Followers- Jalinan Ukhuwah

Sunday, May 26, 2013

Tausiyah untuk muslimah: Persiapan Ramadan


Sudah sedia untuk menjadi tetamu istimewa Ramadan?

Ramadan akan muncul beberapa minggu lagi.  Cuaca panas yang dilalui sekarang ini mengingatkan kita akan Ramadan, Mekah, Madinah dan pengorbanan yang seharusnya menjadi habit kita.  Di dalam entri terdahulu, saya mengajak diri saya, keluarga saya, rakan, jiran, follower dan pembaca blog ini untuk kita melaburkan sedikit wang/rezeki untuk menjayakan program IFTAR RAMADAN  ON THE STREET DI MEKAH dan INDONESIA.  Kami (Kelab Haji Muda) menyediakan ruang untuk anda meningkatkan uncang amal apatah lagi  dengan memberi makan fakir miskin di bulan Ramadan dan ditempat yang mulia.

Entri ini pula mengajak tuan/puan ke satu lagi tahap untuk kita membentuk diri supaya hati kita dapat dijinakkan.

Wajibkah membayar zakat emas yang dipakai oleh wanita sebagai perhiasan yang tidak diperjual belikan?

Mengapa entri ini ditulis?

Bersandarkan pengalaman dan pemerhatian lebih 20 tahun, terdapat  sedikit kelalaian kita mengenai perkara ini. Kerana sayang isteri, si suami menghadiahkan barang kemas/emas. Kerana sayangkan ibu, si anak berkorban membelikan barang kemas untuk emak.  Alhamdulilah! Satu nikmat hidup yang dihargai oleh para wanita.  Sikap suami dan anak sebegini seharusnya dipuji.

Dalam penelitian saya, ramai antara kita mula “berkira-kira ZAKAT” pada akhir setiap tahun. Sebab utama dibuat pada bulan Disember setiap tahun hanya semata-mata untuk memastikan bayaran zakat boleh dibuat tuntutan rebat cukai pendapatan.

Saya/KHM mencadangkan:
1.  Buatlah pengiraan zakat dalam bulan Syaaban, dan keluarkanlah zakat dalam bulan Ramadan. Perkara ini perlukan perancangan supaya ‘haul’ harta kita jatuh dalam bulan Ramadan. ALLAH lebih tahu niat kita.

2.  Kepada para muslimah, usah lalai diulit emas di dada, dilengan dan di jari. Perhalusi fatwa di bawah dan jika sudah cukup nisab, buatlah kiraan untuk membayar Zakat Perhiasan.

Hakikatnya, beratnya tugas ayah dan suami di medan mahsyar nanti jika kita lalai atau lupa membayar zakat perhiasan yang telah dihadiahkan kepada kita. Ayah dan suami bekerja keras di dunia untuk membahagiakan kita maka usahlah bebankan mereka ketika dihisab di Akhirat nanti. Banyak perkara akan menjadi beban ayah dan suami di medan mahsyar. Dosa isteri dan anak turut diperhitungkan. Isteri dan anak tidak solat, membuka aurat dll akan menjadikan ayah dan suami anda terbeban biarpun mungkin ayah dan suami anda seorang yang tidak tinggal solat dan seorang yang baik hati.

Bacalah petikan FATWA di bawah untuk perhatian kita bersama.
  
ADMINISTRATION OF THE RELIGION OF ISLAM
(STATE OF SELANGOR) ENACTMENT 2003  (GAZETTED 23 JUNE 2005)

FATWA UNDER SECTION 47
PURSUANT to section 47 of the Administration of the Religion of Islam (State of Selangor) Enactment 2003 [En. 1/2003], the Fatwa Committee for the State of Selangor, on the direction of His Royal Highness the Sultan prepare the Fatwa as set out in the Schedule and is published pursuant to subsection 48(6) of the Enactment.

JADUAL/SCHEDULE
KADAR ‘URUF EMAS PERHIASAN DI NEGERI SELANGOR

Kadar ‘uruf emas perhiasan di Negeri Selangor adalah pada timbangan 800 grm. Mana-mana timbangan yang melebihi kadar ‘uruf emas perhiasan adalah diwajibkan zakat perhiasan sepenuhnya, tanpa mengecualikan nilai yang dibawah ‘adat atau ‘uruf.


Tarikh Keputusan MAJLIS AGAMA ISLAM MELAKA
 Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/   27 Apr, 2010   Keputusan:  
1.      Menetapkan bahawa kadar ‘uruf pemakaian emas perhiasan oleh wanita Islam di negeri Melaka ialah sebanyak 200 gram; 
2.      Kadar pengiraan zakat emas perhiasan bagi negeri Melaka ialah 2.5 peratus daripada nilai emas yang melebihi kadar ‘uruf pemakaian emas yang ditetapkan seperti formula berikut :  2.5% x (nilai emas – kadar ‘uruf) = zakat emas 
3.      Meminda keputusan fatwa terdahulu dengan keputusan ini dan menyiarkannya dalam Warta Kerajaan Negeri Melaka. 


Pandangan Shaykh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (Sumber : Al-Fatawa Juz Awwal) 

Tentang wajibnya zakat perhiasan wanita yang telah mencapai nisab tetapi tidak untuk diperdagangkan, para ulama berbeza pendapat. Pendapat yang benar adalah wajib untuk dibayar zakatnya ketika sudah mencapai nisab, meskipun hanya sekadar dipakai untuk perhiasan.

Nisab emas adalah 20 mitsqal yang senilai dengan 11 lebih 3/7 pound Saudi. Jika perhiasan emas lebih kecil nilainya dari jumlah itu maka tidak wajib dizakat. Jika untuk diperdagangkan, maka wajib dizakati ketika nilainya sebanding nisab emas mahupun perak. Adapun nisab perak adalah 140 mitsqal atau sebanding dengan wang dirham 56 riyal. Jika perhiasan perak tersebut nilainya kurang dari itu maka tidak ada zakat. Kecuali untuk diperdagangkan, maka wajib dizakati ketika nilainya sebanding dengan nisab emas atau perak.

Dalil akan wajibnya zakat perhiasan dari emas dan perak yang hanya sekadar dipakai untuk perhiasan adalah keumuman hadis Nabi S.A.W ;

"Tiada pemilik emas mahupun perak lalu tidak menunaikan zakatnya melainkan pada hari kiamat akan ditempatkan baja dari baja neraka lalu dia diseterikakan dengannya pada bahagian dada, dahi dan punggungnya"

Dan hadis Abdullah Bin Amru Bin Aash Rahimahullah bahawa seorang wanita menemui Nabi S.A.W sedangkan di tangan puterinya ada dua gelang dari emas, lalu baginda S.A.W bersabda;

"Sudahkah engkau tunaikan zakatnya?" Wanita itu menjawab : "Belum". Baginda bersabda "Sukakah kamu jika ALLAH memakaikan gelang kepadamu dengannya pada hari kiamat dua gelang dari neraka?" Wanita itu pun melemparkan kedua gelang tersebut dan berkata: "Keduanya untuk ALLAH dan Rasul-Nya" 
                                 (Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i dengan sanad yang hasan)

Begitu pula dengan keumuman hadis Ummu Salamah Radiyallahuanha bahawa ketika beliau memakai gelang kaki dari emas lalu berkata : "Wahai Rasulullah, apakah ini dikatakan harta simpanan?" Lalu Rasulullah S.A.W bersabda :

"Apa sudah mencapai kadar untuk dizakati lalu dizakati maka bukanlah harta simpanan." 
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ad-Daruqutni dan disahihkan oleh Al-Hakim).
        
                                       Wallahu’alam.


No comments: