Followers- Jalinan Ukhuwah

Tuesday, March 30, 2010

Pengalaman di Kota Mekah





Foto: Pemandangan Masjidil Haram dan Kaabah waktu selepas Solat Asar.



Alhamdulilah dengan izin ALLAH saya telah Berjaya memanjangkan silaturahim dengan saudara Azli yang kini berkhidmat di sebuah hotel 5 Bintang berhadapan Masjidil Haram.

Foto Penyerahan Buku Haji Muda dan Bila Pintu Hati Terbuka untuk saudara Azlie

Asalnya saya berhasrat menemui beliau ketika Umrah Ramadan 2009 lalu, namun tidak kesampaian. Kali ini saya menziarahi beliau dengan ditemani oleh buku Haji Muda dan BPHT, isteri dan anak perempuan saya.

Walaupun pertama kali bertemu, ukhuwah kelihatan seperti sudah lama terjalin. Itulah kekuatan hati tulus dan misi yang jelas. Kami bertukar-tukar pandangan mengenai usaha dakwah dan mengajak insan menhadiri diri ke Tanah Suci.

Dua hari selepas pertemuan pertama, beliau menjemput saya untuk makan tengahari special pada hari Ahad dimana beliau tidak bertugas. Pertemuan kedua, bukan sekadar makan bahkan kami melanjutkan lagi diskusi.
Foto: Menerima jemputan makan tengahari. Saya dan isteri mendengar celoteh Azlie sebelum makan.
Foto: Anak Perempuan saya- Wardah Syaurah background Kaabah. Moga Cinta Kaabah akan terus melekat di hati anak muda ini.

Kepada saudara Azlie, Terima kasih dengan layanan dan jemputan untuk dua pertemuan singkat kita. InsyaALLAH saya akan melewat anda lagi di kesempatan lain.

Bagi yang belum mengenali beliau, sila ziarah http://mazlie-makkah.blogspot.com/

Saturday, March 27, 2010

Majalah ILuvislam Bil 4 15-31 Mac 2010


Anda sudah tentu pernah dengar mengenai Majalah ILuvIslam (berbentuk akhbar). Ianya baru sahaja lahir lebih kurang sebulan lalu. Dengar harga RM2 ramai yang mampu memilikinya.

Alhamdulilah diskusi saya dengan majalah ini telah disiarkan di mukasurat 11 muka penuh di dalam keluaran terbaru Bil 4 15-31 Mac 2010. Sesi diskusi telah dibuat dua minggu sebelum saya berangkat ke Tanah Suci. Saya ingin mengucapkan Jazakallahu khairan khathiran kepada Ketua editor, wartawan dan team iluvislam kerana memberi saya ruang untuk melahirkan idea dan wawasan di kolum majalah ini.

Secara ringkas, saya berkongsi wawasan untuk mengajak masyarakat sama-sama memajukan diri, menguasai ilmu dan menjadikan Haji/Umrah sebagai daya motivasi unggul.



Dapatkan naskah anda
untuk mengetahui
mengapa saya perlu berusaha
melaksanakan misi kecil ini.

Friday, March 26, 2010

Umrah 2010 #2- Keadaan Tanah Suci & Doa untuk Anda

Foto: Masjid Nabawi tempat Muazin berdekatan Raudah.

Keadaan di Madinah ketika saya tiba pada 11 Mac lalu agak dingin. Musim sejuk hampir berakhir. Cuaca nyaman ini memberi sedikit advantage untuk beribadah dan aktiviti luar. Memasuki raudah agak mudah dan muslimah juga tidak menghadapi kesulitan untuk beriktikaf lama di dalam Raudah.

Tanah Suci Mekah juga tidak mengalami cuaca panas melampau. Suhu antara 27-31 darjah celcius memang sesuai dengan kita. Bezanya, Mekah dan Masjidil Haram mengalami kesesakan kerana jamaah dari seluruh dunia sedang berhimpun untuk melaksanakan umrah. Jika lewat ke Masjid, jamaah akan solat diluar Masjidil Haram. Tawaf juga sentiasa sesak kecuali antara jam 10.30 pagi hingga solat Asar. Hajar Aswad sentiasa sesak dengan jamaah yang ingin mengucupnya.

Dari aspek keselamatan, implementasinya agak fleksible. Di Masjidil Haram, Kamera dibenarkan di bawa masuk ke Masjid tetapi di Madinah muslimah tidak dibenarkan membawa hanfon atau kamera ke Masjid.

Diluar Masjid, ciri keselamatan agak rapuh. Pembangunan pesat di sekitar Masjidil Haram mengundang risiko kepada jamaah yang keluar-masuk masjid-hotel. Beberapa kejadian pekerja pembinaan jatuh dari bangunan hotel yang sedang dibina dari ketinggian hingga 40 tingkat. Ada juga jamaah yang meninggal ditimpa kayu besar yang jatuh dari bangunan tinggi ketika jamaah berjalan kaki ke Masjid.

Justeru blog ini menyarankan kepada jamaah Malaysia supaya:-
1. Memerhatikan keadaan di atas bangunan ketika melalui kawasan pembinaan.
2. Berhati-hati dengan lori yang banyak keluar-masuk di kawasan pembinaan/hotel.
3. Berjalan kaki di kaki lima bangunan yang kurang terdedah kepada bahaya jatuhnya batu/besi/kayu dari tingkat tinggi.
4. Memakai mask bagi menghindari debu dan selsema yang mudah merebak.


DOA UNTUK ANDA

Alhamdulilah saya telah menyempurnakan hajat rakan-rakan dan mendoakan mereka yang berpesan doa untuk saya sampaikan di Mekah tempohari. ALLAHlah yang berhak untuk disembah dan berdoa terus kepadaNYA.

Kepada beberapa rakan mohon doa khusus, saya telah mendoakan agar ALLAH segera memilih tuan/puan untuk menjadi tetamu ALLAH untuk musim Haji tahun ini.

Kepada Pengunjung dan tetamu blog HM ini, saya mendoakan secara umum agar anda semua diberi rezeki oleh ALLAH, dilapangkan masa, diberi kesihatan dan diberi semangat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya berharap blog ini dapat membina jalinan ukhuwah yang ikhlas dan mampu sedikit memimpin diri untuk membuat kebaikan.

Harapan saya agar satu ketika nanti, kita dapat sama-sama menunaikan umrah bersama saya sebagaimana saya gembira membawa 17 insan yang ingin mengubah diri dan menyusun kembali misi hidup ini. AMIN!

Thursday, March 25, 2010

Outer Journey- Umrah Mac 2010

Foto : Di Dataran Kaabah, posisi utama Kaabah (Pintu Kaabah dan Makam Ibrahim)


Foto Tawaf: Keadaan yang sentiasa sesak


Foto Tawaf : Selepas jam 10 malam

Alhamdulilah, saya dan rombongan telah selamat kembali ke Tanahair dalam usaha membina diri dan mengajak hati agar sentiasa ikhlas melakukan kebaikan.

Perjalanan ini adalah penting untuk diri saya secara peribadi kerana Cinta Kaabah mengajak saya mentransform diri untuk menjadi insan yang lebih komited dari semalam.

Moga ALLAH menerima amalan kita untuk terus bekerja demi adden al-Islam.

InsyaALLAH, saya akan menulis beberapa catatan baru untuk berkongsi kepada tetamu saya di blog HM ini.

InsyaALLAH bersambung, Tunggu....

Thursday, March 11, 2010

Outer Journey Ikhlas Dan Komen BPHT & HM

InsyaALLAH saya akan keluar negara selama dua minggu untuk program peribadi ‘Outer Journey- Ikhlas’. Mencari tahap ikhlas bukan mudah but I must do it! Bersama-sama saya ada seramai lebih kurang 17 orang untuk sama-sama reprogram misi hidup ini dan sama-sama menghayati Outer Journey Ikhlas Program.

InsyaALLAH jika ada kesempatan saya akan update blog ini dari masa ke semasa sepanjang dua minggu ini.

Supaya blog ini tidak sepi, saya menjemput tuan-puan untuk memberi komen pengisian dan perkongsian buku BPHT dan HM. Komen-komen membina dari tuan-puan saya amat hargai agar ceramah-ceramah dan penulisan saya lebih mantap dan energetik.

Di kesempatan ini, saya pohon maaf kepada pengunjung setia blog HM jika ada salah silap di pihak saya. Juga maaf kerana jarang update blog kerana alasan ’sibuk’. Juga maaf kepada sahabat-sahabat Masjid Al-Munawwarah dan Persatuan Penduduk kerana tidak dapat memberi perhatian khusus buat anda.

Kepada tuan/puan di luar lembah Kelang, jika BPHT belum juga tiba di kedai-kedai utama di tempat anda, sila lawat www.alaf21.com.my dan boleh membuat pesanan terus ke Penerbit atau telefon 03-5511 8820.

