Followers- Jalinan Ukhuwah

Thursday, December 11, 2008

Cerita Orang Mencari Rezeki vs Beruang

Bila dikenang kisah silam sebagai pelajar sekolah, maka saya tidak akan mampu untuk melupakan pengorbanan guru-guru. Bagi saya, mereka adalah pelita hidup. Saya amat menghormati dan menghargai jasa guru-guru saya walaupun sudah lebih 20 tahun meninggalkan alam persekolahan. Biarpun sibuk dengan kehidupan korporat yang mencabar, saya masih terus menghubungi guru-guru saya. Saya cukup gembira bila mereka juga tidak pernah lupa kepada saya.

Kelmarin, saya membuat lawatan mengejut ke rumah guru Bahasa Melayu semasa sekolah menengah dahulu. Beliau baru sahaja bersara. Kehadiran saya ke pintu rumah cikgu Abd Wahab amat memeranjatkan beliau. Banyak perkara yang kami bincang khususnya aspek kehidupan dan rezeki.

Cikgu Wahab berkongsi satu cerita mengenai rezeki dan beruang. Beliau bercerita bahawa ramai orang yang mengejar wang dengan mengabaikan sholat. Cerita lebih menarik bila beliau menambah berlakunya satu kisah tiga sahabat sanggup mengabaikan sholat jumaat kerana percaya rusa akan keluar banyak di hutan menjelang tengahari ketika insan bernama muslim akan melakukan sholat Jumaat. Mereka sanggup meninggalkan sholat semata-mata percaya bahawa rezeki amat banyak di ketika orang lain sibuk untuk ke Masjid. Di takdirkan sememangnya Allah mengizinkan banyaknya rusa berlari-larian di hutan (yakni membenarkan kepercayaan rezeki mereka). Dalam kesibukan memburu rusa yang berkeliaran itu, mereka terserempak dengan seekor beruang besar. Di pendekkan cerita, mereka tidak mampu melarikan diri dan si beruang berkata kepada 3 pemuda ini ”Alhamdulilah, Terima kasih kerana ziarah kat aku, engkaulah sebenarnya rezeki aku....." Hakikatnya, mereka terperangkap kerana mengenepikan Allah dalam pencarian rezeki.

Mutiara Bicara
Al-Qur’an telah membincangkan aspek rezeki dengan ibadah dalam kisah pengkhianatan bangsa Yahudi terhadap nabi-nabi mereka. Ujian Allah kepada bangsa Yahudi kini meluncur di dalam kehidupan seharian kita. Di dalam kesibukan kita mencari rezeki, kadang-kadang kita turut alpa dengan perintah Allah. Moga Allah mengampuni kita dan diberi kekuatan untuk mencari rezeki dengan jalan yang diredhoi.

Terima kasih Cikgu Wahab dengan perkongsian ilmu dan pengalaman. Jasamu tetap saya hargai dan kenangi. Saya akan terus mencari guru-guru saya bagi meniti renjisan kedamaian...

2 comments:

Hajah Zainab bt Abdullah said...

Dr Ridzwan,
Mulia sungguh hatimu...jarang ada "murid" yang telah sebegini lama meninggalkan alam persekolahan ziarah gurunya!! Semoga Allah memberikan keberkatan kpd Dr kerana mengingati jasa guru.

Dr Ridzwan Bakar said...

Salam Kak Nab,
Tidak rugi Kak Nab bila saya meraikan orang apatah lagi insan yang bergelar guru. Untung kalau Kak Nab dapat anak murid macam saya. Tiap-tiap tahun ada hadiah menanti di setiap fajar Hari Guru walaupun jasa dan keikhlasan mereka mendidik sudah lebih 20 tahun. Mereka juga tidak pernah meminta apa-apa pun dari saya. Mungkin doa mereka turut membantu perjalanan ijazah kedoktoran saya.