akan sesat. Dalam kehidupan, kita ada Qur’an, kita ada Al-Hadith, kita ada ijma’ ulamak, kita ada ulama, tuan2 guru maka hormatilah mereka. Jika salah satu dari 18 meter petunjuk (indicator) di ketepikan oleh pilot, kemungkinan pesawat boleh menjunam jatuh ke bumi. Jika Qur’an dan Hadith sebagai panduan kita ketepikan, kita juga akan menjunam.


3. Bila menjadi radio controller, berilah arahan yang tepat. Bila menjadi pemimpin berilah panduan, bimbingan dan kasih sayang kepada orang yang kita pimpin. Jika silap, segera buat correction. Jika tidak, orang yang kita pimpin akan sesat sebagaimana pesawat akan sesat jika arahan perjalanan salah diberikan. Tiada salahnya pemimpin mengakui kesilapan, tiada salahnya membetulkan arah tuju dan tiada aibnya meminta pendapat orang lain bagi membetulkan arah tuju kehidupan.

InsyaAllah bersambung siri #3...

Friday, April 24, 2009

Menjadi Pilot Pesawat

Sudah hampir seminggu saya tidak update blog ini. Saya tidak dibenarkan berkomunikasi dengan orang luar untuk sementara waktu. Saya telah diarahkan menjalani latihan membawa kapalterbang di Segamat Johor. Kamera yang saya bawa juga tidak dibenarkan disepanjang latihan.

“Ha! Bawa kapalterbang?” Ramai yang ketawakan saya bila saya nyatakan saya akan menjalani latihan pilot membawa pesawat kecil. Apa kaitan tugas saya dengan kapalterbang? Secara logiknya, memang tiada kaitan. Kos ditanggung majikan pula melebihi RM10,000 seorang. Bila saya diminta hadir, hati saya juga ketawa apatah lagi orang lain. Ketika itu saya berkata, “RM10,000 boleh 2 kali pergi umrah!”

Saya tidak pernah terlintas atau bercita-cita membawa pesawat atau menjadi pilot. Namun, bila peluang hadir, saya akan cuba menguasainya kerana peluang sebegini tidak semua akan perolehinya. Kelas teori membawa kapalterbang telah saya ikuti dua bulan lepas. Selepas menghadiri kelas teori, hati saya tidak sabar-sabar untuk membawa pesawat.

Saya mula berangan-angan sepanjang perjalanan KL_Segamat. Bukankah seronok dan banyaknya pahala jika boleh membawa pesawat komersil membawa jamaah Haji dan Umrah? Di sepanjang penerbangan saya boleh berdoa, mengajak jamaah bertasbih dan bila tiba di Miqat boleh mengajak jamaah bertalbiah. Boleh juga mengajak jamaah solat berjamaah dalam flight. Ketika menunaikan Umrah tahun 2004 lalu, saya menaiki pesawat Biman Air. Peramugari yang bacakan doa naik kenderaan dan doa musafir.

Apa yang saya perolehi bila secara peribadi memegang controller pesawat? Apa perasaan saya? Apa kaitan antara menguruskan penerbangan dengan kehidupan, kepimpinan dan matlamat hidup muslim? Apa yang saya fikirkan berkenaan pengurusan jamaah Haji dengan penerbangan?

InsyaAllah saya akan sambung….

Sunday, April 19, 2009

Peringatan Tuhan

Peringatan Allah

Semalam saya bertemu rakan lama seorang mualaf. Beliau kelihatan cengkung dan pucat. Sebagai rakan lama sudah tentu saya amat perihatin. Beliau menambah ”Aku masuk hospital dan di dalam rawatan lebih kurang dua bulan, sakit jantung.”

Subhanallah, insan yang baru mencecah 40 tahun ini sudah mendapat sakit jantung? "Kerja siang malam untuk syarikat tapi bila sakit kenalah tanggung sendiri." Komen beliau ringkas dan padat. Pun begitu, beliau bersyukur kerana Allah memberi isyarat awal. Ada rakan-rakan kami yang sudahpun menemui alam barzakh tanpa apa-apa isyarat. Ada yang meninggal ketika tidur.

Jika usia anda sudah mencecah 40 tahun dan kelihatan sihat, risiko kesihatan tetap ada. Ramai rakan-rakan saya yang kelihatan sihat dan gagah, tetapi bila menghadiri pemeriksaan kesihatan ada sahaja yang tidak kena. Ada juga yang rebah ketika bermain badminton, pengsan di golf course dan rebah di kerusi empuk pejabat.