Status Dana Amal BPHT


KUTIPAN AMAL BPHT SEHINGGA 10 Mac 2010

Alhamdulilah dengan sokongan tuan-puan buku BPHT telah Berjaya memasuki pasaran. Kutipan terkini untuk tabung amal melalui platform BPHT kini adalah sebanyak

RM415.

Wang terkumpul RM415 ini bukanlah wang saya. Ianya adalah wang Prof/Dr/Tuan/Puan yang telah memulangkan RM2 diskaun bagi setiap buku yang dipesan terus dari saya (Lihat entri terdahulu Feb 21, 2010). Berbagai cara kawan-kawan bloggers membuat sumbangan melalui wadah BPHT. Ada yang bayar beratus ringgit untuk membeli 8-10 naskah BPHT.

Yang pasti, mereka membeli bukan sekadar untuk mengambil manfaat dari perkongsian kecil BPHT malah mereka ingin menambah amal kebajikan.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam posting terdahulu, mana-mana pesanan yang tidak mahu mengambil diskaun yang saya beri, maka wang ini akan saya satukan untuk tujuan kerja amal BPHT. Pada mulanya saya berhasrat untuk menambah dana Masjid Munawwarah. Namun saya berpendapat, lebih baik jika saya salurkan wang ini kepada Pusat Anak Yatim/ Tahfiz Quran. Dengan harapan, sedikit sumbangan tuan-puan dan pembeli dapat dimanfaatkan oleh anak-anak yang sedang menghafal Quran. Pahala mungkin lebih besar.

Saya meletak sasaran RM800 untuk kerja amal melalui wadah BPHT. Saya Cuma memegang amanah Prof/Dr/Tuan/Puan dan insyaALLAH kita sama-sama kongsi ganjaran ALLAH. InsyaALLAH saya akan serahkan dana terkumpul BPHT atas nama tuan/puan bila sasaran telah dicapai. InsyaALLAH satu majlis rasmi akan saya lakukan.

Di posting lepas saya menyentuh tazkirah ringkas “ikhlas” khusus untuk muhasabah diri saya untuk mengejar kebaikan, Rahmat dan ganjaran ALLAH. Wadah amal BPHT adalah satu usaha kecil supaya kita sama-sama melakukan kebajikan yang kecil untuk insan yang memerlukan.

Monday, March 8, 2010

Ikhlas, Jom Aminkan!


Kita sering menyebut perkataan ikhlas. Kita akan marah bila orang mengata kita tidak ikhlas. Hakikatnya, sukar kita mengukur keikhlasan seseorang. Kita juga tidak mampu mengukur keikhlasan diri kita. Ianya adalah martabat yang tinggi yang kita mesti usahakan menguasainya.

Kita bimbang amalan kita yang tidak seberapa ini termasuk dalam kategori tidak ikhlas. Kadang-kadang kita bersedeqah, lepas tu kita bersungut. Atau kita memberi sesuatu, lepas tu kita mengungkit pemberian kita.
Ketika saya remaja dahulu, ada seorang Pak Aji di kampong saya melaburkan wangnya untuk sponsor siak MAsjid menunaikan Haji. Setelah tamat menjalani ibadah Haji, Pak Aji ini mengunkit-ungkit pelaburan yang telah dia lakukan. Akibatnya, silaturahim tidak bertahan lama. Mungkin akan timbul kategori tidak ikhlas di sisi ALLAH. Silaturahim hancur, pahala juga mungkin berlalu..

Imam al-Ghazali menyebut di dlm Muqaddimah kitab An-Niyyah Wal-Ikhlas..

"Dengan penghujahan iman yang nyata dan cahaya al-Quran, mereka yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak mungkin akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua insan pasti akan binasa kecuali mereka yang berilmu. Mereka yang berilmu pula pasti akan binasa kecuali yang aktif beramal. Semua insan yang aktif beramal pula akan binasa kecuali mereka yang ikhlas."

Amal tanpa niat adalah sia-sia, niat tanpa ikhlas adalah riya'. Ikhlas tanpa kejujuran dan lemah perlaksanaan adalah merugikan.

Moga ALLAH sentiasa memelihara kita dan menerima setiap amalan kita,

"Ya ALLAH terimalah usaha dan amalan kami dan masukkanlah kami dalam golongan insan-insan yang ikhlas." Amin!

