Followers- Jalinan Ukhuwah

Monday, December 29, 2008

Hijrah- Pengorbanan Besar

Salam Hijrah 1430,

Hijrah menuntut pengorbanan yang besar. Rasul s a w melakukan aktiviti dakwah secara terbuka hingga mengujudkan perasaan kurang senang golongan bangsawan Quraisy. Jabal Thur menjadi tempat transit sementara bagi meneruskan langkah Hijrah ini. Melihatkan kedudukan Jabal Thur ini, tidak mampu untuk kita fikirkan betapa sukarnya mendaki di panas mentari.


Rasululah s a w merancang perjalanan Hijrah ini (sila lihat peta). Ianya bukan jalan biasa pedagang dan insan yang bermusafir ke Madinah.

Nota:
Garisan Hijau - Laluan biasa Mekah-Madinah
Garisan Merah- Laluan pilihan Muhamad s a w dan Abu Bakar.

Mengapa Rasululah s a w perlu bersusah payah merancang? Mengapa Rasul s a w bersusah payah mendaki Jabal Thur yang tinggi itu? Tidak bolehkah baginda segera menadah tangan berdoa supaya Allah menurunkan Jibrail untuk membawa baginda terus ke Madinah sebagaimana baginda melalui proses Isra' dan mi'raj?

Mutiara Bicara:
Rasul s a w melakukan Hijrah atas perintah Allah s w t. Melalui sirah ini, Allah dan Rasulnya juga menuntut kita berhijrah melakukan kebaikan, meninggalkan keburukan dan melakukan perubahan secara konsisten. Doa cuma pengukuh keazaman. Perjalanan Hijrah diri menuntut misi yang jelas, perancangan yang rapi dan diikuti dengan langkah-langkah implementasi. Angan-angan tidak memadai.

Sunday, December 28, 2008

Hijriah 1430 dan Palestin


Beberapa minit sahaja lagi kita akan melangkah ke Tahun Hijriah 1430. Ada di antara kita sedang buat persediaan dengan mengukir azam tahun baru Hijrah dan ada juga yang mungkin sedang leka.
Walau apa sekali pun kerja kita di saat ini, sahabat rakan muslim kita di Palestin sedang disembelih oleh rejim Zionist. Berita dan gambar ini, amat menyentuh hati. Apa yang boleh dilakukan oleh kita?
Iringilah doa awal tahun 1430H yang bakal anda baca untuk kemenangan dan kejayaan ummah khususnya rakyat Palestin dan moga jiwa dan insan bernama Salahuddin al-ayubi akan segera lahir bagi misi ini.
**************************************
Israeli Airstrikes Kill 205 Palestinians in Gaza
Saturday December 27, 2008 19:12 by IMEMC Source

Palestinian medical sources reported that the number of Palestinians killed in the Israeli airstrike against the Gaza Strip Saturday afternoon stands at 205, including policemen, women and children. Over 400 were wounded in the airstrike. Earlier reports said that 140 were killed as 60 Israeli jet fighters launched a simultaneous attackm, hitting around 50 locations in different parts of the Gaza Strip. The deadly airstrike came during rush hour, as school children were going home from schools and Palestinian Police officers were celebrating their graduation, which explains the high number of casualties.

As of the time of writing, Israeli war planes were reportedly hovering over the Gaza Strip. Palestinian hospitals in Gaza declared high alert and are calling upon people to donate blood in order to to save many of the wounded.
Some Palestinian resistance groups fired a number of home-made shells at Israel killing one civilian and wounding several others, Israeli media sources reported.
************************************
"Ya Allah! berikanlah kemenangan kepada Palestin sebagaimana kemenangan yang telah Umar ukirkan dalam sejarah. Hambamu yakin bahawa semangat Haji mampu membebaskan Al-Aqsa."

Friday, December 26, 2008

Mangsa Hadiah


Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada insan-insan yang membeli buku Haji Muda semata-mata untuk dihadiahkan kepada sahabat-handai, teman sepejabat mahupun bos. Ketika bercuti, PA bos saya, SAS, menelefon untuk memesan buku Haji Muda. Bos saya Tn Hj Ahmad Ismail, Vice President CSM, memesan 10 naskah untuk diberikan hadiah. Alhamdulilah, saya ada sedikit lagi stok ketika itu untuk diambil terus PA beliau.

Baru-baru ini, ketika membawa keluarga beristirehat, saya tercari-cari dua insan untuk saya hadiahkan buku ini. Ketika menunggu no giliran untuk check-in di sebuah hotel, mata tercari-cari ’mangsa’. Rata-rata sukar untuk saya menghampiri orang-orang Melayu yang mahu tersenyum bila saya mengukir senyuman untuk mereka. Membuka rapport pertama ini bukanlah mudah, mungkin mereka merasa bahawa saya sedang mencari mangsa untuk menjual produk. Atau mungkin mereka pernah mengalami pengalaman pahit dihampiri oleh agen-agen jualan.

Saya beri sebuah buku kepada anak saya agar beliau belajar macamana hendak ’mencari mangsa’. Sememangnya sukar dengan telatah orang kita yang seolah-olah ’banyak masalah di kepala’ dan menunjukkan wajah yang kurang ceria walaupun ketika sedang bercuti. (Nota: Tidak adil untuk saya menghukum orang Melayu hanya dengan pengalaman ini. Maksud saya, tidak semua orang kita begitu). Usaha untuk bersembang dengan mereka juga tidaklah sefriendly yang saya harapkan. Mungkin Allah hendak memberi ilmu kepada saya dan anak melalui proses ini. Ada juga yang sedang marahkan isteri. Ada juga yang menengking anak. Hati saya bersuara apalah nak tension dan marah isteri dan anak-anak. Patutnya kita enjoy dengan percutian dan menambahkan kasih sayang isteri dan anak-anak. Stressful sangat ke hidup ini ?

Oleh kerana kesukaran mendapatkan ’mangsa’ yang sesuai maka anak saya mengusulkan ”Ayah, biarlah Allah yang mengaturkan siapa yang layak. Kita beri satu kepada pegawai kaunter yang memangil nombor kita dan satu lagi kepada petugas yang membawa troli barang kita ke bilik. Selalu ayah beri tips RM, tapi kali ni ayah berilah buku Haji Muda. Kita juga tidak kenal kedua-dua mereka”. ”Fantastik idea! Excellent Afnan!” Saya melonjakkan self-esteem anak lelaki saya ini. Buat apalah kita susah-susah mengukir senyum dan mengajak orang bersembang tapi diri kita pula tidak diendahkan.

Alhamdulilah, hasrat saya diizinkan Allah. Saya berharap mereka berdua (seorang lelaki dan seorang perempuan) yang telah dipilih Allah ini dapat mengambil manfaat dari buku Haji Muda.

InsyaAllah, setiap kali saya bercuti, saya berazam untuk menghadiahkan dua buah buku Haji Muda kepada insan-insan yang tidak saya kenali. Moga ukhuwah terus berpanjangan.

Tuesday, December 23, 2008

Musafir

Kehidupan menuju alam akhirat adalah sebuah perjalanan. Ia memerlukan bekalan laksana orang yang bermusafir. Peta dan kompas dapat membantu perjalanan si musafir ini. Begitu juga dengan perjalanan abadi menuju Ilahi.

Rasululah s a w bersabda kepada Abu Zhar ”Bila engkau ingin bermusafir, perlukah engkau membawa bekalan?” Abu Zhar menjawab ”Ya.” Baginda bersabda lagi ”Justeru bagaimana kamu menempuh jalan Akhirat? Tidakkah kau ingin wahai Abu Zhar aku ceritakan sesuatu manfaat bagimu pada hari itu?” Abu Zhar menjawab ”Ya.”

Seterusnya Rasululah s a w bersabda

‘Puasalah di hari yang amat panas untuk hari kebangkitan,
Solatlah dua rakaat di kegelapan malam untuk keganasan kubur,
Dan berhajilah untuk hal-hal agung,
Bersedekahlah kepada orang miskin,
Atau berkatalah dengan kata-kata yang benar yang engkau bicarakan,
Atau dengan tidak mengatakan kata-kata yang buruk.”


Petikan: Kitab Mukashafah Al-Qulub

Sunday, December 21, 2008

Bush dan Kasut

Tinggi rupanya nilai sebuah kasut. Kerana sebelah kasut sahaja, seorang wartawan Iraq diangkat sebagai wira dunia Arab. Beliau dan kasutnya di puji di Latin Amerika, Jepun, Korea dan seantero dunia. Itu baru sebelah kasut, jika kedua-dua belah kasut, sudah tentu bergegar Amerika yang angkuh dan sombong itu.


Pemuda ini hebat kerana mempunyai jati diri yang tinggi. Maruah agama dan bangsa bukanlah komoditi murah yang boleh dipermainkan.

Saya teringat kisah lama masa menjadi pelajar dahulu. Saya sering bersembang dengan seorang tua yang kerjanya membaiki kasut di kaki lima. Walaupun cuma membaiki kasut, beliau mampu membesarkan anak-anaknya bahkan berusaha kuat menyimpan wang untuk menunaikan Haji.

Itulah hebatnya kasut. Ia mampu membawa insan menyahut seruan agung perjalanan Haji. Ia juga telah berjaya membuktikan bahawa kuasa dunia boleh dimalukan dengan hanya sebelah kasut sahaja....


Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!

Saturday, December 20, 2008

Acheh

Acheh adalah salah satu kawasan yang menerima pukulan hebat tsunami. Allah ingin memberi kita peluang iktibar peristiwa Acheh ini.

Semalam seorang rakan saya menelefon memaklumkan bahawa beliau akan ke Acheh minggu depan untuk misi bantuan kemanusiaan. Saya memberi maklumbalas, kenapa maklumkan saya agak lewat? Saya ingin sekali menghulurkan bakti di sana biarpun cuma seminggu. Jadual kerja saya yang padat bukanlah alasan untuk saya gagal merancang dan merealisasikan hasrat murni ini.

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh rakan saya ini ketika Acheh dilanda tsunami. Bantuan mencurah-curah hadir di bumi Acheh ketika itu menjemput ramai insan untuk menaburkan bakti. Sukarelawan Malaysia ini diberi layanan yang cukup istimewa oleh petugas-petugas muslim Indonesia kerana bagi mereka sukarelawan Malaysia adalah ‘tetamu’ mereka. Bayangkan, dalam keadaan mereka yang serba daif mereka tetap menjaga amal baik dengan meraikan tetamu mereka.

Petugas dan sukarelawan Indonesia ini datang dari berbagai daerah seluruh Indonesia. Mereka bangun seawal 4 pagi untuk bertahajud dan sholat malam bagi menjalin hubungan hati dengan Pencipta mereka. Walaupun mereka bangun awal pagi, mereka bekerja keras di siang hari tanpa perasaan curi tulang. Mereka juga yakin dan sanggup berkorban harta serta meninggalkan anak isteri untuk menyalurkan khidmat membantu masyarakat Acheh. Ada yang sanggup mengadai motosikal, basikal dan memajak barang kemas isteri semata-mata untuk meniti renjisan kedamaian. Subhanallah! mereka benar-benar hebat.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Bagaimana mereka mampu mendidik hati hingga ke tahap itu? Bagaimana mereka mampu menyerahkan seluruh urusan rezeki hanya kepada Al-Malik Penguasa alam? Dan bagaimana mereka meletakkan keyakinan dan tawakkal yang tinggi untuk meninggalkan anak isteri untuk misi murni ini?

Justeru, di mana kedudukan kita? Adakah kita mampu melakukan pengorbanan sebegini untuk insan yang memerlukannya?

Wednesday, December 17, 2008

Bila maid balik kampung

Bila maid balik kampung, saya berharap beliau gembira dapat bertemu keluarganya. Seminggu sebelum Eid Adha saya dan isteri memberi keizinan untuk pembantu rumah pulang ke kampung di Sumatra. Kebenaran diberikan atas dasar kepercayaan kerana maid saya ini seorang yang jujur dan bekerja dengan baik. Kami memberi beliau cuti rehat bergaji penuh selama 3 minggu sebagai menghargai sikap baik beliau sama-sama membantu isteri membangunkan sebuah keluarga impian. Ia turut meringankan beban kerja isteri dan secara tidak langsung memberi saya ruang untuk fokus di sepanjang perjalanan kedoktoran saya dan urusan-urusan lain.

Bila maid balik kampung, keadaan sedikit kelam kabut bila semalam bapa mertua saya jatuh sakit dan baby Aufa pula dimasukkan ke hospital. Sekarang isteri saya terpaksa menjaga baby Aufa di SMC dan dua lagi anak kecil berada di rumah di temani oleh kakak dan abangnya. Bapa mertua juga perlukan perhatian di waktu ini. Sukar untuk saya fokus urusan pejabat.

Bila maid balik kampung, baru saya dapat hargai akan pentingnya ada maid yang amanah untuk membantu urusan rumah. Sekurang-kurangnya ada juga orang dewasa untuk menemani anak-anak di rumah ketika isteri terpaksa menjaga baby di hospital.

Bila maid balik kampung, semua anak-anak dikerahkan untuk membantu umminya,
Bila maid balik kampung, kolam ikan dah dua minggu tidak dicuci,
Bila maid balik kampung, kasihan pula melihat isteri tanpa bantuan,
Bila maid balik kampung, rupa-rupanya terganggu juga kehidupan seharian.

Moga Allah memberi kita pembantu rumah yang bertaqwa dan amanah kerana mereka turut sama membantu usaha-usaha memandaikan bangsa dan ummah.

Sunday, December 14, 2008

Penghasilan Yang Sedikit

Makhluq yang bernama manusia sering mengeluh mengenai penghasilan yang sedikit. Jika boleh, kita mahu apa yang kita lakukan memberi pulangan lumayan dengan tenaga minimum. Tidak semua insan akan memperoleh hasil lumayan dengan tenaga yang sedikit ini. Strategi ini cuma diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja mungkin faktor politik atau kabel besar mereka.

Semalam seorang rakan saya menelefon mengeluh dengan penghasilan yang sedikit. Apa tips yang perlu dilakukan supaya tesis kedoktoran beliau dapat bergerak pantas?

Saya berpendapat, apa sahaja yang kita usahakan ianya memerlukan perancangan dan keazaman. Tiada apa usaha yang boleh dilakukan dengan pantas; tiada short-cut! Buku Haji Muda ada menyebut, untuk mencium Hajar Aswad menuntut perancangan dan keazaman, niat sahaja tidak cukup. Begitu juga dengan proses kehidupan, niat sahaja tidak cukup. Saya bertanya rakan saya ini adakah beliau yakin dengan perancangan?” Jika benar-benar yakin, adakah ianya benar-benar dilakukan mengikut apa yang dirancang?

Sesuatu projek tidak kira projek tesis PhD, Masters, menyediakan dokumen strategic planning syarikat, menulis artikel, menulis buku, pembangunan projek fizikal atau apa sahaja usaha akan mengalami proses yang sama. Tiada jalan mudah.

Cuba kita lihat bagaimana rumah didirikan. Ianya bermula dengan penghasilan yang sedikit tetapi memerlukan perancangan yang hebat. Penghasilannya juga sedikit demi sedikit, dari asas tapak binaan, memesan bahan binaan, penghantaran bahan, menyusun cerucuk dan berbagai lagi sehingga rumah memperolehi Certificate of fitness. Ia bukan mudah. Jika proses memesan bahan binaanpun terkial-kial lepas itu ego dan syok sendiri, tidak mahu bertanya, silap-silap bahan yang dihantar tidak mengikut spesifikasi.

Ada dua perkara yang rakan saya boleh lakukan:
1. Rujuk kepada orang yang berilmu (dalam konteks masalah beliau, nasihat penyelia PhD adalah pilihan terbaik). Tunjukkan bahan-bahan binaan yang ada. Betulkah ”bahan-bahan binaan” ini sudah mengikut spesifikasi tahap kedoktoran?

2. Hargailah diri sendiri. Raikan setiap penghasilan yang sedikit itu. Raikan walau sekecil mana penghasilan itu. Mungkin ianya tidak membawa erti kepada orang lain, tetapi ianya amat berharga buat kita.

Dr Abdullah Al-Qarni menyebut:
”Dalam penghasilan yang sedikit dan kekurangan yang ada, sebenarnya terdapat kesejahteraan”.