Tips berikut mungkin boleh membantu:
1. Buat pemeriksaan kesihatan terperinci bila usia sudah mencecah 40 tahun.
2. Jika anda mempunyai polisi insurans/takaful, sila rujuk syarikat insuran/takaful samada pemeriksaan kesihatan ini ditanggung oleh syarikat. Boleh claim syarikat insuran
3. Pakej pemeriksaan ini diantara RM500-RM1,200. Sila dapat nasihat doktor.
4. Bagi wanita, pemeriksaan awal ini juga amat penting khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal wanita
5. Jika anda mempunyai masalah kesihatan, maklumkan kepada rakan-rakan supaya rakan boleh membantu ketika kecemasan.

Mutiara Bicara

Allah akan memberi kita petanda bahawa perjalanan menemuinya kian hampir. Gugurnya rambut dan putihnya rambut adalah petanda awal bahawa usia manusia tidak panjang. Sholat dua pertiga malam adalah jalan terbaik mendekatkan diri dengan Tuhan. Berhempas pulas siang malam untuk urusan pejabat belum tentu memberi ketenangan dan kedamaian hati.

Tuesday, April 14, 2009

Tips Umrah Bersama Anak

Tulisan kali ini saya khususkan kepada para muslimah yang bakal menunaikan Umrah khususnya kepada Pn Muna dan Kak Solehah yang menulis kepada saya meminta sedikit tips.

Tentu sekali hati melonjak jika kita mampu menunaikan Haji atau Umrah bersama anak-anak. Musim Haji yang lepas, saya telah memberi tips dan nasihat kepada tidak kurang dari 4 pasangan yang bakal ke Tanah suci menunaikan Haji (perkara ini tidak saya kongsi di dalam blog).

Jika anda membawa anak kecil berusia kurang dari 10 tahun, beberapa perkara perlu di beri perhatian.

• Khatan – Jika anak lelaki, pastikan beliau sudah berkhatan.

• Kain ihram – Memakai kain ihram lelaki dewasa agak sukar, apatah lagi anak kecil. Ketika saya membawa jamaah umrah 2006 lalu, ada satu kes di mana anak lelaki (berusia 14 tahun) terlupa untuk menanggalkan seluar dalam ketika berihram. Maka ayah-ibu hendaklah bersedia untuk membayar dam. (Sila rujuk ustaz)

• Losyen kulit Perlindungan UV
Kulit anak-anak kecil agak sensitif dibandingkan dengan orang dewasa. Usahakan anak-anak kecil ini memakai losyen yang tidak menjejaskan ibadah.

• Makan minum
Tidak perlu bimbang. Selain makanan yang disediakan oleh agen Umrah, banyak outlet makanan ada di sekitar Masjid Nabawi dan Masjidil haram. Bawalah anak-anak anda makan di outlet menghadap kedamaian dua Masjid yang Agung ini.

• Waktu Tidur
Rutin tidur akan berubah. Ini sedikit mencabar. Bergantung kepada berapa ramai ahli keluarga mengikuti program umrah anda, menidurkan anak kecil di awal malam boleh membantu mereka bangun awal untuk persediaan solat malam dan subuh. Jika anak-anak anda masih mengantuk, bawa sahaja mereka ke Masjid dan tidurkan mereka di sisi anda ketika solat sunat malam(Musim Umrah Sahaja. Musim Haji dan Umrah Ramadhan mungkin tidak praktikal). Lepas sholat sunat di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram boleh tiupkan di kepala anak-anak anda dan doakan mereka.

• Tawaf sunat
Anak-anak kecil suka berjalan dan berlari-lari. Tawaf sunat akan lebih menyeronokkan bersama mereka (bergantung kepada keadaan jamaah yang sedang bertawaf). Pastikan syarat sah tawaf dijaga.

• Tawaf dan Saie wajib- Jika anak kecil, gunakan push chair/ buggy dari Malaysia khususnya untuk tawaf dan saie nanti. Cuma perlu berhati-hati sebagaimana yang dinasihatkan ustaz-ustaz agar niat tawaf kita tidak berubah kepada niat menolak push chair (sila rujuk ustaz).

• Lampin/Lampin pakai buang drypers/Pampers
Jika anak kecil masih memakai lampin/lampin pakai buang, pastikan ianya sentiasa di tukar (perlu melabur wang untuk membeli lebih lampin ini dari biasa). Juga perlu bawa lampin ini dalam beg sandang anak jika ke Masjid.

• Waktu sesuai untuk Umrah. Lakukan Umrah awal pagi atau malam selepas Isya. Jika berkumpulan, boleh ke Tanaim sebelum Subuh dan kembali ke Mekah waktu hampir Subuh. Lengkapkan tawaf dan saie selepas Subuh.

• Hindarkan memarahi anak ketika di Tanah Haram. Kerenah anak boleh mengugat kesabaran. Perbanyakkan doa dan ungkapkan perkataan-perkataan positif untuk mereka. Mereka adalah Harta yang amat berharga yang anda miliki. Pengalaman tahun 2004 lalu ada satu kes di mana kawan saya yang mengikuti program saya telah kehilangan anak di pusat imegresen airport. Justeru, pastikan anak kecil anda sentiasa bersama anda setiap masa.

• Jika ada maid, lebih baik bawa sekali. Ini dapat membantu konsentrasi ibadah anda.

Bagi saya kita ke sana untuk melakukan yang terbaik untuk diri kita. Kita mempunyai masa yang terhad dan sumber kewangan yang limited. Justeru, Kita mahu melakukan yang terbaik untuk memantapkan iman kita bagi bekalan pasca umrah. Kita juga mahu lakukan yang terbaik untuk anak-anak kita.

Tahniah kepada anda yang bakal membawa anak-anak menunaikan umrah. Selamat berangkat, moga memperolehi haji umrah mabrur.

Monday, April 13, 2009

Cium

Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan dan meniupkan sifat kasih sayang dalam diri kita.

Ketika kecil, kita diasuh untuk mencium Al-quran selepas membacanya (walaupun kita tidak mengerti makna ayat yang dibaca). Begitu juga kita cium orang-orang yang kita sayang termasuk ayah,ibu, nenek, atok, suami, isteri, anak-anak dan mencium tangan ulama dan guru. Ciuman adalah refleksi ke atas sifat kasih sayang kita, penghormatan kita kepada guru-guru dan juga sifat belas kepada anak-anak kecil. Orang yang menghargai wang pula akan mencium wang. Insan yang sayang akan kucingnya, akan mencium kucing.

Mencium anak kecil adalah satu nikmat, dapat release tension. Rasululah s.a.w menganjurkan kita mencium anak-anak kecil khususnya anak-anak yatim.

Ada insan yang menzahirkan kecintaan kepada Rasul dengan mencium tiang-tiang Raudah, geriji besi makam Rasul s.a.w dsbnya. Ada segelintir pula melahirkan kasih sayang Allah dengan mencium kelambu Kaabah, mencium pintu kaabah, mencium rukun Yamani dan mencium Hajar Aswad. Walaupun tabiat ini tidak diajar, mencium/kucup Hajar Aswad pernah dilakukan oleh Rasululah s.a.w.

Pun begitu, bagaimana pula untuk kita mencium Allah pemilik diri dan seluruh alam? Satu soalan yang boleh dijawab namun memerlukan kita untuk berfikir .

Sunday, April 12, 2009

Iktibar Dari Tanah Suci

Alhamdulilah, rancangan Iktibar Dari Tanah Suci Musim Kedua telah mula ditayangkan di Astro Oasis 106. Untuk makluman, setiap siri akan ditayangkan pada Hari Selasa jam 7.30 malam dan diulang tayang pada hari Sabtu 10.30 malam dan Ahad 9.30 malam.

Slot Haji Muda adalah siri ke-8 dan insyaAllah akan ke udara pada 26hb Mei 2009.

InsyaAllah saya akan kemaskini maklumat ini seminggu-dua sebelum siri ke 8 ditayangkan. Moga program ini membawa keberkatan dan bermanfaat kepada muslim.

Wednesday, April 8, 2009

Sahabat Berjiwa Abu Bakr

Ketika saya menunaikan Haji, hampir setiap hari saya membeli akhbar pada harga SR2 senaskah untuk mengetahui perkembangan dunia. Semasa di Madinah, timbul satu isu yang mengemparkan rakyat tempatan. Isunya mendapat liputan meluas media Saudi kerana seorang pemimpin Syiah meludah ke makam Abu Bakr ketika menziarahi Makam Rasul s.a.w. Mereka (syiah) mempunyai hujah tersendiri mengapa mereka melahirkan kebencian ini. Saya tidak berhasrat untuk komen pegangan mereka. Namun, universiti Haji memberi saya ruang untuk berfikir.

Abu Bakr adalah insan pertama yang mengakui peristiwa isra’ dan mi’raj Rasul s.a.w. Di dalam keadaan Rasul s.a.w. dikelilingi oleh Bani Luay dan Bani Ka’ab dan hentakkan hebat Abu Jahal terhadap baginda, Abu Bakr pula mengambil jalan membenarkan kejadian isra’ dan m’raj. Bahkan beliau melangkah satu tangga lagi dengan menyatakan bahawa beliau akan mempercayai peristiwa yang lebih hebat dari isra’ dan mi’raj jika Rasul s.a.w. menyatakannya. Rasul s.a.w mengiktiraf iman Abu Bakr dengan menyatakan jika keseluruhan iman manusia ditimbang nescaya berat lagi iman Abu Bakr.

Peristiwa Hijrah juga membuktikan Abu Bakr adalah insan yang taat dan mempunyai iman yang tinggi. Dalam ramai-ramai sahabat, Rasul s.a.w. telah memilih Abu Bakr menemani perjalanan hijrah yang berminggu-minggu itu. Perancangan strategik dilakukan bersama. Merentas panah mentari di gurun pasir pula bukanlah mudah. Jamaah haji/umrah yang menaiki bas berhawa dingin pun sering mengeluh kerana tidak tahan dengan perjalanan 5-7 jam Mekah-Madinah.

Sukar untuk kita mendapatkan insan yang ikhlas untuk menghulurkan cermin buat kita. Tidak kira samada perkara peribadi atau urusan pejabat, kita amat memerlukan sahabat berjiwa Abu Bakr. Bukankah seronok jika kita mepunyai sahabat berjiwa Abu Bakr. Sahabat yang menjadi cermin hidup mampu memandu kita mendekatkan diri dengan Allah.

Allah berfirman
”Dan kami akan memberi kamu taufiq kepada jalan kebahgiaan (dunia dan akhirat), oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat.”
(Al-A’laa: 9-10)

Thursday, April 2, 2009

Prestasi Kerja Manusia

Baru-baru ini saya bertemu dengan sifu psikologi saya. Beliau bertanya mengapa sektor korporat mengamalkan cara penilaian prestasi yang tidak menghargai sumbangan kakitangan sendiri? Saya tiada jawapan khusus namun mencelah ”Mungkin itu sahaja method yang mampu mereka fikirkan.” Seterusnya saya menambah ”Lagipun, kita mengamalkan sistem kapitalis yang hanya memperkasakan shareholders.”

Beliau meneruskan bicara, ”Sebenarnya semua insan mempunyai kekuatan tersendiri dan saya tidak nampak kepincangan ketara kakitangan yang diberi performance Level 1 (prestasi tidak baik, tiada sumbangan, tidak layak bonus). Beliau menambah ”Bila saya bertemu dengan insan yang prestasi ”teruk” ini, saya dapati mereka sebenarnya ok.” Bagus juga kupasan sifu saya ini.

Kes sebegini bukanlah kes terpencil. Ianya bukan sahaja berlaku di sektor korporat sahaja. Ramai juga rakan-rakan di sektor kerajaan merungut mengenai penilaian prestasi kerja yang tidak adil. Berbagai-bagai kaedah digunakan untuk penilaian prestasi. Pun begitu, kenapa hendak gunakan ’bell curve’ untuk penilaian prestasi? Contohnya jika bell curve menunjukan pecahan 3%, 4%, 50%, 40%, 3% , ini bererti setiap 100 kakitangan, 3 orang akan dianggap tidak perform langsung! Maksudnya, orang yang buat kerjapun berisiko (pada kadar 3% kebarangkalian) untuk jatuh kategori 1 (prestasi tidak baik dan zero bonus/zero increment). Ini bakal menimbulkan ketidakpuasan hati pekerja dan menjejaskan motivasi kerja.

Ketika memandu pulang, saya terfikir betapa sukarnya untuk berlaku adil. Ada insan yang tidaklah buat kerja sangat, tetapi oleh kerana rapat dengan bos maka beliau boleh mendapat cemerlang pencapaian Level 4 atau 5. Ada juga kes, bos sahaja yang mendapat ketegori cemerlang tapi anak-anak buah sekadar biasa sahaja. Macam mana boleh jadi bos sahaja cemerlang tetapi lima lagi anak buah samada jatuh kategori ’biasa aje’ atau ’kurang memuaskan’? Pelik tetapi itulah yang berlaku!

Jika kita sebagai pemimpin, muhasabahlah diri bahawa kita akan ditanya mengenai ketidakadilan yang telah dilakukan. Orang yang kita aniaya akan menuntut haknya di mahkamah Allah, jika mereka mahu. Ketika itu, tiada peguam yang dapat membantu kita..
Allah berfirman
”Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu kelak bakal disoal.”
( AL-Isra’: 36)


Takutlah Allah dan takutlah azab Allah.