Sunday, March 7, 2010

Program JatiDiri UTHOM

(Foto Peserta Program)

Alhamdulilah di dalam kesibukan, saya menunaikan jemputan dari kawan untuk sama-sama menjayakan program Bina Jati Diri Pemimpin Pelajar Universiti Tun Hussein Onn (UTHOM) Johor, disebuah lokasi nyaman pergunungan di Selatan Tanahair. Mereka adalah kumpulan pelajar yang mengikuti program lepasan ijazah yang akan memasuki alam pekerjaan bulan depan. Saya yakin dengan program jati diri hampir enam bulan ini akan memantapkan persediaan mereka terjun ke sektor korporat, Awam atau menjadi usahawan Berjaya.

Di dalam ceramah saya nyatakan, apakah yang dikatakan sukses, berkongsi tip-tip penting sukses hidup dan bagaimana para pelajar seharusnya menempuh perjalanan memasuki alam pekerjaan. Adakah nilai ijazah mencukupi mengharungi dunia pekerjaan?

Selepas makan tengahari, saya menyentuh sedikit peranan ibu dalam konteks sukses hidup. Saya tekankan pemimpin yang HEBAT sentiasa memegang satu anak kunci hidup. Bila anak kunci ini hilang, tiada emas dan harta dunia dapat mengantinya. Di akhir bicara, saya gunakan nada bersajak mengutip tulisan BAb 1 mukasurat 9 BPHT. Di kala itu para pelajar mula menangis. Mereka menghayati apa yang saya maksudkan. Tanpa disedari saya turut menitiskan airmata bahawa satu hari nanti saya juga akan kehilangan anak kunci ini.

Foto bersama Pensyarah-Pensyarah Kanan UTHOM)

Kepada Profesor, Pensyarah-pensyarah kanan unit CEC UTHOM Johor, Pensyarah-Pensyarah dan pegawai pentadbiran, terima kasih kerana menjemput kami untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman.

Kepada pensyarah-pensyarah kanan yang mendengar ceramah saya, saya amat gembira kerana perkongsian ringkas jati diri ini telah membuka pintu hati tuan/puan untuk meneruskan perjalanan menguasai ilmu di peringkat PhD.

Yahudi hebat dan Berjaya kerana ilmu dan kajian berterusan. Bangsa Cina GAH kerana melabur wang untuk pendidikan anak-anak mereka. Muslim Melayu juga boleh HEBAT bila kita menguasai ilmu dan melakukan banyak kajian.

Monday, March 1, 2010

Packing Amalan

Nota: Foto Perkuburan Syuhada' Uhud. Syurga menanti mereka bila mereka sudah packing amalan Ketegori A++

Kematian adalah satu peristiwa yang pasti akan kita tempohi. Cuma kita tidak tahu bila tarikh dan masa kita akan berangkat. Jika kita belum siap packing amalan, kena usahakanlah dari sekarang.

Di dalam buku BPHT saya ada berkongsi akan kepentingan memohon Husnul khatimah penyudah hidup. Ianya penting kerana saat kematian adalah satu tahap yang menyakitkan. Kita tidak mengerti betapa azabnya saat itu, cuma digambarkan azabnya seperti kulit kita ditarik-tarik keluar dari tubuh.

Dua hari lepas makcik saya meninggal dunia. Bila saya tiba di rumah beliau dan melihat jasad terbaring di ruang tamu rumah, saya perhatikan yang beliau akan berangkat pada bila-bila masa. Segera saya himpunkan semua saudara mara untuk sama-sama memberi sokongan, moga ALLAH permudahkan perjalanan beliau.

Berhadapan dengan insan diakhir hayat amat memeritkan insan yang melihatnya. Kita tidak mampu melihat kesukaran dengan mata kasar, apatah lagi dengan si mati yang melaluinya. Ungkapan syahadah yg dibisikkan ke telinga kelihatan sukar untuk diluahkan. Biarpun secara zahirnya amalan seseorang itu banyak namun Pertarungan perpisahan ruh dan jasad mungkin amat hebat di saat kritikal itu.

Saya belajar satu perkara penting. Di saat akhir nyawa manusia, dia memerlukan sokongan. Mungkin amalan hidup seseorang itu hebat, namun dia masih memerlukan sokongan orang yang terdekat. Bacaan ayat Qur’an secara berterusan dan doa kita amat diperlukan oleh insan yang sedang menuju perpisahan.

Bukankah seronok jika diakhir perpisahan, kita termasuk dalam golongan yang malaikat akan sebut ”Salamun ’alaikum bima shabartum” , alangkah baiknya tempat itu. Amin!

Cubalah semak, sudahkah kita packing amalan kita menuju TUHAN?