Followers- Jalinan Ukhuwah

Saturday, December 6, 2008

Kereta dan sifat qanaah

Assalamualaikum sahabat & pengunjung blog meniti renjisan kedamaian,

Baru-baru ini saya bertemu dengan rakan lama saya, seorang yang berpangkat besar di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Beliau tidak banyak berubah cuma sedikit gempal, mungkin senang hati.

Ketika bersembang panjang dan memanfaatkan masa, saya sempat bertanya satu soalan - sekadar mengusik "Awang, kenapa hang berpangkat dan bergaji besar tetapi cuma memandu kereta Kenari?" Saya menambah cilinya "Kereta tu dah usang dan tidak mengambarkan jawatan yang hang pegang sekarang ni". Saya yakin beliau sememangnya tidak mempunyai kereta lain dan saya juga yakin beliau akan menjawab dengan ikhlas.

Beliau menjawab ringkas "Untuk apa aku berhutang? Aku gembira dengan Kenari ini. Dengan wang lebih yang aku ada, aku boleh membantu ramai orang susah dan belanja kawan makan". Subhanallah! hebatnya kawan saya ini. Ya, kawan saya ini masih mengamalkan tabiat lama iaitu suka belanja kawan makan. Beliau antara insan pertama membeli buku Haji Muda dan turut membeli 20 naskah Haji Muda untuk dihadiahkan kepada bos dan rakan-rakannya.

Ya, tiada peraturan yang menyebut seseorang yang berpangkat tinggi seharusnya memandu kereta mewah dan hebat! (kecuali kereta syarikat atau kereta milik 'rakyat'/kerajaan/jabatan).

Yang menarik untuk saya nukilkan disaat ini ialah sikap qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada). Secara umum, seorang yang berjawatan dan gaji besar sudah tentu akan memandu kereta berjenama dan mahal. Seterusnya tabiat ini akan menjemput kos-kos sampingan dan mungkin mengundang ego diri. Peningkatan hutang peribadi akan menyulitkan lagi kehidupan. Selanjutnya amalan bersedeqah pula akan berada di tahap minimum. Jika kita mahu "match" diri kita dengan orang lain dalam keadaan kita sebenarnya tidak mampu, sikap inilah yang akan membebankan perjalanan hidup.

Saya berdoa supaya Allah melindungi kita semua dari nafsu diri yang tinggi, boros dan terikut-ikut dengan orang lain untuk "match" pangkat dengan kereta yang kita pandu.

Mutiara Bicara:
Sikap qanaah akan memelihara diri kita dari berhutang kepada perkara yang tidak perlu. Jika kita rasa kita mampu membeli sesuatu, maka alhamdulilah teruskanlah. Jika tidak, berpuas hatilah dengan apa yang anda miliki. Meniti renjisan kedamaian menuntut perancangan teliti, berpuas hati dengan apa yang kita miliki serta menjemput diri kita untuk berusaha keras mencari rezeki yang halal.

4 comments:

Hajah Zainab bt Abdullah said...

Tepat sekali!! Kita mesti tengok orang yang lebih susah / kurang baik nasibnya jika dibandingkan dgn kita, barulah kita rasa teramat bersyukur dgn anugerah yang Allah swt berikan buat kita.
Kak Nab bersyukur jadi rakyat Malaysia!

Farra Da Smiley said...

kalau baca buku millionaires next door tu..actually sifat mereka banyak pd ciri2 islam iaitu qanaah

buat apalah kita nak impress org lain....sy juga masih bertahan dengan kereta yang di bawa dr zaman U..yang penting..sy tiada hutang lain kecuali rumah :)

Dr Ridzwan Bakar said...

Salam Kak Nab & Farra,
Bukan senang untuk melawan kehendak hati dan glamour.

Puan Ainon Mohd. said...

Berkawan dengan orang-orang yang tidak mampu berkereta, kita jadi malu dengan kereta yang kita pandu.

Saya memandu Nissan MPV.