Thursday, December 11, 2008

Cerita Orang Mencari Rezeki vs Beruang

Bila dikenang kisah silam sebagai pelajar sekolah, maka saya tidak akan mampu untuk melupakan pengorbanan guru-guru. Bagi saya, mereka adalah pelita hidup. Saya amat menghormati dan menghargai jasa guru-guru saya walaupun sudah lebih 20 tahun meninggalkan alam persekolahan. Biarpun sibuk dengan kehidupan korporat yang mencabar, saya masih terus menghubungi guru-guru saya. Saya cukup gembira bila mereka juga tidak pernah lupa kepada saya.

Kelmarin, saya membuat lawatan mengejut ke rumah guru Bahasa Melayu semasa sekolah menengah dahulu. Beliau baru sahaja bersara. Kehadiran saya ke pintu rumah cikgu Abd Wahab amat memeranjatkan beliau. Banyak perkara yang kami bincang khususnya aspek kehidupan dan rezeki.

Cikgu Wahab berkongsi satu cerita mengenai rezeki dan beruang. Beliau bercerita bahawa ramai orang yang mengejar wang dengan mengabaikan sholat. Cerita lebih menarik bila beliau menambah berlakunya satu kisah tiga sahabat sanggup mengabaikan sholat jumaat kerana percaya rusa akan keluar banyak di hutan menjelang tengahari ketika insan bernama muslim akan melakukan sholat Jumaat. Mereka sanggup meninggalkan sholat semata-mata percaya bahawa rezeki amat banyak di ketika orang lain sibuk untuk ke Masjid. Di takdirkan sememangnya Allah mengizinkan banyaknya rusa berlari-larian di hutan (yakni membenarkan kepercayaan rezeki mereka). Dalam kesibukan memburu rusa yang berkeliaran itu, mereka terserempak dengan seekor beruang besar. Di pendekkan cerita, mereka tidak mampu melarikan diri dan si beruang berkata kepada 3 pemuda ini ”Alhamdulilah, Terima kasih kerana ziarah kat aku, engkaulah sebenarnya rezeki aku....." Hakikatnya, mereka terperangkap kerana mengenepikan Allah dalam pencarian rezeki.

Mutiara Bicara
Al-Qur’an telah membincangkan aspek rezeki dengan ibadah dalam kisah pengkhianatan bangsa Yahudi terhadap nabi-nabi mereka. Ujian Allah kepada bangsa Yahudi kini meluncur di dalam kehidupan seharian kita. Di dalam kesibukan kita mencari rezeki, kadang-kadang kita turut alpa dengan perintah Allah. Moga Allah mengampuni kita dan diberi kekuatan untuk mencari rezeki dengan jalan yang diredhoi.

Terima kasih Cikgu Wahab dengan perkongsian ilmu dan pengalaman. Jasamu tetap saya hargai dan kenangi. Saya akan terus mencari guru-guru saya bagi meniti renjisan kedamaian...

Tuesday, December 9, 2008

Salam Eid Adha


Alhamdulilah Allah telah memanjangkan usia kita hingga kita bertemu kembali di bulan besar Zulhijjah. Semalam kita memulakan takbir dan insyaAllah kita akan meneruskan takbir ini hingga berakhirnya hari-hari tashrik.
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan tertinggi kepada AJK dan sahabat-sahabat Masjid Al_Munawarah Shah Alam serta ahli kariah kerana bekerja keras menjayakan majlis korban selepas sholat Eid Adha. Walaupun hujan lebat, kerjasama berpasukan tidak luntur hingga jam 2 petang. (Nota: Kelihatan abang Roslan sedang menyembelih seekor lembu dengan iringan takbir membesarkan Ilahi).

Tengahari semalam saya menerima sms dari beberapa rakan khususnya Prof Madya Dr Sofiah, Abg Asnyat dan Noraini kerana mereka telah melepasi fasa perjalanan Arafah dan Mudzalifah dan bakal mengharungi kemanisan lontaran jamrah. Sedikit waktu lagi, mereka akan kembali ke Mekah untuk melengkapkan seluruh perjalanan kasih sayang Allah.
"Ya Allah Kau permudahkanlah perjalanan rakan-rakanku dan umatMu ini yang berusaha keras meniti renjisan kedamaian di Tanah Suci. Kau izinkanlah aku hadir lagi untuk memburu kasih sayangMu melalui jalan keinsafan Haji."

Saturday, December 6, 2008

Kereta dan sifat qanaah

Assalamualaikum sahabat & pengunjung blog meniti renjisan kedamaian,

Baru-baru ini saya bertemu dengan rakan lama saya, seorang yang berpangkat besar di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Beliau tidak banyak berubah cuma sedikit gempal, mungkin senang hati.

Ketika bersembang panjang dan memanfaatkan masa, saya sempat bertanya satu soalan - sekadar mengusik "Awang, kenapa hang berpangkat dan bergaji besar tetapi cuma memandu kereta Kenari?" Saya menambah cilinya "Kereta tu dah usang dan tidak mengambarkan jawatan yang hang pegang sekarang ni". Saya yakin beliau sememangnya tidak mempunyai kereta lain dan saya juga yakin beliau akan menjawab dengan ikhlas.

Beliau menjawab ringkas "Untuk apa aku berhutang? Aku gembira dengan Kenari ini. Dengan wang lebih yang aku ada, aku boleh membantu ramai orang susah dan belanja kawan makan". Subhanallah! hebatnya kawan saya ini. Ya, kawan saya ini masih mengamalkan tabiat lama iaitu suka belanja kawan makan. Beliau antara insan pertama membeli buku Haji Muda dan turut membeli 20 naskah Haji Muda untuk dihadiahkan kepada bos dan rakan-rakannya.

Ya, tiada peraturan yang menyebut seseorang yang berpangkat tinggi seharusnya memandu kereta mewah dan hebat! (kecuali kereta syarikat atau kereta milik 'rakyat'/kerajaan/jabatan).

Yang menarik untuk saya nukilkan disaat ini ialah sikap qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada). Secara umum, seorang yang berjawatan dan gaji besar sudah tentu akan memandu kereta berjenama dan mahal. Seterusnya tabiat ini akan menjemput kos-kos sampingan dan mungkin mengundang ego diri. Peningkatan hutang peribadi akan menyulitkan lagi kehidupan. Selanjutnya amalan bersedeqah pula akan berada di tahap minimum. Jika kita mahu "match" diri kita dengan orang lain dalam keadaan kita sebenarnya tidak mampu, sikap inilah yang akan membebankan perjalanan hidup.

Saya berdoa supaya Allah melindungi kita semua dari nafsu diri yang tinggi, boros dan terikut-ikut dengan orang lain untuk "match" pangkat dengan kereta yang kita pandu.

Mutiara Bicara:
Sikap qanaah akan memelihara diri kita dari berhutang kepada perkara yang tidak perlu. Jika kita rasa kita mampu membeli sesuatu, maka alhamdulilah teruskanlah. Jika tidak, berpuas hatilah dengan apa yang anda miliki. Meniti renjisan kedamaian menuntut perancangan teliti, berpuas hati dengan apa yang kita miliki serta menjemput diri kita untuk berusaha keras mencari rezeki yang halal.

Thursday, December 4, 2008

Kisah Kaabah

Kisah di bawah saya petik dari sebuah email yang dimajukan oleh rakan saya baru-baru ini. Saya kurang pasti sumbernya namun kisah sebegini elok kita kongsi bersama.

Seorang tok guru menceritakan tentang peristiwa yang bakal berlaku di akhirat kelak. Tentang syurga, tentang neraka. Para jemaah masing-masing diam, tunduk dan insaf. Salah satu cerita menarik yang disampaikan oleh tok guru iaitu berkaitan dengan titian As Sirat. Jambatan yang merentangi neraka menuju ke syurga itu bersifat fleksibel. Ia boleh membesar, mengecil, memendek dan memanjang mengikut kumpulan yang akan melintasinya. Jika orang beriman, pastilah ia akan melebar dan memendek. Manakala bagi orang kafir, ia akan mengecil dan memanjang.

Antara yang akan turut berarak menuju ke syurga ialah kaabah. Malaikat datang membawa perintah Allah kepada kaabah yang dihias indah pada hari itu supaya bergerak menuju ke syurga. Yang menghairankan, biarpun kaabah tahu itu perintah Allah, namun ia enggan bergerak. Lalu malaikat bertanya kenapa enggan bergerak ke syurga. Kaabah menjawab bahawa ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan jika diiringi oleh semua manusia yang pernah tawaf di sekelilingnya.

Lalu malaikat mengumpulkan semua yang pernah tawaf untuk mengiringi kaabah ke syurga. Kaabah terus mendiamkan diri tak mahu bergerak. Malaikat bertanya lagi kenapa tak mahu bergerak.Kaabah menjawab, ada lagi beberapa orang yang tidak hadir.

Apabila diperiksa, rupa-rupanya orang-orang berkenaan telah dilempar ke dalam neraka kerana kesalahan yang pernah mereka lakukan di dunia.Malaikat maklumkan bahawa orang berkenaan adalah orang-orang yang berdosa dan perlu disiksa di dalam neraka. Kaabah berkata, ia tidak peduli orang itu berdosa atau tidak. Yang penting ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan diiringi oleh semua orang yang pernah tawaf di sekelilingnya.

Malaikat mengadu kepada Allah tentang hal yang berlaku.... Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani terus mengisytiharkan bahawa orang-orang itu telah diampunkan dosa mereka. Mereka lantas di bawa keluar daripada neraka dan mengiringi kaabah menuju ke syurga.... Wallahu a'lam.

Mutiara Bicara:
Beruntunglah kepada mereka yang pernah melaksanakan Tawaf. Kepada jamaah Haji yang kini berada di Bandar suci Mekah al-mukarramah dan sempat membaca blog ini, ambillah peluang di sana dengan melakukan seberapa banyak Tawaf sunat.

Tuesday, December 2, 2008

Ijazah Kedoktoran Terima Kasih Ya Allah!


Alhamdulilah, dengan sifat Ar-rahman dan Ar-Rahim Rabbul Jalil, saya sujud syukur kerana Allah telah memudahkan perjalanan akhir ijazah kedoktoran saya pada pagi ini. Sesi VIVA berjalan dengan lancar walaupun saya mengakui saya merasa cemas apakah keputusan yang akan saya perolehi. Perjalanan ilmu selama 4 tahun secara part-time ini benar-benar mencabar dan kemanisannya baru saat ini saya merasainya.

Komen Berikut saya petik dari blog Prof Muhd Kamil http://muhdkamil.net/kehidupan/

*************************

Tahniah, Dr Ridzwan

December 2nd, 2008

Saya gembira dan teruja, apatah lagi Ridzwan yang kini bergelar Dr Ridzwan Bakar.

Kedua-dua pemeriksa berpuas hati dengan kerja-kerja yang telah dijalankan oleh Dr Ridzwan. Dengan sedikit pembetulan yang boleh disiapkan dalam masa 48 jam, Ridzwan pastinya berasa lega dengan kejayaan yang telah dicapai.

Allah sangat-sangat memudahkan pemeriksaan lisan tersebut. Ia jauh lebih mudah daripada apa yang telah saya lalui hampir 10 tahun yang lampau. Kisah PhD, saya bukukan selalui PhD kecil tapi Signifikan. Saya ingin syorkan kepada Ridzwan, tulislah kisah bagaimana beliau melalui pengalaman belajar di peringkat DBA. Banyak kisah-kisah menarik yang boleh dikongsi bersama.

Ia kisah kemanusiaan dan bukannya semata-mata kisah seorang insan yang mahu mencari gelaran. Ia kisah manusia menemui Penciptanya.
Tahniah. Tahniah. Tahniah.

Posted in
Teruja 10 Comments »

**************************************************************

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada 3 orang Penyelia Kedoktoran saya (1) Prof Madya Dr Norhana Salamudin (2) Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim dan (3) Prof Dr Faridah Hj Hassan. Tidak lupa kepada Koordinator Graduate Business School, Prof Madya Dr Zuriah ; serta semua warga akademik/Professor Faculty of Business Management UiTM.

Terima kasih kepada mak saya, Hajjah Som yang sentiasa mendoakan saya. Terima kasih kepada isteri, anak-anak, ahli keluarga, ustaz-ustaz, guru-guru dan semua rakan-rakan.

Arwah ayah saya pernah berpesan “Jadilah resam padi, makin berisi makin menyembah bumi”. InsyaAllah saya akan ingat perkataan ini dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk ummah.

Terima kasih semua. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Terima kasih Ya Allah dengan anugerah sempena bulan besar Zulhijjah ini.

Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah!