Followers- Jalinan Ukhuwah

Friday, April 30, 2010

Ketika Minda Letih #3

Muhasabah: Melalui tightrope inipun susah, apatah lagi melalui titian sirat

Memasuki syurga tanpa hisab sudah tentu menjadi keinginan kita. Para ahli maksiatpun ingin masuk syurga. Ada juga yang bermadah untuk menunggu di pintu syurga.

Ketika bersarapan dengan seorang rakan, beliau menyentuh soal kematian. Bila beliau diuji dengan serangan jantung mengejut, tiada lagi kalimah yang diingati melainkan ALLAH. Beliau berkongsi cerita bahawa disaat kritikal itu, anak-isteri dan harta benda sudah tiada nilai. Memohon izin dari ALLAH supaya melanjutkan sedikit lagi usia agar boleh beribadah dan mengingati ALLAH adalah agenda penting. Dan ALLAH izinkan usia beliau dilanjutkan (belum ajal lagi).

Beliau menambah, setelah ALLAH mengizinkan untuk ’hidup semula’ , maka tabiat lama masih diamalkan. Qur’an berbicara bagaimana manusia di Yaumul Akhirah memohon kepada ALLAH untuk kembali ke dunia untuk beramal dan berzikir. Begitulah proses yang beliau lalui. Memohon kepada ALLAH supaya dapat dihidupkan untuk melakukan amalan. Justeru beliau sendiri mempersoalkan kemampuan diri untuk beramal setelah diberi peluang untuk ’hidup semula’.

Berikut saya turunkan hadis sambungan dari entri terdahulu,

”Maka berkatalah para sahabat, mungkin mereka yang tidak dihisab dan di azab ini adalah mereka yang rapat dengan Rasul s.a.w. Ada juga berpendapat mungkin mereka dilahirkan dalam Islam dan tidak melakukan syirik kepada ALLAH. Kemudian Rasul s.a.w menemui mereka lalu baginda bertanya apa yang sedang kamu bincangkan? Mereka menerangkan keadaan. Lalu baginda bersabda golongan yang tidak dihisab dan diazab itu ialah mereka yang tidak menggunakan jampi mentera, tidak meminta untuk dijampikan, tidak meramalkan perkara-perkara yang buruk dan hanya kepada ALLAH mereka bertawakkal. ”

Hadis Riwayat Muslim



Antara tabiat manusia yang dibenci ALLAH ialah melakukan perbuatan syirik. Di dalam buku HM saya berkongsi bagaimana kita tanpa sengaja melakukan perbuatan meletakkan illah lain selain ALLAH. Pangkat dan harta boleh menjadi Illah bila kita mendahulu kannya dari ALLAH. Mungkin kita pernah melewatkan solat kerana memburu pangkat dan harta. Mungkin kita mengutamakan diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan dari tuntutan agama. Mungkin juga kita sibuk merancang membesarkan rumah dari membesarkan amalan.

Bila manusia menerima serangan jantung mengejut, ketika itu mungkin kita baru terfikir mengenai amalan kita. Kita seharusnya bersyukur kerana hari ini jantung kita masih berfungsi agar kita dapat melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Sebentar lagi muslimin akan melakukan solat Jumaat, maka hayatilah intipati khutbah. Bagi muslimat yang bekerja, isilah waktu break solat jumaat untuk mengadakan kuliah zuhur di pejabat.

Wallahalam.


mc

Sunday, April 25, 2010

Ketika Minda Letih #2

Nota: Moga Insan yang berusaha melakukan Tawaf dan menyematkan impian ke Tanah Suci akan menerima kerusi empuk di Syurga ALLAH.

Ketika minda letih, saya menyandar di sofa di ruang tamu. Jam sudah mencecah jam 11.15 malam. Saya mencapai sebuah bahan rujukan. Mata cuba mencari apa yang perlu saya fokuskan. Ternyata keletihan tidak mampu menghidupkan fokus. Keletihan juga tidak mampu menyelamatkan saya di Padang Mahsyar.

Atok-nenek dan Guru-guru kita sering menyebut akan huru-haranya kiamat. Baru-baru ini saya diberi peluang menonton peristiwa Tsunami 2004 yang disiarkan oleh sebuah TV. Dokumentari ini menunjukkan betapa huru-haranya manusia mencari perlindungan akibat tsunami tersebut. Jika Tsunami ini pun manusia tidak mampu menanggungnya, bagaimana huru-hara kiamat dan Padang Mahsyar?

