Followers- Jalinan Ukhuwah

Sunday, June 28, 2009

Teknologi Blackberry

Minggu ini sudah genap setahun saya menggunakan teknologi blackberry. Ianya adalah hak syarikat yang diberikan kepada saya untuk tugas rasmi. Beberapa bulan lalu, saya maklumkan bos saya, seorang Vice President, bahawa saya tidak mahu lagi menggunakan blackberry. Beliau tidak memberi respons samada setuju ataupun tidak dengan hasrat saya itu.

Secara umum, saya jarang menggunakan handfon rasmi. Untuk tujuan peribadi, saya akan gunakan handfon peribadi. Sebelum menggunakan blackberry, bil handfon rasmi cuma sekitar RM40 sahaja sebulan. Bila menggunakan blackberry, bil handfon melompat ke RM200 sebulan. Itulah dia teknologi terkini, syarikat terpaksa menangung kos 5x ganda!

Di peringkat awal penggunaan blackberry, saya rasa bangga memilikinya kerana tidak ramai menggunakannya. Email pula akan masuk ke set blackberry hampir setiap minit tanpa mengira waktu. Saya akan menerima lebih dari 120 email rasmi sehari. Email personal pula saya tidak link dengan blackberry ini (Email peribadi saya gunakan alamat tigeridz@gmail.com).

Ada seorang insan bertanya saya, ”Apakah teknologi blackberry membantu iman anda? ” Saya menjawab, ”Tidak sebagaimana yang saya harapkan.”

Mengapa jadi begitu?

Berdasarkan pengalaman saya, bila email pejabat bertalu-talu menghujani mailbox dan kemudian di alihkan ke blackberry, maka saya tidak mempunyai pilihan lain melainkan terpaksa membacanya. Mailbox ini akan dialihkan 24 jam sehari melainkan saya tutup handfon.

Saya juga bertanya isteri, anak-anak kecil saya dan rakan rapat adakah stail saya berubah akibat menggunakan blackberry ini? Berikut adalah feedback ikhlas mereka.

i. Saya cenderung untuk menjawab semua email tanpa menyelidiki sesuatu urusan/kes
ii. Respons saya lebih cepat
iii. Ketahanan dan kesabaran saya menurun
iv. Saya cenderung membaca email di blackberry setiap waktu tanpa mengira di mana saya berada. Ini mengganggu atau mungkin menyingung hati isteri, mak, anak-anak dan rakan-rakan.

Perkara penting yang perlu saya dedahkan kepada pengunjung blog ini ialah kualiti solat saya juga terjejas kerana kecenderungan membaca email di blackberry sekerap mungkin. Ini adalah kenyataan!

Tips berikut sedang saya lakukan untuk perbaiki diri khususnya dalam konteks hubungan saya dengan Allah:

i. Elakkan membaca email blackberry setengah jam sebelum waktu solat.

ii. Off blackberry 15 minit sebelum solat (silent mode atau vibration mode tidak banyak membantu kualiti solat dan meningkatkan hubungan dengan Allah).

iii. Bila memasuki kereta, hindarkan dari membaca email di blackberry. Sikap ini turut mempengaruhi cara saya memandu kereta selepas membaca sesuatu email. Emosi saya akan turut berubah dan menganggu fokus pemanduan.

iv. Bila berbincang secara rasmi atau urusan peribadi, lupakan sahaja set blackberry. Fokuskan kepada diskusi.

v. Kita perlukan sedikit masa di luar waktu pejabat untuk mengasingkan diri khususnya di dalam meniti renjisan kedamaian dan hubungan dengan Allah.


Moga tips ringkas ini bermanfaat untuk kita bersama.

Wednesday, June 24, 2009

Rejab- Tips Pengurusan Diri

Hari ini adalah 1hb Rejab 1430H. Maksudnya dua bulan lagi kita akan bergembira dengan kehadiran Ramadhan dan empat bulan lagi panggilan Haji akan ke udara.

Allah s.w.t berfirman di dalam Surah AT-Taubah ayat 34 yang bermaksud,
”Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya 4 bulan Haram. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu..”

