Followers- Jalinan Ukhuwah

Saturday, December 31, 2011

Tazkirah #1 2012- JALAN KEBAIKAN MASIH TERBUKA…


ALLAh memberi kita banyak ruang untuk melakukan kebaikan. Kebaikan ini perlu kita himpunkan untuk menjadi asset bekalan menuju perkampungan abadi. Bila asset amalan kita bernilai tinggi, sudah tentu janji ALLAH akan syurga dan mahligai hebat bakal menemani kita.

Saya teringat detik beriktikaf di hadapan Kaabah. Di kalangan manusia yang ramai, kelihatan seorang tua sedang berusaha memberi minum air zam-zam kepada para jamaah. Beliau begitu komited dan istiqamah melakukan satu bentuk perbuatan mulia yang tidak diminta. Bila selesai memberi minum, beliau melangkah pula kepada orang lain. Cuaca panas di bumi Mekah tidak menjejaskan keazaman beliau untuk terus melakukan satu perbuatan mulia. Orang tua ini tidak give up untuk mengumpul pahala.

Kebaikannya begitu mudah… memberi minum air zam-zam kepada jamaah tanpa diminta.

Begitulah kehidupan kita. Buatlah sesuatu kebaikan walaupun tidak diminta. Jika anda masih ingat, blog ini menyarankan pada Maa’ Hijrah lalu supaya kita berazam untuk selalu bersedekah.

Selamat Tahun Baru 2012 dengan harapan semua pengunjung blog ini sentiasa ceria, sihat agar dapat mengumpul pahala, dimurah rezeki agar tercapai hasrat ke Mekah dan membantu orang susah serta diberi ilmu untuk memimpin hidup yang sementara ini.

Kepada anda yang telah email atau sms saya mengenai usaha membina masjid di Bandung, InsyaALLAh saya akan war-warkan no Akaun khas Bank Islam.

Kepada yang sudah mendaftar untuk Umrah Mac 2012 bersama saya, InsyaALLAH, buatlah persediaan kerana kita perlu berusaha kuat untuk mencari cinta ALLAH. Penyertaan UMrah Mac 2012 masih dibuka.

“Ya ALLAH, rahmatilah kami semua di tahun baru 2012 ini agar kami lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Berikanlah kami ilmu, kesungguhan beramal, kukuh akidah, tabah menentang kemungkaran, pemeliharaan ke atas anak-anak dan harta kami, ikhlas berjuang untuk mencari kemuliaan bukan atas factor duniawi dan kukuhkanlah kasih sayang masyarakat kami agar bersatu atas kalimah syahadah tanpa mengira fahaman politik dan sikap berpuak yang pastinya merugikan ummah.”



Monday, December 26, 2011

Aku Tidak Kalah Dengan Kehidupan...





Alhamdulilah sudah sebulan kita memasuki tahun Hijrah 1433. Dalam beberapa hari lagi, kita akan melangkah pula ke tahun baru 2012. Begitu pantas masa berlalu. Cuba kita sama-sama menilai kembali pencapaian kita sebulan lepas.

Apa yang ingin saya kongsikan dalam entri ini- 1 Safar 1433H bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Setiap amalan kita adalah antara kita dengan ALLAH tidak perlu dimaklumkan kepada umum. Jika ianya memberi manfaat dan tidak menjadikan saya ujub dan sombong, maka ianya perlu dikongsi. Jika tulisan ini memandu saya kearah kesombongan maka ALLAH tetap selayaknya saya memohon ampun dan taubat.

Ketika saya meniti hening pagi Subuh pada 1 Muharram 1433H, saya menilai pencapaian diri sebagai seorang muslim. Dengan menapak melebihi 1km dari tempat penginapan ke Masjid Raya/Agung Kota Bandung, saya berkira-kira dengan amalan yang bakal di bawa bertemu ALLAH. Di kiri kanan sepanjang perjalanan, kelihatan ramai juga penarik beca sedang tidur di beca masing-masing. Bagaimana mereka bisa tidur dalam suasana sejuk di luar?

Tiba di Masjid jam 3.30 pagi, suasana luarbiasa menghinggap mata. Ianya tidak sama dengan suasana jam 3.30pagi di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Kelihatan ramai peniaga-peniaga kecil tidur di kaki lima masjid. Bukan setakat lelaki malah ramai juga muslimah dengan anak kecil.

Hati ini tersentuh….

“Saya ngak ada rumah Pak. Kami Cuma menumpang ihsan di Masjid Agung ini. Kira pemimpin Masjid ini menghalau kami, kami ngak tahu ke mana mahu berteduh.” Itulah luahan hati di pagi 1 Muharram 1433H… sangat-sangat menyentuh hati saya yang keras ini…

Ada juga antara mereka bangun jam 4 pagi untuk bertahajud dan berdoa. Di satu sudut Masjid, danau mata hitam ini menitis mengenangkan bahawa di kala kita mampu ke KFC dan McDonald, ramai lagi hamba Tuhan yang Ikhlas hidup merempat namun tidak kalah dengan kehidupan. Airmata ini tidak mampu lagi bertahan sebagaimana kenikmatan airmata taubat dan keinsafan di Raudah dan di Makam Ibrahim.

Maka saya teringat kejadian di daerah Cipanas. Ketika saya memberi sedikit wang kepada seorang muslimah kerana membantu isteri saya, beliau menangis. Tangisannya agak lama. Bila reda beliau berbicara,

“Setiap malam saya bangun Tahajud. Saya berdoa supaya rezeki datang ke pintu rumah. Sudah 3 bulan wang persekolahan anak-anak saya tidak dapat saya sempurnakan. Anak kecil yang sakit pula hanya perlu ketemu dukun. Tidak mampu ke hospital. Saya tidak kalah dengan kehidupan kerana saya yakin doa saya didengari Tuhan. Dan hari ini, bapak memohon bantuan kecil saya, dan hari ini doa saya dimakbulkan Tuhan.”

“Bapak dan Ibu. Wang yang bapak dan ibu beri ini lebih dari mencukupi untuk kami sekeluarga. Terlalu banyak jika dibanding dengan bantuan kecil saya. Saya dan suami tidak mampu membalasnya Cuma doa kami moga kita ketemu di Syurga ALLAH dan saya mahu menyaksikan bapak, Ibu dan seisi keluarga meniti Titian Sirat dengan selamat.”
ALLAHU AKBAR!


Di satu sudut Masjid Agung Bandung ini, bisikan madah ini amat menyentuh hati saya….. Airmata tidak mampu saya kawal lagi. Terlalu berat untuk emosi diri ini mengendungnya. Kerana mata, hati dan perasaan saya bersama mereka. Processor fikiran ini terhenti bila beduk dipukul dan Azan berkumandang. Subuh Awal Muharram yang menginsafkan….. Saya sujud syukur kerana ALLAH mengizinkan saya menjadi tetamuNYA dan tetamu rakan-rakan yang menjemput saya.


Kita semua manusia yang hina di sisi Rabbul jalil.

Kita amat kerdil di sisi Tuhan

Ramai lagi insan yang hidup sukar

Mereka tidak kalah dengan kemiskinan

Cuma kita sahaja yang kecundang

Dengan kenikmatan…



Saturday, December 17, 2011

Bandung- Mengisi Sebuah Impian..



Foto: Tapak Masjid. Sudah 4 tahun terbiar



Nikmat iman, Islam, ihsan, takwa, taubat, membuat kebaikan dan jihad adalah antara nikmat besar yang ALLAH anugerahkan kepada kita. Dengan iman dan Al-Qu’ran menjadikan kita damai jiwa dan bersih hati. Ianya mengatasi nikmat harta simpanan yang bakal menyusut.

Sudah dua minggu saya agak gelisah. Setiap hari wajah insan miskin berlegar dikelopak mata. Mereka hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Seolah-olah dunia ini menzalimi mereka…

Di akhir tahun Hijrah 1432, saya ditanya oleh Pak Henry

“Sambutan Hijrah di sini kurang lumayan. Lantaran Pak Dr, ke mana lagi Bapak mahu pergi. Saya bisa teman dan supir saya boleh bawa Bapak Dr ke mana sahaja.”

Maka saya berkata “engak usah susah-susah Pak. Saya mensyukuri layanan baik bapak sekeluarga.”

“Gak Pak. Kamu dan isteri adalah tamu istimewa kami. Kami sangat besar hati menerima kamu di sisi kami. Moga kamu dipilih dikalangan orang-orang yang ikhlas.”

Saya lantas terus bersuara spontan, “Ok. Bawa saya ke desa yang sangat-sangat memerlukan Masjid.”

“Ayuh kita terus ke sana,” Pak Henri tanpa berlengah mengajak saya.

Melalui jalan-jalan kecil dikelilingi sawah bendang, perjalanan ini sangat menakjubkan. Sawah indah menghijau namun dihiasi teratak uzur si petani. Kami tiba di kaki desa jam 3.30 petang.

Tiba di sebuah desa yang indah itu, pemimpin masyarakat dan warga desa sudah menanti kehadiran saya. Subhanallah!

“Pak, terima kasih kerana mengunjungi kami rakyat miskin di sini. Kami sangat membutuhkan sebuah masjid. Kami orang miskin menagih simpati dari orang kaya, namun sudah empat tahun tiada siapa yang hadir membantu. Kami solat jumaat di kampong orang. Anak-anak kami tidak dididik agama dengan sempurna kerana tiadanya Masjid. “

Subhanallah… hati saya tersentuh. Saya bukan orang kaya yang dapat menyelesaikan kehendak terdirinya sebuah masjid di desa ini. Tapi saya berazam untuk membinakan masjid untuk mereka.

Ianya benar-benar menyerang emosi saya…. Ya…! Hingga ke saat dan detik jemari ini menyentuh setiap bullet keypad notebook ini.

“Ya ALLAH, ampunilah dosa ku dan kami semua yang tidak mampu menghulurkan 100% bantuan ini…”

Oleh kerana saya mempunyai temujanji untuk memberi ceramah di Hotel Holiday Inn Bandung jam 5 petang, pertemuan saya dengan masyarakat desa ini hanya lawatan singkat. Singkat dan tidak dirancang namun mempunyai impak dalam diri saya…

Penghujung hijrah dan peng awal hijrah yang bakal menguatkan semangat saya untuk terus melangkah, InsyaALLAH.


Monday, December 12, 2011

Bandung Pasentran Tahfiz Anak Yatim




Program saya seterusnya ialah menuju ke satu pasentren Tahfiz anak-anak yatim di pinggiran desa Kota Bandung. Ianya adalah permintaan saya untuk menyerahkan wang zakat dan sebahagian wang royalty buku Rindu Baitullah.

Menyerahkan wang zakat amanah kakak saya dan juga sebahagian royalty buku Rindu Baitullah bernilai melebihi Rp3 Juta. Juga terima kasih kepada puan Siti dan rakan-rakan yang turut memberi sumbangan ke pasentran Tahfiz Anak-anak Yatim di sebuah desa pinggiran Bandung. Juga terima kasih kepada semua pembeli pos buku Rindu Baitullah (belian terus dengan saya) yang telah ikhlas membayar lebih dari harga buku. Lebihan yang tuan-puan bayar telah saya sadaqahkan ke Pasentran Tahfiz anak-anak yatim ini. Mereka lebih memerlukan bantuan kita.

Pengurusan Tahfiz ini juga memberi saya peluang untuk menyampaikan tazkirah ringkas kepada adik-adik anak yatim yang sedang bekerja keras menghafaz Qur’an.

“Adik-adik pewaris ummah yang saya sayangi, hidup tanpa bapak dan ibu bukan bererti dunia ini sudah tiada nilai. Maka Jadilah Tahfiz professional yang bakal mewarnai dunia korporat dan pemerintah Negara. Belajarlah sejarah bahawa Malaysia, Indonesia, Brunei, Temasek, Selatan Thailand dan sebahagian Filipina adalah rumpun Melayu Nusantara. Kerajaan Melayu Nusantara dahulu menjadikan AL-Qur’an sebagai pedoman pengurusan dan pimpinan. Rapatkan semangat cinta-mencintai sesama muslim. Usah terpedaya dengan sentimen anti Malaysia yang mengotori perjalanan ummah nusantara. Usah gusar dengan pekerjaan, lantaran rezeki adalah urusan ALLAH.”

“Hari ini ALLAH izinkan saya hidup untuk bertemu kalian semua. Tidak banyak yang mampu saya lakukan dari sisi pembangunan fizikal. Hidup saya yang sementara ini perlu saya kuasai agar memberi manfaat kepada ummah. Anda semua adalah pewaris kepada satu wawasan besar hidup manusia. Ayuh sama-sama berganding bahu merapatkan saf kasih sayang rakyat Indonesia-Malaysia. InsyaALLAH, tahun hadapan jika usia saya dipanjangkan, saya pasti hadir lagi ke sini.”

“…Sesungguhnya rahmat ALLAH sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” Surah Al-A’raf: 56


Saturday, December 10, 2011

Umrah Cuti Sekolah Mac 2012


InsyaALLAH, program Umrah Cuti Sekolah Mac 2012 masih dibuka. Tempat agak terhad. Sila call, sms atau email saya untuk keterangan lanjut.

Boleh juga terus email nama penuh dan no paspot antarabangsa untuk tempahan seat dan tinggalkan no hanfon untuk saya hubungi.


Friday, December 9, 2011

Leadership Seminar- YES2011 PWTC 8 Dis 2011


Foto: Perkongsian ini lebih bernilai jika memberi impak.


Foto: Pemimpin-pemimpin muda memberi tumpuan


Foto: Kenangan bersama En Yahaya, Pengarah Projek YES 2011 dan silent
reader blog Haji Muda, pegawai muda dari Petronas Leadership Center. Terima kasih.



Alhamdulilah dengan kebesaran ALLAH, jemputan untuk menyampaikan leadership talk telah saya sempurnakan semalam Khamis 8hb Disember 2011. Dewan utama di PWTC kelihatan penuh, satu bentuk sokongan yang amat saya hargai.

Peserta adalah insan yang hebat terdiri dari pemimpin-pemimpin muda sektor korporat, kerajaan dan ahli perniagaan muda.

Walaupun saya menyentuh beberapa aspek Islamic Leadership, peserta-peserta bukan muslim memberi reaksi positif akan indahnya Islam menyusun hidup manusia.

Terima kasih kepada semua yang hadir khususnya CEO, Pengurusan Kanan Irsyad, Pengarah projek dan semua pegawai yang membantu saya dari awal hingga akhir ceramah. Tidak lupa kepada peserta program, cik puan Husnah pegawai Tabung Haji KJ yang telah menghadiahkan kurma nabi kepada saya. Tidak sangka boleh dapat kurma yang saya suka ini di PWTC. Juga terima kasih kepada semua yang mengenali saya terutamanya silent reader blog ini yang turut hadir mendengar perkongsian saya. Jazakallahu khair.

Moga ALLAh memberi kita ilham untuk membina pemimpin-pemimpin muda yang amanah, terhindar dari korupsi, bersih hati, tiada hasad dengki dan sentiasa mendampingi ALLAH. Amin!



Sunday, December 4, 2011

Bandung- Hidup kelihatan Susah, namun hati Senang Banget




Apakah institusi Zakat mampu mengubah dan membela nasib ummah?


Mereka bahagia dengan hidup dikelilingi bumi menghijau.

Biarpun sekadar menumpang dibelakang jeep/pick up, mereka bahgia benget… Hidup tanpa hutang biarpun mendesak.

Hidup mereka mungkin kais pagi makan pagi dan begitulah disebelah petang.


Namun bila bertemu mereka, tidak kelihatan yang mereka mengeluh mendambakan nikmat duniawi. Mereka redho dengan apa yang ada. Satu perkara yang saya belajar , mereka sangat-sangat kuat berdoa. Dan mereka yakin dengan doa yang dipanjatkan kepada Ar-Rahman Ar-Rahim.


Kita tidak bahagia sebab menghimpun hutang untuk hidup….

Kita akan terus tidak bahagia jika ada sedikit bingkisan hasad dengki dalam hati…

Kita akan selamanya tidak bahagia bila tidak meletakkan ALLAH dan Rasul dalam resipi hidup ….


Alhamdulilah…. Terima kasih ALLAH!


Saturday, December 3, 2011

Bandung Bau Syurga di Puncak Darajat...

Foto: Memandang jauh misi hidup..... Cuaca dingin mampu 'refresh' perancangan jangka panjang.

Foto: Pemandangan gunung Papadjaran

Foto: Melihat kehijauan bumi Darajat. Indah ciptaan ALLAH...


Selepas tamat perasmian, saya dan keluarga dipelawa untuk ke pekan kecil Cipanas. Solat maghrib di Masjid Cipanas sungguh menyeronokkan kerana jamaah yang padat. Cuaca dingin memberi ketenangan solat. Selepas itu, saya mencari CIMB Niaga untuk pengeluaran wang di ATM. Rupa-rupanya tiada cawangan CIMB Niaga di pekan kecil ini. Maka saya kekeringan Rupiah...

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Puncak darajat lebih kurang satu jam dari pekan kecil Cipanas ini. Tiba di puncak Darajat lebih kurang jam 8.45 malam. Dengan ketinggian melebihi 2000 kaki dari paras laut dan dikelilingi oleh gunung-gunung, sudah tentu cuacanya nyaman dan sejuk. Air di bilik penginapan pula air panas asli dari kawah air panas di pergunungan ini.

Keletihan menyebabkan kami tidur awal.

Selepas solat subuh, saya membawa isteri dan anak bersiar-siar dipersekitaran tempat penginapan. Sememangnya indah pemandangan di sini yang dikelilingi banjaran gunung dan sawah bendang. Bumi hijau terbentang luas.

Subhanallah…! Mahasuci ALLAH! Hebat! Hebat! Ciptaan ALLAH.

Selepas minum di kedai berhampiran tempat penginapan, Saya mengambil kesempatan bersembang dengan petani-petani yang berdagang di Puncak Darajat ini. Mereka sudah bersedia menanti tetamu Rumah Mandi Water-boom air panas di Puncak ini. Seorang pedagang menjual kacang rebus berkongsi dengan saya bahawa pendapatan sehari bersih 30 ribu rupiah = sebulan 900 ribu rupiah bersamaan RM300. RM300 sebulan!

Si petani tua ini berbicara lagi dengan saya, “Saya fikir Bapak bukan orang Indonesia… bapak dari mana?”

Belum sempat saya menjawab, beliau berkata lagi, ”Saya fikir darjat bapak tinggi, tidak bisa bicara sama petani macam saya…” MasyaALLAH….

“Mengapa jadi gitu Pak..?” Saya bertanya.

Beliau berkata, “Kami petani miskin tidak bisa berbicara dengan orang besar dan tinggi darjatnya. Ini adalah perasaan kami orang miskin. Di pandang sangat rendah di sini...” keluhannya berterusan.

Saya katakan,” MasyaALLAH! Islam bukan mengajar begitu Pak. Rasululah s.a.w juga tidak mengajar kita begitu. Bila Rasululah s.a.w melakukan kesilapan mengutamakan golongan elit Quraisy, Al-Qur’an menegur Baginda. Begitu juga, bila Rasululah s.a.w tiada lagi, AL-Qur’an tetap mengajar kita supaya bergaul dengan semua golongan bukan golongan kaya elit sahaja.”

Petani tua ini menganggukkan kepala…… Lantas berkata, "Buanglah darjat kamu dan dampingilah orang miskin. Jika kamu anak muda mampu melaksanakan apa yang Rasululah sa.w nyatakan dan apa yang Qur'an sebutkan mengenai orang miskin, maka kamu dan sesiapa sahaja sudah bisa mencium bau syurga....." ALLAHu Akbar!

Sesungguhnya ALLAH memberi saya banyak pelajaran di setiap langkah mendampingi orang miskin di sini. Kata-kata rendah diri benar-benar menghentak minda dari tidur di siang hari.....

"Ya ALLAH, adakah kami yang sedang bersantai di blog ini layak menjadi Tetamu SyurgaMU sebagaimana kau izinkan kami menjadi Tetamu BaitullahMU?"



Tuesday, November 29, 2011

Bandung: Perasmian Koperasi Syariah. Di mana status Tahajud Kita...

Foto: Diberi penghormatan untuk menyampaikan Ucaputama di mejlis perasmian


Foto: Barisan pimpinan Koperasi Syariah dengan deklarasi wakil Mentri Perusahaan & Kooperasi Republik Indonesia. Baju batik Indonesia dipakai bukan sahaja oleh AJK malah hampir 100% tetamu dan penduduk desa. Semangat yang seharusnya menjadi contoh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.


Point Ucaptama Perasmian Koperasi Syariah.

Secara ringkasnya saya cuba kaitkan HIJRAH dengan Koperasi Syariah yang cuba saya bantu ini. Berikut ini adalah point-point yang saya kongsikan ketika diberi peluang untuk memberi ucaptama di majlis perasmian (dengan bantuan catatan sekretariat pengurus Koperasi, isteri dan anak saya).

Bapak-bapak dan ibu-ibu terhormat dan hadirin,

Alhamdulilah dengan izin ALLAH kita dapat bersama-sama di satu majlis agung di sisi ALLAH kerana kita telah berhasil menyatukan masyarakat setempat dengan satu pendekatan melalui jaringan ekonomi. Kita juga wajib bersyukur kerana usaha ini disokong oleh pemerintah wilayah dan Ahli Dewan yang pastinya mampu bersama mengerakkan pembangunan ekonomi rakyat marhain lagi miskin ini.

Bapak-Bapak dan Ibu-ibu yang saya kasihi,

Saya difahamkan bahawa wilayah Darut ini adalah antara wilayah termiskin di bumi Indonesia. Namun saya menyakini anak-anak desa di sini bukanlah miskin mengikut acuan duniawi. ALLAH tidak menghukum anak-anak desa ini dengan kemiskinan namun saya amat percaya dan yakin demi kebesaran AR-Rahman Ar-Rahim, kita perlu mencungkil potensi diri anak desa demi kemajuan bersama.

Esok kita akan melanjuti Tahun Baru HIJRAH 1433. HIJRAH Rasul s.a.w memberi banyak makna dalam aplikasi kehidupan kita. Cuba kita singkap jendela HIJRAH. Perkara pertama ketika Hijrah, Rasululah s.a.w . membangunkan Masjid Quba dan Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah. Prinsep Hijrah ini telah dilakukan oleh daerah dan wilayah Darut ini. Kita lihat laungan azan berkumandang di segenap desa ketika saya menyusuri sawah bendang dan pergunungan.

Perkara kedua yang dilakukan oleh Rasululah s.a.w ialah mengujudkan kebersamaan taawun ekonomi sehingga pasar-pasar Yahudi tersungkur di bumi Madinah.

Bapak-bapak dan Ibu-Ibu yang amat saya sayangi,

Ini adalah hakikat histori sejarah di mana dengan semangat bersama Ansar –Muhajirin, pasar-pasar Yahudi tersungkur dan ekonomi ummah dibangunkan. Inilah yang ingin dilakukan oleh insan mulia pemimpin-pemimpin wilayah ini seperti Pak Asep, Pak Herry, Ibu Rina Ahli Dewan Provinsi dan ahli Pembina Koperasi Syariah ini. InsyaALLAH saya akan cuba membantu dari kejauhan bumi Malaysia. ALLAH memberi saya banyak idea bagaimana untuk melaksanakannya. InsyaALLAH selagi saya hidup, saya akan usahakan idea-idea ini dapat dilaksanakan di bumi ini, jika diizinkan. Rakyat muslim Malaysia juga akan bersama kalian semua demi kalimah Lailahaillah muhammadurasul lullah.

Demi nama Ar-Rahman Ar-Rahim, saya sudah mengkaji sukses perekonomian beberapa Negara seperti Japang, Korea Selatan, Iran, Sweden, disamping Malaysia dan Indonesia dan saya punya rasa yakin kita mampu membentuk model perekonomian desa melalui Koperasi Syariah ini.

Mengapa koperasi syariah? Mengapa enggak diintrodusi Koperasi Konvensional yang sedang bermaharaja lela itu? Ya Bapak dan Ibu, Kita bukan mahu selamanya hidup di bumi ini. Tujuan kita menuju Sang Pencipta yang mahu kita semua menjadi KhalifahNYA. Lantaran kita mahu barokah melalui jalan perekonomian. Kita mahu selamanya dicintai ALLAH disetiap urusan biar capek kita diperjalanan yang berliku ini.

Diucaputama ini, saya ingin menyatakan beberapa usul bagi ahli Pembina Koperasi lakukan:-

1. Dibangunkan satu rumah satu produk.

2. Beri prioritas kepada perekonomian produktif bukannya pinjaman yang akan menghimpit rakyat miskin dengan hutang. Saya bisa tulis kerangka model ini untuk manfaat tim pembina, InsyaALLAH.

3. Perlu dibangunkan kerangka metod HAJI agar setiap orang miskin di wilayah ini bisa naik Haji melalui barokah naungan Koperasi Syariah ini. Kerangka model akan saya usulkan kemudian, InsyaALLAH.

4. Gunakan masjid sebagai pusat pentadbiran pembangunan desa dan tempat luahan rasa anak desa. Rasululah s.a.w membina Madinah Munawwarah melewati Masjid Nabawi itu.

5. Hidupkan masjid-masjid dengan kuliah harian agar masyarakat umum dapat ilmu agama yang sempurna. Kita enggak bisa selamanya mengharapkan Pasentren-Pasentren semata-mata untuk memberi ilmu-ilmu ini lantas membiarkan masyarakat umum terus miskin harta dan ilmu.

6. Bersihkan hati dan nawaitu iaitu niat kita untuk bersama memajukan koperasi ini. Koperasi ini adalah milik kamu semua tiada kaitan dengan partai politik atau indibidu hipokrit.

7. Jauhkan sefat dengki dan iri hati kerana ia akan merosakkan kerangka model bisnes yang ingin kita bangunkan. Hargai sumbangan masa dan tenaga para Pembina Koperasi Syariah ini.

Dengan rendah hati, doa tinggi dan titisan airmata keinsafan, saya mengakhiri ucaptama ini moga Koperasi ini mampu membantu masyarakat Darut keluar dari kemiskinan. Kita semua akan ditanya di Mahkamah ALLAH jika kita tidak mampu membantu menyelamatkan ummah Darut dari kemiskinan. Ayuh kita sama-sama lakukan HIJRAH untuk bangunkan diri dan masyarakat Darut ini.

Hanya ALLAH tempat kita berserah. Wallah’alam dan terima kasih kepada semua para Yang Tehormat dan tim Pembina kerana memberi saya peluang untuk berbicara sebentar di majlis perasmian Koperasi Syariah ini.

**********************************************************

Tersentuh hati ini bila dipeluk oleh pemimpin masyarakat di akhir majlis perasmian. Lebih tersentuh bila seorang tua memeluk saya sambil berbicara “Kamu anak muda yang sepatutnya lahir di bumi Garut untuk memimpin wilayah dan desa kami. Bapak doakan kamu sukses untuk terus membantu ummah di sini. MasyaALLAH…..! ke situ pula orang tua ini….

Lebih mendalam sentuhan kalbu bila beliau berbicara, “Tahajud akan menjadikan kamu lebih hebat selepas ini, InsyaALLAH amin. Bapak akan doakan sungguh-sungguh untuk kamu.” ALLAHU AKBAR!

Di tengah malam di desa pergunungan ini, airmata saya menitis kerana ALLAH mengizinkan doa saya untuk bertemu insan-insan ikhlas di bumi asing ini. ALLAH maha mendengar isi hati saya. Hubungan mereka dengan ALLAH amat kuat dapat difahami melalui raut wajah suci lagi bersih. Mungkin Tahajud mereka hebat mengatasi amalan solat 5 waktu kita yang serba daif itu. ALLAHU AKBAR! Walilahilhamd.

Di mana status Tahajud saya…..?

Di mana status Tahajud kita...duhai pengunjung setia blog...? Dimana! Dimana!

“Ya ALLAH berikanlah kekuatan buat hambaMU yang serba daif dan sering alpa ini…Berikanlah kekuatan buat hambaMU dan pengunjung setia blog ini untuk istiqamah bangun malam bermunajat kehadratMU. Hamba menangis mengharapkan kasih sayangMU..”

InsyaALLAH bersambung………


Monday, November 28, 2011

Bandung Khutbah Jumaat



Foto kedamaian desa yang mengkagumkan. Cuaca dingin serta nyaman, fresh...

Nota: Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana hubungan komunikasi internet terputus dari 24/11/2011-27/11/2011 kerana saya berada di desa pengunungan Darut & Cipanas kira-kira 100km dari Kota Bandung.

*****************************************************************************

Alhamdulilah saya, isteri dan anak tiba di sebuah desa di Garut sekitar jam 11 pagi hari Jumaat 25/11/2011. Selepas di jamu dengan ubi kayu goring (waduh…enak sekali.. teringat saya dengan ubi kayu goring arwah nenek yang enak itu.), saya melangkah ke Masjid desa. Kehadiran saya disambut oleh Imam dan bilal.

Selepas pemimpin desa memperkenalkan Khatib di dalam bahasa desa yang saya tidak faham, tiba-tiba saya dijemput naik ke mimbar. Saya terpinga-pinga.

“Bapak, ngak ada azan?” Saya menyoal.

Lantas dijawab, “Enggak Pak Dr Ridzwan, di sini Khatibnya terus ke mimbar lantas memberi salam dan lanjutnya azan.. Azannya Cuma sekali sahaja”

Allahu akbar! Satu pengalaman bila diri ini terjun menyelami amalan masyarakat ini. Pendekatan ini tiada salahnya, Cuma wujud kebedaan dari sudut fiqh pelaksanaan. Bukan factor asas yang perlu didebatkan.

Di atas mimbar yang serba daif ini, saya lihat wajah-wajah bersih orang-orang tua desa. Ianya refleksi dari kedamaian hati, fikiran dan kebergantungan hanya kepada ALLAH. Bukankah molek jika wajah kita juga bersih dan suci seperti mereka?

Teks penuh Khutbah akan saya selitkan di entri akan datang. “Hijrah menuntut perubahan dan kesatuan”

Nota: Terima kasih kepada abang Kamulzaman dari Kelantan yang telah menyediakan teks Khutbah untuk saya sebelum saya berangkat. Kesungguhan tuan amat saya hargai, Juga terima kasih khususnya kepada rakan-rakan seperti Rosli Ibrahim, Arizal, Zarea, Siti, Kak Norlia Kota Kinabalu, Azmi dll yang turut memberi point-point penting dan sokongan emosi untuk teks khutbah walaupun Cuma melalui sms. Moga ALLAH merahmati kalian semua.

Selepas solat jumaat, saya diraikan oleh keluarga ahli Dewan Provinsi Jawa Barat di rumah beliau. Makanan desa sangat mengenakkan. Ayamnya adalah ayam kampong yang mempunyai rasa tersendiri. Sudah lama tidak menjamah ayam kampong. Sayurannya disumbang oleh anggota masyarakat desa. Fresh vege.

Jam 1.30 petang saya di jemput untuk ke dewan perasmian. VIP sudah sedia menanti. Terkejut saya bila diminta duduk di kerusi VVIP bersebelahan dengan wakil Gabenor Provinsi, Ahli Dewan Provinsi, Ketua-Ketua Kantor Pemerintah Wilayah, Direktor Bank Syariah, Mantan Direktor Bank Syariah, wakil Kantor menteri Pembangunan dan koperasi, Penasihat Projek dan pemimpin-pemimpin masyarakat Darut.


Subhanallah, Maha Suci ALLAH. Tidak terlintas di hati kecil ini untuk menerima undangan dan penghormatan ini. Mengapa mereka perlukan kehadiran saya untuk merasmikan Koperasi Syariah Darut ini?

Saya dikejutkan lagi, “Pak Dr Ridzwan, mohon Bapak memberi ucaptama sebelum perasmian Koperasi ini oleh Bapak YTH.” Terkejut saya kerana ianya tidak dirancang. Untuk memberi sedikit ucapan utama di satu majlis rasmi perlulah dibuat persediaan terlebih dahulu, lebih-lebih lagi berucap di hadapan pembesar wilayah yang saya tidak kenali. Saya juga tidak pernah ambil tahu protokol pembesar Negara jiran ini. Jadi sedikit cemas, jika melanggar tatasusila dan budaya setempat.

Setelah naik ke pentas, saya lihat dewan dipenuhi dengan manusia yang berpakaian baju batik Indonesia, sesuatu yang sukar untuk kita lihat di Malaysia. Semangat kenegaraan mereka amat kuat.

Point-point ucapan saya akan saya upload dientri akan datang. InsyaALLAH.


Salam Hijrah

Bersedeqah akan membebaskan fikiran kita dari kegelisahan dan kemurungan.....


Alhamdulilah, dengan kasih sayang ALLAH saya telah selamat kembali ke tanahair malam semalam. ALLAH memberi saya pengalaman dan nafas baru untuk meneruskan apa yang saya yakini demi ummah tercinta. (InsyaALLAH saya akan menulis panjang beberapa topik penting mengenai perjalanan yang ALLAH rancang untuk saya).

Terima kasih kepada Pak Herry & isteri, Pak Asep & Ibu Rina Marlina wakil rakyat Provinsi Dewan WEst Java, Kepala Kantor Pemerintah, Bank Syariah, Pn Zakiah, isteri dan anak saya yang bersama-sama membantu saya dari sudut sokongan logistik hingga ke sokongan emosi.

SEtibanya saya di LCCT, saya menerima telefon dari seorang rakan lama.

Katanya "Wan, fikiran aku kusut."
Saya bertanya kembali "Mengapa jadi begitu?"
Tambahnya, "Terlalu banyak perkara yang merisaukan."

Maka saya berkata ringkas," Hulurkanlah sebarang RM1 atau RM2 untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Jika ada lebih RM, lebih baik. Bersedekahlah dengan ikhlas hati kerana Rasullulah s.a.w melakukannya setiap hari."

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Maa Hijrah kepada semua pengunjung blog ini.

Doa dan harapan saya Moga ALLAH terus memberi kita kekuatan untuk bersatu hati membina ummah tercinta ini. Biarpun kita dihimpit oleh pelbagai persoalan nikmat duniawi, namun ianya tidak membebaskan kita dari tuntutan pelaksanaan khairu ummah.

Sempena dengan hijrah ini, ayuhlah kita sama-sama berhijrah untuk selalu melakukan semangat bersedekah setiap hari.

Nota: InsyaALLAH saya akan berkongsi pengalaman perjalanan saya ini dan apa yang akan saya usahakan demi kebaikan kita bersama.



Friday, November 25, 2011

Undangan Lawatan- Bandung


Alhamdulilah saya kini sudah 3 hari berada di Bandung atas undangan wakil IBF Jawa Barat. InsyaALLAH, sebentar lagi saya akan berangkat ke Daerah pergunungan Cipanas untuk menerima jemputan membaca Khutbah Jumaat dan bersama sebagai tetamu istimewa perasmian Koperasi Syariah.

Semalam Khamis 24/11/2011 jadual perjalanan saya amat padat. Selepas solat Subuh, saya dijemput untuk sessi diskusi dengan pimpinan kanan Koperasi Syariah BMT Barrah di tengah kota Bandung. Diskusi berjalan dengan sangat baik dengan pengharapan juga dimajukan kepada saya (InsyaALLAH saya akan menulis panjang intipati diskusi di entri akan datang).




Makan tengahari nasi kuning bersama Rektor IPT, Pak Herri, Pak Asep, Dekan Institut Manajemen dan CEO Lenovo Indonesia.

Di sebelah tengahari selepas solat zuhur berjamaah di sebuah masjid, saya dijemput untuk melanjuti diskusi di sebuah institusi pengajian tinggi di kota Bandung Institut Yayasan Pengajian Telkom. Saya disambut mesra oleh Timbalan Rektor dan Dekan Fakultas Management dan Creative Multimedia. Saya juga dijemput untuk menjadi tetamu sidang media MOU antara Institut Management YPT dan Lenovo. Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.



Antara menu makan tengahari.

Selepas sidang media, saya dijemput mengunjungi kantor Rektor untuk membentangkan idea saya mengenai kerjasama membangunkan ekonomi ummah dan kerjasama kepakaran. InsyaALLAH diskusi dan tindakan susulan akan dibuat selepas ini.

Saya, isteri dan anak tiba di daerah Garut yang nyaman dan sejuk sebelum solat maghrib. Perjalanan berliku hampir 70km mendaki bukit dengan Toyota Rush tidak membosankan. Kebesaran ALLAH melingkari disetiap kelipan kelopak mata. Bumi menghijau pergunungan ini menjanjikan kedamaian, Alhamdulilah.

Kami diraikan makan malam di sebuah restoran makanan Sunda disamping bertukar pandangan bagaimana untuk memajukan ummah dan sama-sama membina jambatan kasih sayang umat nusantara Malaysia-Indonesia.

InsyaALLAH bersambung. Mahu berangkat ke Cipanas, supir sudah nunggu...