Membelek kitab ini memberi saya sedikit energi. Minda yang letih kembali segar dengan cerita mengenai diskusi Rasulualh s.a.w dengan para sahabat;

Rasululah s.a.w berkongsi,
”Aku telah diperlihatkan oleh ALLAH mengenai beberapa kelompok umat manusia di Padang Mahsyar. Aku telah melihat seorang nabi bersama umatnya dan seorang nabi dengan satu kumpulan yang tidak lebih dari 10 orang. Seorang nabi lain pula dengan seorang lelaki sementara seorang lagi nabi tanpa seorangpun umatnya. Tiba-tiba aku ditunjukkan dengan satu kumpulan yang ramai. Aku menyangkakan mereka adalah umatku. Tetapi dimaklumkan kepadaku kumpulan ini adalah umat nabi Musa a.s. Bila diarahkan aku melihat di satu sudut, kelihatan satu lagi gerombolan umat yang besar. Di sudut lain ada lagi satu kumpulan. Di katakan kepadaku, inilah umatmu dan bersama mereka ada seramai 70,000 orang yang akan memasuki syurga tanpa hisab dan tanpa azab..........."
Minda yang letih ini bertanya diri sendiri:

1. Ada nabi yang bekerja keras untuk agama ALLAh hanya ditemani 10 orang sahaja umatnya di Padang Mahsyar? Diriku yang leka dengan duniawi ini bagaimana?

2. Berapa bilangan sebenarnya gerombolan umat Muhammad?

3. Jika satu gerombolan mempunyai 70,000 orang; ini bermakna sedikitlah umat Muhamad yang bertuah ini? Di dunia kita boleh melobi, pakai kabel, mencantas orang untuk merebut pangkat, merampas hak orang dan memburuk-burukkan orang lain supaya kita aje yang berjaya. Di Mahsyar nanti kabel mana nak pakai?

4. Bagaimana untuk kita menerima kebaikan agar diselitkan dalam senarai 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan diazab?

ALLAHU AKBAR! Kelihatan ianya sukar, tetapi boleh diusahakan.

”Ya ALLAH Cinta Kaabah mendekatkan kami kepada MU. Maka Pilihlah kami di dalam senarai umat Muhammad s.a.w yang mampu memasuki Syurga Mu tanpa dihisab dan diazab.” AMIN!

Bersambung InsyaALLAH....

Thursday, April 22, 2010

Ketika Minda Letih #1

Ungkapan Platinum: Bila minda letih, melelapkan mata sebentar boleh mengembalikan energi.

Pulang dari pejabat sudah tentu meletihkan. Kehidupan di bandar kosmopolitan seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam meningkatkan lagi stress akibat kesesakan jalanraya.

Malam tadi saya menerima tetamu. Diskusi ringkas membuka hati kami untuk menghitung masa. Jika dalam buku BPHT saya menyatakan ALLAh sudah berlaku adil dengan memberi kita sehari 24 Jam, maka adakah kita berlaku adil pula dengan ALLAH?

Saya mengambil satu contoh. Jika kita mengalami kesesakan jalanraya selama purata 2 jam sehari, maka dalam sebulan masa kita ‘terbuang’ sebanyak 30x2= 60 jam. Setahun 60jam x 12 bulan = 720 jam. Jika kita mampu bekerja hingga pencen (katakan 30 tahun berkhidmat), maka jumlah masa ‘terbuang’ ialah 720jam x 30 tahun = 21,600 jam = 900 hari = 2 ½ tahun.

ALLAHU AKBAR! Banyaknya masa terbuang akibat kesesakkan jalanraya!

Untuk memanfaatkan hidup yang ternyata singkat ini, amalan berikut boleh dilaksanakan:-

1. Berdoa selepas solat Subuh agar ALLAH memelihara kita dari membuang masa kepada perkara yang tidak berfaedah.
2. Keluar awal bagi mengelakkan kesesakan jalanraya. Ini akan menjimatkan masa kita.
3. Semasa di dalam kereta untuk ke pejabat (Selepas solat Subuh), berzikirlah secara sendirian. Jika malas berzikir, beli CD al-Mathurat atau CD AL-Qur’an dan mainkannya di dalam kenderaan.
4. Jika perkara no 3 malas juga, ON kan radio IKIM.
5. Jika masih malas, elakkan membuka saluran radio atau CD yang tidak membina emosi dan aqal.
6. Jika masih malas juga, berdiam diri ajelah dan fokus kepada pemanduan supaya kita selamat.