Rejab adalah salah satu bulan yang dinyatakan di dalam Qur’an sebagai bulan yang perlu dihormati. Kita banyak mendengar hadis dan kata-kata perangsang untuk melakukan berbagai kebajikan dan puasa sunat di bulan Rejab. Namun ada juga menolak usaha berpuasa di bulan Rejab dengan hujah bahawa hadis yang dikemukan adalah hadis palsu.

Walau apa sekalipun hujah, Imam al-Qurtubi contohnya dalam tafsirnya menyatakan Nabi s.a.w memberi penegasan bahawa Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin Tanah Haram) itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka untuk berhadapan dengan musuh Allah.

Di dalam satu lagi contoh, Imam al-Thabrani merekodkan daripada Anas bin Malik, bahawa apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Apa sekalipun hujah yang diberi menolak berpuasa pada 1 Rejab, ramai juga berpuasa pada hari ini. Ini adalah satu perkembangan yang baik asalkan amalan berpuasa Isnin-Khamis dan puasa-puasa sunat anjuran dan amalan Rasul s.a.w dapat kita laksanakan.

Bulet penting yang ingin saya tekankan di dalam penulisan ini adalah, kita seharusnya berusaha kuat menambahkan amalan-amalan sunat di bulan Rejab dan Syaban untuk persediaan bulan Ramadhan dan bulan Zulhijjah. Jika bulan-bulan lepas kita meninggalkan puasa, maka lakukanlah puasa sunat di bulan ini. Sekiranya kita tidak melakukan solat dhuha pada bulan-bulan terdahulu maka mulakanlah esok. Seandainya kita malas bertahajud, maka kuatkan semangat untuk bangun malam. Jika kita berkira-kira untuk bersedeqah, maka jinakkanlah hati menyeluk barang seringgit untuk bersedeqah.

Bagi bakal jamaah Haji, Allah memberi anda bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan bagi membersihkan ruhani sebelum melangkah mencari redha Allah dan memburu haji mabrur. Jika bulan Rejab, syaaban dan Ramadhan bakal jamaah haji gagal membaiki diri maka memburu haji mabrur di bulan Zulhijjah lebih mencabar. Sekiranya bakal jamaah haji berusaha keras dengan hati yang ikhlas untuk mencari redha dan kasih sayang Allah, sudah tentu Allah akan nampak kesungguhan dan keikhlasan hati anda.

InsyaAllah kita akan sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri dan amalan. Moga Allah memberi kita lebih kekuatan (dengan azam sendiri) di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan.

“Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Monday, June 22, 2009

Sukarnya Mencari Imam


Secara lahiriah, menguruskan masjid nampak mudah. Bila azan berkumandang, sudah tentu kita fikirkan bahawa masjid itu ada imam dan bilalnya.

Tahukah anda bahawa pengurusan masjid akan pening kepala bila imam tidak dapat hadir kerana alasan-alasan tertentu?

Tahukah anda bahawa turnover imam di sesebuah masjid khususnya masjid di bandar adalah tinggi?

Hasil penelitian saya (bukan kajian ilmiah), banyak faktor tingginya turnover imam di bandar-bandar. Oleh kerana mereka juga manusia dan rata-rata bujang, faktor seperti kebebasan, gaji, faedah benefit-in-kind dan pengaruh rakan-rakan antara faktor penting perkara ini berlaku.

Sebagai orang muda, imam-imam muda ini juga inginkan kebebasan. Mereka tidak mahu terikat dengan tempoh yang lama. Menjawat jawatan imam memerlukan komitmen yang tinggi. Jika bekerja sebagai guru agama, contohnya, mereka cuma mengajar dari jam 7.30 pagi hingga waktu Zohor. Selepas jam 2 petang mereka bebas untuk ke mana sahaja. Di sebelah malam, guru agama ini boleh membuat kerja sambilan mengajar anak-anak fardu ain atau kelas mengaji Qur’an. Menjadi imam pula terikat dari Subuh hingga Isya’ (bergantung kepada jadual tugas imam).

Anda sebagai anak kariah di tempat anda, mungkin tidak sedar kemelut yang sentiasa menghantui pengurusan masjid. Pengurusan masjid yang rata-rata adalah sukarelawan/sukarelawati amat gusar memikirkan kemungkinan ini. Mereka ingin melakukan yang terbaik untuk masyarakat dan anggota kariah namun tiada jaminan yang sesebuah masjid akan memperolehi imam muda yang komited dan mahu kekal lama.

Cabaran mengurus masjid sudah tentu tiada kesudahan......





Friday, June 19, 2009

Saturday, June 13, 2009

Kesilapan Diri

Sudah menjadi lumrah kehidupan, kita mahu melakukan yang terbaik atas segala usaha yang kita lakukan. Di rumah, di pejabat, di jalanraya dan dimana-mana kita perlakukan yang terbaik untuk kebaikan semua.

Baru-baru ini saya menegur seorang pengurus atas kualiti kerja, lantas menolak permohonan cuti beliau. Ketika tidak meluluskan cuti beliau, saya tidak mempunyai apa-apa tanggapan negatif terhadap beliau. Fikiran saya ketika itu ialah saya mahu tugas diberi disiapkan seperti sasaran. Tekanan kerja dan kepelbagaian tugas memerlukan saya bertindak tegas. Dengan kehendak Allah, saya menerima satu email yang panjang dari beliau melahirkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan saya membatalkan permohonan cuti. Saya menerima email beliau dengan hati terbuka. Sebagai pengurus (juga seorang isteri dan ibu), sudah tentu beliau perlu juga menguruskan suami dan anak-anak. Beliau pula tidak melihat keputusan saya dari perspektif pegawai atasan.

Satu dua hari ini ketika saya membaca Al-Qur'an saya bertemu dua tiga ayat yang seolah-olah berbicara dan menegur saya. Mungkin dari sudut pandangan 'orang atasan' keputusan saya adalah betul, namun Qur'an seolah-olah tidak mengakui fikiran saya itu. Di mana saya letakkan nilai kasih-sayang dalam pengurusan manusia dan organisasi?

Saya juga terjumpa dua hadis yang cuba menjelaskan ayat Qur'an yang saya baca. Contohnya, hadis riwayat Dari Hasan, Rasululah s.a.w menyebut "Umatku akan masuk syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa tetapi disebabkan selamanya hati dan kemurahan jiwa serta kasih sayang kepada sesama muslim."

Dalam hadis lain Baginda bersabda "Para pengasih akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih. Maka kasihanilah yang dibumi nescaya yang di langit akan mengasihanimu."

Haji dan umrah mengajar saya meninjau peluang kedamaian hakiki dengan mencari redha dan kasih sayang Allah. Tidak rugi mengakui kesilapan diri walaupun ini tidak diajar oleh leadership program acuan barat. Saya mahu menjadi insan cemerlang dan berusaha memperkukuhkan azam ini.

Moga Allah mengampuni saya dan menerima amalan saya yang sedikit ini.

Wednesday, June 10, 2009

Akhlaq Bank Perbankan Islam #1

Di dalam buku Haji Muda, saya ada menyentuh secara ringkas berkaitan keperluan melaksanakan sistem kewangan Islam. Saya juga berkongsi secara umum di dalam Radio Ikim bahawa kita sebenarnya boleh dan mampu melaksanakan kewangan Islam dalam organisasi korporat. Saya mempunyai pengalaman memimpin dan melaksanakannya biarpun terpaksa menempuh ranjau dan duri (ada juga duri dalam daging...). Visi dan misi saya jelas, justeru halangan adalah satu ujian ketahanan diri.

Melangkah setapak lagi, pada hemat saya perbankan Islam bukanlah sekadar sistem kewangan tetapi menjangkau ke nilai abstrak AKHLAQ luhur dari keinsafan untuk memartabatkan penegasan Al-Quran dan sunnah dalam aspek muamalah dan penghindaran riba’.

Kira-kira dua bulan yang lalu saya menerima panggilan dari sebuah bank ’islam’ (nota: bukan Bank Islam) yang memaklumkan bahawa peminjam tidak bayar ansuran bulanan yang hanya baru RM3,000. Saya agak terkejut bila dimaklumkan bahawa saya adalah penjamin untuk personal loan ini. Rupanya saya lupa yang saya pernah menjamin rakan.

Saya bertanya kepada pegawai bank ini, sudahkah anda berhubung dengan si peminjam. Jawapannya ”Sudah”. ”Apa jawapannya?” tanya saya. Pegawai ini menjawab ”Tiada jawapan”. Saya bertanya lagi ”Berapa kali sudah berhubung?” Beliau menambah ”Baru sekali dua.” Saya terus memberi nasihat ”usaha anda tidak cukup! Kena ada kesungguhan bukan transfer problem kepada orang lain. ”

Dalam tempoh sebulan dua ini tidak kurang dari dua kali saya menghubungi pegawai bank ini bertanyakan status. Saya mahu memastikan pegawai bank benar-benar bertanggungjawab. Pegawai-pegawai bank ini sering lepas tangan dan membebankan masalah mereka kepada orang lain (Ini adalah kenyataan kerana sudah ramai yang komen, bengang dan tidak berpuas hati dengan budaya kerja Bank ini). (Nota: Kepada calon PhD dan Masters by research, ini adalah peluang membuat kajian berkenaan sikap work behaviour bank dan pegawai bank). Sikap lepas tangan sebegini amat mendukacitakan. Saya turut berpesan kepada pegawai ini, sila berkomunikasi dengan si peminjam. Jika masih gagal sila berhubung terus dengan saya. Jangan ambil tindakan diluar batasan AKHLAQ MUSLIM lebih-lebih lagi Bank ini adalah Bank yang telah diberi lesen untuk sistem perbankan Islam.

Petang tadi bila tiba di rumah, saya terkejut menerima surat perintah hadir ke Mahkamah. Sememangnya saya dukacita kerana tiada sesiapapun berkomunikasi dengan saya samada pihak bank atau Peguam yang menguruskan tindakan mahkamah (nota: peguam bertaraf posmen yang mementingkan projek untuk mengisi perut sendiri). Di mana akhlaq mereka saya tidak tahu? Bagi saya, Peguam semestinya mempunyai nilai yang tinggi bukan sekadar menjadi posmen. Tiada seorangpun menelefon saya sedangkan saya sudah meninggalkan no hp, no pejabat dan email saya jika mereka masih menghadapi masalah. Tiada juga surat amaran diberikan sebelum ini.

Saya menghubungi rakan saya dan beliau juga terkejut. Beliau nyatakan bahawa beliau sudahpun bayar separuh dari jumlah RM3,000 pada akhir bulan Mac dan telahpun menyelesaikan keseluruhan hutang tertunggak pada akhir Mei 2009.

Jika hutang sudah diselesaikan dan berstatus ”current”, mengapa ugutan menggunakan mahkamah diambil kepada penjamin?

Jika hutang masih tertunggak, tidakkah mereka boleh membantu dengan menyusun semula hutang sebagaimana diamalkan oleh bank konvesional sebagai alternatif bijak pengurusan risiko? (Nota: Mungkin bank ini tidak mempunyai unit pengurusan risiko?)

Sukarkah untuk mereka berkomunikasi dengan saya di zaman teknologi yang serba canggih?

Mengapa bank yang menggunakan motto Islamik ini tiada inisiatif untuk mencari peminjam? Mengapa perlu ”transfer problem” kepada penjamin?

Sebagai seorang muslim yang berusaha memperjuangkan sistem kewangan Islam peribadi dan korporat, peristiwa sebegini amat mendukacitakan saya. Jika bank yang mottonya ingin membawa perbankan Islam tidak menunjukkan akhlaq, bagaimana harapan ummah untuk memartabatkan kewangan Islam? Adakah kita mengharapkan Citibank atau Hong Leong Bank untuk menerajui dan ke hadapan di dalam melaksanakan kewangan dan perbankan Islam?

Undang-undang yang sediaada tidak melindungi pengguna/penjamin. Kelemahan undang-undang komersil yang sedia ada banyak menggangu insan lain yang tidak mendapat apa-apa manfaatpun. Dalam kes sebegini, Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terpaksa membuang masa yang amat tinggi nilainya bagi menghadiri kes mahkamah. Alangkah molek jika kes ini di bawa ke Mahkamah Syariah supaya saya boleh berhujah bersandarkan Qur’an dan sumber ilmu muamalah....

Mutiara Bicara
Rasululah s.a.w membina kepercayaan pendeposit dengan bertunjangkan akhlaq. Akhlaq adalah asas muamalah.

Monday, June 8, 2009

Bukit Fraser

Assalamualaikum pengunjung blog. Alhamdulilah saya baru kembali dari bercuti di Bukit Fraser. Sudah lama saya tidak ke sana (lebih 5 tahun). Banyak juga perubahan berlaku dengan konsep memodenkan persekitaran.
Tujuan saya ke sana bukan sekadar bercuti membawa keluarga. Ianya lebih bagi memberi ruang istirehat agar minda saya dapat bekerja dengan lebih kuat bagi menyiapkan manuskrip buku ke 2 saya (buku inspirasi islami). Moga Allah mengizinkan buku ini berada di pasaran pada tahun ini juga, AMin.

Disamping mencari ruang masa menulis, sempat juga saya merasai nikmat yang Allah beri. Cuaca nyaman dan sejuk serta kicauan burung menyegarkan minda akan kebesaran Tuhan. Bunga-bunga juga kembang mekar subur dengan warna yang berbagai. Itulah dia nikmat mata yang Allah berikan kepada saya.

Moga hari-hari mendatang akan memantapkan hubungan kita dengan Allah dan sesama insan.

Thursday, June 4, 2009

Nujum Pak Belalang

Saya jarang menonton tv. Tv tidak banyak membantu saya menjadi insan cemerlang. Namun baru-baru ini saya mengambil peluang merehatkan minda dengan menonton filem Nujum Pak Belalang. Walaupun sudah menonton filem ini berkali-kali, pengisian cerita tidak menjemukan. Banyak pengajaran yang boleh diambil.

Terlalu ramai insan yang ’jual temberang’ untuk hidup. Saya ingat rakan saya pernah sebut ” Kalau kau lurus bendul, kau tak boleh hidup Wan.” Di satu kesempatan lain, seorang kontraktor berbangsa bukan Melayu pernah tegur saya ”Ridzwan, you cannot survive in the corporate world if you still want to continue with your principle. Rasuah is norm!”

Kita akan terasa terasing jika tidak ’jual temberang’, ianya budaya hidup dulu, kini dan mungkin selamanya. Namun temberang Pak Belalang telah mengubah nasibnya. Beliau tidak rasuah tetapi amat taat dengan perintah Sultan Nizam.

Tiga perkara yang kita boleh belajar dari filem Nujum Pak Belalang:
1. Taat kepada pemimpin
Pak Belalang amat taat kepada pemimpinnya. Beliau akan menurut apa sahaja perintah Sultan. Selagi pemimpin tidak melanggar Quran dan panduan Hadith maka wajib kita mentaatinya.

2. Berfikiran positif
Filem ini memberi gambaran bahawa masyarakat Melayu dahulu juga mengamalkan fikiran positif. Kedua-dua pihak amat positif dan yakin akan menang walaupun mereka sebenarnya tidak bijak menaruh negara untuk tujuan kebanggaan.

3. Meletakkan masa depan di tangan orang lain
Di dalam kehidupan, kita perlu mengambil sepenuh tanggungjawab ke atas apa yang kita lakukan. Namun dalam filem ini, nasib dan masa depan diletakkan kepada orang lain. Perbualan seperti ”Apa pendapat tuan hamba, adakah kita boleh menang dengan 3 soalan tersebut. Maka dijawab oleh Penasihat Sultan ”Tidak perlu risau ”Ahli Nujum Negara pasti tahu jawapannya.”

Filem klasik Melayu ini memberi pelbagai pengajaran kepada kita. Ambillah perkara yang baik dan perbaikilah mana yang kurang agar ia dapat mematangkan kita di dalam perjalanan menuju Ilahi dan membina bangsa Muslim.