Jika anda pergi ke pejabat dengan menaiki komuter atau LRT, tip di atas lebih sukar. Bukan sahaja sukar, ujian lain pula menunggu..

Sekiranya langit dan bumi sentiasa bertasbih, mengapa kita tidak boleh melakukannya? Jika manusia masih sombong, maka bumi akan menurut arahan ALLAH. Bila ALLAH mengarahkan sedikit ledakan bumi, maka aktiviti ekonomi diseluruh Eropah lumpuh selama lebih dari 3 hari.

Bertasbih adalah amalan yang mudah tetapi berat untuk dilakukan. Ketika minda letih, basahkanlah bibir dengan zikrullah. ALLAH nyatakan di dalam AL-Qur'an (Al-Ahzab:41)

” Wahai Orang-Orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama ALLAH, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang."

Semua makhluq bertasbih kepada ALLAH. Jika mereka boleh, kita juga boleh!

Monday, April 19, 2010

Siapa Kata Melayu Tidak Pandai...?


Omokkan seolah-olah orang Melayu tidak pandai menjadi sinonim. Bangsa bukan melayu pula sibuk memburuk-burukkan Melayu yang telah banyak berkorban untuk berkongsi kekayaan di Tanah Melayu ini. Tidak kira samada mereka berada di Msia atau di luar Tanah Melayu ini, tabiat buruk bangsa ini tidak akan luput mengutuk Melayu.

Dalam buku BPHT saya nyatakan bahawa kita adalah bangsa HEBAT dan akan lebih HEBAT bila menjunjung perlembagaan ILAHI. Kita dimuliakan oleh ALLAH dengan Al-Qur’an. Kehebatan generasi al-qur’an terdahulu bersandarkan ilmu dan membina pengalaman serta kepakaran.

Hujah-hujah berikut membuktikan bahawa Melayu sebenarnya pandai juga:-

1. Dalam seminggu dua ini saya banyak menghadiri dan melihat sendiri bagaimana anak-anak pewaris ummah bersaing untuk merebut biasiswa/tajaan pelajaran ke luar Negara. Mereka memperolehi SPM dgn 11A, 10A, 9A dan 8A di dalam peperiksaan SPM yang baru sahaja diumumkan bulan lepas. Wajah mereka menunjukkan mereka adalah anak-anak cerdik yang perlu kita bina.

2. Pengalaman saya memberi ceramah di sektor korporat dan seminar perniagaan di Malaysia dan Singapura membuktikan bahawa Melayu adalah bangsa yang mampu bersaing. Mungkin ada antara Kita membuat andaian bahawa Melayu adalah bangsa yang pasif dan jarang-jarang bertanya. Pengalaman saya membuktikan bahawa bangsa lain pun sama juga. Mereka juga tidak banyak bertanya bila sesi soal-jawab dibuka. Jadi, apa hebatnya mereka jika dibandingkan dengan kita?

Bagi menjamin masa depan anak-anak Melayu ini, blog HM mengharapkan agar kerajaan melalui JPA dan institusi Melayu seperti MARA serta badan/agensi Islam seperti Baitulmal/ Pusat Zakat dapat memainkan peranan yang lebih aktif untuk menaja anak-anak Muslim Melayu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Institusi Kewangan Islam seperti Tabung Haji, Bank Islam, Bank Rakyat dll perlu juga membuka peluang menaja cerdik pandai Islam-Melayu untuk menguasai ilmu di luar negara. Apa guna untung ratusan juta RM jika tidak dilaburkan untuk mencipta kecemerlangan ummah melalui pendidikan.

Kita tidak merampas hak orang di negara ini, tetapi kita pertahankan hak kita. Jika kita tidak berusaha pertahankan hak kita, maka siapa lagi akan lakukannya?

Moga ALLAH mengizinkan anak-anak pewaris ummah ini terus maju dan menjadikan AL-Qur’an dan sunnah sebagai panduan hidup.

Thursday, April 15, 2010

Blackberry #2


Blackberry... crack our head..?

Memiliki gadget terkini seperti blackberry atau iphone menjadi kebanggaan sesetengah anak muda. Mereka akan dianggap up-to-date jika memilikinya. Ianya menjadi keperluan mengisi ‘lifestyle’ generasi ini. Ianya mungkin juga menjadi alat penting untuk menunjukkan status dan boleh dijadikan kuasa tarikan bagi menarik perhatian orang.
Setahun yang lalu, saya ada menyentuh dalam blog HM mengenai blackberry dan bagaimana gadget ini boleh merosakkan kualiti solat. Secara umum saya menyentuh jika kita ON hanfon semasa kita sedang solat, kita tidak akan mampu membawa gelombang otak ke tahap yang sepatutnya. Akibatnya kualiti solat akan menurun. Sebelum solat berjamaah bermula, Kita sering dengar imam masjid menyebut “Sila silentkan hanfon anda.” Pada hemat saya ianya tidak tepat. Perkataan yang sewajibnya ialah “Sila OFF hanfon anda ketika solat.”

Dua tahun lalu Telekom Malaysia pernah melakukan kempen lebih kurang berbunyi ”Panggilan ILAHI lebih utama, sila off/silentkan hanfon anda ketika solat.” Kempen yang tidak membawa duit ini seharusnya menjadi contoh kepada syarikat-syarikat cellular di Malaysia, yang keuntungan mereka dilaporkan berjumlah RM Billion.

Bulan Oktober 2009 lalu, Saya turut menyentuh persoalan blackberry dan persediaan Haji di dalam tulisan saya dalam akhbar Berita Harian sebelum musim Haji 2009 bermula sebagai panduan kepada jamaah Haji Malaysia. Saya nasihatkan jamaah Haji supaya tidak terlalu ghairah dengan blackberry mereka dan bawalah fikiran fokus memburu Haji mabrur.

Pada Umrah baru-baru ini, saya tidak mengaktifkan signal blackberry di Tanah Suci. Namun saya membawanya kerana banyak data-data penting disimpan di gadget tersebut. Sepanjang berada di sana, saya menggunakan telefon bimbit biasa 3G untuk tujuan menelefon dan sms sahaja. Hakikatnya, pendekatan ini dapat meningkatkan kualiti kehidupan saya sepanjang di Tanah Suci. Saya juga tidak perlu bimbang dengan caj roaming kerana signal rangkaian telekomunikasi set blackberry telah di offkan. Untuk menjimatkan kos, saya menggunakan perkhidmatan telekomunikasi selular syarikat Saudi. Ini bersandarkan pengalaman saya bahawa syarikat selular Malaysia tidak banyak membantu dari sudut penjimatan kos kepada jamaah Haji dan Umrah. (Nota: Dengar cerita syarikat-syarikat selular Malaysia memberi bonus sehingga 5 bulan sedangkan pegawai-pegawai kerajaan masih ternanti-nanti imbuhan kecil. Betul ke…?)

Pun begitu, sudah lebih 12 hari saya patah kaki kerana set blackberry saya tidak berfungsi. Kedua-dua features penting email dan sms tidak masuk ke set blackberry. Banyak appointment yang tertinggal kerana data mesyuarat dan temujanji tidak dapat auto-update. Rupanya, sukar juga hidup tanpa blackberry. Ramai kawan-kawan, AJK Masjid, pegawai di pejabat dan lain-lain tidak mendapat respons segera dari saya kerana masalah blackberry ini. Sebagaimana umum mengetahui, syarikat pengendali talian selular pula tidak serius untuk membantu walaupun berkali-kali mohon bantuan careline mereka.

Namun begitu, hati dan jiwa saya amat tenang kerana tiada lagi email dan sms yang masuk setiap minit. Emosi lebih stabil tanpa blackberry….. Alhamdulilah, Terima kasih ALLAH.

note: mc

Monday, April 12, 2010

Haji/Umrah dan Glamor

Teropong Diri: Kita sudah tentu akan frust jika orang kutuk kita walaupun 'niat kita baik'.

Tiada siapa yang dapat menilai niat seseorang melangkah kaki ke Tanah Suci. Dalam pengalaman saya, ramai juga yang saya temui mempunyai niat-niat duniawi. Walaupun ianya tidaklah menjadi kesalahan, fokus sebenar mencari redho TUHAN seharusnya menjadi dorongan.

Dua tahun lalu saya secara kebetulan menunaikan umrah dengan satu keluarga penyanyi rock Negara. Bila kembali ke tanahair, berlaku kekecohan bila gambar anak penyanyi ini (anak perempuan beliau yang juga selebriti) melompat di sebuah kawasan. Maka berbagai cerita kurang menarik kita dengar dalam akhbar dan majalah mengenai mereka ketika di Tanah Suci seperti selebriti perempuan ini melompat di Mekah. Hakikatnya beliau tidak melompat di Mekah tetapi melompat di kaki sebuah Bukit di Madinah. Cuma gaya beliau melompat mungkin sedikit kurang sesuai. Banyak lagi gambar yang boleh dipaparkan di akhbar dan majalah.

Umrah Mac 2010 pula, Kami satu flight dengan seorang selebriti yang merancang bernikah di Masjidil Haram. Saya tidak berminat untuk mengambil tahu pelan pernikahan mereka. Cuma saya sempat menegur dan bersembang dengan seorang wartawan di Lapangan Terbang King Abdul Aziz. Pada hemat saya ketika itu, tidak perlu bernikah di Masjidil Haram kerana dikhuatiri niat ke sana untuk bernikah bukan untuk menjadi Tetamu Khas ALLAH (Nota Ridz: Tidak salah bernikah di Masjidil Haram). Saya juga menjangkakan, selebriti ini akan dilanda fitnah selepas kembali ke Tanah air.

Dalam seminggu ini dan akhbar MM semalam memaparkan suasana tidak senang sesetengah pihak terhadap cara selebriti ini. Maka keluarlah hentaman seperti hipokrit, tidak jujur dll yang sudah tentu menganggu fikiran selebriti ini.

Kepada selebriti, anda adalah ikon kepada perubahan. Tetapi jika mesej masyarakat ini tidak cuba anda fahami, maka timbullah perkataan hipokrit dsbnya. Kita dapat lihat secara kasar (Nota Ridz: bukan kajian ilmiah), bila harapan diletakkan oleh masyarakat untuk perubahan tidak mampu selebriti laksanakan, maka berbagai kecaman timbul. Ianya sebenarnya merugikan perjuangan. MAsyarakat kita amat kecewa bila anda tidak menunjukkan contoh untuk anak-anak mereka. Mereka sensitif dengan perangai selebriti yang seolah-olah mempermainkan keHEBATan Haji & Umrah. Ada juga rakan-rakan saya meluat dengan cerita seperti bertemu jodoh ketika Tawaf, menerima lamaran di Tanah Suci, menunaikan Haji pakej RM100,000 dsbnya. Namun realiti perubahan diri tidak pula diberi perhatian selepas kembali ke tanahair.

Kepada pengunjung blog HM, kita kena pastikan niat kita ke Tanah Suci benar-benar untuk mencari redho ALLAH, mengharapkan Rahmat ALLAH dan keampunanNYA. Bila niat sudah bersih, maka doa-doa peribadi bersifat duniawi tidaklah salah untuk diajukan.

Menjejakkan kaki ke Tanah Haram bukanlah lesen mencari glamor atau memecahkan rekod Guiness Book. Ianya adalah perjalanan yang TIDAK TERNILAI mencari Rahmat dan kasih sayang ALLAH.
Wallah'alam.

Monday, April 5, 2010

Mencari Insan Ikhlas di Jabal Nur #2

Foto : Pemandangan nyaman di Puncak Jabal Nur sebelum melangkah ke Gua Hira'.

Angin sepoi-sepoi bahasa menyegarkan tubuh di Puncak Jabar Nur. Jam di tangan ketika itu menyentuh waktu tidur 1.15 pagi. Sememangnya mengantuk kerana perkiraan waktu Malaysia ialah jam 6.15 pagi.

Abang Bani (orang Raub), salah seorang ahli grup saya, memberi cadangan ”Dr, jomlah kita turun aje. Dah lewat ni. Silap-silap esok pagi kita tak mampu bangun jam 4 pagi. Rugi kalau solat subuh dalam bilik hotel aje.” Saya mengangukkan kepala tanda setuju.

Foto: Isteri saya ketika memasuki Gua Hira'.

Kami berdua turun terlebih dahulu meninggalkan rakan-rakan lain yang sedang ghairah solat dan bergambar di Gua Hira’. Kami melangkah perlahan-lahan berpegang tangan kerana lampu suluh kecil yang saya bawa tidak mampu memberi suluhan maksimum di jalan berliku Jabal Nur. Kami berdua agak gayat sedikit ketika meneruni bukit yang curam itu.

”Bang Bani, saya ada sesuatu hendak tunjuk sekejap lagi.” Saya berkata-kata untuk menutup ketakutan meneruni Jabal Nur itu. ”Ok, apa dia?” Tanya abang Bani. ” Ada seorang lelaki tua berjubah putih menunggu kita pada tahap 80% ketinggian Jabal Nur.” Saya menyambung bicara. ”Biar betul Dr! Tengah-tengah malam ini Dr sebut perkara yang menakutkan.” Beliau mula ragu.

Ya! Di tahap 80% ketinggian Jabal Nur sememangnya Orang tua berjubah putih sedang menunggu kami. Beliau menyebut,”Salamah, salamah, Fi sabililah! Fisabililah! Sambil memegang kayu dan batu-bata. Simen yang beliau sedang bancuh tidak nampak jelas kerana keadaan agak gelap.

Saya berkata kepada Abang Bani, ”Abang, inilah manusia ikhlas bekerja untuk ALLAh dan Rasulnya. Beliau sanggup tidak tidur untuk melaksanakan satu tugas yang tidak disuruh.” Abang Bani mencelah,” Ada juga manusia seikhlas ini di mukabumi ini...”

Foto: Wardah Syaurah mendaki anak-anak tangga hasil pengorbanan insan-insan yang ikhlas.

Saudara/i pengunjung blog HM,

Saya pasti orang tua ini adalah manusia bukannya malaikat. Bagi saya ALLAH ingin menunjukkan kepada saya dan rakan-rakan bahawa insan ini memiliki hati ikhlas membuat kerja yang tidak diminta. Pada waktu malam inilah beliau bekerja untuk menyiapkan anak-anak tangga untuk memudahkan kita mendaki Jabal Nur yang tinggi itu. Saya perhatikan beliau bekerja dan menyimen batu-bata satu persatu dalam kegelapan malam dan dalam keadaan Arab lain sedang syok makan dan menonton TV satelit.

Untuk apa beliau melakukan kerja yang tidak diminta dan kurang nilai itu? Lebih baik beliau tidur atau melakukan Tawaf Sunat di Masjidil Haram. Lagipun beliau tidak mendapat habuan besar projek yang sedang mengila di Bandar Mekah. Beliau Cuma insan daif seperti kita. Beliau hanya berkata ,”Salamah, salamah, Fi sabililah! Fisabililah!” Beliau tidak menyebut ”Projek! Projek! Atau Wang Besar! Wang Besar! Wang Besar!”

(Nota: Anda mungkin tidak akan jumpa orang tua ini jika mendaki waktu siang. Cuaca panas sebelah siang mungkin tidak sesuai untuk menyiapkan anak tangga itu. Lagipun, insan yang ikhlas akan melakukan kerja kebajikan tanpa disedari oleh orang lain, Wallah’alam).

Imam Al-Ghazali menyebut dalam Kitab Ihya’ Ulumudin bahawa insan yang ikhlas tidak meminta habuan dunia.

Di kala Rasululah s.a.w sudah tiada, para sahabat dan Siti Khadijah sudah lama meninggalkan kita, ALLAH masih memelihara insan ikhlas di Jabal Nur di atas untuk menjadi semangat buat kita membina kekuatan diri. Usahlah kita berkira-kira melakukan amal serta lakukanlah kebaikan walaupun tidak disuruh atau takut diperlekehkan oleh insan materialistik yang berada di sekeliling kita.

Moga pengalaman yang dilihat dengan mata kasar ini mampu mendidik kita (khususnya penulis) untuk memperbaiki diri. ALLAHU AKBAR! Walilah hilhamd.

Friday, April 2, 2010

Mencari Insan Ikhlas di Jabal Nur #1

Foto: Di Puncak Jabal Nur. Kelihatan Masjidil Haram bercahaya di Puncak ini.

Alhamdulilah sudah seminggu saya kembali ke Tanahair, bumi Tanah Melayu yang tercinta ini. Perasaan rindu akan Kaabah dan Tanah Suci begitu menghambat hati kecil ini. Rasanya, ingin sekali ke sana esok pagi..

Di hari pertama ke tempat saya mencari rezeki (pejabat Isnin 29 Mac 2010), terjahan-terjahan insan yang mementingkan diri sendiri amat terasa sekali. Email dan sms menunjukkan kuasa, ego dan sombong melayang-layang seolah-olah nilai kasih sayang dan respect sudah tiada. Mereka sibuk menjaga KPI masing-masing dan mencari salah orang lain atau menunding jari ke orang lain. Bila saya duduk, beristighfar dan melihat kembali email dan sms spesis Melayu Islam ini, email dan sms mereka tidak ada nilai langsung bagi membina ummah cemerlang. Isu yang dibangkit dan digaduhkan cuma isu kecil yang boleh diselesaikan di meja diskusi atau di kafeteria pejabat. Perkara ini telah saya sentuh dalam blog ini bulan lepas tajuk ”Roket dan Skru 50 Sen”. Bila perkara remeh dibesar-besarkan, maka energi untuk membina masyarakat akan menjadi sia-sia. Fokus kepada agenda BESAR akan sedikit melencong kerana terpaksa melayan perkara remeh. Kita perlu utamakan agenda yang lebih besar iaitu menegakkan kalimah Syahadah dimana sahaja kita berada.

Hakikatnya, mengapa gersangnya nilai ikhlas di hati spesis ini? Mereka berebut-rebut mengejar dunia dan sedikit pangkat dengan memburuk-burukkan orang lain. Lantaran, mencari insan ikhlas di luar Tanah Haram sememangnya sukar (Nota Ridz- insan ikhlas ini wujud tetapi sukar dicari).

Di Tanah Haram, anda akan dapat bertemu dengan insan-insan ikhlas. Mereka malakukan perkara yang amat tidak signifikan tetapi hati dan jiwa mereka ikhlas dan terpancar wajah kasih sayang. Contohnya, bila anda menanti waktu solat Maghrib di hadapan Kaabah (1 atau 2 kaki dari Kaabah), anda akan lihat insan-insan yang menghulurkan air zam-zam untuk minum, ada pula yang memberi minyak wangi dan ada juga yang menghulurkan kurma.

Pendakian misi ikhlas kami teruskan pada hari ke 5 di Mekah. Pada hari pertama dan kedua rakan-rakan tidak sabar-sabar bertanya, ”Dr, Bila kita hendak ziarah Gua Hira’?” Mereka kelihatan excited. Mereka telah menyediakan keperluan mendaki Jabar Nur. Kasut sukan dan pakaian sukan mereka bawa dari Malaysia. Mereka sungguh-sungguh ingin meningkatkan tahap keyakinan misi hidup dengan merasai sendiri bagaimana perasaan Rasululah mendaki Jabal Nur untuk beruzlah di Gua Hira’.

Saya nyatakan kepada mereka bahawa menziarahi Gua Hira’ bukanlah rukun Umrah dan tidak pula menjadi suruhan Rasululah s.a.w. Justeru, kita perlu perbanyakkan Tawaf, Umrah Sunat dan solat malam bagi mengukuhkan hati dan jiwa kita yang kotor ini. Bila proses ini kita sudah lakukan 3-4 hari, InsyaALLAH saya akan bawa mereka dan kita ’test’ kekuatan fizikal kita.

Foto: Wardah Syaurah di Puncak Jabal Nur

Dengan bantuan ustaz/mutawif Indonesia kami memulakan langkah mendaki Jabal Nur pada jam 10.30 malam pada hari ke Kelima di Mekah. Perjalanan yang biasanya 30 minit, mengambil masa 1 jam lebih sebab kebanyakkan rakan-rakan tidak ’fit’ untuk mendaki (termasuk saya). Anak-anak muda tiba awal dari kami. Tahniah buat mereka! Hebat! Hebat!

Kami tiba di puncak Jabal Nur sekitar jam 11.40 malam. Suasana dan angin dingin amat nyaman. Terasa damai hati biarpun keletihan di asak oleh batu-batu keras Jabal Nur. Sirah menyebut, batu-batu ini memberi salam kepada Rasululah s.a.w ketika Baginda melalui dan mendaki Bukit Cahaya ini. Salam dari mereka menyebabkan Rasululah s.a.w pelik dan tertanya-tanya siapakah Dirinya yang sebenar.

Di puncak Bukit, Kelihatan bandar Mekah dengan lampu-lampu hebat. Masjidil Haram kelihatan jelas dengan mata kasar di Puncak ini. Bulan juga tersenyum penuh menyaksikan kehadiran kami menziarahi tempat wahyu diturunkan oleh ALLAH. Di Puncak ini saya berkongsi dengan beberapa teman bagaimana insan-insan ikhlas ditunjukkan oleh ALLAH di Jabal Nur ini buat bekalan hidup kita.


Wahai muslimah, lihatlah dan fikirlah bagaimana Siti Khadijah yang berusia 55 tahun ketika itu mampu mendaki Bukit Cahaya yang tinggi lagi curam ini untuk menghantar bekalan buat suami tercinta. Kitab dan buku Sirah menyembut bahawa Rasul s.a.w beruzlah di Gua Hira’ selama 40 hari. Jika Siti Khadijah yang berusia 55 tahun (mungkin badan gempal macam wanita-wanita Arab sekarang) mampu mendaki Jabal Nur ini, mengapa anda yang muda atau seusia Siti Khadijah tidak berusaha mengambil manfaat tarbiah Jabal Nur ini? Keikhlasan Siti Khadijah mengorban masa, jiwa dan harta kepada insan bernama Muhamad s.a.w. telah membawa keyakinan tinggi kepada Rasululah s.a.w untuk mengakui bahawa Dia adalah kekasih ALLAH dan memegang panji-panji besar risalah Tauhid. Di sinilah antara tarbiah kepada muslimah bahawa ANDA permata bernilai tinggi di sisi ALLAH jika anda berdiri teguh menyokong emosi suami anda di setiap langkah perjalanan suami untuk berbakti kepada ISLAM dan mencari rezeki halal. Dengan pengorbanan Siti Khadijah inilah, kini kita dapat merasai nikmat iman, Islam dan kita sama-sama beramal menjunjung perintah Qur’an.


Wahai sahabat muslimin, saya ingin berkongsi bagaimana seorang lagi
insan bernama Abu Bakr as-siddiq menerima pengiktirafan ALLAH dan RasulNYA sebagai insan ikhlas tahap pertama dalam sejarah perjuangan Islam. Seluruh harta, jiwa, masa dan perasaan dikerahkan untuk membantu Rasul mulia pilihan ALLAH ini.


Foto: Beristirehat sebentar di Puncak Jabal Nur bersama ustaz

Ketika isteri, anak perempuan dan rakan-rakan memasuki Gua Hira’ secara bergilir (2-3 orang sahaja boleh masuk kerana tempatnya sempit), saya termenung sendirian menatap Masjidil Haram yang tersergam indah. Sayup mata memandang. Hati ini tersentuh kerana muhasabah diri di tempat istimewa ini mengundang spesialiti yang tiada di tempat lain. Biarpun ALLAH menunjukkan contoh insan-insan ikhlas buat kita, kita tidak akan mampu mencapai tahap ini. Kita dihimpit oleh persekitaran mengejar kemewahan dan suasana mencipta ego diri. Biarpun kita berusaha buat baik kepada insan lain, masih ramai yang akan memusuhi kita kerana mungkin kita mengancam cita-cita mereka untuk mengejar pangkat dan harta. Di sudut lain, kita juga tidak mampu berkorban harta, jiwa dan masa kita sebagaimana Khadijah dan Abu Bakar melaburkan seluruh harta, jiwa dan masa demi ISLAM. Suasana dingin sepi di puncak Jabal Nur menjemput titisan air mata kerana kita tidak mampu mencapai tahap pengorbanan Khadijah dan Abu Bakr ini.

Ketika berjalan turun ke kaki Jabal Nur sekitar jam 1.15 pagi, saya tunjukkan rakan-rakan ada lagi satu insan ikhlas di puncak Jabal Nur ini. Di kala insan bernama Khadijah dan Abu Bakar sudah tiada, insan ikhlas ini menunjukkan kita bahawa mencari redha ALLAH adalah misi penting. Mereka bekerja di kala manusia tidur. Siapakah mereka ini......?

Bersambung....